PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Sabtu, Jun 27

Tazkirah: Berpijak Di Bumi Nyata

Kualiti umat tidak seharusnya berlegar di sekitar produktiviti material dan kemahiran semata-mata tetapi kualiti yang dimaksudkan meliputi kejiwaan, intelektual dan spiritual yang digabungkan dengan kualiti fizikal seperti berketrampilan, rajin, beretika, beriman serta berwawasan.

Kualiti ditafsirkan sebagai ciri perkhidmatan seperti kesopanan, kemesraan dan ketetapan masa atau ciri luaran seperti daya ketahanan, kebolehpercayaan, estetik, peranan dan keselamatan. Semua ciri itu bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan individu bagi mencapai kejayaan sesebuah institusi, badan dan seterusnya negara.

Bagaimanapun, usaha mempertingkatkan kualiti harus dilihat sebagai satu proses yang menyeluruh dan bersepadu membabitkan semua anggota baik individu, mahupun kelompok.Islam sendiri menekankan perlunya umat Islam berusaha dan berlumba-lumba membina masa depan serta mencari kejayaan.




Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan tiap-tiap umat ada kiblat (dipaling) sendiri yang dipandang, berlumbalah kamu mengerjakan kebaikan, di mana sahaja kamu berada, nescaya Allah akan mengumpulkan kamu semua, sesungguhnya Allah itu berkuasa atas segala sesuatu” el Baqarah (2:148)

Ternyata, Islam yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W menghendaki kita supaya sentiasa berusaha mencari kemajuan dan kejayaan berteraskan prinsip Islam bagi mendapatkan keredhaan Allah Taala.

Mengimbas sejarah perjuangan Rasulullah S.A.W, pastinya kita melihat bagaimana kejayaan penuh gemilang dicapai baginda S.A.W hanya dalam jangka masa singkat. Lebih-lebih lagi jika diteliti detik dilalui pada permulaan sejarah kerasulannya di Makkah, seolah-olah tidak menjanjikan apa-apa kerana sentiasa berada di bawah tekanan pihak kafir Quraisy.

Apabila berhijrah ke Madinah, keadaannya berbeza sekali. Islam diterima sebilangan besar penduduknya berbanding usaha baginda S.A.W ketika di Makkah. Kejayaan Rasulullah S.A.W bukan sekadar menyebarkan Islam dan membangunkan masyarakat, malah lebih daripada itu.

Baginda S.A.W mementingkan kualiti sebenar yang harus ada pada jiwa pengikutnya supaya negara Islam dibina baginda S.A.W benar-benar berada di atas pundak Iman yang kukuh. Keserasian Islam dan Iman lahirnya amal soleh yang berguna kepada setiap insan.

Penghidupan dihiasi akhlak Islam dan nilai hidup berteraskan syariat Allah Taala berjaya mencipta tamadun manusia dan mampu dipertahankan sebegitu lama. Tamadun yang diciptakan Nabi Muhammad S.A.W menerusi wahyu Ilahi adalah tamadun bersifat syumul demi kejayaan dunia dan akhirat.

Perjuangan Rasulullah S.A.W bukan sahaja untuk membawa manusia meninggalkan demi mengejar akhirat semata-mata, pengorbanan dan kepayahan dihadapi baginda menegakkan Islam adalah untuk mencapai kedua-duanya sekali.




Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan tuntutlah olehmu akan apa sahaja yang sudah disediakan kepadamu di akhirat dan jangan sekali-kali kamu lupa memperjuangkan nasibmu di dunia (untuk mencapai kemajuan) dan berbuat baiklah (kepada manusia) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu, di samping itu jangan sekali-kali kamu melakukan perbuatan jahat di atas muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang berbuat kerosakan” el Qasas (28:77)

Menghadapi proses pembangunan negara dan pembangunan insan, kualiti umat harus digilap supaya keseimbangan kemajuan negara disaingi ketinggian martabat umat itu sendiri. Umat Islam perlu mempunyai disiplin, menjaga peraturan, menghormati masa, tekun, sabar, beramal salih dan semangat daya juang yang kental. Umat berkualiti adalah penentu kejayaan dan kecemerlangan negara. Tanpanya, segala halangan dan tentangan yang dihadapi bagi mencapai matlamat wawasan negara, tidak dapat ditangkis oleh umat yang lemah.

Islam sentiasa menekankan prinsip kesungguhan dan dedikasi berteraskan ilmu dalam mencapai kejayaan. Islam juga menitikberatkan umatnya melaksanakan pekerjaan secara bersungguh-sungguh tanpa rasa jemu dan kecewa.

Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu membuat sesuatu perkara dengan tekun.” (Hadith riwayat Baihaqi)

Kejayaan umat Islam mesti berasaskan kepada struktur perencanaan yang rapi, kualiti digarap dan ketahanan spiritual mantap, barulah seluruh umat manusia akan menikmati kehidupan berdisiplin, berilmu, inovasi dan produktif. Segala bentuk kemajuan serta wawasan yang dicita-citakan tidak akan tercapai sepenuhnya tanpa adanya perancangan teliti dan konkrit. Abul ‘Ala al Maududi dalam karyanya menegaskan pentingnya umat Islam menjadi maju dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Istilah el Hadarah el Islamiah (tamadun Islam) digunakan oleh beliau sebagai membuktikan bahawa umat Islam menjadi penyumbang utama kepada tamadun dunia sejak berabad lamanya dengan pencapaian gilang gemilang dalam pelbagai bidang. Ini membuktikan umat terdahulu lebih berkualiti dalam tindakan mereka bagi memastikan kelangsungan hidup umat masa hadapan yang cemerlang. Umat berkualiti tidak selamanya memadai dalam menunaikan kewajipannya pada kadar yang dipertanggungjawabkan sahaja, malah bagi mencari manfaat, umat Islam hendaklah sentiasa menunaikan tugas melebihi daripada had yang sudah semestinya.

Justeru itu, umat Islam tidak sepatutnya mengambil jalan mudah dan memintas peluang dengan memijak orang lain. Kejayaan sebenar di sisi Islam adalah hasil usaha kudrat sendiri berlandaskan ciri agama. Manusia yang mempunyai wawasan hidup, tidak akan menerima kekayaan secara percuma lebih-lebih lagi diragui halalnya. Mereka berkeyakinan, kekayaan seumpama itu tidak akan kekal lama kerana mungkin di sebalik kekayaan itu berlaku penindasan dan kezaliman terhadap orang lain.

Jika kita meneliti perjuangan Rasulullah S.A.W, jelas menunjukkan kejayaan yang diperolehi bukan sekadar kejayaan semasa di dunia malah kejayaan di akhirat. Pengorbanannya paling tinggi. Perjuangannya penuh cabaran. Halangan yang ditempuh bukan sebarangan. Namun perjuangan tetap diteruskan.

Jika habuan dan keseronokan dunia yang diperjuangkan Nabi Muhammad S.A.W semata-mata, maka baginda S.A.W sudah lama mencapainya ketika di Makkah lagi. Ketika kaum kafir Quraisy menawarkan kepada Nabi Muhammad S.A.W harta, kemuliaan, pangkat, wanita cantik, tetapi semuanya ditolak.

Rasulullah S.A.W berpandangan jauh. Baginda tidak menerima kekayaan yang singkat tanpa perjuangan bagi meraih kejayaan. Kejayaan sebenarnya ialah apabila Islam dapat disebarkan bukan saja di Tanah Arab malah ke Asia, Afrika, Eropah dan seluruh dunia hinggalah yang kita lihat pada hari ini.

Di sinilah letaknya kualiti perjuangan diasaskan Rasulullah S.A.W yang perlu diwarisi seluruh umat Islam jika ingin kejayaan hidup yang diredhai Allah Taala. Kegigihan umat Islam dalam babak mencipta kemajuan akan menjadi mudah jika kepemimpinan negara sentiasa menerapkan nilai Islam dalam pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal