PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Isnin, Mac 1

Iman Suburkan Cinta







MALAM berunggaskan suara-suara senda bangsa arab. Sudah jadi rutin, di balik celahan bangunan, di setiap inci langkah pasti ada suara kecil anak-anak berlari-lari, muda-mudi bertepuk tampar bercanda sesama, sesekali di selang-seli hilau tawa dari anjung rumah. Sungguh indah juga, setiap kali terkenang suasana kampung di tanah air, jiran-jiran sangat peramah, terubat sedikit kerinduan pada halaman.

Inilah sunnah anak rantau.

Bukan sebab, bila berjauhan dari orang tua, saudara mara, maka tiada keinginan untuk membahagiakan sekeping hati, hadirkanlah ceria dalam setiap kepiluan, ukirlah senyum dalam setiap kedukaan, waima hatimu berbicara ‘tidak’, pujuklah dengan nada bersalut iman, katakanlah dunia ini sangat singkat usianya, telah tertakdir usia manusia berpas-pasan, turutilah kemahuan bujukan iman, bertindaklah melalui kemahuan hati sebagai teman, usahlah diikuti kehendak nafsu, kelak diri menjadi lesu.

Tanpa disedari, saya sudah hampir dua tahun tinggal jauh dari pendudukan pelajar Melayu. Medan jaisyun, Abbasia telah mengajar saya hidup sebagai manusia, berhempas-pulas dengan segala macam lautan tingkah laku bangsa arab, hal-hal gembira terlalu banyak bisa dikenang, tidak kurang juga hal-hal duka. Semua ini, saya bancuh dalam satu uncang, digaul dalam satu bekas, ramuan sabar, jujur, amanah, ikhlas ditabur agar hasil dapat dimaksimakan.

Setiap derapan kaki, sudah pasti meninggalkan kesan membekas di dada bumi. Setiap baik buruk perilaku manusia, seorang muslim pasti berbekas berupa pahala mahupun dosa. Kita pasti melihat kedua-dua balasan tersebut dalam dua sisi berbeda-beda. Bagi orang beriman, perihal baik diambil pengajaran dan berusaha melakukannya berkali-kali, bahkan meningkatkan lagi dari semasa ke semasa, perihal buruk pula dimuhasabah dan berusaha meninggalkannya setiap kali, hinggalah merundum keinginan melakukan dosa.

Bagi seseorang muslim, tapi dibutakan mata hati, perihal baik pasti mahu disanjung, dijulang, dikenang di setiap bibir. Melakukannya mungkin secara paksa atau kerana nama, perihal buruk pula diulang-ulang hingga mendarah-daging, kerana dia sudah lemas dalam kenikmatan sementara. Tidak cukup dengan apa yang ada, dan terus haloba dengan apa yang tiada.

Sebelum saya pergi lebih jauh mengolah masalah hati, soal cinta yang sering disalah-ertikan yang menjadi keutamaan saya dalam buku ini, adalah lebih elok kita perelokkan iman terlebih dahulu, kerana iman seseorang muslim itu akan menentukan corak perjalanan hidup di persinggahan berpuaka ini. Kesungguhan kita memelihara iman merupakan mujahadah tiada tolok bandingan, dan merupakan jihad paling tinggi.

Beberapa kali kita diingatkan, iman itu mahar kita di dunia. Menjaga iman seperti kita memelihara nyawa, seperti juga kita menjaga jasad dari jatuh sakit, baik buruk iman ditentukan oleh perlakuan kita, akal kita merancang, hati kita merasa, tangan kita menggerak, kaki kita melangkah. Iman seorang muslim, tidak disusun di rak kedai-kedai buku. Iman adalah kepercayaan, dibuktikan dengan ujian Ilahi di dunia. Pasaran saham dunia merundum mahupun meningkat, iman tidak terkesan untuk berubah sama.

Berpeluang melangsaikan rasa ‘percaya’ pada sebuah ujian, adalah pembuktian lahirnya iman luhur di sanubari. Merasainya sendiri, adalah anugerah tiada terhingga. Nilainya jauh lebih indah daripada bunga-bunga sedang mekar pada musim semi, lebih berharga daripada segudang emas.

Melalui deria-deria kita sahaja sudah cukup bagi melahirkan iman. Kita ada mata, ada mulut, ada telinga, ada kaki dan anggota lain yang mempunyai fungsi pelbagai, andai kita cukup yakin pada kalam Allah satu ini, bertadabbur dengan makna tersirat sudah memadai untuk memaksimakan cinta, berbuahkan iman di sanubari.

وَفِى ٱلۡأَرۡضِ ءَايَـٰتٌ۬ لِّلۡمُوقِنِينَ وَفِى أَنْفٌسِكٌمْ أَفَلَا تٌبْصِرُوْنَ

Allah Taala berfirman, bermaksud: Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin. dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan? adz-Dzariyat (51:20-21)

Pada saat melihat dusun-dusun kecil, pada saat melihat kebun-kebun dan tanah-tanah lapang, pada saat mengenal bentuk muka bumi, di saat melihat keajaiban pelbagai budaya dan adat resam, di saat makan di pinggir sungai, minum di lembah-lembah, dan tidur di mana pun saat malam menutup muka bumi, maka di setiap perjalanan itulah akan melahirkan iman.

Seorang pengembara yang bijak, tidak akan menyusahkan dirinya dengan apa yang dia tidak perlukan, dan mengambil hasil manfaat dipungut di setiap persinggahannya sebagai bekal. Kitalah pengembara. Kembara kita bermula ketika di alam roh lagi tika ditiupkan oleh Allah akan roh meresap bersama catatan takdir, jodoh, rezeki. Kini kita berada antara destinasi wajib sebelum sampai ke destinasi seterusnya, iaitu alam kubur sebelum datangnya alam akhirat.

كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيْبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيْلٍ

Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud: Hiduplah kamu di dunia seolah-olah kamu ini warga asing atau pengembara di sebuah perjalanan jauh... (Hadith Riwayat Bukhari)

Rasulullah s.a.w mengingatkan kita bahawa dunia ini juga satu kembara. Dunia adalah tempat persinggahan. Kita datang dari alam lain dan sedang menuju kembali kepada-Nya. Sistem nilai yang menentukan apakah yang berharga dan apakah yang merugikan dalam hidup ini. Perkara yang berharga diberikan keutamaan, manakala perkara yang kurang berharga boleh diketepikan dulu, atau ditinggalkan sahaja.

Mengendalikan sebuah kehidupan adalah ibarat memandu kereta di perjalanan yang jauh. Sebahagian besar tumpuan kita adalah memandang ke hadapan, namun ada ketikanya kita perlu mengintai cermin pemanduan di sisi dan belakang. Meninjau jika ada halangan di mana-mana, memperbaiki di mana yang perlu.

Benar, tiada manusia yang sempurna melainkan Rasulullah s.a.w. Kadang-kala kita sering alpa dan leka tentang fitrah kita sebagai manusia yang sering melakukan kesilapan. Sering kali kita benci melihat kesilapan itu, namun sering kali juga kita biarkan kesilapan itu terus menjadi sebuah kesilapan bertingkat-tingkat tanpa berusaha untuk membetulkannya kembali.

Justeru itu, kita telah diajar oleh sunnah perjalanan hidup para anbiya’ dan rasul agar membuat kebaikan sebanyak mungkin. Kebaikan akan meleyapkan keinginan membuat kejahatan, akan memadam dosa dilakukan. Kebaikan tadi telah disuguh oleh fitrah kita, fitrah kita tidak suka jahat, buruk, namun disebabkan hati kita sering alpa, tewas oleh pujukan nafsu, maka sesekali ingin juga mengotori kesucian fitrah tadi.

Pernahkah kita muhasabah, bertanya pada diri, perihal iman?

Kini, kita mengecapi nikmat Islam dengan tidak perlu bersusah payah mencurahkan keringat darah dan air mata. Kita lahir hari ini sebagai Islam yang aman dan sejahtera. Kita mengecapi iman sebagai asas kepada Islam itu. Namun, kita sering leka untuk melihat dasar hati kita ini. Masih teguhkah lagi pokok keimanan kita atau sudah hampir kering dan layu daun-daunnya.

Kesyukuran kita seharusnya melampaui keupayaan kehidupan kita.

Perbincangan tentang nikmat dan kelazatan mempunyai iman dan Islam ini jarang kita dengar dikedai-kedai mamak atau tempat melepak manusia hari ini. Yang ada cuma gosip, bola sepak dan hal untung rugi perniagaan di dunia. Tidakkah mereka sedar, perniagaan yang pasti tiada kerugiannya di sisi Allah Taala adalah menyeru ke arah kebaikan?

Apa yang menjadikan seseorang itu hero ialah apabila dia memberikan yang terbaik, dan manusia mendapat yang terbaik daripada pemberiannya itu, lalu diganjari kebaikan dunia dan kebaikan akhirat, biar pun dia hanya seorang miskin harta, tapi bukan miskin kata-kata, kata-kata kebaikan dalam memberi. Inilah antara daya usaha kita mengairi pokok iman agar tidak kontang, layu kerana tiada air membasahi akarnya.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, bermaksud: Demi Allah, sekiranya seseorang itu diberikan hidayah kerana (usaha) kau, maka itu lebih baik dari unta merah (Hadith Riwayat Muslim)

Masalah kadang-kala boleh jadi petunjuk perkara baru yang boleh dipelajari, selitkan optimis di setiap masalah tadi. Kita boleh berdepan dan cuba selesaikan. Diam dan memendam jangan sesekali, kerana ketika itu kita telah dikuasai keburukan, langsung kita tidak tahu kesilapan kita dan kita selama-lamanya pesimis untuk berubah. Tidak semua perkara kita benci, datang dari sesuatu tidak ada sebab dan musabbab.

Buat para da’ie, kadang-kadang ada kala kita buat, kita ingat dah baik tapi tidak berapa kena pada orang lain. Orang ada banyak ragam, kita sebagai da’ie kena pandai blend untuk sesuaikan diri dengan semua situasi, tidak boleh ikut satu-satunya cara yang kita sendiri suka sahaja. Jadi, mungkin perbuatan kita sebenarnya yang tidak disukai, bukan diri kita.

Proses memberi ada di mana-mana, dengan apa sahaja, asalkan mendatangkan kebaikan, faedah kepada si penerima.

Hidup ini umpama roda, sebagaimana kita mahu ada seseorang untuk menunjukkan kita jalan dan memperingatkan kita setiap kali alpa, begitu juga dengan orang-orang lain akan mengharapkan perkara sama.

Kadang-kadang juga kita lihat dari sisi lain, orang tidak boleh menerima kritikan tetapi ada yang menerima mungkin dengan kutukan di belakang. Pelbagai penerimaan orang apabila menerima kritikan sama ada kritikan itu membina ataupun tidak, yang penting di sini adalah pertama kita mesti berfikiran positif dan bersangka baik dengan orang yang menegur. Kita ambil iktibar dengan apa yang ditegur, berubah ke arah yang lebih baik.

Mungkin terselit hikmah darinya.

Ilmu diperolehi kalian adalah untuk ditelaah, dibawa ke dalam kehidupan sebenar.

Berapa kali kita jatuh itu tidak penting, yang penting adalah berapa kali kita bangun semula, kita hendaklah sentisa berusaha dan terus berusaha dengan iman yang kukuh dan kepercayaan yang teguh pada yang Maha Pencipta, kita pasti akan berjaya. Hanya Dia yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

Inilah sunnah jalan perjuangan kita, berusaha ke arah kebaikan adalah jihad, mengajak orang lain berubah dengan usaha dakwah kita adalah jihad, menyumbang idea-idea membangunkan modal insan adalah jihad, tarbiyyah adalah jihad kerana semua ini hanya orang mempunyai mujahadah tinggi bisa melakukan anjakan. Jihad di era serba mellanium ini, adalah macam mana kita nak istiqamah (konsisten) dalam suasana soleh yang kita ikuti, disebabkan sistem jahiliyyah yang berpusu-pusu menyerang kita di setiap sudut.

Kebejatan perlakuan anak-anak adalah usaha kita membetulkan, kebebalan perlakuan anak-anak adalah tanggungjawab bersama, liat anak-anak menunaikan solat adalah kuasa kita mendidik agar patuh pada suruhan agama.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارً۬ا

Allah Taala berfirman, bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri-diri kamu dan keluarga-keluarga kamu dari api neraka at-Tahrim (66:6)

Kalau ibu bapa dari awal-awal lagi liat menunaikan solat, tidak mustahil si anak akan bosan menunaikan solat, kalau di awal-awal lagi si bapa merokok, tidak mustahil si anak boleh berjinak-jinak dengan najis dadah, kalau awal-awal lagi ibu bapa menyokong artis-artis barat terbelah sini terdedah sana, tidak mustahil anak juga memperbodohkan sama perlakuan ibu bapa. Kalian adalah role model mereka.

Ketahuilah iman seorang muslim didatangkan dalam satu pakej, ada bersamanya ilmu, dan amal, ilmu bermanfaat buat mengendalikan sumur hati, maka sudah pasti orang yang beramal dengan ilmunya mampu mengeluarkan gugusan manfaat buat memandu diri, maka terbitlah iman di hati.

Kotak kepala kita mempunyai segalas tugasan menumpah idea untuk kebangkitan Islam, sebagai perhatian berpanjangan. Mengandungi idea-dea yang besar. Tidak dinafikan ialah setiap kata-kata mahupun pekerjaan mengandungi pesanan penting, berguna. Maka dalam mengejar yang besar dan penting, bagaimanakah kita belajar mendefinasikan yang utama.

Meratah setiap baris kitab ilmiah tidak seperti kita menatap hidangan karya berbentuk novel, cerpen, puisi boleh dihabiskan dalam masa singkat. Setiap barisnya ada pengertian, huraian mendalam, seperti dalamnya kita menarik mutiara di dasar lautan.

Kepala sarat dengan pengetahuan, pengetahuan apa sekali pun, akan menggugah akal dari mengakses maklumat yang tidak sihat, tiada pencerahan, tiada pencambahan ilmu. Pengetahuan belum tentu merupakan sejejer ilmu yang bermanfaat, tapi ilmu adalah induk pengetahuan. Kita boleh sahaja baca majalah hiburan, mengetahui dunia glamour artis, ada pengetahuan tapi tidak berupa ilmu.

Ilmu ialah sesuatu yang boleh ditumpangi keberkesanannya dalam hidup. Bisa diguna, bisa diaplikasikan. Tapi ingat, aplikasi yang saya harapkan ialah urna pengetahuan yang membimbing, bukan menumbang. Boleh ditumpang faedahnya. Cabang ilmu pula banyak.

Apalah bezanya orang yang belajar sampai PhD, ada Master, selesai ijazah, habis mengaji di al-Azhar, Oxford, tetapi tidak memahami apa yang dia pelajari, hanya ada sijil sahaja tetapi tidak mendalami apa yang dia dapati, dengan keldai yang ditugaskan membawa seguni kitab di belakangnya tetapi dia tidak tahu apa-apa berkenaan kitab di belakangnya.

Faham melahirkan keyakinan hendak buat sesuatu, kerana tahu manfaat dan keburukannya. Jadi, tidak dapat tidak kita sebagai muslim, mukmin ini mesti sentiasa memperbaharui apa yang kita telah faham akan kehendak Islam melalui pencerahan ilmu.

Iman kita bersifat turun naik, mungkin hari ini kita kuat dan bersemangat dengan membaca artikel-artikel berkisar tarbawi, tamrin rohani, mendengar majlis ilmu, duduk bersama ulama’, tapi bagaimana keadaan kita selepas membacanya, memahami ilmu tersebut? Adakah kita cuba mengaplikasikannya di medan amal? Ini adalah cabaran yang kita kena sama-sama depani.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُقَدِّمُواْ بَيۡنَ يَدَىِ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ‌ۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ۬

Allah Taala berfirman, bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui al-Hujarat (49:1)

Kini saya, dan pasti kalian sudah ketemui sebuah damai dalam tenang. Sudi menjengah sisi-sisi kebaikan, meningkatkan kualiti iman, dan beramal dengan apa yang diperolehi. Teramat rugi, sepanjang nyawa berpadu dengan jasad, tidak pernah bimbang dengan langkah yang ada kalanya terjatuh di dalam lumpur, jatuh, dan jatuh lagi, tiada usaha untuk tingkatkan pemanduan, kesilapan kelmarin, semalam ditangani dengan baik pada hari ini, dan harapan agar keesokan harinya lebih baik dari hari ini.

Bila terasa ringan melakukan kebaikan, berat melakukan kejahatan. Mudah merendah diri. Mudah rasa berdosa dan segera bertaubat. Tutur kata menjadi lembut dan senang sekali untuk membuat kebaikan. Maka, dengan mudah seorang hamba jatuh cinta kepada Maha Pencinta. Mudahkan... tapi perlu sedikit mujahadah, kerana hidup seorang pejuang di dunia adalah pahit kerana mahar cinta-Nya di Syurga adalah manis.

Begitu dalam erti cinta bila manusia menginginkan bahagia, tenang, damai di setiap helaian hamparan kehidupan duniawi. Bahagia dicari sudah pasti bermula dari segala hal baik-baik, tenang digali sudah pasti lahir dari permulaan baik-baik, damai disoroti sudah pasti berada di awal segala hal kebaikan. Penentu bahagia, tenang, damai adalah bermula dari langkah pertama, baik langkah pertama, insha-Allah baiklah langkah-langkah kita seterusnya.

Ya... niat, nawaitu kita.

Cinta anugerah Ilahi. Cinta sejati yang datang dari lubuk hati yang dalam, itu yang dicari. Cinta pada Ilahi adalah tunggak segala-galanya. Apabila ianya kukuh di jiwa, tiada lagi masaalah yang melanda. Cinta adalah satu kuasa dalaman, satu kuasa untuk diri mengubah keadaan. Cinta suci lahir dari hati yang kudus, bersih dari segala kekotoran dalaman dan luaran.

Ramai manusia diserang masalah berkaitan hati, cinta diraih sering kali gagal. Kadang-kadang kita juga sering salahkan takdir, sedangkan kita sebenarnya gagal menempatkan hati pada langkah pertama lagi. Mengalami masalah hati dan jiwa setiap hari, tapi tidak jumpa solusi yang pasti, selalu membuat kesimpulan gunakan hati (nafsu), bukan berdasarkan al-Quran dan al-Hadith.

Semua insan di dunia inginkan kesenangan dan kebahagiaan. Justeru, kekadang bila kita melalui hari dengan mudah pada satu-satu hari, rasa bersyukur teramat sangat. Manakan tidak, setiap hari sebelum memulakan hari baru, kita (niat) sentiasa berdoa demi kebaikan sepanjang hari pada hari tersebut, bermula pada langkah pertama.

Kekadang kita terlalu takut jika Allah Taala tidak menyayangi kita, bilamana kita tidak ditimpakan ujian walau sebutir zarah pada hari-hari yang kita hadapi. Ujian ini, bukan untuk menakutkan diri, tapi mencari hikmah tersembunyi.

Berterima kasihlah kepada Allah Taala kerana masih ditarbiah hati ini.

Cinta melulu hanyalah cinta orang yang lemah iman. Itulah yang berlaku dalam kehidupan kita selama ini. Terlalu sayang, sayang sangat-sangat hingga bisu untuk menegur kesalahan, sudah ketara, tapi buat-buat lupa, sudah tahu dan nyata, tetapi pura-pura buat buta. Hinggakan diri sendiri pun terikut-ikut dan sama-sama jadi buta, gelap gelita.

Ya, bila ujian Allah Taala datang mendidik diri, baru sedar, baru terngadah. Tapi syukur Allah Taala datangkan jua rasa redha di hati ini. Mujurlah jua Allah Taala tunjukkan jalan mengajar hati redha, terima hakikat.

قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّهَا

Allah Taala berfirman, bermaksud: Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) asy-Syam (91:9-10)

Pasti kalian pernah merasai saat genting ini.

Ada yang selepas berumahtangga, pengamalan agama dianggap enteng. Jika dahulu impian ingin membina bait-muslim itu cukup tinggi tetapi apabila ada kelemahan, kekurangan dan kesilapan yang dilakukan, pasangan hanya mengambil langkah berdiam diri hanya kerana cinta, inilah cinta buta tidak nampak akan kesalahan, matlamat pula menghalalkan cara.

Bila cinta Tuhan diketepi, bila kasih sayang makhluk mendasari hati, nafsu menjadi raja dalam diri, kalam Tuhan tidak lagi diikuti. Sesungguhnya manusia apabila mencintai makhluk-Nya dan mendahului mereka dari Allah, maka tunggulah janji-Nya.

Kadang-kadang untuk menyeru kepada kebaikan agak sukar kerana sesetengah orang akan lebih nampak kepada keburukan. Namun begitu, kita boleh terus berusaha dan istiqamah dalam membuat kebaikan. Kebaikan tidak semestinya melalui lisan, tetapi boleh juga melalui perbuatan. Kadang-kadang apa yang kita buat lebih memberi kesan berbanding dengan apa yang kita cakapkan.

Dunia ini adalah madrasah cinta kita cari.

Allah Taala sedang mengajar dan mendidik kita. Suatu ketika dulu saya juga pernah mengalami perkara yang sama. Namun di teruskan juga menadah, meminta pertolongan Allah. Allah Taala akan terus mengajar dan mendidik kita dengan syarat kita mahu belajar sama ada dari pengalaman yang kita lalui, muhasabah diri seterusnya belajar ilmu-ilmu Islami.

Manusia bijak akan menjadi orang lain bergantung kepadanya, bukan sebaliknya. Dia tidak pernah bersikap dan mengambil keputusan dengan mengharapkan orang lain turut sama berendam dalam masalah peribadinya. Bahawasanya seorang muslim itu mempunyai falsafah hidup, prinsip, risalah, dan ketentuan yang lebih agung daripada hanya sekadar mengharap, balas dendam, dan benci.

Perjalanan hidup berumahtangga sebahagian surat cinta Ilahi. Bahawa dugaan, kepahitan, perpisahan adalah antara isi kandungan surat cinta ini. Ada tersirat di sebalik tersurat.

Mendepani surat cinta ini, insha-Allah akan menyuburkan cinta, sekiranya kita menerimanya sebagai satu tarbiah daripada Allah. Percayalah, kita pasti akan bertemu dalam suasana yang lebih indah dan manis selepas kesulitan. Kesulitan ini adalah mahar buat saat yang indah itu.

Berbahagialah isteri-isteri yang menjadi solehah hasil bimbingan dan pimpinan para suami soleh. Beruntunglah isteri-isteri meredhai kehidupan rumahtangga yang dibina. Kesusahan dan kesulitan sudah menjadi pakaian harian, nilai kasih sayang antara penghuni rumahtangga didahulukan.

Mempunyai peranan.

Peranan takwa dan Iman itulah, yang menjadi pasak melahirkan serta mengekalkan konsisten keharmonian cinta yang dirasai dengan cara dan sudut yang pelbagai nantinya. Banyak versi dan variasi. Kursus perkahwinan pastinya belum memadai membenihkan nilai-nilai yang perlu kepada bakal pasangan, jika sahaja kayu ukur sebaik para ‘pejuang agama’ sebahagiannya juga ditakdirkan untuk kecundang.

Ingatlah, ramai pasangan berpisah kerana putus cinta.

Cinta yang matang itu, tidak buta dengan kesalahan dan kekurangan orang lain. Nampak, tetapi hati yang cinta akan berdoa dan berusaha untuk memperbaikinya. Kita terima seadanya. Dia hamba, kita hamba. Hamba itu lemah dan sentiasa bersalah. Pohonlah maaf, dan bersedia memaafkan.

Jesteru itu, saya cuba bawakan dalam karya saya ini kepada para pembaca, agar kita menangani masalah berkaitan hati, soal cinta secara berhemah. Iman dan cinta ibarat isi dan kuku, tidak boleh dipisahkan. Cinta kita mahukan di sini, tersalut bersama-sama degusan redha Ilahi. Selamat membedah cinta dalam erti kata sebenar, agar keringat kita taburkan terus berlangsung hingga kita dapat berteduh di kebun cinta Ilahi nan abadi kelak.


0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal