PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Khamis, Julai 16

Aku Bersedia Terima Nikahnya

"Ibu teringin bangat untuk melihat abang (panggilan dalam keluarga), pulang dengan segulung Ijazah. Ibu tidak pernah terkilan, walaupun abang telah menolak tajaan dan tawaran yang lebih baik dari sekarang, tapi ibu percaya itulah pilihan paling tepat pernah abang lakukan"

"Tiada kebahagian paling manis bagi ibu dan abah, selain melihat abang dan adik-adik yang lain berjaya. Ibu dan abah sanggup habiskan duit, bergadai harta demi sebuah kasih sayang, dan percayalah kami tidak pernah pun minta dipulangkan semula pengorbanan tadi seperti apa yang kami usahakan kecuali balaslah dengan kejayaan kalian. Ibu percaya hanya kejayaan sahaja menjamin kebahagian hakiki walaupun keluarga kita tidaklah kaya, tapi kita bersyukur dapat kecapi kehidupan seperti apa yang dilihat sekarang" Ibu cuba meyakin penulis dengan kata-kata semangat, dan diulang berkali-kali setiap kali melihat penulis sibuk mengemas pakaian dan peralatan yang ingin di bawa.

"Ibu dan abah jangan risau, walaupun abang tidak berada dekat di sisi, tetapi abang akan luangkan masa untuk menghantar suara-suara sebagai pengubat rindu. Abang juga ingin mendengar kata-kata sayang, dan perangsang daripada ibu dan abah untuk abang gagahkan langkah bila tinggal berjauhan nanti. Dah la, Janganlah ibu risau…" Penulis mengukir senyuman tatkala aura mata bertentangan. Penulis tetap kagum, ibu sentiasa tenang.

Seingat penulis, kata-kata tersebut masih segar di kamar ingatan dan diputar berulang-ulang sehinggalah sehari sebelum penulis berangkat ke Mesir. Penulis kuatkan semangat dan bulatkan tekad untuk berjuang hingga ke titisan keringat terakhir.

Ibu dan abah, tidak pula penulis lihat pada raut wajah mereka rasa kecewa dan sedih untuk melepaskan penulis, maklumlah mungkin penulis sedikit hampir dengan mereka, dan sentiasa berdiri dibelakang mereka, memberi pendapat dan pandangan peribadi sebelum mereka memutuskan sesuatu hal yang cukup mustahak. Mungkin juga penulis, sedikit matang dalam melihat sesuatu perkara untuk satu tempoh masa yang agak lama, biarpun kesusahan pasti menanti di permulaan langkah, tapi tindakan penulis tidak pernah meleset.

"Boleh ibu berpesan satu perkara lagi?" Ibu kuatkan sukma untuk mengungkap kata-kata, mungkin kata-kata terakhir sebelum penulis mengangkat kaki, kurang dua jam lagi meninggalkan tanah air.

"Jika terpaksa abang diikat dengan mana-mana perempuan di sana sebelum abang siap Ijazah pertama, ibu redha dan terima seadanya seperti keluarga sendiri. Tapi janganlah perkahwinan tersebut memudarkan semangat abang untuk berjaya"

"Ibu percaya dia, adalah insan paling bertuah yang berada di sisi anak ibu yang sulung ini. Ingatlah jangan gadaikan sesuatu yang belum pasti menjadi aset untuk hari kemudiannya, tapi jadikanlah ianya sebagai azimat untuk melakar kejayaan" Tambah ibu lagi, sambil mencium pipi penulis.

Mutiara-mutiara kata daripada bonda tercinta, penulis kutip dan tetap sahaja penulis pegang dengan erat sehingga sekarang dan buat selama-lamanya. Dua perkara yang cukup penting bagi penulis dan mungkin anda, ilmu dan jodoh. Ilmu yang bermanfaat untuk menjadi pelindung dari dijilat bahan panas, dan perkahwinan sebagai jambatan untuk mengekalkan kemandirian institusi keluarga Islam bahagia yang pernah dicetuskan Nabi S.A.W dan pasangan baginda.

Bila Ilmu Bersemayam Bersama Jodoh

Jauh di sudut hati penulis dan anda semua, tertanya-tanya bagaimana ilmu itu bisa dimanfaatkan untuk membentuk delegasi besar bersama perkara-perkara lain yang dianggap penting seumpama perkahwinan? Dua hal penting ini, cuba untuk penulis berkongsi bersama para pembaca budiman. Berlaku adil pada fitrah (jodoh) dan berlaku adil pada tuntutan semasa (ilmu). Kita perlu sedar dan bijak membuat perbandingan, kadang-kadang kita lihat ramai sahaja di kalangan golongan berpendidikan salah tanggap dalam membuat penilaian hidup yang sebenar, terutama dalam mengenal identiti serta peranan dua hal ini.

"Ustaz tak kan tak tahu, perkahwinan ini-kan untuk kekang nafsu"

"Saya dah tak tahan lagi ustaz, kalau hati dah suka, tiada siapa boleh halang"

"Ana rasa tak kahwin pun tak apa, asalkan kita bahagia, lagipun tak payah susah-susah fikir lampin dan susu anak-anak"

Betul, memang mahu kekang hawa nafsu, mahu elak dari terjebak kancah penzinaan dan sebagainya, tapi bagi penulis ianya salah satu cara bukan satu-satunya cara yang ada. Jadikanlah Ilmu sebagai 'meransang' dan jodoh sebagai 'perangsang'. Macam mana tu?

Pernah kita berfikir sejenak, masa di alam persekolahan dulu. Minggu terakhir persekolahan hujung tahun sebelum cuti panjang, cikgu-cikgu mesti sibuk menyediakan pelbagai bentuk hadiah sebagai penghargaan dari pihak sekolah kepada sesiapa yang berjaya dalam peperiksaan akhir tahun. Penulis juga tidak terlepas merasai saat indah seperti ini. Bukan calang-calang orang yang boleh berada di atas pentas atau di hadapan perhimpunan, bukan kerana kena denda sebab buat bising dan sebagainya, tetapi untuk sebuah kenangan yang pasti bagi mereka yang mempunyai akal, sebagai 'merangsang' untuk diri penulis dan rakan-rakan terus melakar kejayaan. Ini cerita penulis semasa dibangku sekolah rendah dahulu untuk membawa ‘fikir’ dan peringatan kepada kita semua, untuk apa kejayaan ini.

Tapi, sebenarnya untuk ilmu itu sendiri tidak perlu merangsang, tetapi ilmu yang merangsang untuk bergerak dan seterusnya berjaya. 'Merangsang' dan 'perangsang', dua kata nama yang berbeza pada istilah penggunaannya walaupun berasal dari kalimah yang sama, iaitu 'rangsang'. 'Merangsang' adalah wadah untuk menggerakkan sesuatu jentera, gerak kerja dan sebagainya, akan tetapi 'perangsang' adalah momentum penyebab pada berlakunya sesuatu gerakan. Kalau kita katakan ilmu sebagai 'perangsang', maka ramai sahaja kita melihat mereka yang mempunyai ilmu yang berjaya, sebab sesiapa sahaja yang menimba ilmu, ikhlas ataupun tidak, akan mengecapi kejayaan. Maka tidaklah pula akan kita melihat mereka yang gagal dalam setiap lapangan peperiksaan. Tetapi kenapa sebaliknya berlaku? Jadi cara berfikir kita perlu diubah, di samping kita betul-betul ikhlas, kita akan sedar setiap jerih perih kita selama mana menimba ilmu, sebenarnya balasan yang setimpal akan kita rasai dipenghujungnya, iaitu sebuah kejayaan.

"Perkahwinan (jodoh) sebagai 'perangsang', bagaimana pula tu ustaz?"

Penulis tidak mengatakan, hanya perkahwinan sahaja satu-satunya jalan atau cara bisa menjadi 'perangsang' untuk bergerak dan berjaya. Cuma sengaja penulis bawakan contoh ini, untuk cetus 'fikir' dikalangan rakan-rakan yang beriya-iya sangat untuk kahwin semasa bergelar student tetapi pudar semangat belajar selepas itu, atau mereka yang memandang serong berkahwin semasa masih belajar. Bukan untuk menggalakkan, bahkan penulis setuju sangat kalau dapat sabar sehingga perolehi sijil pengajian dahulu daripada mengumpul dua sijil dalam satu-satu masa. Orang kata kalau dah sampai 'seru' dan tidak dapat kekang hawa nafsu lagi, baik jalan terus daripada termanggu-manggu kena penyakit angau, lagi susah.

Waktu inilah banyaklah khidmat pesanan ringkas (sms), chatting dan panggilan liar mencari mangsa. Tidak kurang juga yang berkira-kira mencari dan mentaqdim bakal pasangan hidup. Rationya sama sahaja antara dua jantina.

Mungkin bagi yang sudah berpunya mula mengimpikan sebuah rumahtangga bahagia. Alangkah indahnya bila study ditemani suami di sisi. Seronoknya bila tekanan belajar diredakan oleh isteri tercinta. Angan-angan dan khayalan sebegini sering hadir menggangu kelompok mahasiswa, baik di dalam mahupun diluar negara. Semuanya hadir, ketika serabut menatap buku kuliah yang bertimbun-timbun.

Inilah antara clinical picture kepada dua penyakit yang penulis utarakan di atas.

"Bagaimana nak uruskan ni? Seorang kat Malaysia, dan seorang lagi kat luar negara"

"macam mana pula ustaz kata dapat jadi perangsang tu? Ana bimbang akan menjadi bahana pula"

Bukan niat penulis untuk membantutkan idealisme anda, para pembaca sekalian. Cuma sekadar nasihat atas pengalaman kebiasaannya yang berlaku, mereka ini akan mengalami syndrome mahu mencintai dan dicintai. Juga virus rasa nak kahwin awal.

Aetiology-nya setakat pemerhatian penulis ialah tekanan belajar. Predisposing factor-nya pula ialah suasana hidup di Mesir, bahkan juga di mana-mana sahaja bilamana adanya insan bernama manusia, khusunya di kalangan kelompok mahasiswa. Kebanyakkan penyakit ini akan beransur sembuh apabila peperikasaan tamat, bahkan ada yang mengatakan tidak terfikir langsung bila bersama keluarga di Malaysia, macam-macam karenah la, dan sebagainya.

Apa salahnya jika ada yang sudah berkira-kira untuk Ijab dan Qabul, agar melihat kondisi anda ketika itu mengikut persepsi yang sihat, buang jauh-jauh rasa tidak yakin anda kerana risikonya tetap ada walaupun seseorang itu yakin dapat mengimpikan sebuah pelayaran yang menarik dan kelainan dari sebelumnya.

Percayalah jodoh anda sudah sampai, dan sememangnya anda sudah layak memikul amanah yang dipertanggungjawaban bersama pasangan masing-masing. Jika ingin selamat, hindarilah awal-awal virus yang mungkin merencatkan serta membantutkan perancangan anda, mungkin terapinya ada, tapi belum tentu mujarab secara totalnya. Maka konsep paling mudah ialah mencegah lebih baik dari mengubati, merancang sebelum terancang.

Cuba kita berfikir, dengan mengjangkau masa kehadapan. Setiap daripada kita, golongan berpendidikan harus berwaspada bahawa bumi yang kita pijak bukanlah syurga selama-lamanya aman dan damai. Sedar atau tidak, dunia merupakan hamparan gelanggan hidup yang penuh dengan pergolakan dan percubaan. Justeru itu, persedian dengan suatu bimbingan dan juga ditanam dengan sikap yang tegas perlu dirunion dari semasa ke semasa.

Jadi, ke arah mana perlu kita lorongkan hidup ini, jika mereka tidak punya perancangan yang tetap dalam menilai aspek hidup ini, maka kelak kebinasaan menjadi tetamu.

Allah Taala berfirmanyang bermaksud: "Orang yang kafir di dalam usaha mereka (mencapai kesenangan dunia) adalah seperti fatamorgana di padang pasir. Dari jauh disangka air, setelah mereka sampai di tempat itu kiranya tidak ada satu apa pun juga. Mereka itu dihisab di sisi Allah dan Allah cepat sekali menghisab" an Nur (24:39)

Masa yang kita tempuh sering membuatkan manusia itu belajar dari kehidupan. Dengan bimbingan agama Islam, seseorang itu dapat memandang hidup ini dengan pandangan yang optimis. Dengan pedoman Islam, seseorang itu akan mendapat kedamaian dan ketenteraman dalam hidup ini. Waktu yang begitu berharga janganlah digunakan ke jalan yang menyimpang daripada lunas-lunas Islam. Akibatnya seseorang itu akan hidup dalam kerugian yang berpanjangan dan penyesalan yang tiada berkesudahan. Menyesali nasib memang tidak ada gunanya jika sudah terlanjur jauh. Berfikirlah sebelum bertindak!!!

Layakkah Aku Terima Nikahnya?

"Ustaz ana minta maaf, ana masih binggun bagaimana kita boleh menilai wajah keibuan ada pada seseorang perempuan?"

"Kadang-kadang ana perhatikan, tidak semua yang punya wajah ibu, mempunyai sifat keibuan juga"

"Habis tu kesianlah, bagi perempuan yang tidak punya wajah ibu"

"Ana rasa banyak perkara yang ustaz sembunyikan dari artikel yang lepas, sebab ada yang tergantung"

Bila penulis cuba mengamati, sapaan dan teguran teman-teman tentang artikel yang diterbitkan sebelum ini, seolah-olah menjadi spekulasi dan timbul tanda tanya. Rupa-rupanya ramai yang mengambil berat dalam soal jodoh, dan peka dengan istilah 'wajah ibu' yang penulis ketengahkan, tapi mungkin ada yang tidak perasan pada mesej utama yang cuba diselitkan. Tidak kurang juga, penulis terima mesej maklum balas jauh nun dari Eropah:

"Jika semua lelaki mencari wanita yang mempunyai wajah keibuan. Bagaimana pulalah nasib wanita yang tidak ada wajah sedemikian?"

Tidak semua, para pembaca yang memahami suatu mesej yang jelas diakhir artikel lalu. Penulis cuba ingatkan kembali apa yang telah diterbitkan, kerana hajat untuk mencetus 'fikir' bagi para pembaca yang belum lagi penulis mencapainya:

"Kali ini penulis ingin 'mengajak fikir' wanita-wanita yang berkerjaya agar mempersiapkan diri dengan ilmu keibuan yang tidak diajar di universiti. Mungkin anda tiada punya wajah keibuan, tapi ilmu untuk menjadi seorang ibu yang baik bisa dipelajari dan ditekuni, bahkan anda mungkin menjadi ibu yang terbaik daripada mereka yang hanya ada ibu pada wajahnya.

Banyak lagi yang ingin saya coretkan, namun bimbang insan yang bernama wanita makin terguris. Buat jejaka, wajah anda bagaimana? Ada wajah kebapaan? Cuba renungkan sejenak!" (Quote artikel lepas)

Inilah sebenarnya mesej penulis ingin sampaikan kepada para pembaca budiman, terutama para wanita dan bakal calon suami. Bukan mencari dan mengidamkan wajah keibuan yang mungkin tiada pada anda. Tidak perlu bersusah payah mencari akar-akar kayu tradisional atau membuat pembedahan plastik untuk punya wajah ibu, tapi anda perlu menekuni supaya menjadi ibu yang hebat lagi cemerlang. Namun keinginan, kemahuan, dan kerajinan untuk menjadi ibu yang hebat belum cukup tanpa ada usaha ke arah itu, dan inilah perkara penting yang perlu dilihat oleh setiap wanita di luar sana. Sebenarnya anda mampu melakukannya.

Teringat juga penulis pada pesanan ibu dahulu:

"Rupa tidak boleh diubah, Allah Taala dah beri macam tu, tapi akhlak itu yang boleh diubah"

Memang benar wajah ibu ini hanya wujud pada sesetengah individu sahaja, yang boleh dianggap suatu keistimewaan dalam masyarakat kita. Kelebihan yang tidak mudah pada personaliti seseorang, sepertimana wujud golongan yang terpelajar yang mana tidak juga semua dikurniakan bijak pandai, kreatif dalam pekerjaan, pandai dalam bergaul, celik komputer, dan sebagainya. Wajah keibuan juga mungkin gifted. Tetapi ilmu dan kemahiran untuk menjadi ibu yang hebat, sesiapa sahaja wanita boleh menekuninya tanpa ada batasan dan sempadan.

Mesej penulis kepada para jejaka, carilah bakal ibu yang hebat untuk bakal anak-anak anda, di samping tidak lupa untuk mempersiapkan diri dengan sikap dan nilai-nilai seorang suami dan bapa yang cemerlang. Seorang ibu dan bapa yang cemerlang bukan semata-mata mampu menyediakan kemewahan material kepada anak-anak, tetapi hebatnya mereka ialah pada kemampuan mendidik, mentarbiah anak-anak dari segi fizikal dan spiritual lebih-lebih lagi kasih sayang yang mencukupi. Kasih sayang yang membina bukan meruntuh.

Hajat kita untuk melihat pembinaan masyarakat yang cemerlang hasil daripada tangan yang menghayun buaian juga tangan yang mengalas senjata. Kerosakkan remaja hari ini berpunca daripada kegagalan ibu bapa dalam mendidik jiwa generasi sesuai dengan tuntutan agama dan zaman, tanpa kita nafikan sebab dan punca lain yang pelbagai. Justeru itu juga, lengkapkan diri anda dengan segenap aspek yang perlu, sebagai muslim yang cemerlang, bakal ibu dan bapa yang hebat kerana Imam el Ghazali telah berpesan kepada kita bahawa:

"Pendidikan terhadap anak-anak bermula 20 tahun sebelum kelahiran anak"

Jelaslah, andai kita mengidamkan sebuah keluarga yang dibarisi para mujahid dan mujahidah yang hebat, maka persedian anda hendaklah hebat juga sepersis kutipan mutiara kata dari ulama' sufi yang paling berpengaruh itu.

Jika anda, khususnya para ibu dan bakal calon suami keliru. Penulis sarankan agar abaikan sahaja wajah keibuan dan wajah kebapaan, tapi siapkan diri anda dengan nilaian keibuan dan kebapaan yang tulen dan sejati. Untuk kita dan generasi yang mendatang.

"Ustaz ana pernah ditaqdim oleh muslimin, tapi ana sering tidak yakin untuk menerima lamaran tersebut. Bukan apa ana tidak pernah mendapat petunjuk dari solat Istikharah yang dikerjakan. Apa yang harus ana buat?”

Cetusan Rasa Hati Terpimpin

"Betul ke ustaz terdapat hadith, yang menyatakan bilamana seseorang itu dilamar oleh seorang pria yang baik lagi soleh, maka seharusnya kita menerima lamarannya? Ana masih keliru, harap ustaz dapat bantu ana"

Penulis juga ingin ulangi untuk kesekian kali, mungkin ada yang sudah mengamati artikel penulis sebelum ini, namun sebagai peringatan yang membina penulis cuba mencoretkannya kembali. Jangan risau, dan khuatir jodoh anda telah pun ditentukan, cuma dengan siapa, cepat atau lambat, baik atau hodoh hanya Allah Taala sahaja yang tahu. Maka kita sebagai hamba yang percaya pada Qadho' dan Qadar-Nya menerima sahaja ketentuan-Nya dengan seadanya tanpa perlu mengeluh, tapi ingat kena sertakan usaha dan ikhtiar anda, baru bertawakkal sepenuhnya.

Jodoh bukannya datang bergolek malah kita perlu berusaha mencari dan berikhtiar. Sekiranya kita sudah menemui pilihan hati namun yang terbaik perlu kita membuat istikharah bagi memastikan pilihan itu adalah pilihan yang tepat dan membawa keberkatan hingga ke akhir hayat.

Istikharah ialah memohon daripada Allah Taala sesuatu perkara yang baik dengan mendirikan solat sunat Istikharah. Solat Istikharah merupakan suatu perkara sunat, wajar dilakukan bagi lelaki yang ingin menentukan jodoh dan juga bagi perempuan yang menerima lamaran oleh mana-mana lelaki. Anda para lelaki, anda perlu buat pilihan tepat.

Telah bersabda Nabi S.A.W yang bermaksud: "Rahsiakan niatmu hendak meminang. Ambillah air wudhu' dengan cara yang sebaik-baiknya, kemudian solatlah sebagaimana yang diajarkan Allah Taala kepadamu. Pohonlah puji syukur kepada-Nya dan agungkanlah Dia, lalu ucapkankanlah: "Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui sedang aku tidak dan Engkau Maha Mengetahui hal-hal yang ghaib.Jika Engkau memandang pada diri si fulanah –(sebutkan nama sebenarnya)– terdapat kebajikan bagiku, bagi agamaku, bagi dunia dan akhiratku, takdirkanlah dia bagiku. Jika ada wanita lain yang Engkau pandang lebih baik bagiku takdirkanlah dia bagiku" (Hadith riwayat Muslim)

Pesanan Buat Para Wanita dan Pria

Daripada institusi perkahwinan akan terbentuklah masyarakat, bangsa dan negara. Melalui institusi ini generasi muda dibentuk dan dididik untuk mendukung aspirasi-aspirasi yang dikehendaki oleh Islam. Membina sebuah masyarakat yang suci dan bersih dari dinodai dari sebarang anasir kejahatan yang boleh merosakkan masyarakat merupakan hasrat Islam.

Justeru itu, Islam mencegah sesuatu kejahatan atau kemungkaran dari bawah lagi, dengan menutup pintu-pintu maksiat. Maka Islam meletakkan prinsip-prinsip yang utuh untuk melindungi kesucian masyarakat ini, dengan memerintahkan supaya menahan pandangan, menetapkan batas aurat, sistem hijab, batas pergaulan serta adab dan sebagainya. Bahkan di sana disediakan hukuman bagi sesiapa yang melanggari prinsip tersebut.

Di antara wanita dan masyarakat mempunyai pertalian yang kukuh untuk mengerakkan wadah pembangunan dan kesejahteraan manusia sejagat khususnya golongan muda mudi. Ketandusan akhlak dan tatasusila wanita adalah asas kepada merebaknya maksiat dan keruntuhan akhlak masyarakat.

Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: "Tiada fitnah yang paling memudharatkan (berbahaya) ke atas kaum lelaki daripada wanita yang ditinggalkan selepas aku"

Baginda S.A.W memberi isyarat keras akan ancaman yang datang daripada kaum hawa, yang bisa mengundang kemusnahan dan bahaya. Lihat sahaja suasana yang dicetusan di barat seperti pergaulan bebas, rumah-rumah pelacuran, petunjukan fesyen pakaian yang merasangkan nafsu, filem-filem lucah dan sebagainya hingga masyarakat barat menganggap hubungan seks suka sama suka adalah perkara biasa seperti menghilangkan lapar dan dahaga. Amalan-amalan buruk yang sudah menjadi pakaian mereka itu, tidak lagi dipandang bimbang atau suatu keaiban, bahkan perasan malu di antara mereka telah pudar ditelan material dan mentaliti kolot.

Malahan amalan buas itu telah membawa kepada keadaan yang lebih buruk. Bilamana lahir anak-anak yang tidak diketahui nasab keturunan. Bagi kaum-kaum wanita yang tidak mahu melihat kandungannya hidup hasil perkongsian secara haram, janin pula digugurkan. Bahkan ada yang tergamak membuang bayi yang baru dilahirkan, peragai mereka ini tidak ubah seperti kaum jahiliah sebelum Nabi menerima watikah sebagai Rasul, yang senang melihat anak perempuan baru dilahirkan, ditanam hidup-hidup.

Pelbagai lagi penyakit yang dahsyat telah menular, kes bunuh menjadi perkara wajib sebagai bahan bacaan umum di dada-dada akhbar, anak-anak terbiar, perpecahan rumahtangga, dan sebagainya. Ianya adalah sebahagian dari bertimbung-timbung masalah gejala sosial tidak sihat, disebabkan kerakusan tangan-tangan yang busuk.

Pengaruh nafsu buas dan keruntuhan moral barat ini merebak bagaikan virus di kalangan masyarakat umat Islam.Ini adalah kerana undang-undang Islam sepenuhnya tidak dilaksanakan, sebaliknya undang-undang jahiliah dijadikan asas pembinaan masyarakat dan negara. Paling menyedihkan pemerintah dan orang Islam itu sendiri memandang sepi, malah menentang pelaksanaan undang-undang Islam.

Prinsip-prinsip Islam dalam pembangunan masyarakat harus dipratikkan. Wanita yang menjadi tunggak pembentukkan keharmonian dan kesucian institusi keluarga, yang mana harus dididik dan dijaga agar ianya tidak menjadi 'api dalam sekam' yang akan membinasakan kesucian masyarakat. Wanita perlu diasuh dan ditarbiah dengan akhlak serta saksiah mulia, di samping menanam Iman yang subur sedari kecil, dengan harapan mereka (golongan hawa) membesar dalam suasana Islam dan menjadi benteng penyelamat masyarakat dari kerosakan.

Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: "Mana-mana lelaki yang di sisinya mempunyai seorang anak perempuan, lalu beliau mengajarnya dan memperelokkan pengajarannya dalam mendidiknya (sehingga menjadikan dia beradab serta menjaga nilai-nilai agama) dan menyediakan pendidikan baik, maka anak perempuan kelak menjadi tabir melindungi beliau dari dijilat api neraka" (el Hadith)

Maka jelaslah wanita dan masyarakat ibarat kilauan mutiara pada mahkota raja, baik atau buruknya akhlak wanita akan menggambarkan kesucian pembangunan modal insan di kalangan masyarakat madani.

"Muslimah adalah wanita yang lahir dari sebaik-baik umat, yang memelihara keIslamannya dengan menjaga nilai-nilai ajarannya, mengekalkan sakhsiah muslim dan adat-adat yang bertepatan dengan lunas-lunas Islam"

2 komentar:

Nur Fatiha Fadila on 16 Julai 2009 pada 12:45 PTG berkata...

Assalamua'alaikum Tuan,
Artikel yang bagus dan penuh dengan hikmah terutama untuk kebanyakan mahasiswa yang sering berperang antara cinta dan cita. Apa-apa pun, berkahwin dan bercintalah kerana Allah. Tetapkan matlamat yang murni agar terpimppin bahtera yang diimami.

dan saya sangat kagum dengan nasihat ibu tuan ini, semoga berada di jalan yang benar selalu.

"Tapi janganlah perkahwinan tersebut memudarkan semangat abang untuk berjaya"

"Ibu percaya dia, adalah insan paling bertuah yang berada di sisi anak ibu yang sulung ini. Ingatlah jangan gadaikan sesuatu yang belum pasti menjadi aset untuk hari kemudiannya, tapi jadikanlah ianya sebagai azimat untuk melakar kejayaan" Tambah ibu lagi, sambil mencium pipi penulis.

Waallahua'alam

rezza khanafiah > humairah on 16 Julai 2009 pada 12:59 PTG berkata...

sebenarnya koleksi MCDS idea dan pencerahan bersama Dr. Muhaimi.

moga bermanfaat.

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal