Ikhtiar Mencari Cinta
CINTA adalah satu perkataan yang tidak asing lagi di dengar oleh halwa telinga kita.Apatah lagi ungkapan cinta ini sangat diminati di kalangan remaja,kerana sudah menjadi sebati dan darah daging mereka,dan utaian lembut ini sudah menjadi anggapan umum bahawa cinta sinonim dengan ungkapan rasa pasangan sejoli yang mabuk asmara.
Ada yang menyatakan cinta itu suci,cinta itu agung,cinta itu indah dan terlalu indah hingga tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata,hanya dapat dirasakan dengan sentuhan kulit hati.Bahkan ada yang menggambarkan oleh kerana tersangat indahnya cinta,syaitan pun berubah menjadi bidadari “racun dirasa bagaikan madu?”
Namun jelas kerana cinta,banyak orang yang merasa bahagia namun sebaliknya kerana cinta ramai pula yang tersiksa dan merana.Cinta dapat membuat seseorang menjadi sangat mulia,dan cinta pula yang menjadikan seseorang menjadi sangat tercela.Apa yang ada pada cinta,tidak ada pada rindu.Apa yang ada pada cinta,tidak ada pada sayang.
Kita tahu bagaimana kecintaan Khadijah ra kepada Rasulullah saw yang rela mengorbankan apa sahaja yang dimilikinya dengan perasaan bahagia demi perjuangan si kekasih yang menjadikannya insan mulia dan dimuliakan.Sebaliknya,perkara yang yang menyedihkan ada pemudi yang mengorbankan kehormatannya demi untuk menyenangkan si kekasih yang dilakukan atas nama cinta.Demi mempertahankan hubungan,ada remaja yang sanggup mempertaruhkan nyawanya hanya kerana cinta.Cinta berkalam noda itulah yang membawa mereka kepada kehinaan.
Persoalan,apakah yang di namakan Cinta yang sebenar mengikut perspektif Syara’?
Rupa-rupanya tepat seperti ungkapan Ibnu Qayyim Al Jauziah tentang cinta,bahwasanya;
“Tidak ada batasan tentang cinta yang lebih jelas daripada kata cinta itu sendiri.”
Cinta Perspektif Islam
Cinta dalam pandangan Islam adalah suatu perkara yang suci.Islam adalah agama fitrah,sedang cinta itu sendiri adalah fitrah kemanusiaan.Allah Taala telah menanamkan perasaan cinta yang tumbuh di hati manusia.Islam tidak pula melarang seseorang untuk dicintai dan mencintai,bahkan Rasulullah menganjurkan dan menggalakan agar cinta tersebut diutarakan.
Nabi bersabda:
“Apabila seseorang mencintai saudaranya maka hendaklah ia memberitahu bahawa ia mencintainya.”
(Hadith Riwayat Abu Daud)
Seorang muslim dan muslimah tidak dilarang untuk saling mencintai,bahkan dianjurkan agar mendapat keutamaan untuk membelai tapak semaian fitrah suci manusia ini.Islam tidak membelenggu cinta,kerana itu Islam menyediakan penyaluran yang terbaik untuk itu (pernikahan) dimana sepasang manusia diberikan kebebasan untuk bercinta.
Allah Taala berfirman:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya,bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki),isteri-isteri dari jenis kamu sendiri,supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”
(ar Ruum 30:21)
Ayat di atas merupakan jaminan bahawa cinta dan kasih sayang akan Allah Taala ditumbuhkan dalam hati pasangan yang bersatu kerana Allah (setelah menikah).Jadi tidak perlu menunggu “jatuh cinta dahulu” baru berani menikah,atau pacaran dahulu baru menikah sehingga yang menyatukan adalah si syaitan durjana. Jadi Islam jelas mempunyai perisai batasan-batasan,sehingga nantinya tidak timbul fenomena kerosakan pergaulan dalam sunnah perjalanan seorang hamba.
Allah Taala berfirman:
“(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).”
el Baqarah (2:165)
Barakah Cinta Ilahi
Dalam Islam cinta dan keimanan adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan ibarat aur dan tebing,bagai isi dan kuku.Cinta yang berlandaskan iman akan membawa seseorang kepada kemuliaan, sebaliknya cinta yang tidak berlandaskan iman akan menjatuhkan seseorang ke jurang kebinasaan.
Cinta dan keimanan laksana kedua belah sayap burung.Imam Hasan el Banna pernah mengungkap bahawa:
“dengan dua sayap inilah Islam diterbangkan setinggi-tingginya ke langit kemuliaan”.
Bagaimana tidak,jikalau iman tanpa cinta akan pincang,dan cinta tanpa iman akan jatuh ke jurang kehinaan.Selain itu iman tidak akan terasa manis tanpa cinta dan sebaliknya cinta pun tidak lazat tanpa iman tumbuh mekar di taman hati.
Nabi bersabda;
“Barangsiapa ingin memperoleh kelazatan iman,hendaklah dia mencintai seseorang hanya kerana Allah Taala”.
Kesan Cinta Peninggalan Sejarah
Tidak hairanlah ketika Uqbah bin Al Harits telah bercerai dengan isteri yang sangat dicintainya Ummu Yahya,atas persetujuan Rasulullah saw hanya kerana pengakuan seorang wanita tua bahawa dia telah menyusukan pasangan suami isteri itu di saat mereka masih bayi. Allah Taala mengharamkan pernikahan saudara sesusuan tetapi kerana cinta dan patuh pada syariat yang telah disusun maka lahirlah perasaan pasrah dan menyerah tanpa sekelumit paksaan.
Demikian pula kecintaan Abdullah bin Abu Bakar kepada isterinya,yang terkenal kecantikannya, keluhuran budinya dan keagungan akhlaknya.Ketika ayahnya mengamati bahawa kecintaannya tersebut telah melalaikan Abdullah dalam berjihad di jalan Allah dan memerintahkan untuk menceraikan isterinya.Pemuda bernama Abdullah ini,memandang perintah tersebut dengan kacamata iman,sehingga dia rela menceraikan belahan jiwanya tersebut demi mengukuhkan kembali cintanya kepada Allah.
Begitu indah suratan sebuah perjalanan taqdir Ilahi,pasangan tersebut telah bersatu kerana Allah dihujung kemanisan jalan jihad pada-Nya,saling mencintai kerana Allah, bahkan telah bercinta kerana Allah,namun mereka juga menyatakan tanpa ada keraguan rela berpisah kerana Allah.Cinta kepada Allah adalah segala-galanya.
Bagaimana pula halnya dengan pasangan yang terlanjur jatuh cinta,atau yang berpacaran atau sudah bercinta sebelum menikah?
Hanya ada dua jalan; bersegeralah menikah atau berpisah kerana Allah Taala,nescaya akan terasa kelazatan dan kemanisan iman.Dan janganlah mencintai si dia lebih dari cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.
Nabi saw pernah bersabda;
“Ada tiga perkara dimana orang yang memilikinya akan merasakan manisnya iman, iaitu mencintai Allah dan rasul-Nya melebihi segala-galanya, mencintai seseorang hanya kerana Allah, dan enggan untuk menjadi kafir setelah diselamatkan Allah daripadanya sebagaimana enggannya kalau dilempar ke dalam api”.
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah saw bersabda;
“Demi Dzat yang jiwaku ada dalam genggaman-Nya,kamu sekalian tidak akan masuk syurga sebelum beriman, dan kamu sekalian tidaklah beriman sebelum saling mencintai”.
Senandung Kiasan Naluri
Cinta bagaikan lautan,sungguh luas dan indah.Ketika kaki tersentuh tepinya yang sejuk,ia mengundang untuk melangkah lebih jauh ke tengah,yang penuh rintangan,hempasan dan gelombang pada siapa saja yang ingin mengarunginya.Namun carilah cinta yang sejati,di lautan cinta berbiduk takwa berlayarkan iman yang dapat melawan gelombang syaitan dan hempasan nafsu,insyaAllah kita akan sampai kepada tujuannya iaitu:cinta kepada Allah Taala,itulah yang hakiki,yang kekal selama-lamanya.Adapun cinta kepada makhluk-Nya,pilihlah cinta yang hanya berlandaskan kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya. Bukan kerana bujuk rayu syaitan,bukan pula kerana desakan nafsu yang menggoda tetapi hati yang didasari taqwa dan iman pada Dzat-Nya yang Maha Agung.
Allah Taala berfirman:
“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar, dan memberi rezeki dari arah yang tiada yang disangka-sangkanya”
at Thalaq (65:2-3)
0 komentar:
Catat Ulasan