PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Sabtu, Oktober 5

IKHLAS

Orang yang IKHLAS, akan tenang dan senang dalam melaksanakan sesuatu perkara, kerana dia mempunyai hanya ada satu ‘hati’ untuk dijaga dan diberi perhatian, iaitu Allah Taala.

Orang yang TIDAK IKHLAS, akan gelisah dan resah dalam hampir setiap tindakan, kerana dia mempunyai banyak hati untuk dijaga dan diberi perhatian, iaitu manusia di sekeliling.
Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, April 6

Buku Setia Sampai Syurga 2013

 Kulit buku muka depan




Alhamdulillah, buku terbaru saya yang dinantikan selama ini telahpun terbit selepas tidak sampai dua bulan buku Menjadi Hamba Allah berada di pasaran. Buku Setia Sampai Syurga merupakan naskhah yang merakamkan tentang realiti kehidupan dan perhubungan antara manusia. Genre Motivasi Cinta dan Rumah tangga ini menyentuh secara terperinci perhubungan sesama manusia berlandaskan tuntutan syariat. Ianya agar sebuah cinta yang disemai ialah cinta yang benar-benar ingin meletakkan akal di hadapan dan mengelakkan sebarang penyuburan nafus syahwat.

Buku ini membahaskan tiga generasi utama dalam sesebuah hubungan manusia. Generasi pertama melibatkan golongan muda-mudi, generasi dewasa selepas bernikah dan generasi selepas berkeluarga. Masih mengekalkan konsep penulisan santai, disulami bersama ayat suci al-Quran dan al-Hadith sebagai pelengkap hujah yang dikemukan. Tidak lupa, diselitkan juga kisah-kisah benar dari sirah para Nabi, solefussoleh dan pengalaman seseorang.

Buku ini boleh didapati di mana-mana kedai buku di seluruh negara dan MPH selepas Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 (PBAKL 13). Nantikan pelancarannya di PBAKL 13 ini, bermula 26 April 2013 hingga 5 Mei 2013. Buku terbitan Must Read SDN BHD ini tidak akan mengecewakan para penggemar buku motivasi dengan sentuhan layout dan design kulit buku yang sungguh osem.

Jom dapatkannya!

Untuk maklumat lanjut dan semasa, boleh ikuti saya di laman sosial facebook dengan add atau follow saya di akaun pemuka; sila klik ---> Rezza Khanafiah 




Kulit buku sudut penuh
Teruskan Pembacaan>>>

Khamis, Januari 31

Jom Dapatkan Buku "Menjadi Hamba Allah" Di Pasaran

Buku "Menjadi Hamba Allah" Telah Terbit


Selepas sekian lama, melalui beberapa prosedur kini buku "Menjadi Hamba Allah" (Diubah untuk tujuan komersial) akan menemui pembaca minggu hadapan. Buku yang baru siap dicetak semalam, akan berada di semua kedai buku, MPH dan stokis tertentu dengan harga pasaran RM19.90 di semenanjung, dan RM22.90 untuk Sabah dan Sarawak.


Sinopsis Dan Ucapan Penulis

Assalamu'alaykum warahmatullahi wabarakatuh.

Memanjatkan rasa syukur, berterima kasih ke hadrat Ilahi, Tuhan sekalian alam. Selawat dalam salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan ahli keluarga baginda serta para sahabat radhiyallahu anhum ajma'in.

Buku Menjadi Hamba Allah (MHA) ini merupakan buah tangan saya yang ketiga, selepas kejayaan di luar jangkaan buku Berteduh Di Kebun Cinta, dan Melakar Pelangi Cinta. Buku ini adalah bingkisan dan rakaman realiti hidup manusia, dan seorang muslim yang berhadapan sisitem hidup dunia untuk diterapkan sistem hidup islami, syariatullah berlandaskan Al-Quran dan Hadith. Bermula daripada pertalian hidup seorang hamba dan Tuhan, rumahtangga dan kekeluargaan, sosial hidup, persahabatan dibahaskan di dalam buku ini, agar kita dapat mengembalikan semua ini kepada metod cara hidup seperti yang diteladani oleh Rasulullah s.a.w.

Buku bergenre Motivasi Ketuhanan. Mengekalkan konsep penulisan santai, diselitkan dialog untuk menarik minat pembaca mendalami setiap bab yang akan dibincangkan. Diselitkan juga ayat-ayat suci Al-Quran, Hadith dan kata-kata hikmah untuk meletakkan nilai pembacaan yang tinggi bersama sekalung hujah yang mampan.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa, dan para sahabat yang tidak sirna memberi sokongan padu untuk saya bertungkus-lumus  menyiapkan buku ini. Tidak lupa kepada para guru saya di Maahad Muhammadi Lelaki dan Maahad Amir Indra Petra, tanpa kalian mungkin saya tidak seperti apa sekarang ini.

Kalian tetap di hati saya.

Semoga dengan kewujudan buku Menjadi Hamba Allah ini, menjadi pilihan para pembaca sebagai peransang, titik tolak untuk menetaskan jiwa hamba, berusaha membaiki diri, dan tetap utuh bermujahadah untuk bangkit meraih cinta dan redha Sang Pencipta, Allah Azza Wajalla.

Terimalah buah tangan saya, Menjadi Hamba Allah.

Jom menjadi hamba.



Kupasan santai dan efektif dari pelbagai dimensi dalam membicarakan IMAN

Keterangan Buku:

Nama Buku; Menjadi Hamba Allah
Penulis: Tuan Mohd Rezza Tuan Mohd Khanafiah
Nama Pena: Rezza Khanafiah
Genre: Motivasi Ketuhanan
Jumlah Bab: 26
Halaman: 192 (tidak termasuk kulit buku)
Warna Umum Kulit Buku: Hijau Laut
Terbitan: Must Read SDN BHD
Harga Pasaran: RM19.90 (Semenanjung) & RM22.90 (Sabah dan Sarawak)


Antara Kandungan Bab:

SINERGI HIDUP SEORANG HAMBA
MEMILIH  JALAN MERINTIH KE SYURGA
SETANGGI CINTA AGUNG
IKHLAS ITU REDHA
MAHAR CINTA SEORANG HAMBA
HAKIKAT BAHAGIA DICARI
Dan lain-lain...





Nota: untuk maklumat lanjut, tambah saya sebagai rakan facebook di alamat> Rezza Khanafiah


Teruskan Pembacaan>>>

Khamis, Jun 14

Mantapkan Iman Kerana Pilihan Antara Syurga Atau Neraka









Dalam nestapa tiada siapa menduga jalan kepayahan sering mengajar manusia agar sentiasa berhati-hati. Benar, manusia yang baik tidak akan tercampak ke lubang sama sebanyak dua kali. Kali pertama adalah peringatan, isyarat agar mata sentiasa celik dari ‘buta’ memandang ke hadapan. Cerahnya laluan kita adalah bergantung kepada amalan dan ilmu baik-baik yang bertindak sebagai perisai diri, natijah juga pada tindakan baik-baik.

Permulaan Islam kita kerana lahirnya iman.

Jadilah orang yang zuhud dengan dunia. Tidak terlampau inginkanya, mengejarnya dan mencintainya. Berusaha di dunia semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala. Namun bukan cuba meninggalkanya. Kita juga perlu berharap akan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Qanaah dan bersyukur dengan apa yang diberi. Hidup pasti bahagia dan buatlah sesuatu hanya kerana ALLAH serta kehendak diri yang mahu berubah.

Cara kita bekerja, berperancangan, dan berpersepsi adalah tidak sama. Kita akan mencapai sesuatu berdasarkan apa yang kita lihat, di penghujungnya kita mengarahkan sebuah motivasi menggerakkan sebuah momentum. Berpaksi kepada sikap ingin berubah dan mengubah, dia dan kita adalah sama kerana mahu menggapai sesuatu yang memberi kesan kepada setiap hati insani dan mencetus disiplin cara hidup teratur dan terarah.

Perjalanan kita adalah sama walaupun laluan sering berbeza kerana pengakhiran jua adalah bertamu di persimpangan Ilahi.

Kesudahannya antara Sakinah atau Musibah.

Syurga atau Neraka.


Nota: Jom add saya sebagai rakan facebook anda dan banyak perkongsian di sana; Rezza Khanafiah II
Teruskan Pembacaan>>>

Isnin, Jun 11

Cinta Monyet: Padah Terlanjur Melayan Nafsu

“Apa yang dimaksud ‘terlanjur’ pada ayat ustaz tu?” tanya seorang pembaca kepada saya.

“Usahlah ditanya, cukuplah kalimah tersebut menghantui kepala saya sejak kebelakangan ini” saya cuba meredakan hati yang sedikit risau melihat gelagat muda-mudi masa kini.

Mungkin para teman dan pembaca tertanya-tanya kenapa terlalu banyak mesej pesanan di yahoo messenger hingga memeningkan sesetengah sahabat-sahabat, tidak cukupkah sekali dihantar?

Saya terpaksa berbuat sedemikian bagi menjawab banyak pertanyaan sama yang diajukan di dalam e-mail, bahkan yang terbaru betul-betul menguji kesabaran saya. Apakah ini yang dikatakan darah muda yang berani memperlakukan perbuatan terkutuk ini?

Ada yang mengaku telah ditebuk oleh teman lelaki, terkapai-kapai mencari jalan pulang kepada-Nya.

Allahu Rabbi…!

Namun paling merisaukan saya, penyakit kronik ini berlaku di kalangan anta anti yang mempunyai asas ilmu agama sebagai pendiding. Ingatkan cerah hingga ke petang, hujan pula dipertengahan. Inilah yang saya persoalkan.

  وَمَن كَانَ فِى هَـٰذِهِۦۤ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِى ٱلۡأَخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلاً۬

    
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya” al-Israa’ (17:72)


 




Ada sesetengah yang berpendapat fatrah pertunangan adalah waktu untuk berkenal-kenalan. Jadi apa salahnya untuk keluar bersama ke taman-taman rekreasi, pusat hiburan dan sebagainya. Ini adalah pandangan yang fasad dan tidak diiktiraf oleh agama. Mana tidak semua hujah atau dalil tersebut berbaur khayalan dan bayangan iblis bagi memuaskan nafsu semata-mata. Benar, bertunang sinonim sesi suai kenal, namun kita selalu tersalah tafsirkannya mengikut kehendak nafsu dan diri tanpa mengambil kira undang-undang Tuhan.

Pendirian saya berkenaan dengan no couple (bukan perasaan cinta) sebelum kahwin sememangnya tetap tegar dan utuh dari bangku sekolah, universiti sehinggalah saya akan merasai nikmat berkahwin itu sendiri. Mungkin sayalah di antara individu yang amat tajam dalam mengkritik manusia yang bercinta hingga meleret-leret sebelum kahwin.

Terkadang terasa rimas dengan sikap sesetengah daripada kawan-kawan yang bercinta kononnya, sungguh mengajar erti kesabaran. Mabuknya melampau-lampau. Tunduk ego kelakian, dan lembik tengok para wanita. Bahkan saya sering beranggapan golongan yang bercinta sebelum kahwin ini kadang-kadang boleh menjadi munafik.

Bagaimana pula?

Kenapa tidak, semasa bercinta semuanya sikap yang baik-baik diperlihatkan. Daripada cakap-cakap manis romantik, pemberian hadiah yang tidak pernah putus-putus, puji-pujian yang melangit dan sebagainya. Tetapi apa yang berlaku selepas kahwin? Berapa ramaikah yang kekal dengan lakonan masa cinta tengah mekar subur sebelumnya? Jarang sekali akan ketemu mereka yang masih ingat pada skrip yang pernah dihamburkan dulu.

Inilah salah satu asbab punca penceraian yang tinggi di tanah air kerana pasangan terasa tertipu selepas belang sebenar pasangan mereka terdedah bilamana merasai sendiri bayangan rumahtangga yang sebenar.

TIADA MATLAMAT HIDUP JELAS

Bagi yang sudah terdedah dengan gaya hidup bebas, keluar bersama untuk dating, beriba dan bertepuk tampar bukanlah sesuatu yang pelik. Saya terkedu mendengar kisah hidup masyarakat muda-mudi Malaysia yang sudah ala-ala barat. Masalah ber-couple dan membawa balik pasangan ke rumah sudah menjadi perkara biasa. Paling menghairankan ibu bapa sendiri yang merestui hubungan haram itu.

Belum cerita lagi tidur sekatil yang makin menjadi ‘biasa’. Maksiat? Dosa? Semuanya tidak terasa dek kerana matlamat menghalalkan cara.

“Niat kami baik, bukan nak main-main pun, sampai masa kami kahwin la"

"Kamu sibuk jaga tepi kain orang ni kenapa? Macamlah baik sangat"

Biasa dengarkan ayat di atas?

Lain pula ceritanya dengan pasangan yang berkopiah dan bertudung litup. Kadang-kadang saya ketawa keseorangan dengan lakonan wara’ mereka. Berhenti solat di masjid semasa keluar bersama. Maklumlah alim dan wara’, miscall qiamullail, hantar khidmat pesanan ringkas (sms) tazkirah dan sebagainya adalah antara skrip murahan harian mereka.

Mabuk orang bercinta ni memang dahsyat. Mengapa mabuk, rindu dendam yang sama tidak diaplikasikan dalam bercinta dengan Allah Taala. Pelik bukan? Mulut kita mengaku cintakan Allah Taala, sayang Rasul s.a.w, namun amalannya masih jauh daripada hakikat sebenar.

“Macam mana nak kenal peribadi bakal isteri kalau tak bergayut dulu”  antara alasan yang pernah diberikan kepada saya.

Teringat saya cerita lama orang tua-tua kita yang berkahwin dan hanya mengenal pasangan masing-masing pada hari perkahwinan. Bahagia mereka lebih daripada pasangan moden yang kenal sampai ke dalam 'kain' sebelum diijabqabulkan. Pastinya kenyatan ini dijawab kembali:

“Ala itu dulu, sekarang dunia sudah maju, takkan nak ikut cara datuk nenek kita zaman Jepun dulu”  saya terkedu mendengar ayat berapi ini.

 SAY : “NO COUPLE”


Persoalan cinta sebelum kahwin ini merupakan tajuk yang panjang. Cinta tidak semestinya membawa kepada couple, namun bahkan cinta boleh menjadi wasilah kepada mungkar lain yang mungkin berlaku tanpa couple.
    
    وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٲجِنَا وَذُرِّيَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٍ۬ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا

    
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugrahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa” al-Furqan (25:74)


Magnet jantina ini sebenarnya satu fitrah dalam kehidupan manusia. Hal ini bukanlah perkara baru bagi kehidupan pelajar ditambah lagi dengan faktor umur di alam kampus tarikan untuk berpasang-pasangan merupakan perkara lumrah dan mendarah-daging dalam diri mereka.

Perkenalan di alam sekolah, kenal semasa kursus persediaan, kenal sebab sekelas atau satu universiti, kenal kerana pertukaran nota, bahkan kenal sewaktu sama-sama berprogram merupakan noktah pemulaan kepada eposid cinta remaja. Mungkin cinta monyet.

Jadi bagi yang sudah bermula untuk mencari, semak balik niat anda. Bagi yang sudah tersasar jauh jadikan cinta Allah Taala benteng ampuh dalam mengawal kerenah cinta anda yang bergelora. Akhirnya pesanan saya kepada semua yang ingin dan tengah bercinta, jangan jadikan couple anda punca tawar hubungan suami isteri selepas kahwin.

Mengapa perlu mencari marah Allah Taala semata-mata mencari bahagia manusia yang tiada jaminan.

Jauhilah maksiat bercinta sebelum kahwin, sinonimnya cinta monyet ini.
“Ya Allah. Kami ingin belajar untuk mentaati perintah-Mu. Kami belajar untuk menjadi hamba-Mu yang soleh dan solehah. Kami seringkali jatuh dan bangun, jatuh dan bangun lagi, dan lagi. Semoga kami terus dipimpin oleh-Mu. Duhai Tuhan ku”

Ameen


Nota: Jangan lupa add saya di akaun facebook anda di; Rezza Khanafiah II
Teruskan Pembacaan>>>

Ahad, Jun 10

Jadilah Wanita Solehah


 
 
 
 
 
 
Jadilah wanita solehah untuk penghidupan yang entah berapa lama lagi tersisa daripada terus terpalit dosa ketika meniti usia yang sangat singkat ini. Wanita solehah ialah wanita mampu memberi pengabdian tiada tolak bandingan dalam setiap gerak kerja sehariannya.

Biarlah takdir-Nya menjemput ketika kita mampu mengumpul pahala yang beralaskan iman, iaitu husnul khatimah. Pahala syahid pasti bersama seorang yang masih menjadi hamba kepada SATU Tuhan, bukan untuk membahagiakan 'tuhan-tuhan' (manusia) kecil yang juga makhluk kepada Tuhan Esa.... darjat, pangkat dan jawatannya tidak pernah menjamin kita dari terus selamat di pentas dunia, kecuali Iman dan Amal yang sentiasa mengiringi hingga sampai kepada-Nya.

Apabila seseorang manusia makin membesar, dan membesar pula dalam serba kewarasan mereka pasti akan melihat dunia dan keadaan sekeliling dalam pelbagai dimensi, soal intergriti akan terpanggil bersama selepas dia tahu manusia itu tidak semuanya bertopengkan manusia, melainkan hati-hati mentadbir agar terurus bukan mengurus dari mengecapi nikmat pahala dari sumber ibadat pelbagai.


Nota: Jom add saya di pemuka facbook baru saya; Rezza Khanafiah II
Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, Jun 9

Ingatlah ! Janji Syaitan Kepada Tuhan Mereka






BENARLAH kata-kata para hukama’ dalam kitab hikam bahawa anak adam sentiasa lalai, alpa sedangkan musuh anak adam sentiasa jaga. Keburukan syaitan dan iblis telah dimaklumi sejak kewujudan Nabi Adam as dan isterinya Hawa di Syurga lagi. Keangkuhan mereka menuruti perintah Allah Taala supaya sujud kepada Nabi Adam as selepas penciptaan baginda. Kesombong mereka pula terselah pada janji yang terpatri pada Kalam Ilahi menerobos pembatasan kewujudan asal mereka. Menjadi di kalangan hamba Allah Taala yang bersumpah taat setia tidak berbelah bahagi.


Allah Taala berfirman; bermaksud: “Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)”

“(Allah Taala membalas:) “Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberikan tempoh masa (ke suatu masa yang tertentu)”

“(Iblis berkata:) “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur” al-A’raf (7:13-17)








Kesombongan tadi telah mencampakkan mereka dari Syurga Allah Taala yang mulia. Tiada siapa sangka kerana ianya di dalam kekuasaan Allah Taala. Menurut beberapa riwayat bahawa syaitan dan iblis adalah antara hamba Allah Taala yang paling taat menyembah Allah Taala sebelum kewujudan Adam as. Namun semuanya berubah, sifat angkuh telah memberi tamparan hebat antara ketaatan dan kemahuan.

Allah Taala berfirman; bermaksud: “Keluarlah engkau dari Syurga sebagai makhluk yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi Neraka Jahanam dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya” al-A’raf (7:18)

Ketahuilah, syaitan tidak akan selama-lamanya tidur seperti anak adam terlena. Kerjanya hanya satu, memberi peluang kepada setiap anak adam untuk turut sama menempah jalan ke Neraka. Golongan paling disukai untuk didekati, mungkin juga paling mudah ialah wanita.

 
Ibn Abbas berkata; “Tidak ada dalam kalangan orang terdahulu yang menjadi kafir kecuali gara-gara wanita, dan orang terkemudian kafir gara-gara wanita”

Said Ibn al-Musayyab berkata; “Setiap kali syaitan berputus asa menggangu, maka dia (syaitan) akan melancarkan gangguanya melalui wanita”

Para wanita tidak digelar lemah kerana sahaja mereka berjantina sebagai nisa’ (perempuan) sebab mahupun rijal (lelaki) juga ialah hamba kepada Tuhan yang sama. Kelemahan tersembunyi (dalaman) lebih digeruni kerana lemahnya luaran masih lagi terurus dek akal yang kuat. Tapi andai lemahnya dalaman disebabkan akal kuat tidak pandai mengairi iman, kelak akan menumpah kepalsuan dalam memberi ketaatan. Tinggal lagi kemahuan mengangkat lemah menjadi kuat pada tuntutan bernafsu.



Nota: Jom add saya di akaun (acc) pemuka facebook baru; Rezza Khanafiah II
Teruskan Pembacaan>>>

Jumaat, Jun 8

Baiknya TUHAN Kita: Allah Azza Wajalla










Baiknya TUHAN kita..
Di waktu kita lapar..
DIA memberi kita makan.

Baiknya TUHAN kita..
Di waktu kita tidur..
DIA yang menjaga kita.

Baiknya TUHAN kita..
Di waktu kita lupa..
DIA yang mengingatkan.

Baiknya TUHAN kita..
Di waktu kita kesunyian..
DIA yang menghiburkan hati kita.

Baiknya TUHAN kita..
Di waktu kita jauh daripada-Nya..
DIA sentiasa dekat dengan kita.

Di waktu kita kita dekat kepada-Nya..
DIA makin dekat kepada kita.

Siapa TUHAN kita itu?
Katakanlah; Dia adalah ALLAH Azza Wajalla.


..............................................


Apa salahnya giliran kita pula menjadi hamba Terbaik kepada TUHAN kita.
Bagaimana?

Lakukanlah apa yang diperintahkan TUHAN
Tinggalkan apa yang dilarangkan TUHAN
BerTasbih, BerTahmid, dan BerTakbir.
Tinggalkan Dosa Besar, dan Kurangkan Dosa Kecil lantas BerIstighfar.
Tingkatkan Kebaikan, dan jauhkah segala Keburukan.


Menadah tangan seraya berdoa; "Ya Allah Ya Rahman, aku hamba Mu yang hina di balik dosa ku kepada Mu, aku mendamba untuk menjadi hamba Mu yang bertaqwa.. maka ampunilah dosa-dosa ku dan bimbinglah aku ke jalan diredhai oleh Mu"


Tanda Cinta dan Sayangkan kita kepada Allah Taala TUHAN kita, dan ISLAM agama-Nya. Jom sebarkan (SHARE) Tazkirah ini agar menjadi sebahagian sumbangan BAIK kita.


Nota: Jangan Lupa Add saya sebagai rakan anda di acc facebook baru saya; Rezza Khanafiah II


Teruskan Pembacaan>>>

Khamis, Jun 7

MAHAR: Adat Versus Ibadat. Petua Mengurus Kewangan Selepas Kahwin





Allah Taala berfirman, bermaksud; ".... Allah mengkehendaki kamu berada di dalam kemudahan, dan Allah Taala tidak sesekali mengkehendaki kamu berada di dalam kesusahan..." al-Baqarah (2:185)





"Tak payahlah nak mengada sangat. Lupakan dia. Kau tu doktor, mana ada class dengan mamak dispatch tu. Kalau si mamak tu tak ada RM20k, tiada kereta, tiada rumah, kerja cukup-cukup makan. Jangan ada hati nak kahwin dengan kau" si anak perempuan tertunduk pasrah sambil tisu di tangan mengesap pipi, mendengar si ibu berleter.

"Kalau boleh mas kahwin RM22,222.22 tunai. Dapatkan hak eksklusif siaran langsung TV11. Buat di Hotel Hilton. Catering untuk 10k tetamu. Pelamin di raja. Pakaian pengantin 3 pasang. Ada sesi photography di Zoo Negara. Hantaran 7 dulang, RM1k setiap satu. Bla bla bla..." si ibu yang terlebih excited, manakala si anak yang nak kahwin tetiba membuat muka seposen.

Apabila acuan material terbentuk di dalam minda masyarakat, mahar hantaran menjadi tinggi sehingga membawa implikasi buruk kepada teruna dan dara. Ibu bapa memohon mahar dan hantaran yang tinggi seolah-olah menggali lubang durjana untuk anak gadis mereka dan diri sendiri.

Tiada lagi tuntutan pada sunnah Nabi s.a.w. Mudah dan memudahkan. Tiada lagi ciri agama diletakkan paling hadapan. Berduit, baik keturunan, dan rupa paras itu adalah satu pakej lengkap yang datang bersama agama.

"Dari Amir bin Rabi’ah bahawa seorang perempuan dari suku Fazarah telah berkahwin dengan mas kahwin sepasang sepatu. Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya, “Kamu sanggup diri kamu dimiliki dengan mas kahwin sepasang sepatu ini? Jawab perempuan tersebut, “Ya,” (Direkodkan oleh Imam Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi)

Terdapat beberapa tips yang boleh diketengahkan dan digunapakai kepada setiap pasangan yang berkira-kira untuk naik pelamin, namun berdepan situasi sukar seperti masalah kewangan;

1) Cadangkan kepada pihak keluarga si perempuan, dengan persetujuan semua agar hantaran berdulang-dulang tadi ditukar dalam bentuk simpanan emas, saham atau saham amanah. Tidak ketinggalan perlindungan lengkap takaful. Cara ini tidak akan membebankan bakal suami. Dan pasangan mempunyai satu jaminan masa depan.

2) Bersederhana dalam walimah atau kenduri. Paling kurang korbankan seekor anak kambing dan 7 ekor ayam. Cukup untuk 60-70 orang makan di kalangan ahli keluarga kedua-dua mempelai itu, termasuklah Tok Imam dan Bilal masjid.

3) Financial Freedom (bebas kewangan). Misi dan visi untuk mengelak kadar belanja seharian melebihi pendapatan bulanan suami isteri. Kena bijak mengatur kredit dan debit. Dahulukan yang utama daripada pertama seperti sewa rumah, bil elektrik, makan minum, lampin dan susu anak, dan sebagainya.

4) Jangan boros. Amalkan pelaburan jangka panjang kepada anak-anak. Menabung sekadar RM20-30 perbulan daripada gaji diperolehi, plus gaji pasangan RM40-60. Aset kepada anak-anak untuk masuk universiti. Contoh: RM60 (1 bulan) X 12 bulan = RM720 X 18 tahun (usia anak masuk universiti) = RM12,960. Belum masuk bonus dan sebagainya.

Paling penting setiap pasangan yang ingin berkahwin, jangan takut untuk meyakinkan keluarga masing-masing terutama si lelaki. Jejaka macho hendaklah berani bertemu keluarga pasangan. Jelaskan kepada mereka tentang keupayaan kalian untuk mengambil alih tugas menjaga anak perempuan mereka. Percayalah kepada kuasa komunikasi. Kemudian rancanglah pengurusan kewangan yang mantap.

Mulai saat itu, tiada lagi istilah rehat dalam kamus hidup anda.

Apa salahnya sesekali kita menyantuni dan bertadabbur dengan ayat Allah yang satu ini. Allah Taala berfirman, bermaksud;

".... Allah mengkehendaki kamu berada di dalam kemudahan, dan Allah Taala tidak sesekali mengkehendaki kamu berada di dalam kesusahan..." Al-Baqarah (2:185)

Baiknya TUHAN kita. Dia tidak membebani para hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak terpikul olehnya. Allah Taala itu Maha Penyayang. Sepatutnya, kita sebagai hamba hendaklah lebih-lebih lagi bersifat dengan sifat Allah Taala ar-Rahman itu. Memudahkan urusan saudara seislam lain untuk mendirikan masjid. Kita pasti akan dimuliakan-Nya.

Anda bagaimana?



Nota: Jangan lupa tambah saya sebagai rakan anda di Rezza Khanafiah II. Banyak lagi perkongsian di sana.
Teruskan Pembacaan>>>

Rabu, Jun 6

Ustaz ! Bercinta Mengikut Islam Macam Mana?




Assalamu'alaikum wbt Ustaz,

Cinta Platonik adalah sebuah istilah yang dipakai untuk menyebut sebuah perkaitan kasih sayang, tetapi unsur-unsur rasa tarikan secara seksual tidak wujud. Istilah ini diambil daripada salah satu bahasa Yunani, Plato, terutama dari karyanya Symposium, yang tertulis bahawa cinta akan wujud daripada kebaikan adalah dasar dari semua kebajikan dan kebenaran.-

Ustaz, saya nak tanya. Apa pendapat ustaz mengenai hubungan cinta platonik ini? Terima kasih.

Daripada: Aisyah


Maklum-balas:

Bismillahir Rahmanir Raheem. Terima kasih kepada saudari Aisyah yang bertanya dan para sahabat yang saya kasihi. Maaf terlambat memberi maklum-balas.

Sebenarnya dalam islam tidak menghalang sesiapa di kalangan umatnya untuk menikmati, merasai kehidupan bercinta. Bahkan islam agama yang menggalakkan cinta, menyuburkan cinta sesama insan, antara makhluk ciptaan Tuhan dengan berlandaskan acuan syariat sebagai pakaian umat islam.

Cinta apa sekalipun asalkan mengikut ajaran Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w maka tiada halangan kepadanya untuk beradu di hamparan kasih sebagai manusia normal. Jika saudari katakan cinta tersebut menekankan kebaikkan maka islam lebih-lebih lagi memelihara ummatnya untuk menjadi lebih baik dan hebat. Bercinta tidak salah, namun yang sering bermasalah ialah orang yang bercinta itu kerana selalu gagal meletakkan asas cinta di makam yang terpuji. Terlalu emosi hingga mengabaikan tujuan utama kasih sayang berkonsepkan islam, maka timbul pula gejala-gejala lain yang boleh menjatuhkan maruah cinta tadi di tempat yang rendah dan salah.

Jika kita bersedia untuk mencintainya, maka bersedialah juga untuk mengambilnya sebagai teman hidup yang sah baik sebagai isteri mahupu suami. Mengecewakan dan meluluhkan hatinya kerana gagal bercinta adalah episod yang sangat tragis dan amat tidak disukai agama, kerana di sana terbitlah urna-urna dosa yang mungkin menjauhkannya kepada Tuhan Pencipta Cinta lantaran terlalu kecewa itu.

Tahukah kita akan cinta yang paling agung lagi qudus suci? Ingin saya khabarkan, cintailah-Nya Tuhan Esa sebelum hadir cintanya manusia.

Selamat berCinta. Peace

Wallahu 'alam ^_^

Nota: Jom add saya sebaga rakan facebook anda di: Rezza Khanafiah II
Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Jun 5

Jom Tambah Rakan Di Facebook Saya

Assalamu'alaykum wbt.

Apa khabar semua para sahabat saya di lama blog puteraazhari? Didoakan kalian sentiasa sihat dan baik-baik hendaknya dan di dalam kehendak-Nya. Sudah lama tidak menulis di ruangan ini kerana kekangan masa. Ditambah pula terdapat medium yang lebih efektif untuk menyampaikan dakwah.

Tidak menafikan laman blog telah mengangkat nama saya dua tahun lepas. Daripada dua tiga orang yang setia mengikuti perkembangan penulisan saya sehinggalah ratusan pengikut. Terima kasih di atas sokongan kalian.

Kini saya banyak menghabiskan masa untuk menyampaikan maklumat, perkongsian, luahan, dan dakwah di laman pemuka Facebook. Jadi saya dengan rasa rendah diri kepada semua followers yang add blog ini sebagai pautan kepada blog kalian, silalah add saya di akaun (acc) facebook baru saya; Klik di sini > Rezza Khanafiah II

Semoga kita dapat sama-sama berkongsi ilmu dan memperolehinya dalam kadar yang lebih cepat dan berkesan.

Jazakumullahu khairan al-Jaza'

Nota: Tolong sebarkan kepada rakan-rakan yang lain. Thanks ^^
Teruskan Pembacaan>>>

Rabu, November 2

Kembali Untuk Mengingat

Peringatan untuk diingat.



Bukan mudah untuk pertahankan apa yang kita dapat daripada mendapatkan sesuatu untuk dipertahankan. Ruh dan hati sentiasa dekat dan rapat, namun gagal diikat dengan ketat untuk membolehkannya melekat kerana hati larut dalam musibah yang pekat. Maka hilanglah keinginan untuk berubah dan mempercayai. Percaya bahawa hati ini mampu meraih tempat di sisiNya walaupun sudah lama tersasar.

Memang benar Allah Taala selalu mengingatkan para hambaNya dalam KalamNya yang mengandungi lautan ilmu yang sangat luas dan tidak terjangkaukan pemikiran jika diteliti dan diperhalusi. Di sana kaya dengan pelbagai peringatan, teladan dan pembelajaran yang cukup fleksibel dan sesuai di sepanjang zaman. Kita boleh mengambil iktibar sesuai dengan keadaan semasa.

Peringatan itu boleh membentuk akal bertindak dengan cekap dan tepat.

Adakalanya sebagai pemimpin yang bijak yang berkuasa tetapi memilih untuk tidak bertindak, mengapa? Kerana kurangnya mengingat suruhanNya daripada tunduk kepada manusia.

Adakalanya kita merasakan kita tinggi ilmunya dengan pangkat dan deretan ijazah, tetapi ada yang lebih berilmu atas kehendak Allah Taala.

Dan jika kita merasakan kekayaan pada kita; alangkah baiknya jika kita sedar semuanya dari siapa dan pada bila-bila boleh diambil semula olehNYA..

Peringatan dan pasti untuk diingat. Belajarlah untuk berjaya selepas percaya melihat potensi yang pasti sebelum terpasti. Ingat!
Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Julai 5

Menyuburkan Jiwa Dalam Dakapan Iman






Air hujan pada bumbung langit turun menjamah manja tanah gersang. Derapan kaki di dada bumi pula dibesarkan mengimbangi kecurahan air hujan yang terjun mencuram, sebelum pakaian melekat di badan basah. Beburung tidak lagi kelihatan bermain di ruangan angkasa. Anak-anak berlari kecil memenuhi setiap ruang di ‘pinggiran’ tembok bangunan usang. Malam pula menyingsing di kala senja mengantikan siang.

Indah sungguh skrip yang terlakar pada hari tu. Hanya Allah Taala sahaja tahu dan mengerti cerita hati yang tersirat di sebalik babak ke babak silih berganti ini. Inilah sunnatullah, perjalanannya sudah ditulis.

Saya tidak pandai membaca tulisan alam, apatah lagi menggarap dalam tulisan manusia unik ini. Permainan ini akan tetap diteruskan sama ada manusia itu sedar atau tidak... berjalan seperti biasa, tidak menunggu pada yang terlambat.

Manusia berjalan tidak sesekali sama dengan manusia berlari, dan jauh pula untuk dibandingkan dengan manusia menderai kuda. Tiada persamaan di antara satu sama lain. Destinasi utama dijadikan idaman. Ada yang lalai dan masih lagi alpa dibuai ulikan dunia. Persiapannya hanya berbekalkan pertualan hidup sia-sia.

Benar siang tidak selama-lamanya, akan sampai jua masanya digantikan malam.

Usaha ke arah kebaikan bukan sahaja bergantung pada ingin dan tahu, malah pada pengalaman yang memandu. Pengetahuan isi luaran, bermain bersama persekitaran, membedah warna-warni isi alam, jatuh bangun bersama semangat ingin membaiki kelemahan. Inilah pengalaman yang berfungsi.

Pengalaman itu sendiri bukanlah guru. Pengalaman akan hanya menjadi guru apabila kita memproses pengalaman itu. Dapat dikenal-pasti hujung pangkalnya, kelebihannya, kelemahannya dan dirumuskan sebagai panduan. Adapun panduan itu tidak optimum kecuali apabila ia didokumentasikan.

Dokumentasi pengalaman yang saya harapkan ialah tepat dan jelas. Tepat sahaja, tapi kalau tidak jelas, abstrak, tidak praktikal akan menghilangkan nilai tepat itu tadi.

Apakah hanya apabila kita berada di dalam kubur, barulah kita akan tersentak (tersedar) dalam memahami apa sebenarnya hakikat hidup ini? Pada waktu itu baru kita faham dan akur tentang apa tujuan kita dihidupkan di dunia. Dan di situ jualah baru kita sedar apa yang paling bernilai dan apa yang tidak bernilai dalam hidup.

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya (dengan keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat masa datangnya – iaitu hari seseorang melihat apa yang diusahakannya, dan (pada hari itu) orang yang kafir akan berkata: “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)” an-Naba’ (78:40)

Keadaan ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah Taala dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi ‘tuhan’ dalam hidup ini.

Kesedaran seseorang hamba juga terletak pada proses menyampai (seruan). Terpulang sama ada ianya datang daripada diri sendiri, atau orang lain.

Kita perlu merasai terlebih dahulu, kita terlebih memakan buah-buah (ilmu, pengalaman, dan buah fikiran) tersebut, bimbang kita memberi kulit buah sahaja kepada orang-orang yang mendambakan.

Biar kita merasai kemanisan dalam beribadat, ketenangan dalam melihat makhluk ciptaan-Nya, kelazatan ketika menyebut nama-Nya, perendahan diri secara mutlak tatkala sujud di hadapan-Nya. Tenggelam dan asyik dalam melihat-Nya. Jangan pula kita tenggelam dalam ego dan kemasyhuran yang menyebabkan kita terdinding dari orang yang diberi akan ilmu hikmah.

Berilah dengan ikhlas, dan terimalah dengan penuh redha.

Hikmah pula lahir dari proses mengeluarkan kesimpulan baik dari mehnah. Tersurat di sebalik tersirat. Ujian dunia didepani dengan bijak, dan disalurkan pada kebun nurani lembut. Bertahan di atas kesulitan.

Berunding lebih senang memahami hikmah, dari terus melulu menunding.

Dilihat secara keperluan modal, nilai harta jasmani (kewangan) yang diperlukan untuk usahawan perundingan adalah antara yang terendah di dalam perniagaan. Ini adalah kerana, perundingan mengambil harta intelek (keilmuan) sebagai bahan untuk dimuamalahkan.

Kalau berniaga dengan Allah Taala sekalipun kita mengharapkan elemen keuntungan, saya kira tidak ketara kalau dikatakan perniagaan sesama manusia juga mengharapkan elemen asas yang sama. Bukan keuntungan itu yang menjadi ukuran kita memulakan perniagaan, tetapi dapat bersama melaksanakan pertukaran bahan itu yang lebih utama.

Kalau perniagaan lama melibatkan pertukaran garam dan gula, tiada salahnya perniagaan kini melibatkan idea dan poket kita. Dalam pengurusan pertukaran tersebut, yang kita rujuk sebagai berniaga, sudah pasti sudah pasti pengurusan segalanya memerlukan sumber, berbentuk tenaga dan apa yang ada di poket kita.

Berapa banyak kita hendak mengautnya untuk kita yang akan menjadi ukuran kepada keikhlasan kita dalam berniaga. Membantu agama suci ini.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu” Muhammad (47:7)

Berniagalah kita dengan Allah Taala, dengan memberi dan terus memberi manfaat kepada manusia lain. Ketika proses memberi inilah, memahmudahkan jalan kita mengenali Tuhan yang mencipta, dari tiada kepada ada. Keuntungan perniagaan di saat ini kita perolehi, modalnya pula tiada dipinta.

Perhatikan alam terbentang luas dalam erti kembara mencari TUHAN.

Dialah Allah Taala, Tuhan Maha Besar. Maha segala-galanya.
ameen

Teruskan Pembacaan>>>

Ahad, Mei 22

BDKC Cinta Pertama Ku (Ameen)

KINI saya berpeluang untuk meninggalkan jejak di ‘rumah’ yang telah lama ditinggalkan akibat kesibukkan berpanjangan selepas tiba di bumi anbiya’ sedari dua bulan yang lalu. Hanya kepada Allah Taala dipanjatkan rasa syukur ini, bersama hadirnya kekuatan luar biasa dari yang biasa-biasa saya mampu terus menapak di bumi milik-Nya dengan helaan iman dan Islam.

Buat pengetahuan para pembaca dan berita baik khususnya kepada para pembaca di tanah air, sebenarnya kini buku Berteduh Di Kebun Cinta (BDKC) telah berjaya diterbitkan di Malaysia. Ramai yang bertanya akan kemunculan sulung buku BDKC (sila klik) di dalam negara selepas buku ini berjaya mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia, Indonesia, dan Singapura di Mesir. Kali ini saya mampu menarik nafas dan bersyukur kerana setelah sekian lama barulah ianya dapat direalisasikan.

Alhamdulillah...

Terima kasih saya ucapkan kepada saudara Mohd Radzi Sulaiman (Abang Ito Lara) kerana memberi kesempatan dan peluang serta melahirkan minat untuk memasarkan buku BDKC di Malaysia. Di atas usaha Abang Ito dan warga kerja Wahyu Suci SDN BHD yang tidak kenal erti putus asa selama berbulan-bulan bermula dari pengubahsuaian design kulit buku, font tulisan di dalam, dan editan kandungan di dalamnya bakal memberi kepuasan maksima kepada pembaca... sudah pasti pengisiannya yang diberi keutamaan untuk menarik minat membaca.

Berteduh Di Kebun Cinta (Malaysia)

Buku motivasi ini digarap berdasarkan pengalaman hidup penulis berhadapan manusia di sekeliling. Bergenre motivasi kekeluargaan, cinta remaja dan dakwah cuba mengajak para pembaca membedah seni urna hubungan antara ruh dan jasad terutama memahami kehendak fitrah cinta dalam setiap hubungan mengikut kacamata syariat (Islam). Buku motivasi BDKC ini didatangkan dalam 37 bab, di mana ianya telah di susun mengikut urutan fasa kehidupan manusia bermula fasa remaja dan percintaan, pertunangan, pernikahan, rumahtangga dan keluarga. Menjadikan pengisian di dalam kelihatan menarik dan sedikit ilmiyah juga disertakan dalil-dalil Al-Quran dan Hadith yang menyokong serta kata-kata hikmah (hikam) daripada ulama’ dan hukama’.



Kulit buku depan dan belakang


Latarbelakang buku BDKC:

Judul: Berteduh Di Kebun Cinta
Penulis: Tuan Mohd Rezza Tuan Mohd Khanafiah @ Rezza Khanafiah
Genre: Motivasi cinta, kekeluargaan, dan dakwah
Halaman: 278 muka surat
Saiz: 203mm x 150mm
Harga: RM24.90 (Semenanjung) dan RM25.90 (Sabah dan Sarawak)
Tambahan: Teks di dalamnya ditulis dalam dua warna utama hitam dan biru (kedua)

Cinta yang indah adalah cinta yang menyatukan impian dan nafas dari dua jiwa, tapi yang tetap memisahkan mereka sebagai dua jiwa yang saling menghormati kemandirian masing-masing. Mereka tidak dapat berpisah, tapi tidak mungkin menyiksa satu sama lain untuk menjadi sama dengan yang lain. Cinta adalah kekuatan yang menghormati kemandirian dan memuliakan kebersamaan. Selain daripada itu, tidaklah dinamakan cinta.

Kebahagiaan dalam rumahtangga adalah salah satu dari juzuk daripada himpunan kebahagiaan yang lebih besar. Jika dapat menikmatinya, maka syukurlah. Jika tidak, kita burulah kebahagiaan yang lain yang hampir pasti. Insya-Allah, lama kelamaan masalah tidak akan menjadi masalah lagi. Apabila kita sudah terbiasa dan menghadapinya dengan hati yang penuh redha maka tiadalah kepayahan terungkap di bibir mahupun pada kudrat yang memikul. Pengorbanan kita akan dinilai oleh Allah Taala. Ada ganjarannya di dunia lagi, sebelum akhirat yang abadi.

p/s: untuk berkongsi maklumat terkini dan pengisian yang terkandung di dalam buku Berteduh Di Kebun Cinta sila layari link ini: Page BDKC
Teruskan Pembacaan>>>

Khamis, Mac 24

Memaknakan Kejayaan Hakiki






PASTI wujud di kalangan para pembaca rasa berdebar-debar menanti tanggal 23 Mac 2011. Bila dah sampai, tinggal beberapa detik lagi, hati dah jadi gelisah, resah. Ketika ini ramai mengambil tindakan berkecuali, tidak banyak cakap, lebih senang dan tenang zip mulut sahaja. Mungkin juga ada di kalangan anak-anak, saudara mara, jiran tetangga, atau ahli keluarga pembaca lain yang telah menerima slip peperiksaan SPM semalam.

Dia tahu, harapan sudah pun terpikul di bahu, usaha sudah, tapi kali ini benar-benar mengundahkan jiwa, dia cuba memujuk diri, lari dari cengkaman ini. Usahkan calon SPM, ibu bapa juga turut terbawa-bawa dengan gelagat sama bila melihat perubahan sikap anak-anak mereka.

Kita dulu bagaimana?

Ada sejarah tersendiri dilakarkan bukan?

Kalau kejayaan disebabkan usaha gigih kalian selama ini, linangan air mata kalian terlalu mahal, sangat manis. Namun kegagalan kalian disebabkan malas, dan kebodohan tindak-tanduk kalian dulu, jangankan ibu bapa, diri sendiri dipersalahkan bahkan air mata mendatangkan mudhorat. Jangan pula ada tidak bertegur sapa, tidak mahu ambil tahu dan sebagainya.

Tiada kejayaan tanpa usaha yang gigih, semua orang mempunyai makna kejayaan yang tersendiri, cara merai tersendiri, rasa kepuasan tersendiri. Kadangkala, bila kita puas selesaikan sesuatu perkara, itu pun dikatakan berjaya. Ya.. melalui kepuasan diri sendiri. Memang besar nikmat Allah Taala berikan kepada kita, nikmat akal, sihat dan sebagainya supaya kita dapat memilih yang baik mahupun sebaliknya.

Jangan pula salahkan takdir, andai diri pincang mentadbir.

Belajar itu tadbir, usaha itu tadbir, tuisyen itu tadbir, latihan tubi itu tadbir, berjaga malam mengadap buku itu pun tadbir, dan semua ini akan mempengaruhi takdir kita. Baik, Kita berjalan berbekalkan dua biji mata celik, tapi itu tidak bermakna kita selamat, kecuali kita ada hati-hati, berhati-hati melihat ke depan, kiri kanan ini adalah tadbir, bimbang ada lubang menghalang, pasti terseliuh kaki, natijah dari hati-hati tadi ada takdir kita.

Usaha dahulu, rasa susah jerih dulu, barulah berserah.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertakan kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertakan kemudahan” ash-sharh (94:5-6)

Redha pula dipenghujung ikhtiar.

Kehidupan itu adalah sekolah kepada diri kita, banyak perkara yang bisa dipelajari dalam hidup ini. kejayaan seseorang itu bukan sekadar terletak pada kesungguhan, tetapi pada kehidupan yang dilalui sehingga menjadikannya seorang yang berjaya.

Kesusahan dan keperitan hidup banyak mendorong seseorang untuk berjaya dalam hidupnya. jika kita kaji balik tentang kejayaan insan-insan hebat di dunia ni, kebanyakan mereka bermula dari keadaan susah menempuh keperitan hidup.

Penting kejayaan kita bukan sebaik-baik kayu pengukur andai kurang berjaya akhlak atau gagal sakhsiah.

Peluang untuk berjaya terbuka kepada sesiapa, tidak kira sesiapa pun kalian. Boleh jadi hanya anak seorang petani, anak nelayan, luaran biasa-biasa, kerana mengukur kejayaan itu perlu pada hati kental, tiada rasa putus asa, kehidupan susah lebih sinonim sebab perjuangan dia bukan sahaja perlu berjaya sebagai pelajar tapi paling penting sebagai manusia, seorang muslim (hamba).

Bila melihat keperitan mereka, apa yang mampu ialah menghulur secebis rasa simpati dan memberi harapan. Jujurnya, mereka sendirilah yang perlu bangkit dan meneruskan perjuangan di kala sisi luaran malap, hidupkan pula obor semangat dalaman.

Segala apa dilakukan manusia mempunyai kesan sampingan yang lebih ketara berbanding kesan yang datang dari makhluk Allah Taala lain. Ini kerana manusia dibekalkan akal untuk berfikir, deria untuk merasa, dan hati untuk mengerti. Baik buruk kelakuan manusia akan tahu juga mana air dan mana api, membedakan antara al-Haq (benar) dan al-Batel (salah). Kedua-duanya tidak akan bercampur. Kepulangan pada fitrah manusia agar jadi baik adalah kemuncak kesempurnaan iman di jiwa.

Kita berhak memilih jalan sendiri.

MASA DEPAN

Bila sudah terjawab semuanya, masing-masing sudah memegang slip peperiksaan, maka bermulalah lembaran baru, iaitu menentukan hala tuju seterusnya. Pasti ramai sedang berpusu-pusu ke bank untuk dapatkan borang UPU, permohonan dibuat secara online, lebih cepat, mudah dan selamat.

Kalau result setakat cukup-cukup makan, pening juga nak hitamkan bidang paling sesuai, jurusan mana lebih secocok. Kalau result hebat-hebat, tiada masalah sebab mereka lebih cenderung untuk bersaing dalam bidang kritikal kerana sudah terbukti mampu. Maka jadilah ada di antara kalian lebih suka memilih apa yang dipilih oleh teman karib, alasan mudah nak studi, senang ambil berat, tak mahu berpisah. Mereka ini akan cepat mengalami sindrom down di bidang bukan medan sebenar dia.

Pilihan sendiri dan pilihan paksa, jauh lebih menggerunkan bila dipaksa.

Kita tidak selama-lama akan bergantung kepada manusia lain, tidak bererti kita langsung menepis bantuan mereka. Kaki kita melangkah, kita putuskan ke mana, tangan kita pegang, kita tentukan mana satu. Kita hanya dibekalkan pengalaman, kata-kata orang lebih tahu mengenal kehidupan sebelum kita mampu celik, mampu pegang, mampu melangkah.

Masa depan anak-anak tidak seharusnya ditentukan oleh keluarga. Peranan keluarga hanya menunjukkan jalan-jalan yang seharusnya dilalui oleh anak-anak. Melalui kaedah ini mungkin anak-anak mempunyai gambaran tentang minat dirinya. Menentukan karier anak akan menjadikan mereka pada suatu hari nanti buntu bila menghadapi kemelut dalam karier mereka.

Tidak dapat meneruskan hala tuju dengan jitu dalam kariernya kerana jiwanya tidak penuh dengan apa yang dilakukan.

Maka jika dia seorang ahli ekonomi, ilmunya tidak dimanfaatkan dalam bidang ekonomi kerana jiwanya bukan jiwa ekonomi. Kalau dia seorang doktor, rawatannya hanya sekadar memberi rawatan, memberi ubat, dan dapat gaji besar. Jika dia imam masjid, maka dia hanya menjadi imam di kala solat sahaja, tidak lebih daripada itu. Mereka akan jadi jumud ketika berhadapan sistem nilai kehidupan.

Jika mereka mempunyai panduan dan bimbingan, mereka akan menjadikan minat dalam diri mereka sebagai option. Kalau mereka seorang pelajar perubatan, tanam sikap supaya benar-benar menjadi seorang doktor, berjiwa dan bernaluri doktor yang merawat bukan sekadar memberi deskripsi ubat. Mereka akan menjadikan minat mereka sebagai aktiviti kedua mereka.

Buatlah pilihan terbaik berdasarkan minat, bukan ikut-ikut teman kelak kalian akan penat. Mudah lesu dalam bidang itu.

Untuk kejayaan menyeluruh, penekanan perlu kepada penserasian atau pengimbangan pada kedua-dua hujung dengan memastikan bukan sahaja pengurusan masa, menghadiri kelas tambahan, latihan tubi, bersengkang mata baca buku tapi keupayaan kita berhubung dengan Maha Pemberi Kejayaan.

MULA DARI REBUNG

Bila kita berbicara tentang sebuah pokok bunga segar, tidak layu, pasti kita tahu kenapa terjadi keadaan sedemikian rupa. Sudah pasti cukup pengairan pada akar, tidak terlindung dari mendapat cahaya, tiada serangga perosak. Maka kita mula sedar, bahawa mendapat hasil seumpama ini bukan jalan mudah, perlu pada perhatian dan pemerhatian. Kita boleh samakan pokok bunga itu tadi adalah anak-anak yang perlu dididik, disuap ilmu, sebagai makanan rohani

Penjaga baik ialah seorang ibu bapa prihatin, melihat kehadapan, masa depan tumbesaran anak-anak mengjangkau jauh ke ufuk timur, mendasar jauh ke bawah perut bumi Ilahi, melambung jauh hingga ke angkasa.

Wahai ibu bapa ketahuilah, kelahiran anak-anak di dunia ini adalah pelajaran baru bagi kalian, ianya satu amanah perlu dipikul. Menjadi ibu dan bapa yang tidak mengherdik anak-anak dengan kata-kata kesat, tidak mendoakan yang bukan-bukan kepada anak. Kata-kata herdikan, akan menjadi doa yang akhirnya membinasakan anak-anak secara tidak sengaja.

Kesian kepada ibu bapa kebal menahan penat bekerja siang malam berpanasan, bersejukan tapi kurang kebal dalam mendidik anak-anak. Ujian barangkali kita nampak di luar sahaja, sebenarnya ujian daripada anak-anak lebih berat ditanggung, masyarakat tidak pernah kering air mulut mempersoalkan keburukan tangan kita daripada kebaikan.

Sumpah seranah terlekat di birai bibir mereka, ngeri pula bila terkenangkan begitu.

Belajar untuk berkata cukup pada apa yang ada, semua itu bukan penghalang untuk mencari kebahagiaan dan keredhaan di sisi Allah Taala. Rahmat Allah Taala jua penentu segala-galanya, jadikan kekurangan ada untuk kita membina kekuatan. Kurang tidak bererti kita lemah, lemahnya kita sebab kita kurang bersedia mencanang hidup ruh islami dalam dunia serba mati ini.
Teruskan Pembacaan>>>

Jumaat, Mac 11

Luahan Anak Muda Sehebat Salahuddin Al-Ayubi

SERING kali kita dihadapkan pelbagai sikap manusia di sekeliling. Bersama dengan sekalung niat yang baik kita mula menapak kaki di bumi. Ketika kita mengharapkan kebaikan juga hadir kerana baiknya perilaku dan tindakan yang dihulurkan, namun lain pula yang menerjah diri. Jarang kebaikan dibalas dengan kebaikan, penindasan pula mengambil tempat. Mujurlah diri tahu dan cepat bertahan kerana apa yang kita lakukan demi sebuah kebaikan, kita hanya memohon kebaikan itu dibalas oleh Allah Taala.

Bagaikan sebalang botol yang kosong yang terdedah kepada persekitaran yang terbuka tanpa diisi dengan perkara yang boleh dimanfaatkan seperti air suci untuk kegunaan ketika wudhu’, dipenuhi dengan tanah subur buat menumbuhkan benih yang ditanam atau diisi dengan akar kayu buat menyembuhkan penyakit badan, maka di setiap inci itulah risiko untuk diisi oleh keburukan amatlah tinggi. Air suci tadi akan tercemar dengan kekotoran bakteria dan kuman kerana tiada penjagaan. Tanah subur pula akan bercampur dengan sisa toksid yang memberi kesan pada sistem tumbesaran, dan tiada lagi akar kayu yang bermujarab apabila tiada keseimbangan pencahayaan dan perudaraan semulajadi.

Begitulah dalam konteks penjagaan hati. Hati manusia ini perlu penjagaan yang berpanjangan dan hendaklah sentiasa diisi dengan kebaikan-kebaikan agar bisa menimbuskan keburukan yang siap siaga untuk menyerang dari setiap sudut. Terasa tawar untuk membuat maksiat kerana nikmat kebaikan tadi sentiasa manis.

Tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.

Kalis maksiat.

Itulah antara bentuk ujian yang perlu dihadapi.

Benarlah kalam para mujahid fid deen; bahawa untuk memperolehi Syurga Allah, maka kebenaran, kesungguhan, kesabaran dan keredhaan adalah galang ganti kepada mahar yang bakal diterima di akhirat sana.

Sebagai seorang anak, saya kena banyak belajar daripada para ibu dan bapa di luar sana. Saya akan terus mencubit sedikit demi sedikit daripada ibu dan bapa kandung. Mereka saling tidak tumpah seperti para ibu dan bapa dalam lipatan sejarah kemelayuan, kearaban, dan keagamaan, secuma mungkin tahapnya sedikit atau banyak berbeda. Jalannya tetap sama, dan persis kerana adanya mujahadah dalam salutan sabar.

Seorang ibu bernama Hajar senantiasa hidupnya diuji. Bagaikan bakal tertulis di lembaran ingatan sejarah, halaman dalam satu surah menemukan ibu kuat ini suri contoh teladan baik bukan sahaja kepada seorang ibu lain malah kepada mereka yang bakal bergelar bapa. Hidup dalam ujian dan persimpangan kebahagian bukan hanya memerlukan sebelah pihak memberi malah di sebelah pihak yang lain perlu juga memberi dan menerima seadilnya.

Kena saksama.

Seorang ibu dan ayah pasti terpahat di hatinya kelahiran ini, anak ini adalah amanah yang suci dipertanggungjawab ke atas corakan yang bakal dilakarkan nanti. Pena berwarna dibekalkan bersama seberkas tin besar mengandungi pelbagai warna. Di antara warna itu ada yang sama seperti warna-warna yang diberikan kepada solefus soleh yang berjaya membina satu corak agung, ada juga terdapat warna yang pernah digunakan oleh si tangan pendusta, pengkhianat, pengamal rasuah yang juga berjaya membentuk tangan-tangan yang sama seperti mereka. Melainkan sedikit di kalangan mereka yang tersedar bahawa jalan yang dipilihnya itu sangat sukar menembusi diri ke daerah sakinah, kebahagian... lantas anak-anaknya diberi makanan rohani secukupnya, dan menyekat jalan menyusur ke laluan kelam yang pernah diderapinya suatu ketika dahulu.

Seorang bapa bernama Ibrahim disembolikkan sebagai lelaki kuat kerana pergorbanannya. Pergorbanannya bernilai. Manakala nilai moral itu menjadi lambang utuh kepada generasi yang hidup selepasnya. Pengorbanan Nabi SAW banyak bertonikkan kehebatan keempat-empat Nabi yang tergolong di kalangan Rasul Ulu ‘Azmy; Nabi Isa, Nabi Musa, Nabi Ibrahim dan Nabi Nuh. Selain itu kekuatan Nabi Muhammad SAW memahatkannya oleh al-Quran antara mereka ini yang paling penyabar menerima kencaman, dugaan dari umatnya.

Apakah masih ada manusia sekuat mereka ini?

Saidina Ali, Khalid Ibn al-Waleed, Salahuddin al-Ayubi, Sultan Muhammad al-Fateh pula sering dijadikan ikon ideal kepada satria anak muda-mudi berhati waja. Sesuai dengan saya yang masih muda remaja. Perwatakan berani dan gaya yang diterapkan daripada setiap yang baik oleh mereka boleh diadaptasi untuk dibawa dalam kehidupan kita. Tiada siapa yang bisa mengubah cara dan lifestyle seseorang melainkan orang itu sendiri yang mencetuskannya beradasarkan apa yang ingin dia mahukan. Pengaruh mata banyak mengubah kebanyakkan yang berlaku di sekeliling. Secara tidak sedar, rumusan kepala kita juga sering bertandang dari mata yang menjeling dan memerhati. Mentafsirnya secara aman dan baik adalah jaminan keselamatan di hari kemudiannya.

Ramai golongan muda yang tidak faham dan tidak mahu menambah kefahaman mengenai Islam. Tahu yang ada pada mereka tentang Islam kerana setiap kali mengisi borang maklumat peribadi, maka nota kaki kad pengenalan dijadikan sandaran beragama. Berbangga akan Islam hanya sekadar pada pertuturan ketika menamatkan zaman bujang, lafaz sakinah yang tidak lagi berkilauan cahaya kerana yang ada ialah kehendak untuk berpasangan.

Menyandarkannya tidak salah sebagai model, namun ada sepekara yang lebih penting daripada itu, iaitu membangunkan minda muda-mudi menjadi sehebat mereka, diserlahkan pula melalui tindakan, amal luaran.
Teruskan Pembacaan>>>
 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal