PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Ahad, Mei 23

Motivasi: Muhasabah Dan Motivasi Hidup








MOTIVASI ialah melihat sesuatu jauh kehadapan dan menjenguk sesuatu tinggi melangit. Buah akalnya berupa api semangat, meredah susah untuk senang kemudian, sama ada dia berani atau langsung tidak dia tidak terkesan kerana matlamatnya hanya satu, iaitu mencapai apa yang diimpikan. Muhasabah pula, mencari gali hikmah di sebalik mehnah, mengeluarkan isi tersirat di sebalik tersurat... kebaikannya diteladani dan keburukan ada disempadani. Orang mukmin akan memanfaatkan kedua-dua M ini untuk mencetus sumber inspirasi dan aspirasi dalam hidup.

Motivasi dan muhasabah penting. Jadikan liku-liku hidup sebagai seorang hamba serba kurang untuk keluar daripada kepompong lemah. Ketika ini muhasabah diperlukan... bentuk kesusahan dunia moden bukan lagi seperti peritnya Bilal bin Rabah menanggung sesak dada dihempap batu besar di padang pasir panas terik, motivasinya pada lantunan kalimah “Ahad (Esa).. Ahad!!”. Jerihnya kita pada hari ini bukan lagi seperti disula kepada Sumayyah, bukan juga direbus panas-panas seperti tukang sikat Firaun, Mashitah... motivasi mereka ada pada Kalimah Tauhid, tiada tuhan berhak disembah selain Allah, Muhammad pula utusan Allah.

Mungkin sudah jodoh saya dengan takdir-Nya yang tersirat. Hikmahnya baru saya kecapi saat saya menulis post ini. Cukup halus Allah Taala menusuk jarum tarbiah ke hati, ketika saya benar-benar memerlukan tonik semangat di ambang peperiksaan makin hampir. Minggu lepas usai saya mengajar pelajar tahun satu dari Indonesia dalam madah Tauhid; Madkhal li Dirasati al-‘Aqidah al-Islamiyyah. Di sana diselitkan punca kekuatan Kalimah Tauhid, seperti sifat Allah 20 dan perbahasannya. Rupa-rupanya ada sesuatu mengetuk jiwa saya, bukan sahaja mengajak saya faham maksud Wujud, Qadem, Baqo’ dan beberapa lagi sifat Allah, lain malah sungguh mengajar saya menjadi manusia beriman.

Kita mesti tetap muslim, dan mukmin dalam apa jua keadaan.. senang kita ialah muslim dan mukmin, susah kita mesti muslim dan mukmin. Kita beriman, iman kita pada hukum-hakam, iman kita pada ajaran baginda, iman kita pada dasar-dasar Islam, rukun-rukun tersandung di dalam pengajarannya. Malah kita kena lebih beriman bila berhadapan pilihan antara iman dan kufur (syirik berat atau ringan). Mudah menutur kalimah syahadah syarat sebagai beriman, tapi lebih mudah kita diserang perkara yang bisa membatalkan iman kita. Islam bukan sahaja pada kalimah tapi pada ibadat.

Jangan sesekali masa senang kita, menjadi istidraj hingga kita terus alpa dan lupa kepada Maha Pemberi kesenangan itu. Dia tidak menagih simpati dibalas semula apa kita kecapi, harta-Nya tidak pernah berkurang, Dia tidak rugi apa-apa. Dia mahukan kita dekat pada-Nya, sentiasa menjadi hamba bersyukur. Jangan sesekali pula masa susah kita dihujani masalah kewangan, kesempitan hidup menjadi penyebab kita makin jauh pada Maha Kaya. Kayanya kita tidak berhenti pada nikmat harta, tapi pahala menggunung.

KITA ADA ALLAH

Dah berkali-kali saya ingatkan, manusia lemah bukan diukur berapa kali dia diserang kemiskinan, kepapaan tapi kemalasan dia bangkit dicelah-celah kemiskinan dan kebodohan dia ditipu berkali-kali oleh harta yang banyak. Ujian-Nya ada di mana-mana, tinggal lagi kita bijak mendepaninya atau tidak.

Ada bersikap pesimis, mustahil boleh bangkit di antara kesempitan hidup... menggangap diri betapa realistik, melihat sesuatu terpacak di depan mata. Kononnya iman perkara abstrak, susah hendak mengimiginasi. Mengamalkan Islam di dunia serba canggih, bukan sahaja berperang abstraknya iman, malah idealogi dan serangan minda dari Barat. Seolah-olah Islam tidak lagi relevan diamalkan dalam kehidupan.

Kita tidak memilih strategi ‘hantuk kepala’ yakni berdepan dengan kejahatan secara membabi-buta. Kita memilih untuk ‘biarkan... biarkan’ hingga serami kejahatan terus melekat di hati, kekotoran makin lama makin degil, dia ‘biarkan.. biarkan’ sampai satu masa cahaya nur hidayah Tuhan susah menyelinap masuk, kerana ditutupi oleh dinding malap.

Benarkah mustahil?

Kalau kita berjaya membina aset kekayaan hasil daripada bijak kita mengurus tadbir syarikat, perniagaan di pasaran tempatan mahupun antarabangsa, kenapa tidak pada iman kita? Membangun pasca iman seiring membangunnya kemewahan material. Kenapa kita tidak pernah muhasabah, dan melihat kejayaan orang lain membangunkan hidup, agar bisa lari daripada kesempitan hidup, miskin harta, di samping sedar satu lagi pembangunan penting, ruh (iman). Jalan ini tidak mustahil bagi mereka yang faham dan membangkitkan kesungguhan dalam jiwa mereka, seterusnya sering mengulang-ulang kebenaran ini di dalam percakapan mereka, akhirnya menterjemahkan semua itu dalam tindak tanduk amalan mereka.

Manusia seperti Abu Bakar, Umar, Hanzalah (asadullah), Khalid ibn al-Walid berjaya membuktikan. Peranan sirah juga penting, melihat mereka terdahulu lebih dahsyat cara serangan tapi mereka hanya berTUHANkan satu Tuhan, iaitu Allah. Begitu juga Imam Hassan al-Banna, Imam al-Qutb, Fathi Yakan, Dato' Fadzil Noor yang sempat hidup satu era dengan kita.

Kita hanya tinggal kemasalan dan seribu alasan.

Kita ada Allah untuk serahkan segala amal perbuatan kita. Dia akan menilai baik buruknya, dan akhirnya ke mana kita diletakkan sama ada dialu-alukan atau dipalu-palukan.

IMAN DAN BAHAGIA

Buatlah perbandingan, antara manusia-manusia di hadapan kalian sebagai cermin harga diri bernilai. Sudah tentu cermin yang baik dapat mengesan diri sesudah muhasabah... laskar tindakan diperhalusi selepas tahu dan mahu.

Insan kerdil yang berasa tidak pernah cukup dengan apa yang ada, akan terus menghambakan dirinya kepada Allah Taala dengan sebenar-benarnya. Kebahagian dan kesedihan semuanya berserah kepada Allah Taala. Sesungguhnya manusia ini penuh dengan sifat-sifat kekurangan, cukup dengan apa yang ada.

Insan megah dengan kebahagian, tidak pernah berasa cukup jika hatinya kosong dan jauh dari Allah Taala. Kepalanya sudah di-setting untuk menerima input sahaja, output dimatikan. Kita sekarang hanya tinggal kemalasan dan alasan untuk berubah, jauh sekali untuk mengubah. Walaupun masih ada segelintir insan yang benar-benar mengamalkan ajaran-Nya dan menjadi hamba-Nya. Namun masih lagi ramai yang tercari-cari, tergapai-gapai, terkapai-kapai di awangan gelap, di manakah destinasi hendak didarati... mengenali Islam dalam erti maksud yang sebenar bila menjadi hamba.

Susahkah berubah?

Payahkah?

Tinggal lagi mahu atau tidak, sedangkan tahu sudah kejap digalas pada sayap sebelum terjumpa daratan Iman, dan takwa. Kita mampu untuk berusaha dengan baik, dan lebih baik lagi dalam menjadi hamba.

Sang hamba perlu pada dua jiwa. Jiwa Sufi, dan jiwa Jundiy (melawan). Jiwa Sufi, supaya dapat sentiasa menikmati, mengoreksi diri agar kembali pada Ilahi dengan utaian zikir dan tasbih. Jiwa Jundiy (melawan) agar mampu berdiri, berlari dan beraksi agar menyentuh hati-hati agar tidak mati dan bisa mengawal duniawi. Letakkan dunia di bawah tapak kaki (kekuasaan) kita bersama roh Islami.

Rasulullah s.a.w ada bersabda, bermaksud: “Sesungguhnya Allah, bilamana Dia mengasihi sesuatu kaum, maka akan diuji (menilai tahap iman mereka) kaum tersebut” (Hadith Riwayat Ibn Majah)

Untuk membuktikan bahawa dia benar-benar berada di atas kebenaran yang hakiki. Tidaklah ujian itu, sekadar menguji keimanan. Untuk apa? Supaya kita tahu dalam jerih ada kemanisan, dalam perih ada keasyikan. Keluarkan hikmahnya dari kotak ujian, hamburkan kepada diri sendiri sebagai guide-line, panduan, serta pedoman hidup.

Bila bersandar kepada Allah Taala, seolah-olah memperolehi satu kekuatan untuk menempuhinya. Kerana adanya perasaan yakin bahawa Allah Taala sentiasa ada bersama. Dia Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Betapa Allah amat mengasihi hamba-hambaNya ‘memandang’-Nya sebelum Dia lebih-lebih lagi akan terus ‘memandang’ kita.



0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal