PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Selasa, Mac 10

Dia Yang Bernama Muhammad


Segala pujian dipanjatkan kepada Allah Taala Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam dihamburkan kepada Baginda, Rasulullah dan ahli keluarga baginda, serta para sahabat yang diredhai oleh Allah Taala semuanya.

Keheningan malam itu, tidak seperti malam-malam yang sudah. Desiran angin yang membawa butiran pepasir mula tinggi melambung melepasi hujung dedaun pokok tamar. Seluruh penduduk Makkah sunyi dijalanan. Kedai-kedai jualan mulai ditutup. Masing-masing mencari haluan, sambil kaki merentak tanah menyelusuri denai pulang. Tiba-tiba api nyalaan Majusi beratus-ratus tahun lama telah mulai malap, dan seolah-olah mengakhiri hayat panjang yang telah menjadi sembahan dan pujaan. Kekaguman mereka pada api sudah terpadam.

Di satu corok rumah terpecil, Aminah ditemani beberapa wanita lain. Inilah petanda lahirnya seorang utusan yang telah lama tercatat dalam el kitab (Injil), dan pencarianya sudah berakhir. Insan ini yang bernama Muhammad Bin Abdullah.

Saban tahun, umat Islam di bumi ‘anbia berpusu-pusu memenuhi ruang legar Masjid Soleh Ja’fari. Setiap tangan memegang kain rentang dan sepanduk untuk memeriahkan sambutan maulidur rasul menuju sesama ke Masjid Saidina Hussain. Pelajar-pelajar Malaysia juga tidak ketinggalan, memegang erat tangan di antara satu dan lain. Tidak kira, tangan siapa yang dipegang. Tidak kira warna kulit berbeda. Tapi atas nama Islam, dibuang jauh-jauh rasa prajudis dan alergi.

Bahang kepanasan mula terasa sejak beberapa hari yang lalu, pertukaran musim sudah sempurna, musim luhur pun sudah. Tetingkap bilik mula dibuka luas-luas. Rutin harian penduduk sekitar rumah penulis, masih giat dan terus berjalan. Bagi mereka, cuaca apa sekalipun yang menimpa, mereka tetap mencari sumber pendapatan untuk saraan seisi keluarga.

Penulis tidak mahu panjang cerita tentang kelahiran dan dambus perjalanan sebuah perjuangan yang diterajui baginda sendiri sehingga kesan bisa kita lihat pada hari ini. Melahirkan pejuang dan perjuangan, ditanam jauh ke dasar. Runtuhan tembok kebal dan bebal yang dibina di era jahiliah, menjadi semboyan pada keunggulan sebuah pemerintahan kerajaan hakiki. Anda semestinya telah dan mungkin selalu dihidangkan dengan kronologi cerita, kisah dan hikayat tentang sebuah perjuangan, namun jarang kita menyatap selera dengan kemanisan perjuangan itu sendiri. Bagaimana dakwah dan ilmu yang optimis digemblengkan oleh baginda untuk membentuk sebuah tamadun yang berjaya.

Konsisten Dalam Jaga

Penulis pernah menekuni satu buku dari Stedman Graham bertajuk ‘You Can Make It Happen’. Memang sangat menarik tentang kupasan yang digarapkan di dalamnya. Satu ayat yang dia pernah cakap dalam buku tu;

A success people is someone who never give excuses to a problem. Someone who see problems positively, and when given a task, they wont say no, instead they’ll say let’s do it or at least let’s find a way to make it happen

Sejujurnya buku tu banyak mengubah pendirian penulis especially sebelum masuk semester baru, baru-baru ni, hamdalah. Allah Taala telah buka pintu hati penulis untuk baca buku tu. Fikiran yang bermotivasi tu sebenarnya berperanan penting membina peribadi yang lebih bagus. Bagaikan tertusuk duri sembilu. Dalam kekalutan hidup banyak kalanya kita seolah-olah meratapi perubahan zaman, dari sisi prasarana dan teknologi yang disalahgunakan oleh manusia. Tapi tidak pada perubahan bentuk dakwah.

Penulis bagaikan baru terhantuk dan mula tergadah, buku-buku self-help seumpama ini dan berlambak lagi di kedai-kedai buku, perlu dibaca dari masa ke semasa sebagai charger untuk mengembalikan sebuah harapan baru, pada tapak semaian yang sama. Anda tidak perlu berubah, tapi mindsite sahaja perlu hijrah. Biarpun kritikannya betul, dengan segerabak hujah yang ilmiah lagi bersarjana, kritikan itu tidak disertakan dengan penyelesaian dan harapan, tidak ada guna juga. Orang yang efektif melihat peluang dalam setiap masalah. Orang yang pesimis melihat masalah dalam setiap peluang.

Apabila kita mendengar keburukan orang, kita jangan judgemental. Contohnya, kalau orang jahat tu datang ke masjid kita, jangan judgemental dengan memandang keburukannya kerana kita tidak tahu sisi kebaikannya. Maka sisi kebaikannya yang sanggup datang ke masjid itulah perlu kita rebut dan pergunakannya, bukan secara sinikal mentertawakan keburukannya. Sikap yang perlu ada pada pendakwah bersikap neutral dalam semua perkara, lebih-lebih lagi dalam berdakwah kepada orang islam sendiri.

Di alam dakwah, golongan yang taasub (fanatik) mutlak tidak mendatangkan banyak faedah jangka panjang. Mereka mungkin punya tenaga penting untuk melaksanakan suatu agenda, tetapi mereka berbangga dengan keletihan dan pengorbanan, tanpa muhasabah ke atas kualiti dan hasil. Mereka cepat menganggap bahawa mereka telah memberikan yang terbaik, biarpun kerugian dan kemalangan yang sama datang berulang kali. Muhasabah penting!

Bangga dengan pengorbanan yang sedikit, sedangkan pengorbanan adalah suatu kemestian bagi para da’ie. Sedangkan yang semestinya adalah evaluasi terhadap gerak kerja untuk perbaikan pada masa hadapan.

Keputusasaan tidak pantas untuk orang beriman, kerana mereka adalah golongan yang sentiasa optimis dengan rahmat Allah Taala, meyakini setiap ketentuan adalah yang terbaik. Kegagalan dalam tindakan dan ketidaktepatan dalam mengambil solusi mungkin berat dihadapi, tapi ianya adalah mekanisma terbaik untuk belajar. Andai setiap tindakan yang diambil sentiasa tepat, maka tiada pengayaan pengalaman yang diperoleh, bahkan mungkin sahaja diri kurang matang membentuk akal yang sentiasa terkehadapan kerana tiada solusi.

Penulis pernah melihat seorang teman yang dilihat sering pesimis terhadap kualiti dan potensi orang lain. Sekali orang tu menolak, selamanya dia akan menganggap orang tu menolak. Malah lebih teruk, menganggap orang tu sebagai musuh dakwah, padahal orang tu punya potensi untuk kebaikan perkembangan islam. Jaga-jaga.

Sudah terlalu banyak subjek optimis dan pesimis ini diperkatakan hingga ramai yang cepat mahu berkongsikan quotation masing-masing yang sedap untuk menyokong idea ini. Tetapi penulis minat menulis artikel ini khusus untuk melegakan hati, yang luka dengan gelagat sesetengah anak muda yang sangat kaya dengan idea, tetapi sentiasa sinis dalam bahasa mereka ketika mengungkapkan idea tersebut. Membaca dan mendengar kupasan ilmiah, tetapi sentiasa memandang buruk serta menghitung satu demi satu kelemahan gerakan Islam, amat menyedihkan. Biar pun akal kita menyokong idea yang dibawa, tetapi hati tempat jatuh pandangan Allah Taala menolak malah sesekali membencinya.

Jika kita tidak boleh menilai diri sendiri, di mana relevannya perintah Islam agar kita muhasabah diri. Menilai diri sendiri adalah kewajipan. Menghargai kelebihan diri bukan ego, ujub atau takabbur, seandainya kelebihan itu dibalikkan kepada Allah Taala. Perihal ujub ialah apabila kelebihan diri tak dikaitkan dengan Allah Taala. Lebih teruk jadi ego dan takabbur, apabila kebaikan diri jadi asas untuk merendahkan orang lain pula.

Ada satu kisah, berpuluh-puluh ekor semut berlumba-lumba panjat pokok yang sangat licin. Kesemua binatang yang menonton menjerit-jerit bagi galakan. Tapi banyak semut yang jatuh hingga tinggal beberapa ekor sahaja yang terus mencuba. Binatang ramai pun terus menjerit tapi mula menyindir;

“Tak payah la nak buat benda yang mustahil tu”

“mengaku kalah sahajalah” Dan macam-macam lagi.

Akhirnya tinggal seekor sahaja semut yang terus berusaha perlahan-lahan dan binatang ramai semua ketawakan dia yang bodoh, dan sombong sebab terus juga nak panjat pokok tu. Tetapi akhirnya dia berjaya, bersorak habis binatang lain dan mereka mula memuji kehebatan semut yang seekor ni. Bila ditemuramah akan rahsia kejayaannya, mereka semua terkejut bahawa rupa-rupanya semut yang menang itu pekak.

Ada masanya (kadang-kadang) kita kena belajar memekakkan diri untuk berjaya. Get my point?

“Kesukaran dihadapkan kepada kita bukan untuk mematikan langkah perjuangan kita sebaliknya untuk memanggil kejujuran, kebijaksanaan dan keberanian kita untuk berhadapan dengannya”

Itulah konsep betul lagi tepat, yang telah digunapakai oleh baginda saw. Islam mula diterima walaupun selepas hijrah. Kebijaksanaan bukan sahaja pada akal, tapi juga pada tindakan. Tidak tergopoh-gapah. Tidak melulu, dan tidak juga terlalu kolot. Harus ada keseimbangan. Baru akan berjaya. Ubahlah dari sekarang. Jangan cari kesalahan orang, tapi jaga. Jaga bimbang ada kain yang terkoyak, nanti tidak ada pasal-pasal dapat malu.

Carilah Sumber Kekuatan Paling Efektif

Dalam konteks mencari dan menyampaikan ilmu. Penulis merasakan tanggungjawab dakwah tidak perlu menunggu seseorang jadi ‘ustaz’. Kalau kita tahu satu, maka kita sampaikan satu. Kalau tahu sepuluh, sampaikan sepuluh. Jadi, lagi banyak kita tahu lagi banyak kita kena beri. Jadi kalau nak banyak member, kenalah banyak tahu, iaitu tambah ilmu dari masa ke semasa. Dan apabila kita buat kerja dakwah dalam keadaan ilmu yang agak terhad, kita kena terbuka, jika ada silap-silap kita tu, ditegur dan dibetulkan.

Kadang-kadang terfikir dengan ilmu yang sedikit seperti si Buta mengenali gajah, kita dengan senang-senang je menuduh, menjatuhkan dan memperlekehkan hukuman katas orang lain yang mungkin lebih celik dari kita. Lebih baik kita meletakkan diri sebagai si Buta yang ingin di pimpin oleh si Celik untuk mengenali gajah. Tetapi kadang-kadang si Celik juga tidak mahu membantu sibuta dan akhirnya sibuta itu menjadi sesat dan jauh dari kebenaran. Sebagai seorang Mukmin Profesional yang masa menuntut ilmu hanyalah waktu selepas bekerja, dan mungkin kadang sabtu dan ahad sahaja, Bagaimanakah caranya untuk mencari si celik dan mengubati penglihatan tetang Islam agar diri selamat di dalam Islam tanpa teraba-raba seperti orang buta meraba gajah?

Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya el Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia:

Allah Taala berfirman; “Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya el Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: "Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan penyembah Allah." Akan tetapi (dia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, karena kamu selalu mengajarkan Al Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya” Ali Imran (3:79)

Berapa ramai orang yang mencari ilmu dan banyak ilmunya, tetapi tidak memperolehi apa-apa daripada ilmunya? Berapa ramai orang yang bersembahyang dan banyak rakaatnya, tetapi tidak memperolehi apa-apa daripada sembahyangnya itu?

Kedua-duanya tidak membawa faedah. Dimana silapnya?

Yang satu sibuk mencari ilmu, tetapi tidak suka meneliti dan menghayati ilmu yang dijumpainya itu, sehingga wujud keyakinan, hilang keraguan, lalu menterjemahkannya ke dalam dirinya atau ke alam realiti. Bukan sekadar membaca atau mendengar ringan, lalu berlalu pergi.

Yang lagi satu, sibuk beramal, tetapi dia tidak mengerti apa, kenapa dan bagaimana melaksanakannya mengikut kehendak Allah. Dia hanya sekadar mengikut orang lain secara luarannya. Malah, hatinya kontang daripada mengingati Allah Taala ketika dia beramal, beribadah. Begitulah, setiap ilmu ada disiplin dan methodologinya, dan begitu juga ilmu Islam. Islam untuk semua, namun perlu melalui susur galurnya.

Penulis berpendapat untuk mengalahkan musuh umat Islam tidak perlu tunggu memiliki teknologi sesuai dengan musuh. Jika mereka ada kereta kebal, kita perlu ada senjata pemusnah kereta kebal yang berkesan. Jika mereka ada jet pejuang, kita perlu ada senjata pemusnah jet pejuang yang berkesan. Jika mereka ada kapal atau kapal selam, kita perlu ada senjata pemusnah kapal atau kapal selam yang berkesan, begitulah seterusnya. Semua itu, tidak perlu. Paling penting, walaupun dengan kelengkapan biasa dan bersahaja, tetapi Umat Islam perlu ada strategi perang yang berkesan, yang sesuai dengan keupayaan umat Islam. Akhir sekali jangan lupa, adunan kedua-duanya (antara strategi dan senjata) sangat perlukan untuk membentuk kekuatan spritual.

Namun dalam kondisi lain, kekuatan iman saja tidak memadai untuk mengalahkan musuh. Dalam dunia ini kita perlu ambil kira soal sebab-musabab juga. Dalam perang untuk menawan Konstantinople, Muhammah el Fatih menggunakan segala kekuatan termasuk peralatan ketenteraan, disiplin, senjata berkesan, strategi yang baik, dan memecah belah perpaduan musuh dan kekuatan iman. Akhirnya Muhammah el Fatih dapat mengalahkan musuh dengan jayanya.

Bila semarak semangat berada pada tahap tertinggi, dan kemenangan dengan mudah dicapai. Tapi harus berhati-hati juga. Entah-entah kemenangan yang dicari itu kelak memakan diri. Jangan jadi seperti: “keris makan tuan”. Penulis bukan nak menjatuhkan semangat para pembaca sekalian untuk tidak bekerja kuat dengan Islam untuk mencatur kemenangan yang mungkin akan dinobatkan dalam waktu terdekat, cuma penulis nak mengingatkan bahawa kemenangan itu adalah milik Allah Taala, maka apabila menang nanti kita takut akan menjadi orang yang lebih riak daripada golongan taghut tersebut. Allah hilang di dalam hati apabila kita menang nanti, kerana kononnya usaha kitalah yang menyebabkan kemenangan tersebut. Hati-hati sahabat-sahabat sekalian, dan berdoalah kepada Allah Taala supaya kita nanti dijauhi daripada syirik, dan banyakkan munajat pada Allah Taala agar dimenangkan Islam dengan kemenangan yang hakiki, itu janji Allah dan Rasul.

Janji Allah Taala menerusi ilham kepada Nabi saw bahawa Konstantinople akan jatuh kepada raja dan tentera. Percubaan merealisasikan janji itu bermula seawal zaman sahabat Abu Musa berlanjutan selama 800 tahun. Muhammad el Fatih telah dilatih sedari kecil supaya menjadi raja yang dijanjikan itu. Bukan secara tiba-tiba beliau jadi sedemikian.

Islam mengajar, sesiapa yang mengucap dua kalimah syahadah, maka ianya bergelar pendakwah. ini kerana tanggungjawab pendakwah bukan didokong oleh golongan tertentu sahaja, malah golongan profesional, separa profesional dan tidak profesional juga adalah tergolong dalam menjalankan peranan ini. oleh itu, sekiranya setiap orang tahu tentang peranan masing-masing, maka Islam akan dipandang dengan lebih baik di mata masyarakat. Tapi masalahnya sekarang ini, peranan tersebut tidak begitu dijalankan oleh para pencinta Islam dan dakwah, apatah lagi menjadi pembenci Islam dikalangan orang Islam sendiri. Maka musuh-musuh Islam bertepuk tanganlah sebab orang yang menghalang Islam adalah orang Islam sendiri. Jentik Hati Tanya Iman!

Semoga roh perjuangan baginda saw dan para sahabat, yang mendokong risalah suci ini, terus mekar berbungga dan bersarang di taman hati kita.

ameen.

0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal