PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Jumaat, Mac 5

Bila Manusia Menjadi "Binatang"

RISAU pula saya bila melihat banyak kepincangan sosial berlaku di tanah air. Ramai (tidak semua) melihat isu ini bagaikan angin bertiup ke hulu dan ke hilir, terasa tapi tiada tindak-balas, lihat tapi buta, telah dicabut rasa prihatin, rasa cakna, rasa bimbang di dalam hati. Mata melihat, telinga tidaklah pekak, mulut pula murai, tapi serasa deria dikurniakan ini tidak berfungsi secara baik bila dihadapkan pelbagai isu sosial. Semua ini perlu dirasai saksama, bukan sahaja dari sudut luaran tapi dalaman juga, bukan sahaja melihat situasi tersurat, malah celik melihat dari sisi tersirat.

Benarlah Kalam Allah satu ini;

وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ قَالُواْ سَمِعۡنَا وَهُمۡ لَا يَسۡمَعُونَ

Allah Taala berfirman, bermaksud: “Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya)” al-anfal (8:22)

“Biarlah... bukannya ahli keluarga kita terlibat, usah dipedulikan”

Kalian masih ingat hikayat bangau oh bangau? Saling tuding-menuding jari. Tidak salah saya samakan sebagai analogi sikap masyarakat kita sekarang. Susahlah macam ni, tangan meruntuh lebih ramai daripada tangan membina, sampai bila tidak akan habis, tiada noktah bila iman, agama dipisahkan dari ruh kehidupan manusia.

Aduh, pedih ulu hati menatap khabar adik Syafiah Humairah ditendang bak bola sepak hingga ‘terpelanting’ roh dari badan. Bagaimana pula kes-kes terdahulu seperti kes adik Nurin Jazlin berkubur tanpa jasad, begitu juga kes kehilangan adik Sharlinie Mohd Nashar masih menjadi tanda tanya ‘berhantu’. Belum lagi dihadap pelbagai sosial lebih tragis, sumbang mahram, pelacuran, gugur janin, buang bayi. Makin pesat maju negara membangun, makin menjadi-jadi keruntuhan moral di kalangan masyarakat, lebih ‘barat’ dari Barat.

Apakah jadah semua ini?

Berdesing gegendang telinga setiap kali dengar kes seumpama ini.

Benarlah kalam Allah Taala, manusia bila tiada iman, tiada perasaan belas kasihan, tiada ruh insaniah akan bertukar sifat menjadi kebinatangan, bahkan lebih teruk, lebih dahsyat, dan teramat menakutkan. Pernah kita lihat lembu, kucing, kuda, harimau, segala makhluk diciptakan oleh Allah Taala benci pada zuriat sendiri, ibu kucing, ibu kuda, ibu lembu ‘menelan’ anak sendiri. Kalaulah harimau dijadikan untuk menjadi pemangsa kepada rusa, mungkin itu sudah dianggap kejam, bagaimana pula manusia yang dikurniakan akal sanggup ‘menelan’ jasad manusia lain. Bukankah bodoh, bebal, bangang selama-lamanya.

وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ ڪَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِ‌ۖ لَهُمۡ قُلُوبٌ۬ لَّا يَفۡقَهُونَ بِہَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٌ۬ لَّا يُبۡصِرُونَ بِہَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٌ۬ لَّا يَسۡمَعُونَ بِہَآ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَٱلۡأَنۡعَـٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡغَـٰفِلُونَ

Allah Taala berfirman, bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai” al-A’raf (7:179)

Banyak sudah terlihat sekarang ini, banyak menyimpang dari tujuan dan matlamat asal, tindakan mereka tidak hidup, jiwa mereka terbelenggu.

Parahnya masyarakat akan turut sama terpalit kerana umatnya yang terbelenggu. Mana mungkin umat Islam akan terus berjuang untuk mampir ke hadapan bersaing jaya dengan umat dunia yang lain, andai penyakit yang dikesan tidak diberi rawatan susulan yang sempurna. Apakah ingin melihat parah dahulu baru ingin bertindak? Solusi terlalu banyak dikemukakan, buatlah tindakan.

Ya.. tarbiyyah sikap, peranan ilmu di dada, bukan sibuk disogok hiburan, material.

Jawapan mudah berubah dari bawah. Bermula dari peranan baik ibu bapa, anak-anak, jiran, masyarakat, pemimpin, dan negara.

Perubahan kepada manusia bukanlah semudah yang diceritakan oleh lecturer dalam kuliah, atau seperti diajarkan oleh alim ulama’ di surau.

Kita boleh bawa lembu yang tidak boleh bercakap ke kolam, tetapi kita tidak boleh paksa ia minum, inikan pula manusia yang penuh dengan seribu alasan. Saya percaya perubahan boleh dibuat kepada sistem, yang mana manusia yang Allah Taala berikan akal lebih senang dibentuk mengikut sistem yang dicipta. Ada sistem yang formal dan ada yang telah menjadi adat dan tradisi, paling mendukacitakan sistem yang ada telah pun dijajah.

Al-Quran diturunkan sebagai perlembagaan tertinggi. Allah Taala menurunkan satu sistem hidup yang sempurna kepada makhluk yang diciptakan-Nya. Manusia yang berkuasa perlu, bukan hanya mampu menguatkuasakannya sahaja.

Manusia itu sendiri perlu berubah sebelum dapat merubah seseorang atau sesuatu agenda. Rasulullah s.a.w tidak mengisytiharkan penubuhan sebuah negara Islam di Madinah, apa yang dipentingkan oleh Rasulullah s.a.w adalah merubah manusia setempat peringkat demi peringkat. Selepas semuanya berjaya diubah, secara tidak langsung wujudnya sebuah negara Islam pertama di dunia pada masa itu.

Susah bila melihat ibu bapa ini telah dilahirkan dalam dunia selepas era penjajahan. Ilmu agama yang ada tidak tersebar dengan menyeluruh untuk dikongsi dengan seluruh masyarakat. Apatah lagi ilmu sekular diterapkan dengan mendalam di setiap sekolah. Mereka tidak mahu anak-anak mereka mengalami nasib yang sama dengan mereka atau orang yang satu zaman dengan mereka, tidak berpeluang mengenali agama dengan bebas dan mudah. Tetapi mereka sebenarnya tidak dapat membuang terapan sekular dalam fikiran.

Pendidikan ialah penawar yang terbaik. Namun persoalannya pendidikan kita masih sekular? Saya merasakan pendidikan itu perlu bermula dari rumah, bukan bermula dari sekolah, membentuk peribadi anak-anak ialah ibu bapa di rumah. Maka akar umbinya dalam isu ini ialah membentuk peribadi ibu bapa sebagai guru yang pertama yang menjadi Qudwah Hasanah pada anak-anak.

Tidak lupa juga pada guru-guru, mereka perlu sedar tugas mereka tidak sekadar menjadi pengajar (mu’allim), bahkan murabbi (pendidik) dan muaddib. Maka makin berkuranglah murid yang miskin ilmu. Kita tidak mahu beg dipikul sahaja berat, tapi ilmu di dada kosong. Buku hanyalah alat, kita mahukan aplikasi daripada proses pembelajaran di dalam kelas secara teori, dan digunakan dalam kehidupan.

Petua ulung untuk berjaya telah terungkap di dalam al-Quran dan as-Sunnah sejak sekian lama dan menjadi tunjang kuat kepada lahirnya insan bertakwa. Takwa adalah asas segala-galanya, dan menbezakan darjat manusia di sisi pencipta-Nya.

Ilmu adalah cahaya, mengangkat martabat hamba di sisi Tuhan. Penghayatan padanya mencipta kesedaran, dan meningkatkan takwa, lantas membimbing akal agar mendominasi nafsu agar tidak menceroboh sempadan. Hati akan menjadi lebih suci untuk bersedia berubah kepada keadaan yang lebih baik daripada semalam. Bunyinya teoritikal, tapi boleh menjadi praktikal andai kita yang berusaha demi-Nya.

Segalanya berpusat pada pola pemikiran, cara berfikir dan kesedaran untuk berfikir. Kalau sentiasa positif, malah jika dalam keadaan yang sangat berkecamuk sekalipun golongan ini mampu berada dalam keadaan baik.

Dalam merubah cara kerja manusia, pendekatan yang terbaik adalah dari segi pendidikan yang terancang sebelum tercanangnya identiti yang ditaja oleh Islam. Jika pendidikan masih lagi sekular, bagaimana hendak mewujudkan akhlak baik? Perbetulkan dari akar umbi sebelum pucuknya menjulang tinggi.

Nabi s.a.w pernah bersabda, bermaksud: “Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging, jika baik ia maka baiklah keseluruhannya, kalau buruk ia maka buruklah segalanya, dan ia adalah hati” (Hadith Riwayat Muslim)

Sesungguhnya, yang namanya manusia ini memang tidak pernah puas dan sentiasa leka dengan nikmat kurniaan dari Sang Pencipta. Sudahlah begitu, sering pula menyalahkan Yang Maha Berkuasa dan malas pula untuk bergerak kembali pada titik permulaan untuk mencari kesilapan agar dapat perbetulkannya kembali.

Hakikatnya, tiada yang sempurna melainkan Allah Taala dan sesuatu perkara yang terjadi itu sama ada baik atau buruk telah Allah Taala tentukan dan kita sebagai hamba-Nya perlu melihat hikmah yang ada di sebalik terjadinya sesuatu perkara itu agar kita akan dapat kutip dan manfaatkannya dalam kehidupan.

Kita tidak mahu ada lagi ‘binatang’ spesis seperti pembunuh adik Safiyah Humairah, tidak mahu perangai kebinatangan seperti pembunuh adik Sharlinie Mohd Narsha. Kalian berhak menentukan keadaan. Makin membiaknya spesis seperti ini menunjukkan kita masih lagi dijajah, berada dalam pembelengguan sistem, lebih teruk kita dianggap dayus oleh agama.

0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal