SETIAP manusia seharusnya senantiasa mensyukuri nikmat kurnian Allah Taala kepada kita. Kerana nikmatnya menjangkau dari hujung rambut hingga hujung kaki, baik kesihatan tubuh badan, keamanan negara, hutan yang menghijau, udara yang bersih dan sebagainya.
Allah Taala berfirman;
Bermaksud: “….sekirang kalian menghintung nikmat pemberian Allah Taala,nescaya kalian tidak dapat menghintungnya…” Ibrahim (14;34)
Di situlah hati akan terbentuk mengikut acuan peranannya yang sebenar seperti mana yang telah ditinggalkan oleh mereka terdahulu. Orang yang cerdik akan berusaha merubahkan sesuatu kerugian menjadi keuntungan. Sedangkan orang yang bodoh akan membuat dan melakukan sesuatu musibah menjadi bertimbun-timbun dan berlipat kali ganda tanpa ada jalan penyelesaian padanya.
Imam Ahmad bin Hanbal, pernah dipenjarakan dan dihukum, didera di luar batas prikemanusian, tetapi kerana perlakuan sedemikian telah meletakkan beliau menjadi sebagai seorang Imam Besar salah satu mazhab. Ibn Taimiyyah pernah dipenjara, tetapi justeru dipenjara itu juga beliau dapat melahirkan karya-karya teragung sebagai khazanah untuk generasi mendatang. As-Sarakhsi pernah dikurung di dasar perigi selama bertahun-tahun, tetapi di tempat itulah dia menghasilkan sebuah kitab sebanyak 20 jilid. Ketika seorang pemimpin kanan bernama Ibn Atsir dipecat dari jawatannya, beliau berhasil menggarapkan dan menyelesaikan karya terbaiknya iaitu Jami’ul Ushul dan an- Nihayah, salah satu kitab paling masyhur dalam ilmu hadith.
Mereka-mereka yang disebut ini mempunyai kecekalan hati yang cukup hebat, kerana hati mereka senantiasa berada dalam tarbiah solehah tanpa ada sifat jemu menodai setiap langkah serta gerak kerja yang diimpikan.
Allah Taala berfirman;
Bermaksud: “Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyu’” al-Isra’ (17:109)
Itulah sikap dan nilai orang-orang yang beriman bersungguh-sungguh kepada Allah Taala, di mana mereka tidak akan mudah mengalirkan air mata melainkan apabila melihat Islam ditekan, diperlakukan dengan sewenang-wenangnya oleh tangan-tangan pengkhianat agama, negara dan bangsa. Keadaan ini amat berbeza sekali dengan orang Islam hari ini yang tidak peka atau prihatin dengan perkembangan semasa yang melibatkan undang-undang Islam yang masih tidak terlaksana, mereka tiada perasaan belas kasihan dan sedih apatah lagi mengeluarkan air mata kerananya.
Nabi s.a.w pernah bersabda: “Seseorang itu tidak akan masuk neraka disebabkan dia menangis kerana takut kepada Allah” (Hadith Riwayat Tirmidzi)
PENCERAH HATI
Sesungguhnya baginda Rasulullah s.a.w banyak memberi motivasi kepada umatnya dengan kata-kata hikmat (Hadith) yang mampu mengalirkan air mata bagi golongan yang memiliki hati yang sejahtera daripada amalan syirik, nifaq dan menyanggah hukum Allah Taala, tetapi bagi mereka yang keras hatinya daripada amalan terpuji, atau kosong daripada penghayatan agama, walaupun dibacakan ayat al-Quran kepada mereka, tetap tidak akan berganjak dan terus berada dalam kesesatan.
Mengenal pasti pesakit yang akan diubati (history of the patient) ,panas atau sejuk? Lemah atau kuat? Tua atau muda? Orang awam atau golongan berpendidikan? Jika dalam hal penyakit badan kita begitu khuatir dan terus berjumpa doktor, begitulah juga halnya dengan al-Qalb atau hati kita. Sesungguhnya penyakit hati dan perilaku lebih penting untuk kita beri perhatian, kerana jika kita gagal dalam usaha mengubati penyakit badan, akibat yang paling berat dan besar hanyalah mati dan seterusnya selesai urusan. Sedangkan penyakit batiniyyah (dalaman; hati) jika kita tidak berjaya mengubatinya akan merosakkan kita secara terus menerus, dan akan menular pula kepada orang lain. Sudah pasti akan membawa kepada kesengsaraan yang tiada belah kasihan di akhirat nan abadi.
UBAH SIKAP
Gelagat manusia yang pelbagai senang sahaja kita dapat melihat, di mana, sesiapa dan kenapa terjadi begitu... persoalan yang tidak perlu lagi ditanya lagi. Kebuntuan mencari destinasi persinggahan kelas menarik untuk sekeping hati adalah kegagalan manusia mengadaptasikan kebebasan sebuah pemerhatian dalam memahmudahkan kesimpulan di hujungnya, sehingga mencapai kemuncak ketenangan dan kesenangan seketul daging yang bernama hati. Kejayaan inilah semestinya menjadi kebanggaan muslim yang tertinggi kerana mereka tahu dan sedar tatkala diri diuji dan diserang bertali arus dugaan yang tiba, tetapi tetap bersahaja, tidak pula cepat menggelabah.
Kehidupan dunia adalah sementara. Antara persinggahan yang pasti dilalui. Dunia ibarat lapangan peperiksaan kita selepas menempuh satu pengajian yang lama ketika berada di alam roh dan rahim. Peperiksaan ini harus ditempuhi sama ada kita bersedia atau sebaliknya.
Bagi mereka yang peka dan tahu apa yang harus dilakukan, semestinya telah membuat persedian rapi dari awalnya lagi, agar setiap jawapan yang dicoret akan menghasilkan nilai yang tinggi, dan seterusnya mendapat tempat di menara gading iaitu Syurga.
Aturlah kehidupan dari sekarang, jangan terlopong kekosongan antara liang-liang usia meninggalkan bekas kekotoran akibat perbuatan tangan sendiri. Degil kekotoran sukar dibasuh, apatah lagi menanggalkan jejaknya. Kadang-kadang terasa lemah, dan rasa tidak bermakna untuk menyampai dan mengajak kepada kebaikan, kerana dirasakan kita tidak mampu mengubah apa-apa, sedangkan perubahan tersebut bukannya sekejap, tapi kadang-kadang memakan masa bertahun-tahun.
Manusia yang bertemu Allah Taala dengan membawa hati yang sejahtera adalah manusia yang mempersembahkan pita rakaman kepada segala ketaatan dan kepatuhannya kepada Allah Taala semasa menunaikan kewajipan hidup di dunia. Kejayaan di dunia hanya sebuah perjalanan, bukannya destinasi abadi kita. Carilah Dia.
0 komentar:
Catat Ulasan