PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Isnin, Mei 31

Bunga Berputik Kasih








KEMAHUAN berkongsi sesuatu ilmu mengatasi rasa jemu pada menekuni bahan ilmu. Memberi tanpa timbul kerenah birokrasi ‘malas’. Semuanya perlu ikhlas.

Kemampuan memberi adalah proses ilmunisasi belajar berpanjangan, dan terhindar dari sikap berpuas hati dengan apa yang ada. Berpegang pada falsafah hidup memberi agar dapat dirasa diri sangat kerdil. Menulis, membaca, dan idea bernas sebahagian daripadanya.

Membaca dengan perasaan berbeza dari membaca dengan akal. Menungani perasaan akan menghalakan harapan pada apa yang kita suka atau mahu, sementara sebaliknya dengan akal akan menyediakan diri untuk tahu. Tidak hairanlah hasil membaca dengan perasaan selalunya menghasil pemilihan bahan yang dibaca lebih kerap dari membaca dengan akal rasional.

Timbul kecenderungan suka dan tidak suka, kerana asasnya kemahuan kita banyak dipengaruhi oleh nafsu.

Membaca untuk tahu, tidak terjejas dengan perasaan semata-mata. Keperluan untuk tahu mangatasi mahu, dan keterbukaan menerima sesuatu yang baru yang belum dipersepsikan oleh pemikiran kita lebih besar kerana ketiadaan unsur mahukan yang kita mahu.

Apa yang kita tidak suka hari ini tidak semestinya kita tidak suka juga pada hari esoknya. Dan apa yang kita suka hari ini tidak semestinya kita akan suka juga hari kemudian. Inilah lumrah dan fitrah kita sebagai manusia, ada nafsu dan naluri. Akan timbul juga kesedaran dalam diri, segala masalah dimasak berdasarkan ilmu dan pengalaman diperolehi. Pandangan juga akan berbeza sebelum dan selepas terpalit dari kesedaran tersebut.

Pengalaman dan ilmu melahirkan kesedaran. Dedahkan minda berketrampilan dan beretika. Apabila menulis untuk memberi dengan apa yang kita mampu melalui apa yang kita lalui, selalunya akan menghadapi cabaran begini.

Contoh: seorang suami, kita menulis untuk memberi dari sudut pandangan kita, dan sebagai isteri, mungkin dia turut memberi melalui sudut pandangan dia. Hanya mereka yang menerima dengan mata hati serta menyelami realiti di sebalik setiap perkongsian itu akan mengerti. Ini berkait rapat soal pandangan (world-view) terpimpin. Di mana si suami mahupun si isteri tidaklah akan sama dari sudut kemahuan, keinginan kerana dia ialah perempuan, kita pula ialah lelaki... namun di sana kita, mahupun dia inginkan satu titik kebersamaan antara mahu kita dan mahu dia.

UJIAN MENDUGA IMAN

Saya padankan semua ini, adalah sekelumit daripada ujian-Nya yang menguji. Pandangan sisi kebaikan akan saya maksimakan sebaik mungkin.

Kalau kita imbau semula sirah nabi, kisah kehidupan rumahtangga baginda diabadikan semata-mata untuk dijadikan teladan kita. Kaedah penyelesaian berdasarkan ilmu dan petunjuk wahyu, tidak bermakna Nabi s.a.w membuka pekung di dada.

Jangan persoalkan andai kebaikan kita dapat. Redha (iman) menerima, tidak pula pasrah (kosong).

Ujian merupakan sunnahtullah yang telah ditetapkan kepada hamba-hamba yang mengaku beriman kepada Allah. Iman tidak dibuktikan dengan hanya kata-kata atau tulisan yang berbaur agama mahupun jihad luaran. Iman dibuktikan kesabaran di atas ujian yang menimpa, iaitu ujian dalaman. Oleh itu, barulah diketahui sama ada seseorang itu ikhlas atau hanya dalam kepura-puraan.

Bagi mewujudkan satu perasaan memberi yang ikhlas, perlu hapuskan perasaan memiliki. Apa yang kita dapat di dunia ini bukannya bertukar hak milik daripada Allah Taala kepada kita, tetapi hanya diamanahkan kepada kita untuk ditadbir dengan baik. Bila ianya adalah amanah, kebenaran kita menunggang amanah tersebut ialah pahala di sisi-Nya... kerana kita tahu Dia ialah Tuhan, kita hanya hamba yang tiada sesuatu pun.

Andai manusia tiada jiwa sebagai seorang hamba, akan wujud satu jiwa memiliki. Dari sudut norma manusia, memang kebiasaan seseorang itu ada perasaan memiliki. Pengajarannya sebenar hidup ini, ialah membentuk diri untuk menghilangkan jiwa memiliki itu dengan jiwa hamba. Berserah diri kepada Tuhan secara mutlak.

Setiap ujian yang datang, disambut dengan positif dan kita menjadi lebih baik, maka itu tandanya ujian itu adalah kasih dan sayang Allah Taala kepada kita. Tetapi jika kita didatangi ujian yang sama berulang-ulang kali dan tiada peningkatan diri yang berlaku, itu mungkin bukan kasih dan sayang Allah, tetapi kebodohan kita yang di‘sengat’ di tempat yang sama berkali-kali.

Terlintas juga, kenapa orang-orang yang sentiasa berusaha ke arah kebaikan serta dipandang beriman seringkali berdepan dengan pelbagai risiko, kesusahan dan halangan. Rupa-rupanya Allah Taala hendak menjatuhkan rasa ketuanan dalam diri supaya kita sedar hanya seorang hamba, tidak memiliki apa-apa pun.

Bicara Allah Taala juga datang dalam bentuk ujian. Betapa besarnya kezaliman yang dilakukan ke atas diri sendiri seandainya pemberian hanya mendambakan suatu ganjaran. Mungkin timbul rasa penat dalam diri. Namun rasa ingin mengecapi ganjaran atau dibalas dengan sesuatu yang baik datang dengan sendirinya. Mungkin dari pengaruh kehidupan yang dilalui.

Wahai teman... sejauh mana hati kita lunak dengan pujian manusia, atau asyik dengan ujian ketabahan dan kekebalan hati yang Allah Taala beri, kita yakin ada lagi perkara lebih besar yang bakal berlaku dalam hidup ini. Jadi apa sahaja perkara kecil yang berlaku, tidak akan memberi kesan yang serius dalam hidup kita, kerana matlamat kita adalah akhirat.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Oleh itu (tetapkanlah akan kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertakan kemudahan. Sesungguhnya (sekali lagi ditegaskan) bahawa tiap-tiap kesukaran itu disertakan kemudahan” ash-Sharh (94:5-6)

Jadilah hamba kepada satu Tuhan untuk dipersembahkan keikhlasan beribadat, melakukan kebajikan bukan kerana untuk membahagiakan ‘tuhan-tuhan’ kecil semata-mata kerana habuan di dunia.

Kita akan tewas sebelum sempat berjuang.



p/s: Doakan saya... hari ini, hari pertama saya mencoret jawapan di atas kertas jalur biru. Moga dipermudahkan semuanya (ameen)

0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal