PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Selasa, Mac 9

Gersang

“USTAZ, ana rasa hairan dengan sesetengah pihak yang sengaja mencetuskan kemarahan, walhal prinsip mereka jelas memperjuangkan Islam” saya tersentap dengan pertanyaan seorang teman.

“Apakah yang dicari di sebalik slogan Islam yang dilaungkan selama ini” tambah beliau. Saya tidak terlepas menjadi mangsa pertanyaan soalan sensitif ini yang hangat diperkatakan di bumi anbiya’ ini, namun saya mengambil isu ini dari sisi keperluan sebagai seorang muslim yang cintakan agama-Nya untuk mengupas agar titik kesamaan dapat dicari. Jangan disebabkan perkara kecil, hilang pertimbangan di dada.

Hairan…

Selepas begitu lama berjuang dan begitu banyak idea dan teori dikupas, gerakan Islam hari ini masih tidak berganjak secara yang signifikan di dalam gerak kerja mereka. Malah sering pula kelihatan berundur atau memutar pusingan yang sama.

Tetapi, tahu banyak, tidak menyelesaikan masalah gerakan Islam. Malah kelihatannya seperti tambah menyulitkan keadaan. Maklum sahaja, ILMU memang boleh membawa kepada kebaikan, tetapi ILMU juga punca manusia melampau dan hilang resmi padi.

فَلَمَّا جَآءَتۡهُمۡ رُسُلُهُم بِٱلۡبَيِّنَـٰتِ فَرِحُواْ بِمَا عِندَهُم مِّنَ ٱلۡعِلۡمِ وَحَاقَ بِهِم مَّا كَانُواْ بِهِۦ يَسۡتَہۡزِءُونَ

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Kerana pada masa mereka didatangi oleh Rasul-rasul yang diutus kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (untuk menyelamatkan mereka, mereka mengejek-ejeknya, dan) mereka bergembira dengan ILMU yang ada pada mereka; dan dengan yang demikian mereka pun diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek dahulu” al-Ghafir (40:83)

UBAH MENTALITI
Realiti gerakan Islam di Malaysia mengalami satu revolusi sejarah yang unik. Ini kerana sejak era kejatuhan kerajaan Melaka lagi golongan ulama’ telah mula membangkitkan semangat politik di kalangan umat Islam Tanah Melayu pada masa itu untuk menentang penjajahan.

Manifesto sudah mengalami perubahan, hasil perubahan yang berlaku kepada analisa pimpinan terhadap pendekatan PAS semasa. Daripada tertumpu kepada soal negara Islam dan pentingnya Islam, kini kita bercakap tentang bagaimana Islam yang kita pegang boleh diterjemahkan kepada hasanah dunia, sebelum hasanah akhirat.

Kita dapat melihat bagaimana penubuhan parti politik pertama yang ditubuhkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong iaitu Sarekat Islam dan diteruskan pula dengan penubuhan Hizbul Muslimin oleh Ustaz Abu Bakar Baqir untuk menentang penjajahan British. Gerakan ini pula diteruskan oleh PAS selepas kemerdekaan negara. Kita boleh melihat bahawa faktor masa dan tempat gerakan Islam di Malaysia adalah berorentasikan politik.

Pilihlah prinsip bukan orang yang melaksanakan prinsip. Pilih Islam bukan muslim. Kerana semua muslim dari pelbagai mazhab, kumpulan, manhaj dan sebagainya, mengatakan mereka adalah pejuang Islam di lisan mereka. Hasilnya ialah bercakaran, berperang dan berbalah kerana sudut pandangan dari kedudukan mereka ke arah Islam yang luas ini, terlindung akibat halangan, yang selalunya adalah perangkap adat, rabun pemikiran dan tuntutan nafsu.

Selagi kita tidak memfokuskan kepada erti sebenar Awaluddin maarifatul-Allah, kita akan sentiasa keluar dari mulut buaya masuk ke mulut harimau, dan keluar dari barisan masuk barisan lain. Manusia diberikan naluri mempertahankan apa yang dipercayainya. Tamadun manusia dari mulanya terbina atas dasar yakin kepada apa yang dipercayai.

Kebenaran Bumi mengelilingi Matahari hanya ditemui kurang 500 tahun sedangkan tamadun besar telah bermula sejak 5000 tahun dahulu. Jadi walaupun kepercayaan manusia terhadap alam itu salah, ia tidak menghindarnya dari mempercayai sesuatu dan melaksanakan yang dipercayai.

Amerika yang mempunyai amalan kelas satu kempen pilihan raya terdiri dari majoriti penduduk yang bergantung kepada kepercayaan. Mereka dialun irama kempen yang menyakinkan, walaupun apa yang dikempenkan tidak sepenuhnya benar. Itulah yang selalu saya jelaskan hakikat manusia suka dijaga hatinya bukan dijaga akalnya.

Biar apapun kebenaran yang ada, kepercayaan meyakinkan manusia untuk bertindak. Mereka merasakan bahawa kepercayaan mereka adalah kebenaran dan tidak mahu berusaha membuktikan kepercayaan mereka. Ini terbukti tamadun manusia sejak 4500 tahun dahulu yang percaya bumi adalah paksi kehidupan sedangkan jauh dari sudut kebenaran.

RITUAL SIKAP
Sikap adalah antara salah satu cabang jawapannya walaupun di samping ilmu itu antara faktor utama, kerana tasawwur tentang Islam yang berbeza itu membuatkan wujudnya perbezaan dalam sesebuah gerakan Islam itu seperti gerak kerja, manhaj dan tarbiahnya. Tetapi apa yang perlu disingkapi oleh semua gerakan Islam ialah saling bersinergi dari segi kemampuan demi untuk membantu kejayaan Islam dan bertolak ansur dalam perkara yang tidak sebulu (dasar), asalkan matlamat asal adalah Islam.

Sungguh, perbezaan itu telah wujud sejak zaman Rasulullah s.a.w lagi, maka yang penting ialah bagaimana kita boleh menyingkapi sesama gerakan Islam lain untuk sama-sama menggerakkan wadah Islam tanpa perlu ada pergeseran.

Tetapi tidak sedemikian dengan sikap. Memahami ilmu tentang ikhlas, contohnya, adalah jauh lebih mudah berbanding dengan menanam dan mengukuhkan sifat ikhlas ke dalam diri kita. Apakah sama orang yang membaca tentang sesuatu perintah Allah Taala dan orang yang beramal dan berjihad melaksanakannya? Sikap itu lebih utama, kerana ia lahir dari dalam diri seseorang. Ia berkaitan dengan hati, matlamat, cita-cita, cinta, harap, penyerahan, dan sebagainya.

Oleh itu, setiap daripada kita tidak boleh lari daripada proses keImanan, proses yang akan mewujudkan gelombang kesatuan, arus tsunami perubahan pada hatinya. Bertitik tolak daripada itu gelombang ombak ganas melimpah keluar daripada dirinya mematangkan ilmunya, kemahirannya dan sikapnya yang soleh. Dia mengumpulkan dari segala kekuatan bagi merealisasikan cita-citanya yang tinggi.

Membuatkan seseorang itu bersikap sedemikian adalah kerana apa yang ada di dalam hatinya, apa yang mempengaruhi hatinya. Akhirnya kita akan berputar semula kepada masalah penanaman benih dan pohon gergasi keImanan ke dalam diri setiap gerak kerja Islam.

Berpindahlah daripada bercakap kepada beramal, daripada beramal kepada berjihad, daripada berjihad kepada berkorban segalanya.

Masalah sikap itu muncul adalah disebabkan kegersangan cinta dan tawadhu’. Walaupun memiliki ilmu dan kemahiran yang luas melaut sekalipun, ia tetap gersang dan tidak mampu melahirkan sikap yang menguntungkan umat.

PUNCANYA DI MANA?
Asal kepada masalah sikap adalah ketempangan pada sudut pandang (world-view). Bagaimana seseorang itu melihat sesuatu perkara, begitulah sikapnya terhadap perkara tersebut. Berkait rapat bagaimana seseorang itu berinteraksi dengan ILMU, menghubung-jalin, dan meletakkannya pada tempat yang betul.

Saya fikir world-view ahli gerakan Islam kita terhadap beberapa perkara asas masih lagi kabur. Persoalan-persoalan berkaitan antara ulama’ dan ahli professional, ilmu dan perjuangan, kepimpinan ulama’ dan kepimpinan Islam, agama dan sains, guru dan ustaz, dan lain-lain terus menjadi polemik yang tidak berkesudahan.

Kekaburan ini ditambah lagi dengan pemikiran sekular yang sudah menjadi darah daging, mengusutkan lagi suasana sehingga kadang-kadang timbul pemikiran yang akal ganjil, malah bersifat radikal melampau.

Jika memikirkan apakah langkah yang seharusnya dilakukan, sejujurnya kredit harus diberikan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Sebagai anak Kelantan yang membesar dalam era kepimpinan beliau, saya melihat beliau tidak kenal erti jemu dan penat lelah memperbetulkan mindset rakyat. Kadang-kadang, perkara yang sama diulang-ulang sehingga berbekas di hati.

Sungguh kalau tak kata, bukan mudah untuk mengubah SIKAP.

Bermuhasabah sebelum rebah kembali kepada-Nya.

Ameen

0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal