HATI saya hari ini agak senang, malah tenang sekali. Saya tidak terasa penat atau satu bebanan tatkala berjalan, ulang-alik dari rumah ke Masjid al-Azhar, ke Masjid Hussain (kira-kira tiga kilometer), adalah purata dalam tiga kali sehari... pagi (Dhuha), petang (Zohor atau Asar), dan malam (Maghrib atau Isya’).
Mungkin suasana ‘tegang’ sebelum ini dah kembali reda. Reda dari kepala meruak-ruak menyimpan data melebihi kapasiti normal kerana ujian di dunia.
Bila check balik kotak masuk e-mail, baca berkali-kali (sesekali ditimbus mesej daripada facebook), rupa-rupanya sepanjang peperiksaan lebih tiga puluh e-mail saya terima, pertanyaan belum saya jawab, antara sedar dan tidak... ditambah lagi soalan sebelum peperiksaan.
“Aduh, banyak sungguh...” secara spontan tangan di atas dahi.
Kategori (soalan) paling mendapat tempat, adalah cinta-cintun. Rimas dibuatnya, adakala naik berang.
Aduhai, ramai juga anak muda-mudi sekarang terjerat dengan mainan cinta, biasalah mahu rasa ada yang caring, loving, holding dan sebagainya, bercinta bagaikan hilang ingatan, dunia ini bagaikan ‘aku’ yang punya. Dari sekolah menengah hinggalah peringkat universiti, tidak kurang juga yang sudah berumahtangga.
Masalah... masalah...
Dapatlah saya kategori mengikut peratusan soalan yang masih belum terjawab, soalannya simple, mudah-mudahan saya dapat jawab secara umum dalam laman ini, mungkin juga teman-teman pembaca lain pada bahagian komen nanti. Moga kalian dapat berkongsi sesuatu.
Berikut adalah dinyatakan:
1)Hati (Iman): 25% (12-15)
2)Cinta-cintun: 57% (33-35)
3)Hukum-hakam: 10% (5-7)
4)Lain-lain: 8% (4-5)
Bila difikirkan, memang banyak cabaran bila seseorang perunding (da’ie) turut diherat sama ke kancah masalah mereka, untuk diselesaikan dengan cepat, berkesan dan bernas. Berapa peratus sangat setakat membalas surat, e-mail, atau peranan blog untuk memberi impak maksima. Benar, tidak dinafikan di sana ada pencerahan.
Membereskan masalah orang lain, semestinya kita juga perlu merasai bersama-sama, agar perubahan yang didambakan itu seperti mana kita pernah lalui atau melalui pengalaman orang lain.
BERMULA DARI DIRI
Kita mengharapkan kebahagian dan ketenangan yang berpanjangan, namun apakan daya tatkala dugaan menimpa, kegelisahan juga yang menyelubungi. Ingatkan, panas sampai ke petang, hujan pula di pertengahan. Buat kebaikan amat susah, apatah lagi perlu berperang dengan keburukan yang lebih banyak, lebih nyata dan jelas di hadapan.
Sudahlah sering melakukan dosa, kadangkala sampai terlupa adakah kita masih sentiasa berhubungan dengan Allah Taala di setiap hela nafas kita ataupun tidak. Kadangkala juga, di saat keresahan, kegelisahan dan kecelaruan, kita sering terlupa untuk memohon kekuatan, kebahagiaan dan ketenangan dari Yang Maha Berkuasa sedangkan tiada siapa lagi yang lebih berkuasa dalam segala hal melainkan Dia.
Benar...
Sering kali kita menghadap Allah Taala di kala kita susah, sedangkan di kala kita senang, kita sering melupakan Allah Taala. Bagaimana tidak, pada masa itu Allah juga lupakan kita. Salah siapa? Mestilah kita, datang daripada kita sendiri. Tangan kita yang memilih, kaki kita yang melangkah.
Amal ibadat dilakukan hanya sebagai melepaskan batuk di tangga, buat hanya sebagai cukup syarat, tidak betul-betul fokus. Apabila ditimpa kesusahan, kegelisahan mulalah tangan ditadah mengadap kepada-Nya dengan penuh tertib.
Terlebih malang, ada yang inginkan doanya terus diterima ketika itu, saat itu juga. Ingat doa ini seperti mesin ATM, tekan je, terus dapat duit. Itupun kalau ada duit, kalau setakat amal yang dikerja baru sebesar kuman jangan harap nak itu dan ini. Harus berterusan, terus menerus melakukan kebaikan di samping berdoa (solat).
Pernah kita muhasabah, tanya diri sendiri di mana silap dan puncanya.
Kadangkala kita dan mungkin ada antara kalian semua yang terlupa akan hakikat mengapa Allah Taala beri kita sakit. Kita berfikir sejenak, adakah selama kita pernah diberi sakit, kita pernah bersyukur, redha, mohon ampun kepada Allah Taala dan menyedari itu adalah nikmat yang tersemat di sebalik hikmah, ataupun selama ini kita hanya merungut, merungut dan terus merungut, membebel tentang sakit yang datang kerana kerja dunia terbengkalai.
Kita pernah alami semua itu, tapi pernahkah kita muhasabah.
Dalam pada itu, tidak dinafikan dunia pada hari ini masih ada memperlihatkan insan yang Islam pada nama sahaja. Hakikatnya, dalam hati dan akal fikiran hanya Allah Taala sahaja yang tahu. Sebagai hamba kepada Tuhan Semesta Alam, Allah, kita sewajarnya menyedari betapa kerdilnya kita di hadapan Allah Yang Maha Agung. Kita ini hanya hamba kepada-Nya sahaja.
Kesedaran kita apabila diuji dengan pelbagai dugaan. Jujurlah wahai hati...
Mulakan perubahan pada diri sendiri, lakukan kebaikan secara berterusan, pada masa yang sama jangan terlalu mengharapkan balasan baik daripada manusia melainkan Dia. Buatlah amal ibadat seperti kita hendak mati esok hari, dan lakukanlah kerja (kebaikan) bagaikan kita hidup selama-lamanya.
CINTA-CINTUN
“Ustaz pernah rasa cinta?” antara soalan pelik saya terima.
“Pernah..” balas saya, sambil mengerut dahi.
Mana mungkin setiap daripada hati kita tidak pernah merasai cinta. Cinta kita pada Allah (agama), pada Rasul (sunnah), ibu bapa, tanah air, bangsa, dan sesama makhluk. Tapi jangan salah anggap antara ‘cinta’ dan ‘BERcinta’, andai ditambah imbuhan ‘ber’, mungkin soalan terarah pada cinta antara Adam dan Hawa, berlainan jantina. Harus faham antara ‘cinta’ dan ‘BERcinta’
“Cinta lagi...” komen seorang pengunjung dalam shoutbox, suatu ketika dahulu.
Mungkin dia terasa saya ni, tidak ada modal lain yang hendak di‘post’kan dalam blog. Masakan tidak, lihat sahaja pada kategori mana saya banyak hasilkan karya, kalau bukan pada ‘Keluarga Bahagia’ dan ‘Duhai Remaja’. Kedua-dua kategori tersebut banyak berkisar tentang cinta di alam remaja, pertunangan, rumahtangga, dan di alam selepas berkeluarga.
Tidak sama bercinta pada setiap alam yang dinyatakan di atas, ada cara dan kaedah tersendiri, semua ini ada kaitan dengan ilmu. Perlu ada sabar, tenang, dan jangan cepat mengalah.
pakan hasil tiupan iblis.
Bercerita, mengupas isu tentang cinta terutama cinta antara seorang Adam dan seorang Hawa pasti mendapat sambutan yang menggalakkan. Saya tiada masalah untuk berkongsi itu dan ini dalam masalah couple (cinta-cintun), tapi ianya kelihatan sia-sia belaka jika kita tidak pernah mengurangkan ego dan melebihkan rasa rendah diri walaupun tetap didatang ratusan, malah ribuan artikel pasal cinta. Alangkah ruginya jika kita tidak hayati dan aplikasi pengisiannya sebaik-baiknya dalam kehidupan.
“Bagai mencurahkan air ke keladi”
Isu cinta sering dibahaskan di mana-mana, di media cetak atau elektronik, website, forum dan sebagainya, pasti ramai pemerhati dan sudah tentu memerhatikannya. Saya terfikir bagaimana keadaan ini boleh jadi sedemikian rupa. Pada pandangan saya sendiri, mungkin kerana cinta adalah sesuatu yang kita semua rasa, alami dan cuba untuk diluahkan baik melalui kata-kata, mahupun perilaku, cuma yang berbeza ialah tujuan dan cara kita bercinta.
Mungkin juga kerana kita faham cinta, namun kita tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengukuhkan kefahaman dan mendalami sedalam-dalamnya erti cinta yang sebenar yang menyebabkan kesilapan cara dan tujuan pengaplikasian. Maka, timbullah banyak permintaan untuk membahaskan soal cinta ini dengan lebih terperinci, agar cinta yang mereka ada itu tidak membuatkan mereka terjatuh dari landasan iman.
Awas...
Bukankah jodoh itu hak ketentuan Allah Taala. Jodoh, pertemuan dan maut di ‘Tangan’ Allah. Mungkin kita boleh berikhtiar untuk mendapatkan seseorang sebagai pasangan kita, memang itu yang disuruh oleh agama selagi-mana syari-‘at dipelihara, namun selagi mana kita belum kahwin dengannya, kita masih tidak dapat nak pastikan orang yang kita cintai itu (kononnya), bakal menjadi pasangan sehidup dan semati kita.
Namun, itu bukan alasan untuk berputus asa dengan rahmat Allah, dan itu bukan juga tiket untuk membuat sesuatu di luar batasan syari-‘at. Cinta hanya perasaan kudus, kotornya cinta hanya kerana tangan busuk yang memegang cinta itu, dan kepada siapa diberikan cinta itu.
KATA-KATA AKHIR
Teringat kata-kata daripada Saidatina Fatimah ra, di mana beliau pernah rasa cinta dan bercinta dengan seseorang sebelum kahwin, bila ditanya dengan siapa dia pernah bercinta. Beliau dengan tenang menjawab, Saidina Ali, yang juga suaminya sekarang. Perasaan itu diluahkan selepas beliau bijak mengawal perasaan cinta kudusnya itu, hinggalah Ali benar-benar menjadi suaminya yang sah.
Nada murni menyuluh sinar memandu diri, sesuci suara malakut mengalir dari relung jiwa yang penuh cahaya iman.
Subhanallah...
Kalau dah jodoh ditetapkan, pasti tiada orang lain, dengannya jua disatukan. Percayalah pada takdir ketentuan-Nya selepas sebuah usaha dihulurkan terlebih dahulu, tidak rugi apa-apa walaupun akhirnya ketentuan-Nya lain dengan kehendak kita, kerana takdir-Nya berbicara kita bias perolehi yang lebih baik daripada apa kita rasakan.
وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ خَيۡرٌ۬ لَّڪُمۡۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ شَرٌّ۬ لَّكُمۡۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “..... Boleh jadi kamu membeci sesuatu, sedangkan ianya adalah baik buatmu. Dan mungkin kamu menyukai sesuatu, sedangkan ianya adalah amat buruk (di sisi Allah) buatmu. Bahawasanya, Allah itu Maha Mengetahui (apa yang tersurat dan tersirat) apa-apa yang tidak kamu ketahui” al-Baqarah (2:216)
Bangkitlah duhai teman dari lamunan cinta palsu. Mulakan langkah mujahadah itu sekali lagi, dan lagi. Jangan alpa, dan jangan diulangi kesilapan yang sama, pada lubang sama.
Mudah-mudahan, sedikit sebanyak kupasan saya ini, dapat membuatkan kita semua kembali bermuhasabah, terus muhasabah dan sama-sama bersedia serta berusaha untuk mencari, memiliki dan menyemai cinta yang diredhai-Nya, agar cinta kudus kita ini dapat menembusi syurga dan kekal di dalamnya buat selama-lamanya.
ameen
2 komentar:
alhamdulillah,ana diizinkan tuk baca kisah ni..sungguh ana dalam dilema..mula2nya terasa lemah dalam jihad..krna persekitaran yang terlalu berpengaruh...hingga kdang2 mengalir airmata kerana lemahnya diri yang mudah putus asa tnpa sedar...teringt akan pesan ibu..janji Allah itu pasti buat mereka yang sabar..
apa pun thniah..artikel ni sikit sebnyak buat mmberi kekuatan tuk ana terus berjuang dalam mnjauhi perkara2 yang tak patut ana dekati..terimakasih ustaz..moga dipermudahkan urusan dalam perjuangan dkwah ni...
@ wardah_sufi
terima kasih kerana sudi mencerah hasil tulisan saya yang serba kurang ini. Kalau kita semua perhati dan dari situ kita perasan kenapa Allah jadilah tiap-tiap makhluk itu berpasang-pasangan. Ini supaya Allah Taala inginkan kita belajar, mengaji daripadanya bukan sekadar lihat. Tuhan jadikan siang, pasti akan ada malam juga. Dijadikan seseorang itu sakit, akhirnya diberi sembuh. Ada panas, tikanya pula ada sejik (hujan, salji dll).
Kenapa?
Adalah supaya dapat membuang sifat sombong kita, kita tidak selama-lama akan senang, akan tiba saatnya kita papa, kita tidak selama-lamanya sihat, akhirnya akan ditimpa sakit jua. Kita akan terasa memerlukan Tuhan, ingat Allah, ingat Pencipta yang menjadikan sakit, sihat, senang, papa dan sebagainya.
Namun persoalannya, berapa ramai ambil kisah dan peduli? Tanya Iman masing-masing, silapnya bukan takdir tapi sang penerima takdir.
Berdoalah (agar dekat pada-Nya) selalu, tundukkan muka di hadapannya, kurangkan rasa ego, dan kuatkan mujahadah. Itulah sunnah ditinggalkan, sunnah bagi manusia yang berjuang.
Wallahu 'alam.
Catat Ulasan