“Abang masa-masa baby dulu, ramai sangat orang yang geram” Ibu memulakan dialog pada suatu petang sambil pekenakan kopi panas dan pisang goreng.
“Geram macam mana tu ibu? Abang banyak buat orang rasa susah ke?” Dahi penulis tiba-tiba berkerut, mencari jawapan dan meneka disebalik kata-kata ibu tadi.
“Bukan. Geram sebab muka abang gebu dan cute. Kalau petang-petang seperti ini, ramailah yang menggatal tangan untuk cubit pipi abang sebab biasanya ibu akan bawa abang jalan-jalan ambil angin luar” Ibu menyusun kata-kata menjelaskan maksud tersembunyi tadi.
“Kalau dulu abang masuk pertandingan bayi comel, agak-agak boleh menang ke?” Penulis berseloroh, sambil tertawa kecil.
Kekadang bila terkenang masa kanak-kanak dan alam remaja penulis. Rasa gembira ada, sedih pun ada. Apatah lagi bila mengenangkan juga diri ini tatkala hidup berjauhan, merantau jauh ke negeri orang. Apa orang tua sedang fikir sekarang? Dulu, hari-hari mesti terdengar hilau tawa, cakap-cakap kosong dan bergurau senda. Kadang-kadang riuh rendah dibuatnya. Biasanya tidak ada subtopik yang khusus dibincangkan, apa sahaja yang terlintas pasti terkeluar dari mulut. Maklumlah bila bercakap tanpa ada had ni, mesti berantai panjang dan berjeler-jeler. Anda juga mesti mempunyai nostalgia masing-masing. Kata ibu, penulis semasa zaman kanak-kanak nakal juga, biasalah nakal budak-budak katakan, semua orang macam tu.
Pernah suatu ketika ibu ceritakan, penulis dulu sebenarnya sebahagian sisa hidup kanak-kanak dibesarkan oleh arwah datuk di kampung kelahiran ibu. Berpagi-pagian lagi, penduduk kampung akan keluar mencari rezeki dan bekerja. Kebanyakan mereka mendapat hasil untuk menyara keluarga bergantung sepenuhnya pada pertanian. Kampung arwah datuk terletak di Daerah Bachok yang kaya dengan sumber pertanian tembakau. Daerah Bachok memang terkenal dengan pengeluaran tembakau yang paling besar di Kelantan, bahkan di Malaysia.
Bermandi peluh dan berkeringat setiap hari demi sesuap nasi sudah menjadi lumrah. Sebuah pengorbanan daripada seorang ayah dan ibu tanpa syarat. Hasil pendapatan inilah mereka membeli pakaian anak-anak, kelengkapan barang-barang dapur, baiki rumah yang sudah usang, belanja anak-anak di sekolah dan sebagainya. Tapi anak-anak sekarang, banyak habiskan duit ibu bapa dengan mudah tanpa cuba untuk bersusah payah memikirkan keadaan mereka. Bukan orang lain, ibu bapa sendiri.
Cari Kerja untuk Sibuk
Penulis masih ingat lagi, walaupun tidak semua. Tanah-tanah yang digondol oleh pembajak kerbau. Pernah penulis merasai kehebatan bagaikan sang pewira, berada di atas belakang kerbau, sesambil arwah datuk mengarah dan menghalakan kerbau berada pada posisi betul. Rasa macam anak raja pula. Tanah-tanah yang agak keras, biasanya akan dipecah-pecahkan dengan menggunakan jentera, sebelum dibuat batas.
Dulu mana ada ada jentera atau jentolak secanggih seperti dilihat hari ini. Kalau adapun, hanya orang-orang tertentu sahaja yang mampu memiliki atau mengupah orang. Dulu hidup kami susah, tapi tidaklah sampai menyusahkan jiran tetangga. Jadi kami hanya berkawan baik dengan kerbau untuk buat semua kerja-kerja membajak ini. Senangkan? Tak payah keluar duit, just beri makan rumput.
Menikmati kedamain dan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa, sungguh indah sekali dan mengasyikan. Anda sesekali berada di bandar tu dan tidak pernah merasai hidup di desa, ayuhlah berkunjung ke rumah-rumah teman anda. Pasti anda akan merasai perubahan drastic dari sudut cara hidup, suasana yang jauh dari hiruk-pikuk orang ramai, dan belajar mengenali ‘susah’, yang mana akan meninggalkan kenangan paling indah dalam diari hidup anda. Bukan omong-omong kosong, tapi suatu hakikat yang telah pun dibuktikan. Kerana hidup mereka sentiasa sibuk. Rasailah sendiri!
Carilah masa untuk sibukkan diri anda dengan pekerjaan. Jangan mengadap skrin sahaja. Tidak ada pengisian yang baik. Orang yang sibuk, walaupun penat mereka tetap bersyukur kerana dengan kesibukan yang diberikan itu, akan memudarkan rasa keinginan untuk melakukan maksiat. Walaupun anda tidak ada kerja mahu dibuat, sibukkan diri anda dengan kerja-kerja harian, yang mudah.
Jika anda seorang yang terlau sibuk dengan kerja, sesekali apa salahnya mengucapkan syukur di atas kesibukan itu, bukannya mengeluh. Di samping itu juga kena bijak. Kenapa penulis kata begitu? Kalau nak tunggu lama mengaji dan solat di atas sejadah, memang tak jumpa masa. Lebih-lebih lagi bila sudah berkeluarga, terutamanya beranak kecil. Lain lah kalau dah pencen nanti, setiap waktu boleh berjemaah di masjid dan surau. Bukan nak perlekeh atau tidak menggalakan anda berbuat sedemikian ketika usia muda begini, cuma ingin cetus fikir sahaja supaya pengisian mesti ada, sebab ianya juga merupakan ibadat di sisi Allah Taala.
Maka dengan itu, kita kena jadikan setiap amalan dari semudah hanya untuk memasuki tandas sebagai ibadat. Penting ikhlas. Contohnya memasak, walaupun selepas balik kerja kita penat, kita masih lagi mampu masak walaupun yang simple untuk suami dan anak-anak. Tidak berkira dengan suami atau pasangan untuk menguruskan anak-anak dan keluarga juga penting. Penulis rasa not just kaum bapa sahaja yang patut di offer bantuan, kaum ibu pun tak cukup tangan juga. Kerana kita yakin akan setiap amalan itu akan ada ganjarannya. Terima kasih kepada Allah Taala , kerana memberikan diri kita sebuah kehidupan yang padat, agar jangan lompong kosong muncul di hari Sibuk di Sana, sebagai dosa mengundang binasa. Semoga berbahagia di dunia dan akhirat kerana menterjemah erti hidup yang sebenar.
Cetuskan Perubahan Dengan Bijak
Kita perlu pada perubahan atau melalui istilah moden, perlu pada anjakan paradigma. Anda tidak boleh terus dibelenggu dengan cara pemikiran kolot dan terkebelakang. Masa alam remaja seperti inilah kita perlu mencorak indah sebuah kehidupan beradasarkan pengalaman lampau.
Paradigma lama dilihat sebagai dogma yang tidak boleh atau tidak perlu dipatuhi. Ramai akan mempertahankannya kerana berdasarkan hujah pengalaman keberkesanannya satu ketika dahulu. Inilah yang perlu dihadapi dalam penghasilan dan penerokaan paradigma baru. Kritikan, cemuhan, idea gila, tak praktikal dan realistik merupakan cemuhan biasa yang perlu di pekak tulikan telinga.
"Semangat yang tinggi selalunya menghadapi tentangan yang hebat daripada minda lemah"
inilah ungkapan yang pernah dilafazkan oleh Albert Einstein dalam menggambarkan tentangan-tentangan yang akan wujud. Hanya apabila teori mereka berjaya barulah golongan yang setia dengan paradigma lama ini akan berubah.
Sebarang usaha tidak akan terhasil kecuali dengan idea. Sudah tentunya paradigma baru yang teranjakan akan menghasilkan sesuatu yang baru. Bagaimana mungkin tentera Islam dapat menawan Konstantinopel sekiranya Sultan Muhammad el Fatih tidak terfikir paradigma baru, iaitu menggerakkan kapal di atas darat menggunakan kayu dan minyak. Seterusnya ditarik dengan tenaga manusia. Taktik ini belum pernah digunakan dan tidak terlintas pada fikiran musuh bahawa benteng mereka akan bocor dengan cara ini. Pepatah Jepun ada berkata;
"Janganlah kita hanya mengikut denai yang sedia ada, sebaliknya pergilah ke tempat yang belum ada denai dan tinggalkanlah jejak kita"
Paradigma baru hanya akan terhasil bila kita mampu membebaskan diri daripada penjara paradigma lama. Berfikiran secara lebih kreatif, kritis dan lateral amat penting untuk mendapatkan sudut pandangan yang berbeza. Mulakan dengan idea yang gila-gila, kerana idea ini akan 'menyergah otak' kita yang selama ini tidur. Minda perlu diaktifkan. Senaman minda akan membangkitkan otak untuk berfikir. Jangan mandulkan otak anda. Bangkitkan nafsu minda daripada kelesuan. Kerana orang yang berkata 'saya malas berfikir', menunjukkan bahawa dia memiliki nafsu berfikir yang rendah.
Sebagai perbandingan paling mudah seperti perubahan suatu sikap. Pernah penulis diceritakan oleh seorang teman selepas usai solat zohor di masjid el Azhar. Bagaimana kehidupan beliau yang terpaksa berperang untuk membesar dalam mendapat sebuah kasih sayang seorang ibu dan ayah. Kalau sewaktu kecil dahulu beliau diberi pilihan tinggal di nursery atau di rumah dengan ibu, beliau memilih tinggal bersama ibu angkat di nursery.
Akibatnya beliau tidak mengenali ibu seperti pasangan kekasih, begitu juga ibunya yang tidak tidak mengetahui dan ambil kisah tentang halnya. sekarang beliau terasa amat janggal berkomunikasi dengan ibunya walaupun sedaya upaya mencuba kerana alasannya, jarang bersama ibu sewaktu kecil mahupun dewasa kerana ibu terlalu sibuk dengan pekerjaan. Dia merasakan bahawa ibunya lebih mengutamakan pekerjaan daripada memberi perhatian dan kasih sayang kepada seorang anak. Beliau cuma mengharapkan dakapan seorang ibu bila diri terasa takut. Berada disisi dengan bangganya bila berjaya, dapat meminjamkan bahunya bila rasa bersedih hati. adakah itu beliau dianggap mengharapkan sesuatu yang luar biasa? Jentik hati Tanya Iman! Anda mampu beranjakan kearah sesuatu yang mendatangkan kebaikan, dan kembali pada fitrah.
Kehidupan berkeluarga sepatutnya disyukuri, bukan mencari benci. Alangkah bahagianya orang yang mempunyai kelurga dan mencapai kebahagian, merintis jalan sunnah yang pernah ditinggalkan oleh baginda saw. Ianya pasti bermula dari dasar lagi, iaitu keutuhan hati. Hati perlu dijaga agar terus hidup bukan mati. Memutusnya kasih dan sayang antara ahli keluarga adalah haram hukumnya selepas Allah Taala memberi kepercayaan, lahirnya zuriat membawa pada kasih sayang dan rahmat (nikmat) di sisi-Nya.
Allah Taala berfirman; “Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu dari isteri-isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu, dan memberimu rezeki dari yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang bathil dan mengingkari nikmat Allah?” an Nahl (16:72)
Mengenal pasti pesakit yang akan diubati (history of the patient), panas atau sejuk? Lemah atau kuat? Tua atau muda? Orang awam atau golongan berpendidikan? Jika dalam hal penyakit badan kita begitu khuatir dan terus berjumpa doktor, begitulah juga halnya dengan ‘el Qalb’ atau hati kita. Sesungguhnya penyakit hati dan perilaku lebih penting untuk kita beri perhatian. Kerana jika kita gagal dalam usaha mengubati penyakit badan, akibat yang paling berat dan besar hanyalah mati dan seterusnya selesai urusan. Sedangkan penyakit batiniah (hati) jika kita tidak berjaya mengubatinya, ia akan merosakkan kita secara terus menerus, dan ia akan menular pula kepada orang lain, serta membawa kepada kesengsaraan yang tiada belah kasihan di akhirat.
2 komentar:
salam....
Soal HATI susah hendak dimengerti, mudah berubah tanpa disedari..........
ahlan bonda, kadang-kadang kita terlepas pandang. Kita sering berdakwah dan mengajak orang lain mengenali konsep Iman, tapi lupa untuk berdakwah pada hati sendiri supaya lebih kenal Iman.
~Muhasabah Iman~
Catat Ulasan