PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Selasa, Disember 2

Kenapa Soalnya Hati?


Fungsi Hati Akal Dan Nafsu

Pada catatan artikel kali ini,penulis cuba untuk mengajak para sahabat dan pembaca sekalian untuk memimpin seketul daging yang mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling dan mudah ditiup sembilu perasaan serta mudah dibawa berlari.Nama ‘el Qalb’ tidak asing lagi,menjadi taruhan setiap manusia dalam menentukan pilihanraya pada pergerakan anggota tubuh badan,malah pilihanraya yang tidak terpimpin dengan wahyu dan ilmu sudah pasti meninggalkan kesan yang amat pahit pada diri.Musuh ketat pada hati ini tidak pernah kenal masa dan tempat,menanti untuk menyerang di setiap genap penjuru sehingga raja pada anggota badan manusia ini tunduk dengan nafsu serakah.

Kita sering mendengar,tiga kalimah serangkai iaitu hati,akal dan nafsu yang merupakan hakikat diri yang tersedia wujud pada diri manusia setelah ditiupkan roh pada jasad.kefahaman yang mendalam serta kajian yang tidak jemu-jemu adalah amat ditagih dalam kehidupan seharian manusia untuk mengenali sifat pada hati itu sendiri,kecenderungan peranan yang terbaik boleh dimainkan,dan mengoreksi cara untuk mendidiknya.Hati atau nama lain yang di sebut sebagai ‘latifah rabbaniah’ merupakan ketua kerajaan dalam jasad tubuh manusia,dan wadah tempat terletaknya petunjuk atau hidayah Allah Taala.Manakala nafsu dan akal pula dianggap sebagai penasihat paling kanan pada hati,nafsu yang sihat dan terdidik pasti akan membawa pada kebaikan,dan akal yang terpimpin dengan ilmu dan wahyu akan mencernakan tindakkan yang wajar diambil oleh hati.

Nabi junjungan pernah bersabda:
Sesungguhnya di dalam jasad manusia ada segumpal darah (daging),apabila segumpal darah (daging) itu baik maka baik pula sekalian anggota tubuhnya serta perbuatannya,sebaliknya apabila segumpal darah (daging) itu buruk maka buruk pula sekalian anggota tubuhnya dan perbuatannya.Ketahuilah,ianya adalah hati".

Memperbaiki hati tidak akan sempurna jika kita membiarkan segala bentuk kecacatan,kecelaan dan keaiban yang mengotori dan menguasainya seperti sifat riak,sombong,dengki,ujub,takabur dan sebagainya.Mendandan hati tidak cukup hanya dengan menampakkan keindahan lahiriah,sementara di sebalik itu tersembunyi nafsu syahwat yang buas.Lahir dan batin mesti sehala,kebersihan hati menjadi asas kelurusan perilaku atau akhlak.Perilaku mulia lahir dari ‘Qalbu’ yang bersih.Kebaikan akhlak tanda kewarasan jiwa,penyimpangan dari akhlak yang lurus dan luhur merupakan isyarat sakitnya jiwa.

Meluruskan jiwa yang tidak waras sama halnya dengan mengubati tubuh lahiriah yang sakit.Bagi mereka yang berbadan yang sihat,doktor tidak perlu merawatnya dengan ubat-ubatan,cukup baginya menyediakan aturan memelihara kesihatan.Tetapi,bagi mereka yang tubuhnya sakit,doktor mesti berikhtiar mencari jalan untuk menyembuhkannya.Mengenal pasti penyakit,lalu mengubatinya agar penyakit itu hilang.

Perilaku buruk lahir dari jiwa yang sakit,dan untuk mengubati jiwa yang sakit ini selain mendekatkan diri kepada Allah Taala,juga perlu mengubati perilaku buruk tadi dengan menggantikannya kepada yang baik (sifat terpuji).Seperti juga,penyakit bodoh diubati dengan memberi pengetahuan dan pelajaran,penyakit kedekut diubati dengan latihan mengamalkan sifat pemurah,penyakit sombong diubati dengan membiasakan diri dengan sifat tawadhu',penyakit tamak diubati dengan latihan menahan diri dari segala yang menimbulkan keinginan tanpa ada keperluan,dan membiasakan diri bersedekah ke jalan Allah Taala,begitulah seterusnya.Hati tidak boleh dijernihkan hanya dengan ceramah,perbincangan,halaqah mahupun usrah tetapi lebih dari itu.inilah yang dikatakan sebagai "tarbiah yang berterusan".Disinilah

seseorang bukan hanya akan mendengar nasihat-nasihat, tetapi kadang-kadang latihan-latihan tubi dan berat untuk mengubati penyakitnya perlu disusulkan.

Penawar Nurani

Dalam memberi ubat,seorang doktor atau murabbi tidak boleh memberi kepada pesakitnya dos yang berlebihan kerana kelak ia boleh merosak tubuh,begitu juga sebaliknya.Tidak boleh dos kurang sehingga menyebabkan pesakit tidak juga sembuh.Hati yang sudah terlatih,sudah pasti sudah memadai dengan hanya latihan ringan tapi berterusan agar ianya tidak menjadi racun pada diri sehinggakan jemu untuk melakukannya.Namun begitu,rencana tersusun dan terancang akan menjamin sebuah portrait perjalanan yang indah lagi selamat.

Fenomena tangisan di kalangan manusia hari ini mempunyai maksud yang tersendiri,ini kerana ada yang menangis sebab ditinggalkan orang yang amat dikasihi,sama ada seorang kekasih,ibu bapa,anak-anak,jiran tetangga,sanak saudara terdekat dan seumpamanya.

Terdapat juga yang menangis kerana terlalu gembira sebab bertemu semula dengan orang yang terpisah sejak sekian lama dan setelah memperolehi sesuatu nikmat,ada juga di kalangan mereka yang terlalu mudah untuk mengalirkan air mata apabila menonton sebuah cerita yang berkonsepkan kesedihan dengan pelbagai babak,aksi dan watak dalam filem kesukaan mereka.

Apapun amat sukar hari ini untuk mendapatkan kelompok manusia yang menangis kerana takutkan Allah Taala sebab ia amat terbatas,ini kerana jiwa serta hati mereka tidak terikat melalui hubungan dengan Allah selaku Pencipta dan kita sebagai seorang hamba,atau dengan kata lain hati mereka tidak melalui proses tarbiah seperti yang dialami oleh tokoh-tokoh silam.

Hati manusia hari ini tidak selembut mereka yang terdahulu daripada kita,malah tidak berusaha untuk mencari jalan bagaimana hati tersebut dapat dilunak dan dijinakkan melalui hubungan dengan Allah Taala.Pendek kata, faktor yang menyebabkan manusia hari ini tidak mementingkan persoalan pensucian hati dan jiwa adalah disebabkan mereka tidak menggarap ilmu agama dengan sepatutnya,mereka membiarkan hati tersebut kosong dan akhirnya terjebak dalam kancah yang amat dikutuk oleh Allah Taala.

Justeru,baginda Rasulullah saw pernah memberi wasiat kepada Saidina Ali Bin Abi Talib yang membawa maksud :”Wahai Ali,jika sekiranya berlalu 40 hari di kalangan orang-orang Islam dan mereka tidak duduk (secara langsung) dengan para alim ulama (seperti meuntut ilmu),maka mereka akan ditimpakan oleh Allah Taala dengan dua implikasi semasa hidup mereka,pertama hati mereka menjadi keras dan kedua mereka berani pula (terjebak) melakukan dosa-dosa besar.”

Jelas daripada wasiat baginda saw di atas menunujukkan kepada kita,bahawa apabila seseorang muslim itu yang tidak bersedia untuk duduk bersama alim ulama’untuk belajar daripada mereka,maka dia akan ditimpakan dua perkara,hati keras yang tidak memungkinkan dia mendapat petunjuk daripada Allah Taala malah berani pula melakukan dosa-dosa besar seperti meninggalkan solat,membunuh,meragut, memfitnah Islam,membenci ulama,menderhaka kepada kedua ibu bapa,bahkan berani melanggar perintah Allah,menghina hukum-hukum Islam,meletupkan mangsa yang dibunuh dan banyak lagi yang dianggap sebagai jenayah besar di sisi Allah Taala.Mereka inilah yang akan menempah azab api seksaan neraka yang amat memeritkan di Hari Akhirat kelak.

Fenomena Putaran Hidup

Setiap manusia seharusnya senantiasa mensyukuri nikmat kurnian Allah Taala kepada kita.Kerana nikmatnya menjangkau dari hujung rambut hingga hujung kaki,baik kesihatan tubuh badan,keamanan Negara,hutan yang menghijau,udara yang bersih dan sebagainya.

Allah Taala berfirman;
“….sekirang kalian menghintung nikmat pemberian Allah Taala,nescaya kalian tidak dapat menghintungnya…
Ibrahim (14;34)

Di situlah hati akan terbentuk mengikut acuan peranannya yang sebenar sepertimana yang telah ditinggalkan oleh mereka terdahulu.Orang yang cerdik akan berusaha merubahkan sesuatu kerugian menjadi keuntungan.Sedangkan orang yang bodoh akan membuat dan melakukan sesuatu musibah menjadi bertumpuk dan berlipat ganda tanpa ada jalan penyelesaian padanya.

Imam Ahmad bin Hanbal,pernah dipenjarakan dan dihukum dera di luar prikemanusian,tetapi kerana perlakuan sedemikian telah meletakkan beliau menjadi sebagai seorang Imam besar salah satu mazhab.Ibn Taimiyyah pernah dipenjara,tetapi justeru dipenjara itu juga beliau dapat melahirkan karya-karya teragung sebagai khazanah untuk generasi akan datang.As Sarakhsi pernah dikurung di dasar perigi selama bertahun-tahun,tetapi ditempat itulah dia menghasilkan sebuah kitab sebanyak 20 jilid.Ketika seorang pemimpin kanan bernama Ibn Atsir dipecat dari jawatannya,beliau berhasil menggarapkan dan menyelesaikan karya terbaiknya iaitu Jami’ul Ushul dan an Nihayah,salah satu kitab paling masyhur dalam ilmu hadith.Mereka-mereka yang disebut ini mempunyai kecekalan hati yang cukup hebat,kerana hati mereka senantiasa berada dalam tarbiah solehah tanpa ada sifat jemu menodai setiap langkah serta gerak kerja yang diimpikan.

Allah Taala berfirman;
Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyu’
el Isra’ (17:109)

Itulah sikap dan nilai orang-orang yang beriman sungguh-sungguh kepada Allah Taala,di mana mereka tidak akan mudah mengalirkan air mata melainkan apabila melihat Islam ditekan,diperlakukan dengan sewenang-wenangnya oleh tangan-tangan pengkhianat agama,negara dan bangsa.Keadaan ini amat berbeza sekali dengan orang Islam hari ini yang tidak peka atau prihatin dengan perkembangan semasa yang melibatkan undang-undang Islam yang masih tidak terlaksana dan mereka tidak sedih apatah lagi mengeluarkan air mata kerananya.

Nabi pernah bersabda:
Seseorang itu tidak akan masuk neraka disebabkan dia menangis kerana takut kepada Allah
(Hadith riwayat Tirmidzi)

Muhasabah

Sesungguhnya baginda Rasulullah saw banyak memberi motivasi kepada umatnya dengan kata-kata hikmat (hadith) yang mampu mengalirkan air mata bagi golongan yang memiliki hati yang sejahtera daripada amalan syirik,nifaq dan menyanggah hukum Allah Taala,tetapi bagi mereka yang keras hatinya daripada amalan terpuji,atau kosong daripada penghayatan agama,walaupun dibacakan ayat el Quran kepada mereka,tetap tidak akan berganjak dan terus berada dalam kesesatan.

Mengenal pasti pesakit yang akan diubati (history of the patient) ,panas atau sejuk?lemah atau kuat? tua atau muda?orang awam atau golongan berpendidikan?Jika dalam hal penyakit badan kita begitu khuwatir dan terus berjumpa doktor,begitulah juga halnya dengan ‘el Qalb’ atau hati kita.Sesungguhnya penyakit hati dan perilaku lebih penting untuk kita beri perhatian.Kerana jika kita gagal dalam usaha mengubati penyakit badan,akibat yang paling berat dan besar hanyalah mati dan seterusnya selesai urusan.Sedangkan penyakit batiniah (hati) jika kita tidak berjaya mengubatinya,ia akan merosakkan kita secara terus menerus,dan ia akan menular pula kepada orang lain dan akan membawa kepada kesengsaraan yang tiada belah kasihan di akhirat.

0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal