Keinginan mencari damai dari segala pergolakan dalam diri menjadi idaman, walaupun bukan yang utama tapi masih di antara pertama. Jauh dari sifat marah dan dimarah, benci dan dibenci, menyindir dan disindir, dan segala hal seumpamanya yang membawa konflik tiada penghujung. Mungkin reda seketika, belum tentu kesudahan yang pasti. Hati cepat-cepat membenarkan kemahuan itu, tapi mulut pula berpaling tadah. Manusia ni selalu sahaja nak ambil jalan mudah bila buat sesuatu. Nafsu selalu memujuk untuk membenar apa yang kita nak, dan mencari alasan untuk menyokong.
Jawapan penulis pada perkara ini, adalah kebergantungan sikap individualistik. Tidak memikirkan keperluan orang lain. Kurang sensitif dan peka. Salah satunya sebab yang terbesar, mungkin pengaruh teknologi, komputer, games, televisyen di antara penyumbang. Kesannya kita tidak lagi sensitif sesama manusia, dan tidak peka keadaan orang lain. Katanya mudah;
“Jangan jaga tepi kain orang”
Kurang percaya? Cuba bertanya soalan kepada diri, saudara, atau anak-anak anda ketika leka main PS2 atau komputer. Penulis yakin kalau tidak diulang-ulang soalan, anda tiada dalam alamnya. Dan dia juga tidak menyedari hari di luar hujan atau panas, ini termasuk golongan dewasa menggunakan komputer. Kadang-kadang tidak perasan sudah berapa lama dia mengadap TV PS2 atau komputernya.
Bagaimana hendak mengenali alam manusia dan kehidupan asli bila sebahagian besar usianya berkomunikasi dengan alam khayalan. Apa lagi simpati dengan manusia lain? Apa pula kaitan dengan pelajar yang mengendalikan program yang datang diluar batas waktu? Perlu juga sesekali disergah, agar tidak lalai.
Barangkali pemikiran mereka ini mungkin terbius dengan pelbagai racun yang membunuh dalam senyap. Persepsi atau pandangan mereka masih lagi mahu diletakkan di depan. Apa-apa sahaja perkara yang boleh memberi sokongan kepada persepsi mereka itulah yang terlebih dahulu dinampak dan diambil peduli. Perkara-perkara yang bersalahan dengan persepsi mereka, dibaca dan didengar sepintas lalu. Tidak difikir secara mendalam. Mungkin itulah yang menyebabkan fenomena ‘bagitau lain, faham lain’.
Membius Minda Intelek
Selain nafsu ammarah dan sifat terkeji ini sering diperkatakan dan dirisaukan, kita lupa sebenarnya musuh terbesar manusia adalah dirinya sendiri. Manusia sering terpenjara dengan paradigma lama, kekadang sonsang, dan tidak mahu berfikir secara kolektif. Seperti kita melihat jalan di hadapan pada waktu siang hari, cuaca yang panas membias menyebabkan kita kelihatan seolah-olah ada sumur di hadapan, bila sahaja kita mendekatinya memang nyata tidak ada air seperti yang dianalisa tadi. Demikian juga manusia, secara tidak sengaja akan menafsir, merumuskan apa yang dilihat, didengar, dan dibaca.
Penulis masih teringat pesanan seorang ustaz secara langsung selepas usai ceramah. Katanya; ‘Manusia sekarang semakin bersifat tekstual dalam menghukum’. Kalau ‘A’ hukumnya, maka ‘A’ lah hukum di mulutnya. Penulis tertarik dengan kata-katanya itu, memperkenalkan cara fikir yang betul di dalam era manusia sudah tidak allergy pada neraka…
Matan Mufti Perlis ada berkata;
“Kita tidak menghukum tapi menyatakan kaedah”..
Hukuman yang cukup cantik apabila terbalut rapi pemikiran yang betul ke arah pelaksanaan hukum. Bagi penulis, banyak manusia menerima Islam secara sekerat-sekerat. Apa yang menguntungkan, disokong seratus peratus. Apa yang tiada pulangan atau menyusahkan, ditinggalkan terus atau dirungut.
Alangkah cantik dan molek, kalau Islam itu diterima sebagai gaya hidup. Syumul di mulut, syumul di hati, dan syumul pada perbuatan. Kita sebagai pendokong sebuah kehidupan syumul, dan baik. Teruskan membuka mata mereka, teruskan membuka mata yang ada dalam hati mereka agar mereka tahu, agar mereka sedar inilah perkara besar. Perkara pokok yang menyebabkan muda-mudi kini hanyut dibuai perasaan cap bunga-bunga cinta, melorong hawa nafsu bukan pada haknya, memeras ugut dan sebagainya. Inilah perkara pokok yang menyebabkan muda-mudi leka dan lalai dengan nikmat yang Maha Kuasa kurniakan. Inilah perkara utama yang perlu diperhatikan oleh mata-mata yang berjuang pada agama-Nya, dalam melahirkan syabab yang beriman, bertakwa dan berkualiti.
Inilah jalan dakwah yang penuh dengan mehnah dan tribulasi, yang perlu pada seberkas ‘sabar’. Sabar mencabar gelombang nafsu manusia. Carilah dasar, dan perkara pokok yang perlu dirawat, agar mudah benih keimanan ditanam terus, manakala lalang-lalang yang menghalang perjalanan sebuah layar ‘keinsafan’ dapat diracunkan. Nyah dari pandangan mata hati. Ubahlah cara berfikir, biar kemantangannya mengjangkau usia hidup kita. Walaupu usia baru 20-an, tapi cara berfikir, memutuskan sesuatu dan bertindak seperti mereka yang telah berusia 20 tahun lagi lebih tua.
Kita mungkin sudah kurang ilmu hikmah tetapi lemah dalam membuat penilaian terhadap baik dan buruk sesuatu perkara. Penulis amat risau dengan generasi masakini apabila mereka memandang sesuatu isu terutamanya isu agama, cinta dan sebaginya mengikut acuan yang salah. Hendak mengajar mereka berfikir luar kotak dan rasional berlandaskan ilmu duniawi dan ukhrawi juga amat menyesakkan minda. Satu cabaran sebagai pendidik dan pendakwah barangkali untuk mengubah mindset mereka. Sahutlah cabaran ini.
Pada hemat penulis, kebanyakan perkara-perkara menyeleweng yang berlaku sekarang ni adalah sebab kebanyakan orang kurang cuba untuk mempraktikkan agama dalam kehidupan mereka, baik yang terlibat secara khusus dengan dakwah dan jugak yang tidak. Kebanyakan orang lebih suka bercakap dan kurang aplikasi. Kesannya, ilmu yang ada tidak berguna lantas tidak mencerminkan tahap ilmu seseorang itu. Sebagai contoh, para pelajar universiti di luar negara, bukanlah mereka tidak tahu yang aktiviti seperti berjoget dan menari oleh perempuan di pentas itu tidak dibenarkan, tapi kerana mereka cuba sedaya upaya untuk menghalalkan apa yang haram, lalu berlakulah aktiviti yang tidak sihat itu. Ilmu hanya sekadar pengetahuan, tidak lebih dari itu Cukup menyedihkan. Apakah tidak cukup lagi untuk kita sejauh-jauhnya meninggalkan perkara-perkara syubhah ini? Tanyalah diri sendiri, dan jawablah sejujunya.
Mencari Denai Pulang Ke Gagang
Semua orang berkeinginan berjaya dalam setiap bidang diceburi. Cuma bentuk kejayaan itu saja berbeza. Kejayaan seorang peniaga ialah memiliki perniagaan maju, kejayaan seorang petani ialah mendapat hasil tuaian banyak dan berkualiti, kejayaan pemimpin dapat membawa orang yang dipimpin mencapai kejayaan.
Dalam mengejar kejayaan perlu mempunyai sifat positif dalam diri seperti rajin berusaha, berdisiplin, kuat semangat, sentiasa beribadat, berdoa, berusaha, dan mempunyai sikap inginkan kejayaan cemerlang yang menebal.
Taqarrub bermaksud mendekatkan diri kepada Allah Taala dengan sentiasa berbakti dan beramal soleh tanpa rasa ada malas. Allah Taala amat menyayangi dan memuliakan orang sentiasa bertaqarrub kepada-Nya.
Nabi saw bersabda di dalam hadith Qudsi: “Sesungguhnya Allah berfirman: Sesiapa yang memusuhi wali-Ku (orang yang setia kepada-Ku), maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Tiada seorang pun daripada hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu lebih Aku cintai daripada ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Di samping itu, hendaklah sentiasa bertaqarrub kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga aku mencintainya. Apabila Aku sudah mencintainya, nescaya jadilah Aku (seolah-olah) sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya; sebagai penglihatan yang ia melihat dengannya; sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Seandainya ia memohon (sesuatu) daripada-Ku pasti akan Aku terima; dan seandainya (pula) ia memohon perlindungan daripada-Ku pasti Aku akan melindunginya.” (Hadith riwayat Bukhari)
Hadith ini menjelaskan pentingnya hubungan antara makhluk dengan Penciptanya. Makhluk itu adalah hamba kepada Penciptanya, manakala Pencipta pula adalah tuan kepada makhluk. Sebagai hamba, ia sepatutnya patuh dan taat kepada perintah tuannya iaitu Allah Taala. Jika si hamba itu patut dan taat setia, nescaya Allah Taala akan menyayangi dan memuliakannya.
Jelaslah Allah Taala amat mencintai setiap hamba-Nya yang sentiasa patuh dan taat kepada segala perintah-Nya iaitu dengan mengerjakan semua amalan wajib, malah ditambah pula dengan bertaqarrub iaitu memperbanyak amalan dianjurkan syariat Islam. Orang mukmin sebegini amat dicintai Allah Taala serta diangkatkan kedudukan mereka di sisi-Nya sehingga mereka sentiasa berada di bawah naungan dan pemeliharaan-Nya.
Sebenarnya dalam mendekatkan diri kepada Allah, seseorang itu hendaklah melakukannya secara berperingkat. Ia semestinya dimulai dengan mengerjakan amalan wajib iaitu fardu ain mahupun fardu kifayah kemudian barulah diikuti amalan sunat. Hal ini samalah seperti orang yang berhutang, sudah tentu ia wajib membayar hutangnya terlebih dulu sebelum ia memberi derma atau sedekah. Amalan sunat adalah amalan sukarela daripada segala macam ibadat zahir seperti membaca el Quran. Membaca el Quran ini dikira setinggi-tinggi darjat taqarrub kepada Allah Taala yang boleh dilakukan manusia.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada sesuatu taqarrub yang dikerjakan oleh hamba Allah terhadap Tuhannya, seperti apa yang keluar dari mulutnya (iaitu membaca al-Quran)” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Hadith ini menjelaskan membaca el Quran itu akan mengangkat manusia ke darjat yang tinggi di sisi Allah Taala kerana ia dianggap sebagai taqarrub kepada-Nya. Selain itu, el Quran adalah kalam Allah Taala yang menerangi hidup manusia dan memancarkan Nur Ilahi ke dalam hati setiap hamba-Nya.
Saidina Usman bin Affan menyatakan, orang yang tidak membaca el Quran itu hatinya masih kotor. Jika hati itu bersih dan suci, nescaya ia tidak akan merasa puas membaca el Quran. Sebab itu juga, ketika beliau mati dibunuh oleh pemberontak, beliau sedang membaca el Quran, sehinggakan darahnya mengalir di atas lembaran el Quran itu.
Selain membaca el Quran, kita juga boleh bertaqarrub dengan berzikir kepada Allah Taala. Memang zikrullah itu suatu amal sangat dituntut syariat Islam yang tidak sepatutnya ditinggalkan oleh Muslim sejati. Ini bertepatan hadith diriwayatkan daripada Mu’az bin Jabal katanya;
“Aku bertanya Rasulullah saw: Wahai Rasulullah, beritahulah kepada aku amalan utama yang boleh mendekatkanku kepada Allah. Baginda menjawab: Hendaklah ketika engkau hendak mati, lisanmu lembut dengan zikrullah” (Hadith riwayat al-Bazzar)
Allah Taala berfirman; “Maka ingatlah Aku (berzikir) supaya Aku mengingatimu” el Baqarah (2:152)
Allah Taala berfirman; “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Tidakkah dengan mengingati Allah itu, hati akan menjadi tenang” ar Ra’d (13:28)
Selain dua amalan di atas, kita juga boleh bertaqarrub kepada Allah dengan mengerjakan solat dan puasa sunat. Kedua-dua amalan ini sangat digemari orang soleh kerana ia adalah tambahan kepada ibadat wajib.
Jelas Allah amat menyayangi mereka yang sentiasa mengingati dan mendekati-Nya dalam apa juga dilakukan. Akhirnya mereka menjadi pilihan Allah Taala untuk diberi ganjaran dan kedudukan mulia sebagai seorang cemerlang.
Allah Taala berfirman; “Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Ia juga yang menyempitkan-Nya. Dan mereka (yang ingkar) bergembira dengan kehidupan dunia, sedangkan kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat” el Ra‘d (13:26)
Pengulas yang melihat sesuatu itu dengan pandangan sihat, kelemahan tersebut akan dinasihati dengan bahasa yang sihat. Bagi pengulas yang berpenyakit, ulasannya pula adalah dengan bahasa sakit lagi berpenyakit. Apa guna menyebar sakit, melainkan bercita-cita mengajak orang lain mati bersama.
Fikirlah wahai sahabat sekalian, apakah kita merasakan hidup ini sangat panjang? Tuan empunya dunia, berhak menjemput kita semua bila sudah sampai harinya. Sebelum ianya terlambat, bertanyalah di dalam hati kita;
“Masihkah ada hari esok?”
1 komentar:
salam.......
Sesungguhnya HARI ESOK masih dinanti-nanti oleh mereka-mereka yang ingin memperbaiki kepincangan diri dalam mencari KEREDHAAN ILAHI.......
Catat Ulasan