MUNGKIN ramai sahaja yang beranggapan, kejayaan anak-anak mereka dibangku pengajian bila bertambahnya pengetahuan, boleh menjawab soalan-soalan yang diberikan guru. Lebih manis bila berjaya mengekalkan kedudukan nombor tertinggi di dalam kelas. Namun pernahkah kita berfikir tatkala diri telah dimamah usia, di mana hanya menunggu saat ajal dan malaikat menjemput mengadap Ilahi, apakah kejayaan yang telah kita siapkan sebagai bekalan diri bila berada di alam lain? Jentik hati, dan tanyalah Iman!
“Alhamdulillah ustaz, saya adalah salah seorang hamba yang telah dipilih untuk menerima cahaya dan hidayah Allah Taala. Saya hanya mula istiqamah menggunakan tudung semasa tingkatan satu lagi”
“Alhamdulillah ustaz, Allah Taala telah bukakan hati mak cik untuk belajar agama dan mengenal Alif, Ba’, Ta’ di usia seperti ini”
Namun dengan bertambahnya usia, apabila kita bukan lagi seorang individu, kejayaan pengetahuan dan amal menjadi kecil tidak bererti. Jika selama masa yang lalu, kita adalah individu yang mengukur kejayaan pada apa yang dicapai oleh peribadi, kini ukuran itu sudah tidak bermakna. Hanya mereka yang mampu menempatkan diri bersama golongan yang berjaya, berada sebaris mukmin lain di bawah Arasy Rabbul Izzati.
Erti kejayaan bagi seseorang adalah subjektif. Terpulang kepada individu. Tetapi bagi muslim erti kejayaan adalah bebas dari api neraka. Hidup ini hambar tanpa iman. Kejayaan sebenar ialah apabila kita berjaya sebagai seorang hamba, dan berjaya bawa orang lain turut berjaya sama-sama, berjaya ke Syurga. Mampukah ke Syurga kalau ahli keluarga jadi ahli neraka? Pertanyaan untuk anda dan diri saya.
Betul kata anda, hidup ini adalah kelas persekolahan, jangan mengaku kalah atas kegagalan, kerana bukan manusia jika seseorang itu tidak menemui kegagalan demi kejayaan. Tapi apakah ianya disulami sebuah kejayaan rohani? Lagi soalan untuk anda dan diri saya.
Kejayaan Ibu bapa boleh dilihat dan dirasakan bila berjaya menanamkan sesuatu yang penting pada diri anak-anak mereka dengan kaedah yang sesuai dengan tahap penerimaan dan pemikiran yang mungkin memerlukan kreativiti dan kesabaran yang amat tinggi. Anak-anak tidak pernah gagal meniru sikap berbanding mendengar cakap.
Hebatnya cara Allah Taala mendidik manusia. Kadang-kadang terfikir, anak-anak lebih banyak berperanan mendidik ibu bapa berbanding sebaliknya. Tidak mengapa, asalkan masing-masing antara anak dan ibu bapa dapat berpadu tenaga sepersis perintah Allah Taala supaya menjaga diri dan ahli keluarga dari bahana api neraka.
UJIAN HIDUP
Hakikatnya segala-galanya adalah ujian yang didatangkan oleh Allah Taala kepada sekalian hamba-Nya. Sejauh mana kita mentafsirnya dan sejauh mana kita menerima segala yang tersurat dan tersirat hasil daripada segala ujian tersebut, itulah yang bakal menjadi tuntutan di hari akhirat nanti. Bertemu janji Allah Taala itu benar, namun sejauh manakah kita membenarkannya dengan sekalung kejayaan tadi, lalu diterjemahkan ke dalam kehidupan kita, itulah yang menjadi dasarnya.
Amat gerun sekali, bila mana di hari kiamat nanti, usahkan saudara mara atau sahabat handai, hatta ibu dan anak sendiri pun akan bimbang memikirkan hal dan urusan masing-masing di hari perhintungan itu. Tiada tanah lagi untuk lari, mundur-mandir, ke hulu ke hilir tetap berpusing di tempat sama. Dunia menjadi saksi di mahkamah agung Ilahi, tiada siapa pun diberikan hak untuk bersuara, memprotes, mendakwa, membela diri, hanya amalan akan berbicara, memenangkan bagi pihak jasad tuannya.
رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لِى وَلِوَٲلِدَىَّ وَلِلۡمُؤۡمِنِينَ يَوۡمَ يَقُومُ ٱلۡحِسَابُ
Allah Taala berfirman, bermaksud: “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan” Ibrahim (14:41)
Betapa dahsyatnya suasana pada hari ini, yang penuh dengan ranjau dan duri. Maka ketakwaan kepada Allah Taala sahaja yang dapat menyelamatkan kita dengan izin-Nya. Sesuatu yang sangat dirisaukan, adalah pembangunan modal insan generasi yang mendatang, mereka selalu didedahkan terhadap keadaan (waqe’) semasa, dunia moden. Ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting, dan kepada kumpulan-kumpulan dakwah, iaitu diri anda harus bergerak dengan lebih pantas lagi, lebih pantas dari arus perdana, tapi hati-hati jangan sampai kita pula yang dibawa arus membulu itu. Tidak boleh tidak, kita harus bekerja untuk dakwah.
Dalam dunia politik tidak usah kita perkatakan lagi, terang lagi bersuluh, apakah ini orang yang dambakan sebuah kejayaan? Yang baik tidak dinafikanlah, namun ramai yang menjadi pencacai daripada pejuang. Politik negara semakin celaru, keliru, haru-biru, cacar-marba dan meresahkan. Anda sendiri dapat menyaksikannya.
Kalian kena ingat, hidup kita hari ke hari bukan sahaja hidup, tapi dunia ini merupakan sekolah yang mana di dalamnya sarat dengan ujian atau lapangan peperiksaan yang harus ditempuhi, tidak perlu bayar yuran peperiksaan, Cuma cukup mendudukinya sahaja. Slip keputusan peperiksaan tersebut adalah cukup penting. Bagi mereka yang berjaya pasti akan menerima tawaran yang pasti.
Baik, dari sudut lain pula. Kalau kita bicara tentang dunia, aduhai pandai sekali. Tapi kalau bicara tentang agama, mereka jadi alergi. Terlalu banyak bentuk fitnah yang berlaku di dalam Islam, sehinggakan arus perdana Muslim mendefinasikan semula Islam berasaskan sesuatu yang lebih cabang (Furu’) dari yang lebih asas (Usul), itu pandangan yang kolot dan perlu dibetulkan. Kalaulah perkara usul yang menjadi keutamaan Muslim sudah tentu, situasi menang-menang akan bersama Umat.
Malangnya lebih ramai yang suka berdendang dengan irama RAP dan seumpamanya, kerana ransangan akal bukan perasaan. Isu bukan hanya merujuk kembali kepada al Quran, kerana semuanya fasih dengan apa yang tersurat, tetapi yang tersirat memerlukan pemahaman yang mendalam pada apa yang tidak tertulis secara berhuruf.
KEJAYAAN RUMAHTANGGA
Saya ingin menyentuh sedikit lagi, tentang bagaimana pula kejayaan dari sudut perkahwinan dan pembentukkan keluarga. Perkahwinan adalah antara cara bagaimana melatih lelaki untuk jadi pemimpin, manakala isteri pula sebagai pembantu dan anak-anak yang taat soleh dan patuh perintah Allah Taala, Rasul, dan ibu bapa.
Manakala si isteri pula (maaflah) tidak perlu nak persoal dengan siapa suami nak kahwin lagi. anak dara atau janda, tapi tugas anda ketika itu supaya ingatkan suami tu;
“Awak tak takut ke dengan tanggungan semua ni, tambah dengan azab api neraka lagi”
Kalau dia ikhlas biarkan la sekalipun dengan anak dara. Tapi yang menjadi masalah dan malangnya banyak suami hari ini bukan sahaja gagal nak tarbiah anak dan isteri, diri sendiri pun tak lepas. Solat pun masih tunggang langgang. Aduh!
Kejayaan suami berpoligami tu pula bukan setakat nak diukur dengan mewah anak-anak dan para isteri. Tetapi adakah para isteri yang bermadu itu dapat ditarbiah oleh suami untuk sabar, redha dan dapat menerima isteri-isteri suaminya yang lain. kita patut hormat suami begini yang mampu mentadbir rumahtangga menjadi harmoni.
Kita perlu lihat, dari sudut yang betul walaupun anda mengatakan Nabi s.a.w pun kahwin ramai. Rasulullah s.a.w berpoligami bukan untuk menunjukkan bahawa lelaki bukan sahaja boleh kahwin lebih atau apa, tapi Rasulullah s.a.w nak tunjukkan bahawa pemimpin yang berjaya adalah mereka yang berjaya mentadbir kerajaan rumahtangga terlebih dahulu dengan penuh kebijaksanaan sekaligus dapat meraih suasana yang harmoni. Malu bagi kita yang nak jadi pemimpin, tapi anak isteri pun masih tidak mampu nak ditarbiah, solat jemaah pun kadang-kadang celup, apatah lagi nak tambah bilangan isteri.
Kadang-kadang terfikir, dan takut juga mengenangkan masa depan yang pasti akan datang. Adakah lebih baik keadaannya? Selama hidup 23 tahun pun, saya boleh soroti perbezaan hidup zaman dulu, sewaktu kecil-kecil dahulu dan zaman sekarang. Sungguh dahsyat. Semakin banyak yang tidak boleh dibezakan. Teknologi meningkat, fitnah semakin banyak dan cepat pula merebaknya.
Apabila umur makin lanjut dan tanggungjawab makin banyak, semua ini akan terasa.
Kejayaan dalam dakwah ialah apabila kita mampu membentuk diri dan kemudiannya mampu membentuk orang-orang yang terdekat menjadi hamba Allah yang bertakwa. Itulah contoh dakwah para anbiya’ yang sentiasa menjadikan kaumnya orang yang mula-mula menerima seruannya. Namun tidak semudah seperti disangkakan.
0 komentar:
Catat Ulasan