Pertama
Manusia sejak awal kewujudannya di muka bumi lagi sudah mengimani wujudnya tuhan, yang mentadbir alam sejagat ini. Sepanjang perjalanan sejarah, manusia sentiasa mencari siapa tuhan itu. Socrates dalam falsafah di zamannya menyakini bahawa alam ini ada pencipta. Tetapi beliau gagal menemui siapa pencipta yang dimaksudkan.
Justeru jika dibelek lagi lipatan sejarah, kita akan dapati manusia zaman lampau telah melalui proses panjang dalam mencari tuhan dan hakikat ketuhanan. Manusia dalam tamadun awal, telah pun mengamalkan kepercayaan polytheistic atau banyak kepercayaan (tuhan).
Wujud juga kepercayaan selepas itu, yang mengatakan ala mini tercipta secara tiba-tiba dan mengejut. Dalam kata lain, kepercayaan ini menafikan kewujudan tuhan di sebalik penciptaan. Istilah hari ini menklasifikasikan mereka dengan nama etheist.
Sejarah panjang dalam pencarian itu akhirnya menemui jawapan, dengan kedatangan Islam. Islam memperkenalkan manusia sejagat kepada Tuhan yang mereka cari selama berabad-abad tahun lamanya. Islam mengajarkan manusia seantero alam hakikat Tuhan Yang Esa. Dzat tunggal dan Maha Berkuasa hingga tidak memerlukan sesiapa pun untuk mewujudkannya. Maha suci Allah dari segala sifat hamba dan makhluk.
Puaka kegelapan minda manusia yang meraba-raba mencari sesuatu untuk dipegang dan diyakini tanpa ragu telah diterang suluhkan oleh Islam.
Penemuan ini, merupakan kejutan bagi mereka yang mengimani poly tuhan. Ianya juga menjadi kegempaan bagi mereka mengingkari kewujudan tuhan. Lantaran itu, penerimaan mereka terhadap kenyataan baru ini, berbeza dan berbagai-bagai.
Ada yang percaya dan terus menyakininya. Ada yang bertambah sesat dan berpaling dari kebenaran ini. Ada yang masih berpegang pada kepercayaan tinggalan nenek moyang mereka turun temurun.
Kedua
Islam ke Tanah Melayu bukanlah suatu perkara baru dalam pengetahuan kita. SSejarah menceritakan kepada kita bahawa pedagang-pedagang Arab telah sampai ke Kepulauan Melayu, terutamanya di zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Hakikatnya pedagang arab tersebut bukanlah sembarangan manusia atau utusan khas dari langit untuk mengIslamkan Sultan Melaka dan sejumlah besar rakyat ketika itu. Pastilah mereka da’ie ilallah yang diutus oleh Kerajaan Uthmaniah untuk menyebarkan ajaran Tauhid ini ke serata dunia.
Sudah pasti mereka bukan sekadar membiarkan umat yang mereka ajarkan kalimah Tauhid ini hanya sekadar fasih mengucapkan dua kalimah syahadah sahaja. Jika sekadar itu sahaja peranan mereka, masakan berdirinya hukum Islam dalam perlembagaan Melaka. Terengganu, Kelantan, Perak, Acheh, Perlak dan beberapa negeri lain di peta lama Kepulauan Melayu.
Pastilah bukan perkara mudah bagi pemerintah negeri-negeri tersebut, untuk melaksanakan hukum Islam apabila jiwa rakyatnya sedikit tidak memahami dan menghayati falsafah kanun yang mereka wartakan. Ternyata penduduk di kepulauan Tanah Melayu ketika itu sudah benar-benar mengenal Islam hingga rela hati mendaulatkan syariat Islam tanpa berbantah-bantah.
Maka dek kerana megahnya mereka mempertahan dan meninggikan kalimah Allah itulah, Barat dari segenap penjuru berlumba-lumba datang berlabuh ke perairan Melayu ini, berkapal perang. Seisi kapal yang dating dari penjuru dan ceruk yang berbeza-beza, telah mengisytiharkan pendirian yang sama. Mahu mendagangkan rempah ratus dari Timur ke pasaran Barat. Menurut mereka, masyarakat di barat pada masa itu sudah terliur sangat untuk merasa rempah ratus dari Timur. Terpukau pula orang Melayu ketika itu, dipuji keenakan menu Melayu.
Rempah tidak pernah sampai ke Barat, tetapi kristian bertaburan di serata alam melayu. Itulah keuntungan perdagangan antarabangsa lalu. Namun dalam diam-diam juga, mereka telah membawa bersama paderi-paderi kristian, untuk memurtadkan penduduk Melayu ketika itu yang majoriti beragama Islam. Sehinggakan kita telah lihat kesannya, peninggalan sejarah.
Ketiga
Kisah pertama: Seorang anak dilahirkan dari rahim ibu muslimah dan di ‘bin’ kepada ayahnya yang muslim. Menjejak usianya dua dekad, dia mula gusar memikirkan payahnya menjadi muslim, lantaran terpaksa itu, ini dan terhalang begitu, dan begini.
Lalu, dia bertekad mahu meringankan bebanan hidupnya dan memilih untuk hidup bebas dalam agama kristian. Baginya mudah sangat untuk mengenal Tuhan Bapa, Tuhan Anak, Roh Suci sebagai Tuhan Yang Satu. Lagi pula, tuhan Kristian itu sangat memahami. Tidak mengongkong itu dan ini.
Dia rela kehilangan ayah dan ibu, demi tuhan lebih memahaminya.
Kisah kedua: Seorang manusia yang mendabik dada menyatakan Imannya berulang-ulang kali di khalayak ramai. Dia mengajarkan kepada manusia umumya betapa Islam ini sangat fleksibel dan relevan. Islam ini boleh diubah-ubah mengikut peredaran zaman dan kemampuan. Islam ini sangat mudah dan memudahkan serta tidak langsung meyulitkan. Islam ini yang di hati bukan dizahirkan. Kata-katanya didengari dan disegani.
Dia bercerita lagi, Islam hari ini tidak perlu berlebih-lebihan. Jika telebih-lebih, kita bimbang akan dikatakan lebih Islam dari Arab yang merupakan bangsa Nabi. Maka, kita mesti bersikap wasatiah.
Bimbang pula Barat akan mengecam kita, jika kita lihat muslim secara total. Dan kata-katanya juga diiyakan.
Kisah ketiga: Sebagai muslim, kita diajar untuk tidak perlu berlebih-lebihan atau menunjuk-nunjuk. Itu riya’ dan ialah adalah antara syirik yang paling besar. Selagi kita tahu apa yang kita lakukan tidak bersalahan dari undang-undang, maka kita bebas berbuat apa-apa sahaja. Islam mengiktirafkan kebebasan individu.
Tidak perlu kita mempamerkan Islam kita. Kerana ini menyalahi disiplin masyarakat dan ia termasuk dalam perkara syirik yang Allah Taala benci. Bukankan Muslim itu perlu tawadu’?
Penutup
Islam adalah akidah yang sangat padu. Akidah ertinya pegangan atau simpulan. Dek kerana teguhnya ajaran tauhid inilah, maka ia tetap wujud dan survive sekalipun umatnya bermacam-macam corak, bangsa dan etnik.
Sesungguhnya amat benarlah, Islam ini milik Allah. Sedikit pun Islam tidak memerlukan umat seperti kita (jika kita kufur dalam Iman) untuk terus menerangi bumi ini. Islam ini ada pemiliknya. Dan cukuplah Allah sahaja sebagai pemelihara akidah ini.
Soalan yang wajib kita Tanya diri kita. Siapakah kita jika Allah buang kita dari menjadi hamba-Nya? Siapakah kita jika bukan Islam yang menjadi akidah? Adakah Islam akan lenyap dari dunia ini jika kita berdiam sahaja, dan menyepi dari dakwah? Adakah kita akan kembali mulia tanpa Islam sebagai akidah?
Allah Taala berfirman: “(Setelah Nabi Soleh member amaran) Lalu mereka mendustakannya dan menyembelih unta itu, maka Tuhan mereka membinasakan mereka disebabkan dosa mereka, lalu Allah menyama-ratakan mereka (dengan tanah)”as Syams (91:14)
Allah Taala berfirman: “Dan Allah tidak takut terhadap akibat tindakan-Nya itu” as Syams (91:15)
Saidina Umar el Khatab pernah berkata: “Kita adalah (satu) kaum yang Allah muliakan dengan Islam. (Kemudian) Barangsiapa yang mencari kemulian selaian dari yang telah Allah muliakan, maka Allah akan menghinanya”
Antara akidah dan ridah, pemisahnya sangat nyata jika kita mahu berfikir.Renungkan!
0 komentar:
Catat Ulasan