“Kenapa tidak ramai anak-anak muda datang ke masjid ni?” Penulis mendapatkan seorang jemaah masjid yang sudah beruban putih.
“Biasa la ustaz, darah muda ni, lebih suka berada di lapangan” Jawab beliau.
“Saya tengok rumah-rumah jarak lima kaki sahaja dari kawasan masjid. Tapi tidak ramai yang sahut seruan azan” Penulis sedikit mengeluh, sambil menggelengkan kepala.
Sudah hampir seminggu penulis memikul tanggunjawab sebagai Imam muda di Masjid el Aman, sebuah masjid yang terpencil terletak di kawasan Bandar Kota Bharu. Boleh dikatakan kawasan tersebut didominasi oleh kaum Cina, tapi masih ramai juga golongan Melayu yang berlegar sekitar kawasan masjid. Tidak pasti, kesibukan apakah yang membuatkan mereka begitu berat untuk membesarkan langkah ke masjid, tempat paling selamat dan suci. Ada juga ringankan tulang untuk datang, namun berapa kerat sahaja, boleh dibilang dengan jari ‘ayam’. Bagaimana pula nak kita sedarkan mereka-mereka yang tak pernah nak berpaling ke jalan kebenaran ini? Sesak dada penulis memikirkan.
Allah Taala berfirman; “Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat (perolehi) rahmat” el Hujarat (49:10)
Bukan senang menjadi muslim, walaupun di bumi Islam sendiri. Terutama kalau tiada rakan seIslam lain, yang sudi bersama. Bukan senang untuk mengubah suasana. Hanyalah perlu menjaga Iman sebaik mungkin. Setakat mana? Sejauh mana boleh menjaga Iman? Cuba harungi sendirian berada di tempat orang Islam, yang meminggirkan Islam seorang diri dan selama bertahun-tahun. Mampukah? Bagaimana pula nasib teman-teman yang berada di bumi asing, mungkin cabaran seperti melawan ombak deras tsunami. Kuat benar cabarannya.
Kitalah yang patut mengubah suasana. Bukan suasana yang mengubah kita. Jadilah seperti ikan, walau di lautan mana pun diletakkan. Tetap tidak terkesan dengan keadaan yang ada. Tidak kecut dan tidak pula menjadi masin. Kadang-kadang kita juga kena belajar daripada Ikan. Bukan jadi Ikan, tapi resmi ikan.
Teringat dulu kenangan seorang teman di Indonesia. Melihat jatuh bangunnya mahasiswa di sana, tatkala krisis melanda, masyarakat Indonesia dilanda kemiskinan, mata wang jatuh, rakyat perlu makan, maksiat bermaharajalela. Sedang pelajar-pelajar kita, bagaikan sang penguasa, ringgit agak tinggi, tak sedikit yang terperosok kelembah nista, diserang pula dengan virus pemikiran ulil dan teman-temannya. Kalaulah Antibodi tiada apalah agaknya jadinya?
Namun lain pula kita hidup di Malaysia. Selalu juga jadi sebutan, rakyat kita bukan tidak cukup makanan, bahkan mati kerana terlebih makan. Kadang-kadang,ada juga kebenarannya sebab dek kerana kemewahan nikmat makanan yang sedia ada, kita kadang-kadang mudah lupa. Kemewahan tersebut, tidak pula menjamin sebuah kemewahan Iman di dada. Sepatutnya kita perlu susah untuk berfikir untuk increase Iman, bukannya sibuk untuk menambahkan kantung perut.
Back to basic, mungkin rakyat di negara kita perlu disajikan dengan makanan rohani yang lebih bersistematik. Kena ada juga ‘piramid makanan rohani’. Bukan saja hanya di Kelantan. Seorang ‘Tuan Guru’ dapat membajak kata-kata nasihat, bahkan apa yang lebih didambakan. Mungkin suatu hari nanti bakal lahirnya percambahan majlis-majlis ilmu, yang bukan sahaja dikemudikan oleh golongan ulama’, malah lebih dari itu. Golongan profesional juga dapat memacu kemeriahan majlis-majlis ilmu. Sehangat, ketika menjelangnya kempen pilihan raya. Bahang kehangatannya yang anda pernah rasai penangan.
“Melayu mudah malas, rakyat asing bekerja keras”
Program tiada sempadan, kelolaan tv9 membuka sedikit lembaran kesungguhan pekerja asing di rantau orang. Kesimpulannya, kadang kala, kesusahan dan kesukaran lebih mendidik diri dalam menuju proses pembangunan ‘insaniah’. Sebagai peringatan kepada rakan-rakan, jangan hanya jaga Iman tetapi kita kena usaha untuk gandakan kekuatan Iman. Kalau setakat jaga tidak padan, macam kita ada duit satu ringgit, sampai bila pun tak bertambah bila usaha untuk gandakan duit tak dibuat. Penulis memandang perkara ini terlalu serius kerana hidup hanya sekali dan amatlah rugi mereka yang meninggalkan dunia ini tanpa Iman walau seberat zarah.
Hamdalah, di hadapan masjid terdapat seorang kakak yang berasal dari Kemboja. Telah bersuami dan mempunyai empat orang anak. Penulis dan suaminya juga rapat, dan salah seorang jemaah tetap masjid. Kami selalu bersembang setiap petang, itupun kalau beliau tidak keluar berniaga. Banyak ‘buah tangan’ penulis perolehi. Teringat penulis, satu cerita kakak tu sekadar perkongsian.
Mengikut sejarah daripada ayahanda kakak tu, mereka (arwah mak, dua abang dan dua kakak beliau) datang ke sini atas saranan arwah datuknya, yang amat menitiberatkan pendidikan dan pembangunan nilai Islam dalam mendidik anak-anak. Masa itu kira-kira hampir 30 tahun dulu, negara Kemboja dikuasai komunis yang memang tidak menyenangi Islam.
Di awalnya, keluarga kakak tersebut memamg tidak diterima masyarakat setempat, particularly orang Melayu. Tapi orang Cina melayan keluarganya dengan sangat baik. Up to secondary school pun, ada cikgu yang nasionalismanya tinggi tidak sekadar memandang malah melayan mereka adik beradik di situ sebagai orang luar yang tidak pernah diundang.
Tambah kakak lagi. Masa kecil-kecil dulu, dia marah juga kerana rasa tak patut orang Islam layan macam ni. Tapi dari sudut positifnya, dia sangat bersungguh-bersungguh belajar kerana nak tunjuk kat diorang yang mereka mampu survive. Akhirnya, mereka semua mampu bertahan dan sangat menghargai apa yang terjadi sekarang.
Moralnya, walaupun mereka bukanlah berasal dari warga tempatan, tapi mereka begitu tinggi Iman dalam menempa kejayaan di bumi asing. Bukan senang membina sebuah tapak pada tanah yang cukup asing dengan darah daging. Semanagat waja mereka perlu ditauladani, bukan merempat di kandang sendiri, dan rasa terhina dek kerana tangan-tangan yang membusutkan jiwa sendiri dalam kelalaian.
Dari segi sosial, awal-awal dulu memang penulis rasakan susah untuk bergaul dengan penduduk setempat yang lain, kerana mereka kurang tahu lifestyle Islam. Tidak turut sama berjoging dengan mereka pada hari Jumaat dan ada sedikit rasa prejudis tehadap penulis. Tetapi, penulis cuba untuk bersosial dengan cara yang lain, contohnya keluar shopping bersama-sama atau ke restaurant dan ambil peluang ini untuk menjelaskan kepada mereka situasi penulis yang sebenar dan serba sedikit tentang roh Islam. Hamdalah, selepas saat itu, hubungan kami semakin baik.
Pandangan penulis kalau suasana memerlukan supaya penghayatan Islam tu wujud, tidak kisah lelaki atau perempuan yang mulakan dahulu. Jangan pedulikan suara-suara sumbang kalau niat kita nak hidupkan Islam. Mungkin pada masa yang sama, kena sama gesa lelaki yang mungkin ada tapi tidak nampak untuk sama-sama turut serta dalam penghayatan penting ini.
Kebimbangan penulis ialah cabaran yang ditempuh oleh umat Islam dan negara ini semakin banyak, beragam dan kompleks. Tetapi kenapa pembangunan modal insan yang digembar-gemburkan selama ini hanya sedap di mulut sahaja tanpa ada pelaksanaan yang berperingkat, dan tindakan susulan selepasnya?. ‘Gagal’ melahirkan barisan da’ie, aktivis, pemimpin, penulis, penceramah dan pemikir yang setanding dengan cabaran kontemporari umat Islam dan dunia keilmuan sejagat.
Nabi pernah bersabda; “Kamu tidak akan masuk syurga hingga beriman, dan tidaklah kamu beriman hingga saling mencintai (kerana Allah). Apakah kamu mahu jika aku tunjukkan pada satu perkara jika kamu kerjakan perkara itu, maka kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam antara kamu” (Hadith riwayat Muslim)
0 komentar:
Catat Ulasan