PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Sabtu, April 3

Ikhlas Tapi Tidak Jujur

SUDAH lima hari saya tidak menulis, tidak tahu kenapa hati tiba-tiba resah, duduk tak kena, berdiri pun tak kena... nasib baik makan masih berselera. Hingga ada teman tidak putus-putus memberi dorongan, seolah-olah dia juga turut sama resah, tiada ‘santapan’ setiap kali buka laman blog saya.

Menulis juga salah satu cabang dakwah, seni untuk menarik minat para pembaca berirama seperti naluri penulis. Tidak hairan, seorang penulis hebat dapat meluaskan pengaruh melalui gaya penulisan, orang tidak hilang minat membeli, membaca, membelek, mengulang-kaji karya seseorang penulis itu.


Ruangan perbincangan dalam facebook cukup membantu dalam melancarkan medium dakwah, merungkai masalah secara langsung. Status terakhir saya tinggalkan melahirkan rasa minat rakan-rakan meninggalkan jejak juga, isu ini bukan isu kecil. Ramai di kalangan para sahabat memandang enteng bila menulis, mengeja menggunakan singkatan hingga hilang nilai bahasa, kesannya hilang jugalah rasa minat orang untuk membaca.

“Saya salah seorang yang menaip guna dua jari, rasanya normal seperti kalian. Saya cuba berusaha menggunakan susunan huruf yang penuh untuk membentuk satu-satu kalimah bila menulis di forum, blog, chat dan SMS. Ngeri bilamana ada para pembaca minta diselesaikan masalah, tapi tidak 'IKHLAS' bertanya. Kerana terlalu ahli dalam ilmu 'bahasa' perkataan SAYA jadi 'sy', LEBIH jadi 'lbh'. Agaknya 'IKHLAS'kah saya nak jawab?” status terakhir saya tinggalkan di laman facebook.

Ikhlas tapi tidak 'jujur'.

Benar, saya seorang yang cerewet dan tersentuh apabila membaca penulisan yang tidak tersusun struktur ayatnya. Terutamanya huruf besar selepas tanda nokhtah dan ‘di’ yang digunakan sama ada untuk kata kerja atau menunjukkan tempat. Saya perasan tabiat ini sudah sebati dengan diri saya kerana cikgu Bahasa Melayu semasa di sekolah rendah sangat tegas semasa mengajar kami. Saya ingat lagi, setiap kali kesilapan menulis mesti dibulatkan merah yang sangat menyakitkan mata di tempat kesalahan dilakukan. Jadi saya akan berusaha untuk mengurangkan warna merah bila ada tugasan menulis karangan. Kesannya, saya cuba menjaga setiap kali menulis di laman blog, makalah, dan surat rasmi.

Penggunaan bahasa kini telah bercampur aduk, dan bahasa yang digunakan juga dipengaruhi oleh ideologi baru... sudah jadi fenomena baru. Inilah yang berlaku bila zaman yang inginkan segera hinggakan maknanya menjadi haru biru, carca merba.. Saya sendiri pun bila ber-SMS cuba sedaya upaya untuk mengelakkan ayat ringkas, kerana kita tidak tahu sama ada mesej itu boleh dihadam atau tidak oleh si penerima.

Bayangkan kita ada hajat mustahak, dalam keadaan serba 'segera' kita hilang pertimbangan semasa menulis, SALAM jadi ‘slm’, DARIPADA jadi ‘dpd’, PULANG jadi ‘plg’, sedangkan dia pula seorang panas baran, beremosi, silap hari bulan kita pula dimarahi, tidak dilayan.

Jujurnya, saya tidak pandai memakai bahasa ‘tinggi-tinggi’ dalam setiap gaya penulisan saya, tapi saya cuba berusaha sebaik mungkin untuk mengelak agar tidak merendahkan dan ‘memperkosa’ maruah bahasa sendiri.

Saya memang kurang meraikan sebarang soalan dihantar melalui e-mail yang tidak dieja sebaik mungkin. Ini menunjukkan sikap penghantar e-mail yang tidak serius. E-mail yang dihantar dalam bentuk itu akan saya kembalikan dan minta tuannya membetulkan ejaan dan tatabahasa yang asas. Kalau huruf besar, huruf kecil dan ejaan 'saya’ pun tinggal ’sy’, saya tak fikir orang ini serius mahu berurusan dengan saya.

Maafkan saya.

Kalau pertanyaan datang daripada Pak Cik, Mak Cik yang baru kenal huruf selepas usia emas mereka, saya tidak kisah, tapi malangnya ‘kekusutan’ ini datang di kalangan para intelek, para sarjana yang berpengetahuan tinggi. Lebih malu, bila mana orang bertanya begitu optimis menjaga struktur ayat, ejaan dan tatabahasa, tapi lain pula orang menjawab, masih bermasalah menggunakan ejaan lengkap. Ramailah yang akan hilang minat untuk tahu.

Menguasai bahasa akan mencerna daya fikir dan daya menulis untuk menyampaikan maksud atau buah fikiran dengan jelas supaya dapat difahami dengan jelas oleh pembaca atau yang mendengar ungkapan yang kita nyatakan.

Kegagalan menguasai bahasa dengan betul akan dapat mengakibatkan maksud yang ingin disampaikan tidak kesampaian kerana kegagalan penutur atau penulis mengungkapkannya dalam ungkapan yang boleh difahami oleh pembaca dan pendengarnya. Apatah lagi alangkah baik sesuatu yang dibicarakan itu dalam ungkapan yang mudah tanpa istilah-istilah pinjaman yang mungkin juga tidak difahami oleh penutur atau penulis itu sendiri.

Ejaan, penggunaan struktur bahasa, tatabahasa mempunyai nilai tersendiri yang saling berkait-rapat membentuk kalimah tersusun dan indah. Pada saya, apa jua bahasa yang asal atau asli itu ada keindahannya yang tersendiri. Ibarat sekuntum bunga mawar yang sangat indah ketika semua kelopaknya bergabung dan mekar bersama. Jika ada kelopak-kelopak yang dibuang atau dicabut, pastinya mawar itu tidak lagi seindah sifat asalnya.

Bahasa jiwa bangsa.

Bahasa itu indah. Siapa lagi yang diharapkan untuk mengindahkan bahasa melainkan bangsa itu sendiri.

Moga kita akan sedar betapa sudah banyak kerosakan yang kita timpakan kepada bahasa ibunda. Sudahlah agama pun tidak kita jaga, bahasa pun kita sendiri yang pinggirkan dan musnahkan.

Jangan terkejut, yang menulis guna bahasa sekera-sekerat dan campur-campur ini bukannya tidak berpelajaran, tapi siswazah. Marilah kita murnikan kembali bahasa, seperti mana kita mahu Islam itu kembali berdaulat. Kita berlaku zalim kepada bahasa, kerana meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.

Kalau kita tidak berubah sekarang, kita akan dikenang sejarah sama seperti mereka yang menghapuskan tulisan Jawi, dikutuk oleh generasi akan datang.

Sekian...

4 komentar:

R3alfarhha on 3 April 2010 pada 2:17 PTG berkata...

Oh, sentap!
Akan cuba memperbaiki setiap tulisan akan datang.

Nabila Adnan on 3 April 2010 pada 2:30 PTG berkata...

Salam ustaz..
Akan direnugkan pesanan ini.
Akan saya betulkan yang mana silapnya.
Betul teguran itu. Kesungguhan dalam penulisan melambangkan kesungguhan kita dalam berurusan.

Ummu Hafza berkata...

Salam Alhamdulillah.. Ana sebenarnya tercari-cari satu taujihat untuk diri ana berkenaan dengan cara penulisan dan penaipan perkataan. Taujihat yang akan menenangkan jiwa ana. Sebelum ni ada suara-suara yang mengatakan "alaa skema sangat la ustzh ni, tengok cara taip pun tahu" dan "macam orang berumur je cara taip".. Sememangnya disuarakan oleh orang yang bergelar mahasiswa. Syukran atas nasihat dan taujihat yang amat bermakna dan terkesan di hati.Teruskan perjuangan mencoret bait-bait dakwah berdakwatkan tinta istiqamah !

AhmadNizamuddin on 4 April 2010 pada 12:22 PTG berkata...

Assalamu'alaikum...

Setuju sangat dengan penulis. Begitu juga dengan saya. Dalam keadaan untuk memperbaiki bahasa sendiri pun, masih menggunakan perkataan-perkataan yang singkat seperti dengan jadi 'ngan', tak jadi 'x'. Insyaallah, Hari yang kemudian ini, moga diperbaiki segala bahasa tersebut. Terkena juga dengan panggilan skema sebab saya menaip dengan mengunakan perkataan yang penuh tapi bukan dengan bahasa baku. Dan Saya menjawab, saya tidak mahu biasakan diri saya dengan perkataan singkat ini kerana jelas, jika sudah biasakan diri saya dengan bahasa-bahasa seperti ini, kemungkinan untuk menulis atau untuk menaip apa jua artikel, pasti ada yang janggal.

Sekian, Wallahu a'lam...

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal