PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Rabu, Julai 15

Dakwah: Pengaruh Dan Paradigma Para Da'ie



"Alhamdulillah ustaz, kemenangan berpihak kepada kita" Ujar teman serumah sebaik sahaja melihat penulis menanggalkan kasut petang semalam.

"Alhamdulillah…" Penulis menyahut pendek secara spontan berita yang baru diterima dari Manek Urai, dan menghela nafas perlahan-lahan.

"Mereka ada pengaruh dan berjaya mempengaruhi orang lain" Tambah penulis sambil tangan mencapai gelas minuman di atas meja. Teman serumah mengganguk tanda setuju dengan penulis.

Pengaruh bukanlah sesuatu yang dicari. Ia datang sendiri apabila kita tingkatkan kualiti diri. Penulis mahu mengenepikan persepsi negatif' terhadap apa yang kita faham tentang pengaruh. Mahu penulis jelaskan ialah kepentingan pengaruh bagi orang yang memimpin dan mengubah masyarakat. Khususnya ibu bapa terhadap anak-anak, guru terhadap murid, dan da'ie terhadap mad'u.

Penulis cuba analisa dan perhati, kenapa pelajar di universiti lesu? Antaranya sindrom letih mengejar pilihanraya. Kalau satu pilihanraya tak mengapa lagi. Kalau macam-macam pilihanraya, dan ada pihak yang berhasrat nak menang semua, dengan sangkaan kemenangan dan perolehan kuasa tu dapat melicinkan dakwah di kampus, akhirnya kecundang. Kecundang tu, macam-macam faktorlah, termasuklah pilihanraya yang tak telus. Tetapi jika kalah dalam pertandingan, apakah mati ruang dakwah?

Jika pemimpin-pemimpin pelajar ini mempunyai kualiti diri yang tinggi, mereka tidak akan hilang signifikasi, walaupun tiada jawatan, sebab mereka ada pengaruh.

Dari mana datangnya pengaruh tu? Dari kualiti diri. Maka mahasiswa kena letak keutamaan pada meningkatkan kualiti diri, termasuklah pencapaian akademik, kematangan pemikiran dan lain-lain. Sebabnya, dengan cara ini mereka akan dapat banyak undi. Kalau pilihanraya tidak telus dan mereka kalah sekali pun, mereka tetap seorang pemimpin dan berpengaruh, sebab menggunakan formula yang betul dalam kepimpinan, iaitu memimpin dengan kualiti, walaupun kuantiti tidak seberapa.

Memang tidak dinafikan pengaruh tingkah laku dan peribadi ini penting dalam kepimpinan . Namun , tanpa kekuasaan penulis rasa ianya juga tidak dapat berkembang dengan meluas, tapi bukan pada skala yang membimbangkan. Apapun, syaksiah dan perilaku mesti diberi prioriti bagi sesiapa sahaja yang inginkan kepimpinan yang berkesan, lebih-lebih lagilah mereka yang mewakili kepimpinan ke arah menunjukkan cara-cara mengikut kehendak Islam.

Penulis tertarik dengan kata-kata Michael H. Hart tentang Rasulullah S.A.W:

"Unparalleled combination of secular and religios influnence which i feel entitles Muhammad S.A.W to be considered the most influential single figure in human history"

Bagi penulis, artis lebih popular sebagai contoh, bila kebajikan mereka senantiasa dilakukan, serta diwar-warkan media. Maka mereka dilihat lebih kehadapan dalam hal-hal kebajikan, walaupun tidak dinafikan mungkin timbul perasaan ria' atau sebaliknya. Namun, penulis ingin nyatakan di sini, jika sekiranya syaksiah dan kuasa digabungkan dalam satu wadah, maka barulah akan menampakkan pengaruh yang sebenar dan lebih bertenaga dalam menyampaikan sesuatu pandangan dan aliran pemikiran.

Mencipta Pengaruh Dalam Dakwah

Kelangsungan dakwah hanya boleh berlaku jika orang yang berpengaruh berjaya mendidik mutarabbinya menjadi orang yang berpengaruh jua. Jika hanya seorang sahaja berpengaruh, sedangkan yang lain hanya bertindak menjadi pendengar semata-mata tanpa berbuat apa-apa, maka lama kelamaan dakwah hanya berlegar di tempat yang sama, dan ada kemungkinan pupus pada suatu masa kelak.

Tidak ada gunanya seseorang itu datang meyampaikan ceramah berbuih-buih, dengan kehadiran pendengarnya cukup ramai tiap-tiap minggu, namun yang mendengar ceramah itu hanya kagum semata-mata dengan kebolehan penceramah, namun tidak mampu mendidik diri sendiri menjadi orang yang mampu menyampaikan ceramah, dan seterusnya mengembangkan pengaruh secara berantai.

Tarbiah Rasulullah S.A.W mendidik Abu Bakar menjadi orang berpengaruh. Bukan setakat Rasulullah S.A.W sahaja berpengaruh, malah baginda berjaya mendidik Abu Bakar dan para sahabat yang lain menjadi orang berpengaruh. Tarbiah ini bukan sehari dua, ia memakan masa bertahun-tahun, sebelum sampai pada satu tahap berpengaruh, dan berkuasa.

Jangan setakat datang dengar ceramah, malah dia sendiri perlu berazam memberi ceramah, bukan setakat datang usrah semata-mata, dia sendiri pandai membentuk mad'u pada kelompok usrah yang lain, bukan setakat datang rehlah, tapi diri sendiri bisa mengendalikan program rehlah, lebih menonjol lagi dia berusaha untuk mentarbiah pula mad'u di bawahnya membuat perkara yang sama, dan begitulah seterusnya.

Itu juga yang terjadi kepada pejuang Hamas. Bila mana dua orang pemimpin berpengaruh Hamas syahid, Hamas tidak lumpuh. Dakwah mereka tidak terhenti, kerana prinsip mereka bukan sahaja bergerak berdasarkan pengaruh pemimpin, bahkan bergerak untuk menghasilkan sepuluh orang lagi para syuhada' seperti Ahmad Yasin, dan mungkin sepuluh orang lagi para syuhada' seperti Rantisi. Hamas semakin disegani, dan mempunyai pengaruh dari kalangan golongan popular dalam kerajaan.

Dakwah di Malaysia kurang efektif. Usaha untuk mendekati mad'u itu ada, tapi hanya cukup pada silibus, tidak pada satu tahap senantiasa bergerak seiring pola keselesaan mad'u. Kita lihat ramai orang yang hanya suka mendengar ceramah semata-mata, yang hanya berbangga menonjolkan angka.

Ceramah semata-mata tanpa ada usaha mengubah cara berfikir terhadap orang yang mendengar ceramah mungkin hanya memberi kekuatan yang minimum kepada dakwah. Dakwah yang kuat memerlukan lebih dari itu, mad'u perlu ditarbiah secara spesifik dan proaktif, bukannya lagi secara umum. Memang perlukan kesabaran, hasil kita tidak akan nampak sekarang. Tidak pula sedikit harta, masa dan tenaga yang perlu kita bayarkan.

Mungkin juga kita orang berpengaruh, namun itu tiada guna jika kita tiada usaha secara serius untuk mendidik orang lain menjadi orang yang boleh mempengaruhi orang lain juga. Pentingnya pengaruh adalah sebagai satu kelebihan untuk menarik mad'u kepada usaha dakwah. Menggunakan pengaruh untuk tujuan selain mencari redha Allah Taala, tidak akan membawa apa-apa perkembangan pada dakwah, malah mungkin melemahkan lagi dakwah.

Pengaruh bukan untuk tujuan peribadi. Gunakanlah pengaruh untuk tarik insan lain pada jalan Allah Taala. Gunakanlah nikmat dan anugerah Allah Taala ini pada jalan-Nya semata-mata, bukan mencari dunia dan populariti. Ambillah iktibar kisah Khalid el Walid ditarik daripada jawatan panglima perang oleh khalifah Umar Ibn el Khattab ra. Namun tetap sahaja Khalid el Walid ra. bertempur sebagai tentera biasa, sebab dia berperang kerana Allah Taala, bukan kerana Umar ra yang menjadi khalifah ketika itu.

Mampukah kita berbuat sedemikian? Apakah dengan berjawatan sahaja kita berdakwah? Tanpa jawatan kita sudah tidak lagi berdakwah? Ingat! kemungkinan besar bila seseorang berjawatan, kerana sibuk pada tugas, akan memandulkan sebuah minat pada dakwah, dan lebih malang dikongkong oleh pihak atasan. sekadar menjadi pak dan mak turut.

Apakah di kampus sahaja kita berdakwah sebab kita ada platform untuk bekerja, dan kita ada lebih banyak masa terluang? Namun apabila keluar dari kampus, ke manakah kita? Kenapa kita berhenti, atau semakin perlahan berdakwah. Tidak secerdas dan seaktif dulu semasa di kampus? Hanya orang yang benar-benar ikhlas sahaja Allah Taala, benarkan untuk terus konsisten di dalam jalan dakwah.

Bermula Dengan Paradigma Terpimpin

Paradigma penting, kerana dengannya manusia dapat mengenali dan menghadapi dunia realiti. Kita dapat mengenal kerbau sebagai kerbau bukannya sebagai kambing kerana pola yang telah wujud dalam pemikiran kita yang terhasil melalui pengalaman.

Paradigma ini tidak perlukan anjakan. Namun dalam merancang gerak kerja, melahirkan idea baru paradigma perlu berubah. Paradigma lama perlu diketepikan sama sekali untuk menghasilkan paradigma baru. Keterikatan dengan teori lama akan menyebabkan minda kita tertutup dan daya usaha kita lumpuh.

Ramai yang tidak hadir usrah kerana paradigma mereka mengatakan aktiviti ini hanya untuk golongan yang berpersatuan (haraki) dan ahli yang thiqah sahaja. Manakala yang hadir usrah pula akhirnya culas untuk datang dalam perjumpaan mingguan. Kita sebenarnya terperangkap dengan kepercayaan, kebiasaan, model, kaedah dan prinsip lama. Teori paradigma berusaha untuk melahirkan idea-idea baru yang tidak terikat dengan kebiasaan lama. Idea yang ditimbulkan mungkin dianggap tidak masuk akal, mustahil, gila, dan sebagainya bila idea ini disorot melalui sesuatu paradigma.

Namun melalui paradigma yang lain ianya dianggap baik, praktikal, menguntungkan dan kreatif. Paradigma lama dalam usrah ialah ianya berbentuk formal, dibuat di rumah ahli, perbincangan yang wajib mengikut sukatan dan lain-lain.

Paradigma baru perlu difikirkan. Apa salahnya usrah diadakan di taman, atau pantai. Aktiviti ilmiah kadang-kadang boleh diganti dengan bersukan, rehlah, pencegahan maksiat atau hanya sekadar makan-makan. Tak salah usrah dibuat dengan perbincangan ilmiah di atas bas dalam perjalanan ke mana-mana destinasi.

Pemimpin biasanya berpendapat ahli hanya akah dapat disatukan melalui program-program yang mereka laksanakan. Paradigma baru boleh dicipta. Apa kata sekiranya kita songsangkan kaedah ini dengan mengatakan bahawa ahli akan dapat dipupuk kerjasama dan kesatuan mereka melalui program yang mereka buat untuk pemimpin. Jangan terus menolak teori ini. Penolakan terus idea ini menunjukkan sememangnya anda terperangkap dengan paradigma lama.

Paradigma lama dilihat sebagi dogma yang tidak boleh tidak perlu dipatuhi. Ramai akan mempertahankannya kerana berdasarkan hujah pengalaman keberkesanannya satu ketika dahulu. Inilah yang perlu dihadapi dalam penghasilan dan penerokaan paradigma baru. Kritikan, cemuhan, idea gila, tak praktikal dan realistik merupakan cemuhan biasa yang perlu di pekak tulikan telinga.

Albert Einstein pernah berkata: "Semangat yang tinggi selalunya menghadapi tentangan yang hebat daripada minda lemah"

Inilah ungkapan dalam menggambarkan tentangan-tentangan yang akan wujud. Hanya apabila teori mereka berjaya barulah golongan yang setia dengan paradigma lama ini akan berubah. Jangan jadi semacam syarikat jam Swiss yang tidak mahu berubah suatu ketika dahulu hingga menggali kubur sendiri.

Dalam Islam kita diajar agar sentiasa berusaha mengubah keadaan kita dari semasa ke semasa.

Allah Taala berfirman yang bermaksud; “Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan merubah keadaan sesuatu kaum sehinggalah mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya, dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia” ar Ra'd (13:11)

Sebarang usaha tidak akan terhasil kecuali dengan idea. Sudah tentunya paradigma baru yang teranjakan akan menghasilkan sesuatu yang baru. Bagaimana mungkin tentera Islam dapat menawan Konstantinopel sekiranya Sultan Muhammad el Fateh tidak terfikir paradigma baru, iaitu menggerakkan kapal di atas darat menggunakan kayu dan minyak. Seterusnya ditarik dengan tenaga manusia. Taktik ini belum pernah digunakan dan tidak terlintas pada fikiran musuh bahawa benteng mereka akan bocor dengan cara ini.

Pepatah Jepun ada berkata: "Janganlah kita hanya mengikut denai yang sedia ada, sebaliknya pergilah ke tempat yang belum ada denai dan tinggalkanlah jejak kita"

Paradigma baru hanya akan terhasil bila kita mampu membebaskan diri daripada penjara paradigma lama. Berfikiran secara lebih kreatif, kritis dan lateral amat penting untuk mendapatkan sudut pandangan yang berbeza. Mulakan dengan idea yang gila-gila, kerana idea ini akan 'menyergah otak' kita yang selama ini tidur. Minda perlu diaktifkan. Senaman minda akan membangkitkan otak untuk berfikir. Jangan mandulkan otak anda, bangkitkan nafsu minda daripada kelesuan. Kerana orang yang berkata:

"saya malas berfikir"

menunjukkan bahawa dia memiliki nafsu berfikir yang rendah.

Buat para da'ie sesekali ubahlah corak gaya berfikir dan bertindak anda untuk menawan hati mad'u agar sentuhan dakwah lebih berkesan. Buat para mahasiswa/i, tidak salah meneruskan paradigma lama di samping mengintai bentuk baru dalam bawaan idelisma perjuangan mahasiswa. Juga buat semua insan yang bernama manusia, carilah kelainan dalam kehidupan dengan keberanian anda mancipta dimensi baru dalam habit, adat dan nilai seharian.

Mulakan paradigma baru dalam kehidupan, ketepikan sebarang cacian, kerana kita akan ketinggalan untuk hari esok sekiranya masih dengan idea kuno zaman batu.

Pengetahuan Yang Berpengaruh dan Mempengaruhi

Penulis berpandangan salah satu cara untuk meningkatkan kualiti diri ialah dengan membaca, menghadiri kelas pengajian. dan sebagainya.

Good Leader is a Good Reader.

Penulis fikir mahasiswa lemah dan lesu kerana malas membaca, menghadiri kelas pengajian, dan menambah pengetahuan semasa. Berapa ramai dan kerat mahasiswa yang mempunyai 'perpustakaan mini' di bilik? Bilik pemimpin pelajar pun penuh dengan CD game. Bersengkang mata sampai tiga pagi kerana counter strike, red alert, street fighter dan banyak lagi.

Sungguh berbeza dengan Tun Dr Mahathir yang tidur hanya lima jam sehari, dan setiap buku baru diterbitkan di Amerika akan sampai ke rumahnya. Sungguh berbeza dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim, anatar ucapan yang terkeluar dari mulutnya sewaktu di awal-awal pembebasan beliau dahulu;

"Buku itu saya tidak baca lagi. Oh, buku yang ini saya belum tengok lagi"

Tidak hairanlah segmen 'Bicara Siswa' menjadi bahan gelak tawa pelajar sekolah. Bercakap tidak punya asas panduan, kalau ada pun teks yang telah pun disiapkan, cuma baca sahaja skrip di dalamnya, soalan pun dah bocor. Macam mana nak berkembang idea-idea lestari yang kita bincangkan dalam artikel yang lepas.

Manusia juga menjadi lesu kerana pengaruh wang, media-media dan entertainment melampaui, dan sedikit sebanyak dijadikan pengaruh kepimpinan manusia yang tidak bermoral. Musuh sudah sedia maklum, maka inilah yang dieksploitkan. Idealisme Barat dan Yahudi tidak perlu ada pemimpin berpengaruh untuk menguasai dunia, mereka cuma mencipta tools yang boleh mempengaruhi manusia setiap hari dan setiap ketika. Tools mereka ialah media cetak, internet, dan skrin televisyen.

Penulis tertarik bila membaca sedikit sinopsis buku John C.Maxwell bertajuk '360 Degree of Leadership'. Katanya;

"Kita tidak perlu menjadi seorang pengurus atau ketua dalam sesuatu organisasi untuk menjadi seseorang yang berpengaruh"

Kemudian penulis cuba relate dengan Nabi Muhammad S.A.W, sebelum baginda dilantik menjadi Rasul S.A.W. Baginda bukanlah orang terpenting dalam masyarakat Arab pada ketika itu, tapi kerana sikap, perwatakan dan penampilan baginda. Nabi Muhammad S.A.W mempunyai pengaruh yang kuat dalam masyarakat Arab pada ketika baginda masih muda lagi, bukan senang membentuk pengaruh ketika itu, jika bukan kerana kesabaran dan akhlak yang luhur ditonjolkan baginda. Tak akan senang-senang, ketua-ketua kabilah Arab meminta baginda menjadi hakim pada peristiwa perletakan Hajarul Aswad.

Begitu juga dengan Mahatma Ghandi, beliau bukanlah seorang pemerintah India tetapi hanyalah seorang rakyat biasa. Tetapi kesan pengaruh beliau luar biasa, menjadikan beliau disegani oleh kawan mahupun lawan.

Kepimpinan model ada pengaruh yang besar. Seorang pemimpin negeri yang mengetuai setiap solat subuh dan turut serta dalam amal-amal kemasyarakatan seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sukar untuk dicari. Payah untuk mencari seorang yang begitu berpengaruh dengan jumlah pengunjung dan pendengar kuliah pagi jumaatnya yang tidak pernah berkurang. Jika sesiapa datang ke Kelantan atau mengikuti perkembangan negeri tersebut, kita akan lihat prinsip asas kepimpinan Islam, pengalaman, dan pencerahan kepada masyarakat berlangsung dengan serentak.

Jadi, apa tunggu lagi. Fikirkan cara terbaik untuk mengoreksi potensi diri berada sebaris, dengan tokoh-tokoh yang disebutkan di atas, terutama pengaruh kepimpinan yang ditonjolkan oleh baginda Nabi Muhammad S.A.W dalam usaha dakwah baginda kepada kelompok jahiliah yang dangkal, bebal dan degil.

Moga dengan kemenangan demi kemenangan Islam yang dikecapi sebelumnya, semalam mahupun seterusnya bisa menyemarakkan obor semangat dalam memartabatkan Islam ke serata negara, dan seluruh dunia.

ameen

p/s: Maaf kerana pencerahan ini sedikit panjang, dan jenuh juga untuk habiskan. Moga bermanfaat untuk semua.



1 komentar:

Nur Fatiha Fadila on 15 Julai 2009 pada 6:26 PTG berkata...

Assalamua'alaikum Tuan,
Membaca artikel ini mengingatkan saya tentang perilaku kebanyakan daei alias ustaz, ustazah di tanah air yang semakin sukar untuk difahami fikrah mereka.

Ada sesetengahnya menggunakan agama bukan sebagai perjuangan ikhlas untuk menengakkan agama Allah tetapi sebagai sumber pendapatan yang utama. Pernah di sebuah surau berhampiran kediaman saya, seorang pendakwah terkenal membatalkan sesi ceramah yang telah dipersetujui pada saat-saat akhir hanya kerana tidak berpuas hati dengan bayaran.

Lucu juga apabila mendengar para 'pejuang agama' ini membicarakan isu-isu yang dibicarakan tanpa mendekatkan tumpuan hati pendengar kepada Allah Taala.

Sesungguhnya, saya yakin adalah perlu untuk para daei ini meluruskan niat dan menggunakan segala ilmu yang ada di dada mereka dengan cara yang betul dan ikhlas. Semoga akan muncul para pendakwah yang benar-benar ikhlas dan faham dengan tugasnya seperti yang dilakukan oleh Tuan Guru.

Sesungguhnya, masyarakat kini bukannya bosan dengan hal-hal keagamaan sepert ceramah perdana, usrah dan lain-lain tetapi cara pelaksanaan dakwah dan inti patinya juga perlu lebih diperhalusi oleh mereka yang bergelar pendakwah.

Sekadar titipan pandangan. Waallahu'alam

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal