PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Rabu, Jun 16

Kembara Mencari CINTA ILAHI







KAKI saya sedikit terseliuh... tangan memicit-micit lembut buku lali. Saya membuka beg perlahan-lahan, mencapai kitab yang baru dibeli di kedai kepunyaan seorang ammu (pak cik) di sebelah Masjid al-Azhar.

“Aduhhh... penatnya hari ni” tisu mengesap peluh yang keluar dari liang roma dahi.

Buku cetakan pada tahun 1998 masih berbalut baik, habuk masih kelihatan, tangan mengusap-usap, mulut menghembus manja setiap penjuru kitab. Saya mencermati halaman demi halaman, halaman kandungan disediakan dihadam, sambil bahu menongkat di tiang masjid. Mata berkaca-kaca menatapi hidangan pada bahagian mukadimah.

Ukhwatul Muslim Fil-Islam.

Pagi tadi sempat saya bersembang dengan seorang teman dari Indonesia, Ustadz Adroesy, dibesarkan di Makah sedari kecil, tapi tidak boleh berbahasa Indonesia. Tanpa dirancang pertemuan tersebut, meleret-leret panjang hingga ke Zohor. Beliau cukup peka, prihatin dengan nasib rakyat Palestin, berhujah seperti mengalahkan ahli pidato di parlimen. Saya cuba mencelah, dan berkongsi pendapat peribadi. Katanya umat Islam di seluruh dunia masih berbasah-basi dalam menentang kekejaman zionis, acuh tidak acuh membantu pertahankan hak pribumi mereka.

Semua kita adalah bersaudara, berukhuwwah, mempunyai hubungan. Bererti kita juga mempunyai hak ke atas saudara kita lain, mana mungkin setiap permasalah hukum seputar masalah muamalat tidak pernah menyentuh perihal hubungan sesama manusia, hatta dalam bab munakahat hubungan antara pihak pasangan, ahli keluarga, saudara-mara juga disentuhkan, apa kurangnya masalah jinayat adanya qadhi, penjenayah, pihak berkuasa dan sebagainya, ini juga bentuk hubungan.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat” al-Hujurat (49:10)

Jangan kita lupa, bab ibadat juga apa kurangnya, hubungan antara hamba dan Rabb disebut, menjaga pertalian secara hisiyyun (batin, qalb), dalaman dipertautkan tanda pengabdian, taat kita pada setiap suruhan, serta larangan. Kita rasa bertanggungjawab, rasa prihatin... turut pilu dengan kepiluan saudara lain, turut meletakkan diri di setiap masalah saudara lain, inilah tanda hubungan kita, ukhuwwah kita dengan Pencipta Ukhuwwah, al-Khaliq. Kita sanggup berlapar, andai saudara lain berada dalam kebuluran, kita sanggup buat apa sahaja.

Rasulullah s.a.w ada bersabda, bermaksud; “Perumpamaan orang-orang beriman dalam kecintaan, kelembutan dan kasih sayang di antara mereka ibarat satu tubuh. Jika salah satu anggota sakit, maka seluruh anggota turut merasakannya (dengan tetap berjaga dan demam)” (Hadith Imam Muslim dan Imam Ahmad)

Inilah ruh ukhuwwah yang sebenar. Islam mengajar kepada kita bahawa setinggi-tinggi nilai ukhuwwah adalah pada seseorang itu mengutamakan saudaranya melebihi keutamaan dirinya sendiri. Kita mahu berukhuwwah dengan orang yang tidak minat berukhuwwah, kita tidak boleh paksa dia. Apa yang kita boleh buat ialah terus bersikap terbuka. Kalau ada halangan, biarlah halangan itu bukan di pihak kita.

Ukhuwwah yang berteraskan ayat: sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, adalah ukhuwwah yang menghasilkan manusia yang mampu berinteraksi serta berhubung dan memesrakan diri dengan manusia yang lain.

HUBUNGAN DALAM JAMAAH

Kita kena faham tujuan kita menjadi ahli kumpulan adalah untuk bergerak di dalam satu kekuatan besar, agar lebih tersusun dan bukannya untuk berukhuwwah khusus dengan ahli kumpulan semata-mata.

Setiap yang beriman adalah bersaudara, maka selagi kita beriman dengan Allah Taala, maka kita adalah bersaudara dalam erti kata tidak mengenal darjat, jawatan, kumpulan, hirarki atau apa-apa.

Apabila kita bersama dalam satu kumpulan, maka selalunya kemesraan itu secara automatiknya akan jadi lebih daripada yang lain kerana kesamaan fikrah, hati dan melakukan sebarang aktiviti tanpa ada pergeseran. Lantas hati mudah cenderung buat baik sesamanya. Namun, ini tidak bermaksud, hubungan yang mesra juga tidak boleh dijalinkan dengan manusia lain.

Ukhuwwah sesama muslim itu amat luas. Pengalaman di negara orang, kita malah dihargai oleh bangsa lain, lebih dari teman-teman dari negara sendiri. Selama saya berkelana di bumi barakah ini, tarbiah memainkan peranan cukup penting. Tarbiah pula, jangan kita sempitkan pengertian sebenar.

Kampus kita membuktikan kebenaran saya ini. Hanya pelajar yang pro-Islamik sahaja yang menjadi ‘pisang goreng panas’ dan masak dalam hal ehwal agama. Hingga ada yang menyertai lebih dua usrah dari kumpulan berlainan dalam satu-satu masa.

Tetapi bagaimana penumpuan terhadap pelajar yang tidak mempunyai asas Islam? Golongan ini tersisih dari permainan ‘rebutan’ kumpulan-kumpulan di kampus.

Bagaimana dengan dakwah. Bila sibuk mencari kader-kader baru untuk jamaah, terlupa pula mereka untuk melakukan dakwah umum terhadap orang Islam yang tidak minat dengan Islam. Adakah jamaah hanya memikirkan tentang pengkaderan ahli dan soal menyelamatkan diri sendiri bila berada dalam jamaah?

Tidak perlu menuding jari kepada kumpulan lain, cukup soalkan diri kita dalam kumpulan mana sekalipun yang kita berada; “Apa yang aku sudah lakukan demi kepentingan Islam?”

Sikap berbangga dengan kebenaran yang dimiliki dan gembira terhadap kelemahan orang lain menjadi punca kepada kelemahan dakwah pada hari ini. Sebuah gerakan dakwah sebenarnya menghina dan menganggap bodoh ahlinya dengan menyekat mereka dari berdialog dan meraikan keluasan input dengan gerakan lain.

Jika gerakan dakwah gagal melahirkan da’ie yang berani mendedahkan diri kepada cabaran pemikiran, maka lupakan sahaja agenda untuk memenangkan Islam. Cukup sekadar meletakkan sasaran menjadikan jamaah masing-masing sebagai alat menjaga diri dari terseleweng, dan bukannya sebuah kekuasaan untuk memenangkan Islam. Kalaian silap.. sebenarnya kalian belum mencapai ubudiyyah dalam berukhuwwah.

HUBUNGAN MELALUI ALLAH

Adakalanya kita silap, kita begitu asyik berukhuwwah, sibuk berusrah tapi kita jarang hisab, sebenarnya semua gerak-geri kita ini adalah melalui Allah Taala. Kalau kita benar-benar ikhlas, kita pasti mendahulukan hak Allah, bahawa apa sahaja kita lakukan dalam menyuburkan hubungan sesama manusia adalah kerana Allah, hak Allah. Jika kita dalami, selami pasti setiap perhubungan ini pasti melekat hingga ke hulu hati, susah senang sanggup ditelan bersama, sakit sama dirasai, gembira sama dikongsi, sedih sama diredhai, dipujuk.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam, ajaran al-Quran) dan janganlah kamu bercerai-berai...” Ali-Imran (3:103)

Kita juga berukhuwwah dengan Allah. Bagaimana kita mengistilahkan maksud ukhuwwah itu sendiri? Malah paling mudah, cinta bertaut antara pria dan wanita yang sah ikatan sebagai suami isteri juga sebenarnya tersalut ukhuwwah melalui Ilahi, bahawa mereka juga tahu kehendak dan petunjuk kehidupan berumahtangga seperti termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Susah benar berjumpa teman sejati. Menemani di kala duka, sanggup bersusah payah demi kebaikan teman-teman lain. Rupa tidak pernah terkesan sama walaupun diri dilamun kesusahan, di depan kita sentiasa ceria bagaikan tiada masalah menimpa, walhal tong beras di rumahnya sudah kering, walhal duit simpanan cukup makan untuk dua hari sahaja, walhal kemiskinan keluarga menghalang dia mengecapi kehidupan sempurna di perantauan, tiada siapa ambil peduli. Hidup hari ke hari, hanya Allah sahaja mengerti. Dia tahu semua orang simpati, tapi dia tidak sanggup kalau semua ini menjadi bebenan kepada teman-temannya yang lain.

Mungkin tanpa disedari, rupa-rupanya di sebelah kita ada sahabat seumpama ini, dia tabah dan kuat hadapi mehnah membadai. Sejatinya ukhuwwah ditunjukkan, tiada apa paling sempurna dalam dunia melainkan sempurna ajal kita di helaan terakhir, mati dalam husnul khatimah. Pernahkah kita mengambil tahu perihal masalah teman itu? Sangat buruk kelakuan kita, andai kita senang berbelanja keperluan peribadi tapi gagal melihat kesusahan teman serumah, teman sebilik hanya berpas-pasan hidup membilang tabung duit, terlebih buruk lagi kita makan untuk kenyang perut sendiri, tapi teman dibiarkan kebuluran.

Bila kita berada dalam kesempitan, dia sanggup buat apa sahaja asalkan kita senang, dia tidak pernah mengungkit itu dan ini. Pernahkah kita ditimpa rasa risau bukan kerana masalah kita, tapi risau teman kita belum makan, risau teman kita mengidap sakit, risau teman kita tidak punya belanja cukup, risaukan teman-teman lain melebihi risau diri sendiri. Pernah?

Kalau belum, iman kalian masih dirundum masalah, iman kalian masih mandul, iman kalian belum sempurna. Benar, tiada siapa sempurna tapi kalian tidak mempunyai ‘nafsu’ untuk menjadi lebih sempurna. Bagaimana? Antara lain adalah menjadi sejati, dan mengerti erti sejati pada pandangan mata hati teman-teman kalian.

Memang diakui memang sukar untuk mencari sahabat. Kawan memang ramai tapi dalam banyak-banyak kawan tu belum tentu satu pun yang akan terus menjadi sahabat anda sehingga akhir hayat. Malah pasangan anda juga belum tertakdir untuk menjadi seorang sahabat. Masalah bukan dia, bukan salah sesiapa dalam hal ini tapi kita. Kita tidak pernah menunding jari pada diri, kenapa tidak sahaja kita mulakan dahulu erti sejati tadi, kita lakukan dulu?

Sudah...!!!

Saya tidak mahu lagi dengar alasan dangkal kalian itu, bukan itu saya mahukan. Biar saya sahaja berbicara tentang sejati. Kalian cuma pasang telinga ‘hati’, cermati dengan mata ‘hati’, dengar dan cermati baik-baik...

Susah mencari teman sejati, sehati, dan semati. Kita diberi akal supaya bijak bersepsi. Ya.. bergantung kepada persepsi kita kepada maksud sejati itu, adakah kita mahu dia tunduk kepada kita, atau sentiasa menemani kita di kala susah senang. Apakah kita sanggup melakukan hal yang sama? Atau hanya kerana ada maksud tertentu. Bila maksud itu telah dicapai, atau tidak dapat dicapai lalu kita ditinggalkan.

Kalian silap.

Teman sejati, ialah teman yang tidak mengenal keburukan kita tapi mengenal kebaikan kita. Dia tidak pernah mengenal senang kita, tapi mengenal susah kita. Inilah yang cuba saya tekankan di sini. Dia tidak pernah mengharap redha kita, tapi mengharap redha-Nya. Kerana kejujuran kita, dia jatuh sayang kepada kita. Sejatinya dia kepada kita, dia tidak pernah tahu apakah kebaikan yang dia telah lakukan untuk kita.

Memang lumrah hidup, kadang-kadang apabila kita melihat kebaikan orang lain, kita hanya akan memikirkan dan mengharapkan yang baik-baik sahaja, serba-serbi sempurna, tiada cacat-cela. Pantang ada sedikit kesilapan, kita akan cepat-cepat menuding jari, menghukum si dia yang hanyalah insan biasa seperti kita. Mulalah kita akan bercakap yang bukan-bukan. Tapi dia sabar, sebab dia ada sejati di dalam hati.

Tugas kita bukan mencari sempurna luaran sahaja, berkedudukan, berharta, itu adalah bonus kalian, tapi kita mahukan adalah sempurna iman kerana adanya sejati. Tidak mengapalah kalian mencari kurang sejati, kerana kalian sempurna, sejati, tapi kalian mampu mendidik dia menjadi sejati jua.

Kalau tidak kerana sejati di hati, manakan Kota Madinah menjadi negara Islam pertama di dunia. Kalau bukan kerana sejati, masakan Abu Bakar ra sanggup meninggalkan kekuasaan, dan kekayaan kerana Islam, kerana cinta beliau kepada baginda s.a.w. Kalau bukan kerana sejati manakan Kota Kostentinopel berjaya ditawan oleh Sultan Muhammad al-Fateh. Kalau bukan kerana sejati, masakan Baitul Maqdis dapat dipertahankan hingga ke hari ini. Darah syahid mereka menjadi saksi akan sejati mereka mempertahankan hak pribumi. Kerana apa semua ini, kalau bukan sejati.

Umat Islam adalah pengikut yang setia, sejati dilipatan sejarah. Kini kesedaran berukhuwwah di kalangan anak-anak muda makin mengusut. Nah, lihat sahaja di madrasah, di sekolah agama sebagai bukti. Di manakah akhirnya mereka? Mereka terpaksa bergelumang dan bersaing dengan pelbagai macam jurus pemikiran, silibus, dan anasir sosial, hingga lupa matlamat sosial yang akhirnya adalah sejati.

Walau apapun jua balada, mahupun krisis dilagukan, kita tetap sahaja berkehendakan seorang sahabat, seorang kawan, seorang teman sejati di sisi. Seorang imam tetap sahaja dianggap gagal, jika jamaah solat di surau makin hari makin surut, waima sekalipun dia mempunyai ramai muazin yang lunak suara mengajak manusia solat dan menuju kejayaan. Kenapa? Kurangnya sejati antara imam, muazin dengan jamaah.

Baiklah teman sejati...

SEJATI DI HATI

Saya faham akan perasaan itu. Saya seorang yang gemarkan sesuatu yang melibatkan artistik atau kreativiti seperti menulis.

Bahkan, saya jenis seorang yang suka berkongsi pendapat dan idea mengenai perkara-perkara tersebut. Tetapi, setakat ini saya belum berjumpa mereka yang boleh berkongsi semua itu dengan saya.

Rata-rata rakan-rakan yang rapat dengan saya kecenderungan mereka ke arah lain. Akhirnya, mahu tidak mahu saya akan ikut rentak mereka. Tetapi, tatkala bersendirian, saya akan jalankan aktiviti dan minat saya itu. Tetapi, saya sunyi bila mengenangkan saya terpaksa bersendirian layan minat saya itu.

Paling saya terharu, rata-rata orang yang memberikan sokongan dan sekali-sekala berkongsi idea dan minat saya itu ialah orang yang jarang saya jumpa atau senang cerita seseorang yang tidak rapat dengan saya. Bahkan, minat saya dalam penulisan dibantu oleh rakan yang saya langsung tidak rapat, kenal di alam maya. Rupa-rupanya, sejati tidak semestinya bisa dilihat di mata, tapi kuat di hati, kuat mengikat walaupun tidak pernah bersua. Kalian adalah sahabat sejati saya. Terima kasih untuk itu.

Suka duka saya mereka cuba fahami walaupun kadang-kala sukar.

Mereka mungkin bukanlah teman sejati atau sahabat sejati tetapi pada pandangan kalian, tapi bukan saya. Bagi saya mereka tetap kawan yang terbaik. Kawan yang sudi memahami dan memberi sokongan. Bagi saya itu yang terbaik.

Saya ada pandangan saya sendiri tentang sahabat sejati. Sahabat sejati ialah anugerah dari Allah Taala. Dia bukan milik kita. Dia ialah pinjaman semata-mata di mana suatu saat nanti, dia tetap diambil oleh-Nya. Dia ialah seseorang yang memang dicipta untuk kita. Walau dalam keadaan apa sekalipun, hatinya tidak mudah mengatakan benci, tapi dia tidak sukar ungkapkan kata ‘sayang’ baik melalui kata-kata, mahupun perilaku.

Saya percaya pada satu sahaja. Orang yang benar-benar sayang atau anggap kita sebagai sahabat sejatinya, lidahnya sukar bicarakan apa-apa, sebab dia tahu, sekali dia tuturkan sayang sehingga bila-bila pun dia akan sayang. Dia takut, nanti dia kehilangan kita, dan dia akan merana. Sebelum dia bicarakan apa-apa, lebih baik dia berserah sahaja. Dia percaya, jika sudah tertulis dia adalah sahabat sejati dunia dan akhirat, macam mana berpisah pun, jika ikatan hati itu kukuh, persahabatan sejati itu tetap akan terus kekal sampai ke akhirat.

Cuba selami beberapa takdir menimpa kita, takdir manusia di sekeliling, takdir alam terbentang luas, sama ada kita suka atau duka mulut kita tidak terkesan melabuhkan tanda ingatan, terima kasih, takwa, bimbang, biarlah berlalu seperti mengalir air sungai ke muara membawa muatan sampah, bahan pepejal bersama. Kita dikurniakan akal, mata, mulut adalah dipinta berfungsi sebaik mungkin, akui kebesaran Ilahi. Kerana kasih, Dia turunkan hujan untuk kita bersyukur nikmat besar, kesan daripada hujan menumbuhi tanaman, Dia juga menurunkan bahana gempa bumi, tsunami, letusan gunung berapi untuk kita redha, dan tetap sahaja bersyukur kebaikan daripadanya kerana kesan cukup mendalam, kita akan sentiasa akui keimanan kepada Dzat Maha Besar.

Inilah jua keterikatan kita sebagai hamba dengan al-Khaliq, hanya melalui perantaraan kalam alam, Dia berbicara dengan kita, berkomunikasi dengan hamba-Nya, ukhuwwah Ilahi sentiasa tersingkap di balik tabir gempa bumi, tsunami, letusan gunung berapi, susah hidup, dan sebagainya. Alam ini sedang berbicara, hakikatnya datang daripada Allah Taala. Jagalah ukhuwwah ini, bimbang kita tidak berkesempatan lagi.

Bacalah kalam Ilahi, di sana padat dengan kisah mengenai alam, hubungan manusia dan Pencipta melalui alam.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, bermaksud: “Kitab Allah (al-Quran) ia adalah tali Allah yang mengikat (menghubung) dari langit ke bumi” (Hadith Abu Sa‘ed)

Allah Taala melengkapi para hamba-Nya banyak kelebihan berbanding makhluk Allah lain, iaitu perasaan. Perasaan marah, tenang, sabar, kasih dan benci. Perasaan cinta, kasih sayang antara suami isteri, ibu bapa dan anak-anak, kepada saudara mara, kaum kerabat, dan negara. Tautan ukhuwwah dan rasa kasih sayang didirikan atas rasa keimanan kerana Allah adalah disebabkan kepercayaan dan rasa ketundukan kita kepada Allah Taala, talian hubungan dengan Allah Taala tetap utuh. Rasa keimanan ialah rasa kepercayaan kepada Allah. Kepercayaan yang kuat bahawa dia wujud dan kita berkasih sayang dan marah kerana-Nya.

BERCINTA MELALUI ILAHI

Manusia yang diciptakan oleh Allah adalah sama sahaja, membedakan antara mereka adalah takwa (taqwa) di sisi-Nya, menggapainya adalah melalui usaha dan ikhtiar kita untuk menjadi terbaik. Bila ada usaha untuk membangunkan diri, biiznillah akan dipermudah jalan ke arah-Nya. Saya yakin bila kita berada di bawah, kita perlu yakin bahawa hidup ini masih memerlukan kita untuk melakar cebisan pengorbanan, maka lahirlah cinta.

Cinta adalah pengorbanan, kepercayaan.

Saya yakin, lagi percaya tidak ramai rakyat Malaysia yang memahami isu Palestin. Sejarahnya yang tiada dalam helaian buku teks sekolah, tiada di dalam silibus-silibus di universiti... pastinya menyebabkan kita kurang sensitif. Mungkin masih ramai umat Islam yang tidak mampu menjawab siapakah Yahudi dan Isreal, mengapa perlu kita tentang mereka dan mengapa perlu bumi Palestin dipertahankan, cubalah bertanyakan sesiapa sahaja berdekatan anda untuk menafikan dakwaan ini.

Berapa ramai yang hanya memandang berita Palestin tidak lebih daripada hanya sebuah berita biasa, berapa ramai tahu mengenai Shabra dan Shatil juga intifada? Pastinya ada, tetapi pastinya hanya sedikit daripada yang banyak.

Untuk turun berjihad di bumi Palestin sama sekali kita tidak mampu, sekadar mendakwa ‘aku mampu’ dengan mulut hanyalah tidak lebih daripada menipu diri sendiri. Jadi mengapa tidak kita usahakan agar masyarakat Islam dan dunia memahami isu ini dengan pemahaman yang jelas, bukan fahaman yang dibentuk oleh Yahudi dan ejen-ejen sekular.

Kalau kita tahu, dan mahu cukuplah kerana ukhuwwah, persaudaraan kita. Jauh bumi Palestin pada pandangan mata tapi dekat pada ‘pandangan’ hati... berbeda adab, bahasa, dan bangsa tapi kita berhubung kerana cinta pada agama, iman, saudara seIslam. Doakan mereka sejahtera, menyalurkan bantuan material, terus istiqamah memboikot barangan keluaran Yahudi. Sekali kita peduli, seratus kali Allah Taala peduli kepada kita.

Indah sungguh berukhuwwah andai tersalut bersama iman, terpahat melalui cinta hubungan sesama muslim, kerana cinta kita tidak terasa luka sengsara, kerana cinta kita dilamun asmara beribadat tahap maksima, serasa hilang dunia dari ingatan kerana cinta disalurkan melalui redha Ilahi. Semangat tepu bisa bertukar menjadi mampu.

Benarlah, kita bercinta pun melalui Ilahi.



0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal