PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Ahad, Mac 22

Layar Ilmu Pada Nakhoda

Jemaah selepas usai solat Jumaat


Kembara hidup seorang mujahid Islam semalam telah pun melabuhkan tirainya. Kenangan semalam dan hari-hari sebelumnya telah meninggalkan kenangan bercampur baur, pahit mahupun duka yang pasti menjadi sandaran untuk sebuah kehidupan yang lebih baik pada hari-hari yang mendatang. Kalau dulu, ketika masih kebudak-budakan, penulis menjadi seorang yang penuh prihatin dalam memerhatikan sebuah gelagat yang dicoretkan oleh manusia. Ada yang berjaya dengan kehidupan mereka, ada pula yang kecundang. Ada yang merasakan hidup ini penuh bermakna, ada pula yang menyangka sial selalu bertandang durja. Sudah cukup untuk itu. Hari ini, penulis cuba untuk belajar dan berdikari pula, biar kita pula yang meninggalkan kesan kepada jenerasi baru.

Kebanyakan orang arab di sekitar rumah penulis, merupakan golongan pertengahan dan bawahan, tidak kaya dan tidak pula terlalu miskin. Kalau makan dalam sehari tu memang ada walaupun tak mewah, tidak akan ada mereka yang kebulur. Mereka bijak mencari peluang dalam mengurangkan sindrom meminta-minta daripada orang lain, bahkan ada juga budaya baik yang ditonjolkan seperti memberi tanpa mempedulikan latar belakang dari siapa dia dapat. Kata orang lama-lama ‘berbuat baik berpada-pada, buat jahat jangan sesekali’. Kalau diingatkan kembali, semasa keberadaan penulis di rumah ibu saudara kat Puchong, lain pula cerita; ‘berbuat baik berpada-pada, tapi jahat jangan sekali’. Kes samun, ragut dan sebagainya sudah menjadi lumrah dan mendarah daging dalam diri penduduk setempat, terutama golongan remaja. Pening kepala emak dan ayah fikirkan, dan pening lagi orang ramai.

Pada hari khamis lagi penulis telah merancang untuk menunaikan solat Fardhu Jumaat di Masjid el Azhar. Bagi penulis mudah, niat sahaja nak ke mana, pasti kaki ikut jua melangkah. Penulis telah siap awal-awal lagi untuk sebuah perjalanan yang dirancang. Hari ni pakai jubah yang dikirim oleh ibu sebelum Raya Ei’duladha tempoh hari. Kena segak dan kemas, maklumlah seminggu sekali, bahkan disunatkan pada hari Jumaat, mudah-mudahan dengan niat yang ikhlas dapat pahala sunat. Macam biasa penulis hanya menderai ‘bas tunjang’ (jalan kaki-istilah orang Kelantan), yang mengambil masa dalam sekitar lima belas minit untuk sampai. Boleh aje naik bas, tapi kata orang nak merasai hiruk-pikuk orang ramai dijalanan, macam-macam karenah yang ditonjolkan apatah lagi bermula dari rumah penulis, hinggalah ke Darrasah mesti tidak lekang melalui jalan-jalan yang dipenuhi orang ramai yang sedang melariskan jualan masing-masing.

Melalui pusat pelancongan el Khalili, tidak banyak berubah seperti hari-hari yang sudah. Pelancong dari luar berpusu-pusu datang, memenuhi ruang legar taman yang dibina ditengah-tengah antara Masjid Saidina Hussain dan Masjid el Azhar. Hawa panas kian terasa. Kedai-kedai minuman ringan dan air jus buah-buahan segar mula menampakkan kelibat. Jualan sebegini di musim panas, amat indah sekali. Di mana-mana sahaja, hatta sambil berjalan pasti ada yang tidak mahu ketinggalan menjual minuman-minuman sejuk ini. Sangat menguntungkan.

Sebaik sahaja kaki penulis melewati pintu utama masjid, penulis mencari posisi yang sesuai dan paling hampir dengan mimbar, agar jelas dengar dan lihat. Dua anggota pancaindera ini, amat penting dalam menghasilkan kefahaman terhadap sesuatu perkara yang disampaikan. Pencerah ilmu dari pancaindera. Jangan pula bila Tuan Imam atau Khatib memulakan pidato, kita pula mula la mengangguk, buat-buat faham. Ilmu itu amat luas, dan diperolehi melalui pelbagai cara. Ilmu atau pengetahuan sangat penting dalam kehidupan. Bermula dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara, mesti dikaitkan dengan ilmu. Kena ambil perhatian khusus, jika ingin mendapat pengetahuan yang mantap seperti menghadiri kelas, kuliah harian, dialog, khutbah dan sebagainya secara formal.

Ilmu Pencerah dan Senergi Minda

Allah Taala berfirman; “Wahai sekalian jin dan manusia!Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami),maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami)”ar Rahman (55:33)

Allah Taala mengisyaratkan secara jelas kepada kita melalui lafaz ‘sultan’ di dalam ayat di atas dalam memberi erti ‘kekuasaan’, bahawa penguasaan ilmu adalah aset yang paling bernilai dan utama bagi menguasai sesuatu bidang kehidupan di dunia ini. Secara tidak langsung, ia juga mengisyaratkan akan ilmu pengetahuan adalah faktor yang terkuat dalam menjadi perisai paling ampuh dalam diri manusia.

Islam menggalakkan umatnya supaya mempelajari dan menuntut ilmu pengetahuan dalam pelbagai lapangan dan bidang kerana ilmu memainkan peranan yang cukup penting dalam menentukan nilai sesuatu tamadun. Jatuh bangun sesebuah tamadun bergantung kuat pada dahan kebijaksanaan pengasas dan pengikutnya dalam menentukan hala tuju seni bina tamadun tersebut.

Nabi pernah bersabda; “Menuntut ilmu itu menjadi kewajipan kepada setiap orang Islam” (Hadith riwayat Muslim)

Selain itu Islam telah menggariskan ilmu sebagai neraca timbang dan batu ukur bagi menentukan jalan yang harus dipilih untuk menuju kebahagian di dunia dan di akhirat. Kecemerlangan ilmu juga memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan nilai-nilai keperibadian seseorang individu yang mana akhirnya mengangkat taraf kehidupan masyarakat dan menjulang nama sesuatu bangsa, negara dan umat Islam secara umumnya.

Perlu diingat bahawa keagungan ilmu mengikut pandangan Islam dalam terokaan sejarah kebangkitan tamadun Islam semenjak zaman baginda saw dipandu oleh el Quran dan Sunah baginda Nabi saw bagi mencapai suatu tahap keilmuan cemerlang, dan terbilang bagi meneruskan kesinambungan dan tuntutan agama sepertimana yang disarankan supaya mempunyai sifat ikhlas, terbuka dalam menimba ilmu, dan bersedia berkongsi ilmu dalam memberi pandangan serta bersedia berlapang dada menerima pandangan orang lain.

Jika kita ingin mengembalikan sejarah keagungan umat Islam dalam sejarah zaman lampau, maka kita pada hari ini perlulah menguasai kepelbagaian ilmu. Ilmu-ilmu agama menjadi penyuluh hati, manakala ilmu-ilmu moden pula menjadi cahaya yang lahir dari ketakwaan hati yang disuluh dan pencerah minda yang berjaya mencanang segala bentuk strategi dalam menghadapi musuh-musuh agama.

Empayar Islam di Andalusia yang diterokai oleh Khalifah Abdul Rahman ad Dakhili yang mula merangkap masuk ke bumi Andalusia pada tahun 755M adalah sebaik-baik contoh kebangkitan tamadun Islam dan ketinggian pusat kajian ilmu-ilmu Islam dalam pelbagai bidang. Pada zaman ini menjadi bukti hasil kebangkitan tamadun Islam yang gemilang itu, apabila telah berjaya melahirkan ramai sainstis dan pakar-pakar dalam penyelidikan, serta penemuan-penemuan di dalam pelbagai bidang bertaraf kelas pertama lagi berprestij seperti perubatan, botani, geografi, fizik, kimia, pembedahan, ahli matematik dan sebagainya.

Sebagai contoh, el Khawarizmi (770-840M) seorang tokoh ahli kaji bintang (astronomi) yang paling terkenal di dunia Islam ketika zaman kegemilangan beliau. Kemampuan tahap penguasaan ilmunya adalah tinggi dan berjaya meninggalkan karya-karya teragung dalam ilmu falak dan manusia pertama yang berjaya menentukan ukuran dan bentuk bulatan (sfera) bumi.

Ketemadunan yang telah terbina di bumi Andalus tersebut meninggalkan kesan teramat hebat, unik dan teliti susunannya. Ini semua dapat dilihat kebenarannya apabila kita meninjau jauh pada kesan-kesan tapak peninggalan sejarah yang terdapat pada hampir semua bangunan-bangunan lama yang masih kukuh berdiri seperti Istana el Hamra di Cardova. Lambang seni bina dan seni ukir yang halus pada zaman itu yang masih lagi utuh dan jelas serta membuktikan, pernah berlangsungnya suatu tamadun yang cukup hebat dan amat dihormati. Ini menunjukkan bahawa Islam tidak melarang umatnya menguasai ilmu moden khususnya ilmu sains dan teknologi.

Perlu Pada Perubahan dan Anjakan Paradigma

Di tanah air, masih ada insan yang prihatin terhadap maslahat isu masyarakat yang kian meruncing, tetapi tidak ramai pula orang yang sanggup memerah keringat untuk membina generasi yang sedikit sebanyak berusaha berjiwa seakan-akan generasi di zaman para sahabat. Mungkin ramai yang ‘syok’ sendiri berkata-kata untuk buat ‘macam ni dan macam tu’ demi anak bangsa dan Islam, namun praktikalnya tidak jelas. Semoga kita semua dapat mencerna buah fikir tentang masalah umat ini, dan tidak termasuk di antara buih-buih di lautan seperti mana yang disabdakan Rasulullah saw. Jadilah kita golongan yang disebut oleh Allah Taala.

Allah Taala berfirman; “Tidaklah sama antara mukmin yang duduk (yang tidak berperang) yang tidak mempunyai uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang duduk (orang-orang tidak berperang kerana uzur) satu darjat. Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (syurga) dan Allah melebihkan orang-orang berjihad di atas orang-orang yang duduk dengan pahala besar” an Nisa’ (4:95)

Mungkin dasar yang sedia ada perlu dirawat lagi. Sistem pendidikan di Malaysia, khususnya untuk sesi sekolah rendah dan menengah menjurus kepada teknik spoon feed. Menuntut ilmu untuk lulus di lapangan peperiksaan dan mendapat semua ‘A’ dalam matapelajaran yang diambil. Itu salah satu maltlamat pendidikan pada hari ini walaupun tidak tertera dalam pelan pendidikan, tetapi wujud dalam diri pelajar sekarang. Maka timbul masalah pelajar yang lebih mendokong kuantiti bukan kualiti. Bahkan guru-guru, tidak banyak risolusi dibuat asalkan dapat gaji, bonus, dan tanggunjawab lepas.

Jika dibuat perbandingan sihat. Terdapat beberapa buah sekolah menengah di Indonesia telah menerapkan sebuah sistem bahawa setiap pelajarnya haruslah memiliki sifat-sifat pendidik yang diterapkan melalui proses mengajar dalam kata lain, setiap pelajar sebelum lulus dan membawa segulung ijazah dari sekolah tersebut haruslah lulus dalam praktekum mengajar. Bahkan sekolah juga menetapkan syarat pengambilan sijil adalah dengan mengajar selama setahun. Praktekum mengajar itu di jalankan setelah pembelajaran mengenai ilmu-ilmu asas dalam pendidikan yang disertai dengan latihan. Praktikal itu di jalankan di dalam kelas dengan ditonton oleh dua orang supervisor dan hampir sepuluh orang teman-teman sekelas yang akan mencari kesalahan si pengajar tersebut sama ada dari segi methode, ucapan, sopan santun dan sebagainya. Mungkin boleh diterapkan di dalam sistem pembelajaran negara.

Kalau kita meracun rumput agar tidak naik menjadi lalang dan semak samun, maka meracun pemikiran yang salah dan songsang dan sukar menerima perbezaan adalah satu hal yang dipuji dan perlu diperluaskan. Kalau nak meracun, gunakanlah racun grad ‘A’ agar mudah ia mati. Makna para da’ie perlu dilengkapkan dengan segala macam ilmu, bagi memberi penjelasan secara berhikmah agar para madue’ bisa menerima dan terkesan di hati mereka.

Terus terang mungkin penulis sedikit emosi tentang kehadiran kaum adam di majlis-majlis ilmu. Memang kebanyakan di mana-mana mereka kurang berminat. Agaknya dah teror benar. Tika di Malaysia dulu penulis lihat di surau-surau misalnya, macam-macam kelas ada seperti kelas tajwid, tafsir, hadis, dan lain-lain. Berapa kerat orang lelaki yang datang, sedangkan mereka tu pemimpin pada keluarga mereka. Kalau macam tu, bagaimana mereka nak tahu tentang tanggunjawab, kelebihan dan merasai kenikmatan menuntut ilmu, solat berjemaah, dan sebagainya kalau ustaz-ustaz beri kuliah mereka tak datang. Akhirnya, ustaz yang bersemangat datang mengajar pula, ‘bad mood’.

Ada pula dalam satu kes, misalnya si isteri rajin datang menuntut ilmu . Hamdalah, suami walau tidak datang tetapi tidak menghalang. Bila isteri sudah bertambahlah ilmu, mestilah ingin menyampaikan sesuatu yang dipelajari dan diketahui kepada suami. Tapi lain pula jadinya, suami dah bagi warning awal-awal;

“Kau nak belajar boleh, tapi jangan nak ajar aku pula”.

Terkedulah si isteri tu, sebab dia teringin sangat suami yang dicintainya memperbaiki solatnya, faham cara-cara macam mana keadaannya bila masbuk, solat qasar dan jama’, bab solat-solat sunat dan sebagainya. Tu baru bab Ibadat solat, tak masuk lagi bab muamalat, munakahat, jinayat dan sebagainya. Ada pula yang suami menghalang isteri belajar, itu lagilah teruk. Dia pegang pada prinsip isteri mesti patuh perintah suami. Maka hasilnya, seluruh keluarga jahil. Bapa tak tahu solat, isteri tak tegur suami, anak-anak dibiarkan bergelumang dalam kedayusan kedua-dua ibu bapa mereka. Itu yang berlaku kes-kes jenayah salah laku remaja, ragut, buli, rogol, bersekedudukan lelaki dan perempuan, minum arak, dan sebagainya. Apakah jadahnya semua ini?

Dari apa yang penulis nampak dan sedikit survey. Kebanyakan, khusunya orang-orang tua, malu nak belajar sebab tak pandai, dah berumur. Katanya bagi chance kat budak-budak. Banyak pula alasan. Tidak pandailah sepatutnya belajar. Kita semua asalnya jahil, tu yang perlu selalu belajar sampai mati, buka nak kata kat sesiapa hatta diri penulis sendiri dan anda para pembaca budiman kena ambil ‘cakna’ (peduli). Cukuplah setakat ni, nanti ter’emosi’ lebih-lebih bahaya.

Yang penting akarnya mesti kuat, barulah pokok pun jadi kuat. Yang penting pemimpin atasan itu, benar-benar mempunyai ciri-ciri dikehendaki islam, insha-Allah anak-anak didik yang berada di bawah tu walaupun tidak sempurna sepenuhnya pun, kita tahu ketuanya dah ajar yang terbaik. Macam juga agama Islam. Allah Taala dan Nabi tidak ajar benda-benda tidak elok, tapi ada juga orang buat. Salahnya siapa? Bukan salah ajaran Islam, tapi orangnya yang sendiri salah, tidak mahu dengar.

Memang menakutkan apabila remaja Kelantan pun tak dinafikan ada yang teruk, namun selagimana hanya kerajaan negeri yang mentadbir secara Islam, dengan perkembangan anasir -anasir luar yang masuk, memang agak sukar juga menghapuskan terus gejala-gejala sosial yang tidak sihat ini melainkan peringkat ‘pusat’ juga bertukar. Bukannya mendirikan banyak ‘pusat-pusat’ serenti dan pemulihan akhlak.

Umat Islam perlulah bergerak dalam satu garis panduan yang terancang dan bukan mengikut arus gelombang sentimen dan emosi, dengan meletakkan cernaan akal yang sihat dalam berfikir dihadapan sebelum melakukan sebarang tindakan agar apa-apa sahaja yang dilakukan tidak terbabas lantas merosakkan langkah-langkah perancangan yang seterusnya. Ingatlah kita adalah pencetus pada satu reformasi bersepadu dalam melahirkan generasi celik dan berfikiran matang di dalam menongkah arus perdana yang kian mencabar. Maka di sana, penguasaan ilmu yang mantap dan mengamalkannya dalam kehidupan adalah senjata paling ampuh untuk menangkis pancaroba yang datang menyerang bila-bila masa dan tempat.

ameen.



2 komentar:

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum..
Good Entry!!keep on blogging

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum..
Good entry!!Keep on bloging...

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal