PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Jumaat, April 10

Visualisme Falsafah Lestari Kehidupan

Sebenarnya penulis memang rasakan, detik ini sekadar permulaan. Walaupun itu bukan yang diminta dan paling kita takuti. Jika kita lihat persekitaran sekolah sekarang, di mana remaja seawal tingkatan satu telah pun tahu mengancam untuk 'memperkosa' rakan sekelasnya, walaupun secara gurauan, tetapi bayangkan apa yang mereka tahu tentang perkataan “perkosa” itu sendiri.

Jika melihat kepada persekitaran sekarang, penulis rasa kita bukan lagi berada ditahap pencegahan, penulis tidak tahu mengapa, tapi penulis rasakan sudah agak terlambat untuk mencegah. Generasi sekarang, terlalu ramai ibu bapa yang amat tidak peduli dengan didikan anak-anak, apatah lagi didikan agama.

Pembangunan material dan jasmani, menyebabkan manusia terpaksa mengerah tulang empat kerat mencari rezeki dengan lebih pesat. Kedua ibu bapa bekerja, apa lagi yang tinggal bersama anak-anak. Di luar sana, terlalu ramai anak-anak yang sekadar disogok dengan kehendak material tanpa batasan, tanpa apa-apa didikan. Internet didedahkan tanpa sempadan seawal umur lima tahun. Tanpa pengawalan.

Pembunuh-pembunuh bersiri dalam jenayah seksual, telah lama wujud di amerika. Dan kisah-kisah pembunuh itu telah banyak dibukukan, dan diinternetkan.Ujian 'duniawi' akan lebih punya erti jika dinilai dari sudut balasannya di 'ukhrawi'. Tetapi ini bukanlah satu ungkapan yang enteng. Ianya berkait rapat dengan persoalan pokok yang telah pun dibahaskan oleh ribuan ilmuan, bermula daripada as Sheikh el Islaam Ibnu Taimiyyah dan el Ghazaali hinggalah ke Toshihiko Izutsu (ahli pemikir Jepun), iaitu ‘percayakah’ atau ‘yakinkah’ kita dengan Akhirat el Haqq?

Bila nafsu menguasai diri, dan bila pertimbangan bertuhankan syaitan. Manusia itu akan jadi lebih teruk dari binatang, sangat geram bila baca kesudahan adik Nurin suatu ketika dahulu. Mudah-mudahan the criminal berjaya ditangkap, apa hukum hudud yang setimpal? Penulis bersetuju, memang hukuman dunia tidak akan setimpal dengan perbuatan si 'penjenayah' yang sangat keji, lagi kejam.

Kaitan Idea Dengan Masa Lampau Dan Semasa

Membaca muntahan otak oleh Ibn Khaldun itu yang kebanyakannya lebih menjurus kepada membawa pembaca menilai tentang suatu perkara dengan realiti yang ada. Berfikiran logik dan kritis. Apa yang boleh penulis katakan, selain daripada penilaian realiti secara logik akal (sunnatullah) sebagai orang Islam terdapat suatu sisi lain yang kita perlu percaya dan yakin, yang lebih bersifat spritual, suatu syariat yang berlandaskan kepada el Quran dan Sunnah. Penulis merasakan kedua-duanya pun tidak dapat lari dari kehidupan seorang Muslim. Justeru pengaplikasian mencari kesedaran realiti dalam 'slogan-slogan' secara rasional perlu juga dipandu dengan keyakinan yang ada dalam diri sebagai seorang Muslim. Agama sebagai asas dan panduan namun tidak menghalang untuk kita berfikir dan berfikir mencari suatu yang terbaik untuk diri dan ummah.

Ibnu Khaldun (1332-1406 Masehi) : Ahli sejarah dan ahli falsafah berbangsa Arab. Beliau dianggap pengasas ilmu falsafah sejarah dan ilmu Sosiologi. Beliau banyak mengarang buku dan yang termasyhur di antaranya ialah, kitab “el Muqadimah” yang mengandungi teori-teori yang tidak disebut di dalam kitab-kitab sejarah dan di dalam kitab-kitab ilmu kemasyarakatan.

Teori tanpa praktikal menyebabkan fikiran kita menjadi jumud. Hafal itu, hafal ini, tapi tidak tahu di mana nak guna. Sibuk 'pungpang…pungpang' sana sini bagi ceramah, bagi tazkirah, bagi usrah. Ada antara yang kata wang itu dunia, harta itu dunia, anak isteri itu dunia, maka harus ditinggalkan. Logikkah dengan keadaan realiti masa kini? Dapatkah kita dalam keadaan sekarang ini hidup tanpa menggunakan wang? Bukan menjadi hamba pada harta, tetapi konsep betul menyambung diri sebagai seorang hamba, kena ikut arus perdana, namun jangan sesekali hanyut.

Itu juga yang berlaku misalnya dalam usrah. Kita bincang teori semata-mata, tanpa mahu mengaitkan dengan keadaan semasa. Lihatlah hasilnya bagaimana kelak. Melahirkan seorang insan yang penuh dengan teori, tanpa dapat diadaptasi dalam kehidupan seharian, menjadikan dirinya sama seperti orang lain. Yang lain hanya dia ni mungkin kerana dia menghadiri usrah.

Penulis berpendapat terjun ke medan amal Islami merupakan ubat paling berkesan untuk memahami makna dan ilmuan agama yang kita pelajari. Di sana kita belajar dan merasai erti subjek dan teori-teori jihad, ikhlas, akidah yang sahih, faham, pengorbanan, rukhsah dan azimah, serta berhikmah terhadap maudu'e.

Malah usrah dan pengisian ilmu sama ada kuliah, ceramah dan kitab yang dikarang oleh ulama’ harakah yang berjuang di tengah gelanggang maudu'e lebih memberikan kesan kepada kefahaman yang sebenar bermula dari masalah akidah, ruhiyah hingga kewajipan berkepimpinan.

Tanpa meminggirkan pandangan daripada para tokoh ilmuan dalam bidang masing-masing sama ada salafi ( yang lebih berhati-hati dan selamat dalam memahami masalah akidah dan hukum) atau khalafi ( yang lebih berfahaman luas mendalami dalil-dalil naqliy melalui usul-usul syariah), para da'ie akan melebarkan Islam kepada masyarakat. Ilmu tanpa amal umpama pokok tanpa buah. Tanpa amal, selama-lamanya kita terperangkap dan tertipu di alam teori. Sampai masa kita menutup sebentar kitab-kitab kita dan cuba untuk beramal pula, ya beramal.

Bidang Falsafah Mencerah Ilmuan

Penulis pernah bertanya pada diri apakah yang aku percaya sebenarnya? Adakah akidah yang aku faham itu yang benar-benar betul (the really real truth)? Kalau orang tanya aku kenapa aku yakin dengan kebenaran Islam? Bagaimana aku nak Jawab?

Soalan-soalan ini datang menghantui diri, setelah mula menjinakkan diri dengan philosophy semasa tingkatan 'enam bawah' dahulu. Walaupun dengan belajar philosophy secuma asas sahaja, penulis mula bertanya dan mencari jawapan kepada soalan-soalan yang sedia ada. Penulis tanya ustaz dari bidang syariah, dan baca banyak buku jika kurang faham. Jawapan yang diberi ramai ustaz sedikit mengecewakan penulis, jadi penulis cari jawapan sendiri dengan niat mencari 'The Truth'. Kalau orang bukan Islam boleh jumpa kebenaran hanya dengan membaca dan mengkaji sendiri, kenapa tidak penulis, dan kita?

Allah Taala akan beri apa yang kita minta. Sekarang ni penulis pula cuba mendidik para pembaca untuk memberi penjelasan atas apa yang anda fikir dan katakan. Jika anda kata God is One, penulis tanya balik, what do you mean God is One and why do you say that. This is not to challenge your beliefs just to make you aware of your own beliefs and can defend your beliefs when being confronted by other 'agama'. Mudahkan kita nak dapat pencerahan?

Iman tidak boleh melekat di dalam diri tanpa ilmu, tetapi ilmu tidak akan mencetuskan Iman jika kita tidak menyemak kembali ilmu tersebut, termasuk menyoal semula sejumlah pengetahuan yang kita kumpul.

Proses menyemak pengetahuan tersebut dipanggil 'berfikir secara kritis' atau disebut autocritic atau 'kritik diri'. Boleh juga dipanggil 'muhasabah' tetapi bukan penilaian kembali dosa dan pahala, serta amalan kita. Namun, penilaian kembali pengetahuan kita yang menjadikan kita 'kenal' atau 'faham', bukan sekadar 'tahu' bahawa Allah Taala itu. Tuhan kepada orang Islam dan Mukmin untuk disembah.

Hadith Qudsi menyebut: Allah Taala berfirman; “Aku seperti mana hamba-hambaku sangkakan tentang Diri-Ku”.

Ertinya setiap orang 'memandang' (melalui cernaan akal yang matang dan sihat) Tuhan mengikut kadar kemampuan pengetahuannya masing-masing.

Jadi, kalau kita susun semula kata-kata ini dan maksudnya dalam bahasa bersastera (literary) dan bukan harfiah (literal): Setiap orang ada Tuhan masing-masing! Pada hemat penulis, itulah yang disebut 'Iman' yang mengawal diri.

Contoh paling mudah. Bandingkan satu keratan berita (akhbar) dengan sebuah cerpen. Kedua-duanya karangan tetapi berita berasaskan fakta, namun cerpen hanyalah rekaan. Tetapi seperti juga berita, cerpen itu memenuhi logiknya sendiri (internal logics) sehingga ia kelihatan seakan-akan hakikat yang nyata.

Contoh lain, filem dokumentari (katakan tentang ular) dengan filem Hollywood (katakan tentang cinta sepasang kekasih). Sekali imbas, filem Hollywood ini seakan-akan benar, sama nyatanya dengan dokumentari tetapi pada batinnya suatu gubahan yang direka!

Iman boleh jadi sebuah berita atau dokumentari; dan boleh jadi juga cerpen dan filem Hollywood. Semuanya itu tergantung pada proses kita menggali, jungkir-balik kata orang Indonesia, pengetahuan kita secara kritis sehingga ia bertukar 'faham' (bukan 'syak' atau 'wahn') yang bermakna di dalam diri.

Di sini, menurut tafsiran Karl Popper tentang 'interactionism', jasad (atau alam benda) telah menyebati dengan alam mujarad (pengetahuan). Di sini, pengetahuan atau imaginasi menjadi sebahagian daripada tubuh. Dan di sinilah jawapan (teori) tentang hubungan antara ilmu, Iman dan amal.

el Quran Sebagai Sumber Falsafah Luar Biasa

el Quran menjadi Wahyu apabila ia diturun oleh Allah Taala kepada Nabi Muhammad saw. Tetapi, sewaktu kita membaca el Quran, kefahaman yang tersimpan itu bukan wahyu. Yang kita faham itu hanyalah pengetahuan kita, tetapi disebut ilmu yang bersumberkan wahyu (revealed knowledge). Tetapi kefahaman kita tentang el Quran) bersifat 'terbitan', bukan asli sebagaimana aslinya el Quran.

Ilmu kita tidak mungkin sama dengan wahyu, Iman kita tidak mungkin sama dengan wahyu. Pendapat ulama' termasuk pendapat para sahabat tidak mungkin sama tarafnya dengan wahyu. Semuanya ini disandarkan atau bersandarkan pada wahyu.

Sebab itu, wahyu dikhususkan untuk akal Nabi, sementara ilmu langsung daripada Allah Taala (mengatasi akal rasional dan logika lazim) disebut 'ilmu laduni' atau 'firasat orang beriman' atau 'ilham'. Dalam kajian falsafah, ini akan disebut “intellectus” atau akal tinggi. Sementara akal rasional dan logikal itu dipanggil 'ratio'.

Apabila penulis syarahkan ayat el Quran; "ala bizikrillahi tathmainnul quloob". Penulis tidak berkata kepada audience dan para sahabat, sebutlah Allahu Akbar untuk rasa kebesaran Allah Taala. Penulis tidak boleh cakap secara simplistik begitu, kerana hakikatnya menyebut kalimah 'Allahu Akbar' adalah sangat berbeza dari merasakan kebesaran Allah Taala itu sendiri.

Macam cinta. Kita sebut 'I love you' banyak kali supaya terbit rasa cinta, atau kita rasa dulu cintanya baru sebut 'I love you'? Adakah dengan menyebut 'I love you', perasaan cinta itu datang?

So, jika kita ingat Allah Taala, rasa tidak tenang, bukan salah ayat Quran, tapi cara kita faham ayat tu yang salah. Kita sangka zikir yang menenangkan itu ialah dengan sekadar menyebutnya.

Zikir itu harus zikir pada 'qaul' (kata-kata) dengan berkata Allah Maha Besar, pada perbuatan, dengan melakukan perkara yang membesarkan Allah, iaitu mengkerdilkan diri di hadapan-Nya, dan zikir pada 'qalbi', dengan merasakan Besarnya Allah Taala dengan cara merasakan lemahnya diri.

Zikir juga tidak cukup jika hanya zikir, tanpa cetus Fikir. Zikir adalah menterjemahkan mesej Allah Taala pada ayat-ayat-Nya yang dibaca. Fikir pula adalah menterjemahkan mesej Allah Taala pada ayat-ayat-Nya yang diperhatikan. Ia merenung alam dan melihat Siapa di sebaliknya, dengan cara mendalam.

Itu sebagai contoh usaha penulis untuk tidak sekadar quote dari Quran bahawa zikir menenangkan hati, sedangkan penulis tidak bantu audience dan anda bagaimanakah mempraktikkan zikir yang menenangkan hati itu. Quran adalah satu perkara, dan 'apa yang penulis faham tentang el Quran' pula adalah satu perkara lain. Jika penulis bentangkan 'apa yang penulis faham tentang el Quran', lalu penulis claim 'apa yang penulis faham tentang el Quran' itu sahih, sebab el Quran sahih.

Tak semestinya bila kita rujuk el Quran, cara kita merujuk tu betul. Dan apabila cara merujuk tidak betul, tentu sahaja kefahaman kita tentang el Quran pun boleh jadi tidak betul. Kena bezakan el Quran, dengan tafsir el Quran. Kena bezakan hadith, dengan syarah hadith. Sahih Bukhari himpunan hadith sahih. Syarah-syarahnya seperti Fathu Bari tidak menumpang darjat sahih sesahih Sahih el Bukhari.

Penulis bersetuju sekali, jika kita melihat Eropah di ambang Pencerahan sebagai sejarah 'perjalanan sekumpulan manusia mencari Tuhan'. Di puncaknya memang pencerahan, tentunya dengan segala beban berat pergelutan idea, sehingga terasa kesannya hingga kini, termasuk gerakan counter-Enlightenment atau kini post-modernism.

Newton atau Descartes itu menjelang abad ke-18 Eropah, memang manusia alim yang sarat dengan pergalutan mencari dan membuktikan ketuhanan.

Soalnya, sesuatu itu harus disampaikan dengan jujur, ikhlas dan tawadhu’. Penulis senang dengan sifat-sifat begini berbanding sikap 'arrogance' dengan Iman atas andaian 'kita lebih suci', kerana kita di atas jalan yang benar, sementara orang lain yang berbeza pandangan pula, dianggap kurang benar, separuh benar, palsu atau sesat.

Menyampai Tekstual Ilmuan Untuk Difikir

Sebagai penulis dan blogger, pengalaman mengajar penulis agar banyak bersabar dengan reaksi pembaca serta kritikan. Tidak mudah melatah apabila berdepan dengan provokasi, atas apa sebab sekali pun. Bagi penulis, lebih mudah kita mengaku jahil dan menjelaskan kejahilan kita iaitu bermaksud kenapa kita berfikiran 'begini' atau 'begitu', daripada mempertahankan kelemahan diri kita.

Terserah kepada golongan agamawan, aktivis dakwah, dan mungkin anda para pembaca budiman, untuk menjelaskan sesuatu dengan berhemah, berhikmat. Kadang-kadang anak-anak muda, mungkin juga penulis sendiri, cepat 'melatah' dengan sesuatu isu, topik dan tokoh sehingga lemah daya analisanya. Kena sabar juga! Tetapi, pokoknya, penulis fikir kita harus tenang dan adil, serta berlaku adil, walaupun kepada musuh.

Memang benar, penulis tidak bebankan kelemahan umat semuanya pada ulama', gerakan Islam, usrah dan 'geng' dakwah, dengan kesedaran bahawa faktor hidup di negara kita ini (siapa pun orangnya) akan mudah dikelirukan oleh kejahilan.

Dulu sempatlah juga penulis mempelajari Sejarah dan Falsafah Sains Islam secara tiak formal, maka itulah dasar ilmu penulis dalam persoalan ini. Penulis memang minat epistemologi. Jadi, buku Karl Popper itu, “Knowledge and the Body-Mind Problem: In Defence of Interaction” benar-benar dapat menjelaskan apa yang selama ini gagal dijelaskan dalam sesi-sesi usrah.

Penulis sekarang (secara sambilan sesambil tumpu pada exam) sedang melihat persoalan pemikiran, otak (brain) dan hubungan antara alam abstrak dengan alam tubuh. Misalnya buku 'Consilience: The Unity of Knowledge' karangan Profesor Edward O. Wilson menambahkan lagi keyakinan penulis tentang hal-hal dasar yang kita pelajari tentang Tuhan.

Dengan kata lain, penulis lebih mudah diyakinkan bahawa Tuhan itu wujud daripada hujah sosiologi yang pro-materialist yang menyatakan sebaliknya (Tuhan itu dicipta). Penulis fikir (setakat ini) seseorang yang bersandarkan pada faham materialisme (satu lagi produk pemikiran era Pencerahan), seperti aliran Marxisme kemudiannya, sebetulnya gagal menegakkan hujahnya dengan penemuan-penemuan teori dan perspektif sains hari ini. Penulis fikir dan tadbirkan, setakat yang penulis tahu.

Memang, dalam kajian budaya, media, sastera dan falsafah sejak akhir-akhir ini, manusia sejagat sedang diasak oleh arus relativisme dan skepticisme sehingga menafikan seolah-olah hakikat (essence atau essentialism) segala sesuatu sudah tidak ada lagi! Misalnya perdebatan tentang 'identiti' atau 'jati diri', apakah boleh kita diyakinkan bahawa semuanya itu 'social construct'?

Apakah kita pernah meneliti karya Hairuddin Harun "Weltanschauung Melayu dalam Era Teknologi Informasi: Komputer menjadi Teras atau Punca Tewasnya Pemikiran Tradisional Melayu?” Topik yang sangat mencabar kita untuk memecahkan permasalahan ini.



1 komentar:

Tanpa Nama berkata...

salam. ustaz, satu kupasan yang menarik dan mampu membuat minda ini berfikir "think out of the box". teruskan perjuangan ustaz dalam melontarkan idea-idea yang cukup bernas.sebenarnya, ana ingin mendapatkan penjelasan dari ustaz (jika tidak keberatan dan tidak menimbulkan kerumitan) berkaitan perbahasan dalam bidang metafizika yang membincangkan tentang hakikat kewujudan manusia iaitu sama ada ianya berupa adalah roh ataupun jasad. syukran ya ustaz.

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal