DESIRAN angin pagi sesekali memecahkan tumpuan saya berjalan meredah kabus tebal di hadapan, makin hampir makin mengecil kabus. Musim sejuk ni, kalau tidak pakai tebal-tebal mudah sangat dapat demam selesema. Jam masih awal, perlu sampai sebelum matahari naik.
“Nabi kita orang paling amanah dan jujur dengan masa. Janji-temu adalah amanah, jumpa itu amanah, namun paling dikira lebih amanah adalah menjaga ketepatan waktu. Kalian sebagai orang yang butuhkan ilmu, adalah tidak adil kalau saya sebagai orang memberi ilmu dulu sampai terpaku menunggu kalian di dewan kuliah, sedangkan kalian masih ramai berlegar-legar di luar dewan”
“Mana amanah kalian pada roh agama?” butiran-butiran mutiara dari mulut Dr. Abdul Aziz Mohammad Azam, Guru Besar Jabatan Fakulti Syari-‘ah telah mengingatkan saya pada masa, ianya adalah satu amanah. Sejak dari itu, saya mula taat pada masa.
Perjalanan ke Hayyus-Sabe’ di pagi hari Jumaat sungguh tenang, setenang melihat suasana damai pagi di kanan dan kiri jalan, tenang bersama lancar luncurnya bas di atas jalan raya tanpa perlu bersesak-sesak. Mata berkaca-kaca memandang ke arah satu sudut bangunan lama tinggalan tentera Israel suatu ketika dahulu, yang kini hanya menunggu saat untuk rebah, tiada usaha membaik-pulih supaya kelihatan seri, daripada terus mencacat pandangan mata.
Khayalan darah anak muda terus melayang tinggi.
“IBU bukan apa.. risau sangat abang terlalu memikirkan pasal hal ini?” tetiba kata-kata ibu dua bulan lepas tergiang-giang semula mematikan lamunan asyik.
“Entahlah ibu... abang rasa serba salah pula dibuatnya” nada suara saya tersekat-sekat, seolah-olah terasa payau menelan air liur.
“Begini... bagi ibu apa-apa yang abang fikirkan baik, maka baiklah bagi ibu. Cuma satu sahaja, ibu harap abang tahu apa perlu didahulukan antara cita-cita, dan cinta. Kedua-duanya penting... meninggalkan cita-cita kerana cinta, itu dungu, malah mengejar cita-cita hingga tersisih cinta, adalah kosong” ibu mula menenangkan kekusutan di kepala saya.
Biasalah bila emak dan anak berbicara, anak tidak pernah menang cakap.
Mesej saya terima beberapa hari lepas sebelum bertolak ke Alexandria atas undangan, masih tersimpan kemas di ruangan inbox message telefon bimbit saya. Pihak keluarga perempuan masih setia menunggu jawapan.
Saya jadi tidak keruan, buntu akal, ada juga rasa serba salah. Semuanya terletak pada pundak hati kecil saya. Ya atau tidak, saya perlu putuskan saksama dan adil. Saksama pada penantian kerana belum bertamu jawapan, adil pada diri saya, matlamat saya, impian saya, cita-cita saya.
“Janganlah aku diperbodohkan dengan hanya dunia ini antara persinggahan sementara. Dunia ini bukan abadi seperti tiadanya hari kemudian” hati saya merintih, menggantung kata-kata di dinding syahdu.
Kita buat apa pun di dunia, pekerjaan apa sekali pun hubungan dengan Allah tetap akan terjaga. Kita lakukan semua itu kerana-Nya, pasti ianya dikira ibadat, kalau dah ibadat sudah mesti memperolehi ganjaran setimpal di sisi-Nya. Inilah antara ‘pandangan’ Allah Taala kepada sekalian hamba-Nya.
Dia Amat Pemurah, Sangat Dermawan.
Kita bersatu atas nama Islam. Hubungan kita tetap bersama.
GERBANG RUMAHTANGGA
Mendirikan masjid, tidak semudah kata-kata disusun semasa akad. Berkahwin perlu ada asas-asas binaan kukuh sebagai tapak kekal yang menjadi pasak antara dua hati yang bercandu cinta bertaut. Kalau hanya bahan binaannya berasaskan cinta semata-mata, mungkin hanya bertahan untuk tempoh masa pendek.
Kalau benar, binaan sebuah bagunan kukuh beratus-ratus tahun bukan hanya bergantung pada simen sahaja, perlu adanya batu-bata, konkrit menyokong, dan besi sebagai urat. Inikan pula perkahwinan, cinta sahaja tidak cukup.
Kita semua pasti percaya.
Perkahwinan harus dilihat dari kesediaan pasangan menanggung amanah dan tanggungjawab terutama kepada suami. Perkahwinan ini adalah satu perkongsian hidup, saling memahami, saling berkorban dan saling memberi. Jika pernikahan dianggap sebagai jalan penyelesaian yang halal untuk memenuhi tuntutan hawa nafsu, maka itu sahaja yang akan diperolehi olehnya dalam mengharungi kehidupan berumahtangga. Hanya tempat untuk melayang nafsu seks semata-mata.
Perkahwinan adalah sesuatu yang jarang dibincangkan secara mendalam. Bila berbicara mengenai perkahwinan, ramai yang tersipu malu dan tentu mengaitkannya dengan malam pertama. Tidak ramai yang menceritakan realiti sebenar perkahwinan ini. Banyak perkara yang harus disediakan terutamanya dari segi ilmu rumahtangga, perancangan sumber kewangan, sikap (tundukkan ego), tarbiah dan sebagainya.
Perkahwinan ini umpama kerja tanpa cuti rehat, tiada cuti sakit, tiada cuti kecemasan dan bekerja 24 jam sehari, berterusan sehingga ke akhir hayat. Daripada ini kita dapat menyimpulkan betapa beratnya tanggungjawab berkahwin.
Kebanyakkan pasangan yang ingin berumahtangga sekarang ini, cuma nampak daripada sudut untuk menghalalkan hubungan batin sahaja, memuaskan nafsu syahwat yang bergelora. Tinggallah si suami pulang kerja, mencari keseronokan tubuh isterinya tanpa menghiraukan makan minum, lampin dan susu anak. Isteri pula terkapai-kapai menyediakan ini dan itu bagi keperluan keluarga, sesekali menatap sedih dikurniakan nasib berat sebelah.
Saya agak sedih bila ada suami mengatakan sudah bosan bila bersama isteri. Mungkin ada kesilapan di pihak isteri yang perlu diubah, namun dalam hal ini suami perlulah bijak dan berhikmah menegur si isteri. Memang kadang-kadang kehendak kita bukan sentiasa dapat dipenuhi, sebab itulah kita perlu ada sifat redha dalam diri. Redha dengan ketentuan Allah Taala itulah mahar kita di Akhirat. Dalam masa yang sama kita berusaha bersungguh-sungguh ke arah memperbaiki kekurangan dan kelemahan yang ada.
Membuat proposal hala tuju perkahwinan penting, sama penting kita mengurus sesebuah syarikat. Semua dirancang dengan teliti, penuh visi dan misi. Matlamat perkahwinan, perancangan masa depan, pendidikan anak-anak dan budget ekonomi keluarga. Kena ada mekanisma dan persediaan yang perlu dilakukan dalam bentuk satu pelan tindakan. Jangan lupa, hubungkan semuanya itu dengan pendekatan Islam bagi memastikan niat perkahwinan dan wasilahnya terjaga, selaras dengan kehendak Islam. Biiznillah, hala tuju perkahwinan menjadi terancang.
Tanggungjawab juga bukan terbatas pada memenuhi nafkah zahir mahupun batin. Ingat kepada anak-anak, membesar dengan jasmani sihat tidak salah, jangan lupa pada keperluan rohani mereka. Baik buruk perilaku mereka ketika bersosial, bertitik-tolak daripada sumber makanan rohani kita berikan. Tarbiah dan didikan berpanjangan.
Pada saya, generasi hari ini adalah cerminan didikan sesebuah keluarga. Jika bakal ibu dan bapa ingin melihat generasi akan datang hebat dari segi pekertinya, sakhsiahnya dan tinggi dari segi pemikirannya, persediaan harus bermula daripada sekarang. Lengkapkan diri dengan ilmu pengurusan sebuah rumahtangga. Inilah antara asas binaan yang perlu diberi penekanan sebelum sebuah mahligai bahagia dapat didirikan.
berjaya memilih pasangan baik dalamannya, bukan sahaja cantik luaran. Risiko ada ditangan sendiri.
Tidak dianggap sebagai seorang suami mithali hanya kerana berjaya memenuhi kehendak luaran seorang isteri yang dinikahinya, berupa materialistik, tanpa diberi penekanan kehendak dalaman (ruhiah). Kalau pakaian cukup, makan tidak pernah putus, apakah dianggap sudah bahagia andai isteri keluar malam, berpakaian terbelah sana dan sini, solat tika perlu. Bukankah ianya dianggap gagal selama-lamanya.
Iman disisihkan, nafsu dipuaskan.
Kita jarang dapat melihat 'tangan yang menghunus senjata' di era serba canggih ini, apatah lagi sekarang ini dapat dihitung 'tangan yang mengayung buaian bisa menggoncang dunia'. Hari-hari kalau tiada kes sumbang mahram, perkosa, raba dan lain-lain di dada-dada akhbar, memang tidak sah.
Macam mana boleh meramaikan 'tangan-tangan ajaib tadi' kalau 'tangan' yang menghancurkan lebih ramai. Ikutlah syari-at lantas hati jadi taat.
.
Carilah hikmah tersirat, di sebalik mehnah tersurat.
FEBRIK CINTA MUDA-MUDI
Bagaimana pula mereka yang pernah mengaku tewas di medan percintaan, kerana hanya mahu glamour sementara, tapi tidak pernah menyangka kesengsaraan selama-lamanya?
Mudah tertipu, dan ditipu.
epsi kita yang dangkal itu. Kadang-kadang betul, tapi malangnya banyak yang salah.
Luasnya skop cinta, kalau kita pernah perasan.
Bertuhankan cinta samalah bertuhankan hawa nafsu. Dalam perkara ini iblis memainkn peranannya untuk menyesatkan manusia kecuali orang yang mempunyai keimanan yang kuat bisa menepisnya, itupun satu dalam seribu.
Dosa-dosa semalam jangan sampai membutakan kita daripada sinar keampunan-Nya yang Maha luas.
Di dalam bercinta, kita akan menemui jalan berbeza-beza berdasarkan tahap keimanan kita. Begitu penting cinta tidak ditinggalkan iman terkapai-kapai, cinta dan iman amat akrab untuk menjaga redha Ilahi. Jalan kebanyakan manusia jumpa ialah, gagal. Tuntutan nafsu diletakkan di hadapan.
Ruang maksiat lebih besar dan luas.
Anak muda sekarang memang kurang berfikir sebelum ber-couple. Kenapa ber-couple sedangkan si lelaki tidak berani hendak masuk meminang. Bukankah ber-couple itu sudah tidak menunjukkan yang hubungan itu sendiri serius, lebih memudharatkan melibatkan diri terjebak dengan zina hati, zina mata, zina anggota.
Mendekatkan diri kepada maksiat (na-‘uzubillah), usah sesekali. Banyak hal yang perlu dipertimbangkan sebelum sesuatu hubungan, bukan setakat seronok bercinta sahaja.
Bukan mitos lagi sekarang, ada yang terjerat hingga sanggup membelakangi parents. Jalan untuk ke alam perkahwinan mereka mengundang air mata ibu dan bapa mereka kerana untuk selesaikan gelodak nafsu, mereka sanggup bersusah payah ke seberang untuk bernikah, tanpa melihat susahnya bila berada di alam rumahtangga.
Arkitek kelas pertama merupakan arkitek yang memiliki gelaran PhD di dunia, tapi secara hakikatnya adalah seorang arkitek yang mampu mengutip segala ilmu sepanjang hayatnya dan dipraktikkan untuk membina segala plan di dunia ini, malah mampu pula di bawa ke Akhirat sana.
Kisah Cinta Cleopatra ada sejarahnya tersendiri, Kisah Romeo Dan Juliet sudah tersemat sejarah pada lakaran puisi William Shakespear, Cinta damai seorang puteri bernama Diana telah membuka mata dunia, Cinta Adam Dan Hawa di lipatan helaian kitab-kitab hikam, sungguh unik dan mempersona.
Sejarah adalah sejarah yang ditinggalkan padanya catatan, fakta, monumen, dan masa berlakunya sesuatu peristiwa. Alangkah damai setiap masa dan ketika, hidup kita dipahat dengan sejarah diri sendiri, masa, catatan malah monumen hanya kita sahaja simpan. Sejarah baik sudah tentu akan terus menerus membekas di hati, diingati, dikenang, tatkala jasad terus menerus dimamah usia hingga muncul hari tua.
Bila seseorang diberi iman yang teguh, diuji iman itu untuk dinilai tahap keberkesanan. Hikmahnya itulah sejarah paling berharga dari segala-galanya, diambil pengajaran daripadanya, mengeluarkan isi tersirat dari tersurat.
Cinta bukan segala-galanya, namun segala-galanya memerlukan cinta.
AKHIRNYA KU PUTUSKAN
Jarum panjang jam di dinding membuat satu pusingan lengkap enam puluh saat tanpa ada rasa tanda-tanda penat, merubah waktu semasa, sudah masuk jam 10 malam. Pantas masa berlalu, teramat rugi andai tiada pengisian menyokong setiap detik kekosongan itu. Amanah dengan masa.
Tangan saya masih meleraikan ungkapan pada papan kekunci, membancuh idea dengan Kalam Ilahi dan Utaian Kalam Baginda s.a.w, bertungkus lumus menyiapkan penulisan sebelum dihantar kepada pihak penerbit.
Tiba-tiba terdengar molekul suara menesuluri ruangan antara zarah-zarah udara terus tersuling ke gegendang telingan saya membentuk kata-kata. Nadanya agak halus, dan penuh sopan santun;
“Ustaz terima lamaran insan istimewa tuu...?” (dalam bahasa Arab)
“Bagaimanalah nantinya perasaan mereka nanti bila tahu jawapan ustaz” Ustaz Tridewiyanto yang berasal dari Probolinggo, Jawa Timur Indonesia seolah-olah tahu menahu perasan lamunan yang sesekali menjengah ke muka saya. Pertanyaan serius, berbaur mengusik pun ada.
Jujurnya, saya tidak bisa menyembunyikan kisah ‘pinangan’ ini dari pengetahuan ahli-bait (teman serumah) lain, mawaddahnya telah meresap kesetiap daripada kami agar susah senang sama-sama dirasai. Berat sama dipikul, ringan sama dijunjung. Bidalan orang Melayu tetap utuh dijunjung bersama semangat kehidupan Islami. Tersandung bersama perbandingan, teladan dan hikmah pengajaran.
Kalaulah kita bersahabat atas dasar keimanan, menyayangi apa yang kita ada semata-mata atas dasar keimanan, sebenarnya juga kita sedang bersahabat dengan iman, saya yakin dengan izin Allah, kebanyakan masalah rumit, kritikal akan dapat diselesai dengan baik.
Mata saya dan matanya saling menatap kasih.
“Ya.. saya dah putuskan jawapan. Keputusan saya adalah muktamad”
“Alhamdulillah...” mulut saya tidak lupa untuk ber-tahmid di antara ruang ungkapan yang terkeluar, pembuktian rasa terima kasih, kasih saya pada tiap-tiap pemberian-Nya.
Bukan mudah membuat keputusan kali ini. Ini bukan kali pertama saya terima ‘warkah kasih’ berupa isi satu harapan. Tapi kali ini jua sangat menguji, tidak tahu kenapa dan mengapa. Dengan Izin Allah Taala, kuasa-Nya yang menguasi diri saya, seorang yang hanya berjiwa hamba, telah mampu membuat natijah hasil daripada ‘mampu’ ingin melihat indahnya Islam, andai syari-‘atnya diikat kemas dalam kehidupan manusia sejagat.
Bila hajat yang datang itu bukanlah dari orang sebarangan, maka keputusan yang bakal saya putuskan perlu juga ‘bukan sebarangan’, perlu dijaga tatasusila. Bila lamaran datang dengan cara baik dan sopan, maka kehendak pada perkara sama juga perlu saya pelihara. Bila ada teman memberitahu serba sedikit latarbelakang keluarga ini, hati saya sudah faham dan jelas.
Ciri-ciri yang dikehendaki dalam Islam menjadi keutamaan saya ketika itu, namun si dia sudah tersedia dalam satu pakej lengkap. Baik keturunan, kecantikan, kekayaan, malah agama dah cukup. Kotak fikiran saya hanya berlegar pada satu rasa yang diyakini, hanya satu pilihan sahaja, tiada dua, tiada tiga. Tiada talian hayat membantu. Kepala sujud di atas sajadah di tiap keheningan malam, agar fiksi yang lahir adalah tepat.
Akhirnya ku putuskan jua kehendak naluri hati nurani ini.
MENGINTAI TABIR HIKMAH
Saya kadang-kadang terasa malu bila bersama-teman, sambil bersila mengena Shai (teh arab). Malu bukan kerana apa, sesekali masuk juga bab kahwin. Kalau darah muda berbicara, semua bab mahu disentuh.
Ada yang sinis mengusik antara satu sama lain.
Cinta sahaja tidak cukup. Berkali-kali saya pesan.
Setiap tindakan itu perlu di dahului dengan fikiran yang dalam. Semangat membara, cinta yang berkobar-kobar dan suasana yang mendesak sering menyebabkan manusia silap dalam membuat keputusan.
Keghairahan anak muda menjadikan perkahwinan sebagai penyelesaian sebenarnya adalah sesuatu yang sangat menakutkan. Kerana orang muda selalu merasakan mereka sudah bersedia, dan hakikatnya hanya mereka sedari apabila pundak sudah tidak tertanggung lagi dengan amanah yang tersedia ada.
Apabila yang indah-indah tentang perkahwinan sahaja yang menghiasi minda, segala yang pahit itu tidak punya ruang dalam pertimbangan anak muda. Justeru, segala nasihat yang bertentangan dengan kehendak mereka dilihat sebagai pandangan yang tidak memahami atau menentang mereka.
Jangan menyalahkan orang lain dari mempelajari kebodohan diri sendiri.
Bagi mereka yang sudah berumahtangga, kesilapan kalian untuk berkahwin tidak boleh ditarik balik selepas akad. Kesilapan ini berpunca kerana world view kita rendah, tidak melihat masa depan sebelum berani memutuskan untuk menamatkan zaman bujang. Masa lepas biarlah lepas, depani pula masa mendatang. Ada masalah, tidak tahan dengan karenah pasangan, mertua, jangan cepat putus asa untuk belajar.
Itu tidak bermakna kita harus ‘meninggalkan’ perkahwinan ini, kerana dunia ini medan mengumpul amalan, justeru peranan kita adalah meningkatkan pengetahuan dan kesabaran agar lebih bertanggungjawab dan memastikan perasaan kasih sayang itu terisi dengan sebaiknya. Rasa rendah diri, rasa banyak kekurangan pada diri, maka kewajipan untuk terus belajar sentiasa ada.
Rasa kosong, mendorong kita untuk mengisinya semula. Terasa jauh, kita berusaha untuk mendekat pada-Nya. Begitulah Allah Taala mendidik kita insan berdosa ini. Kita akan terus mencari selagi terasa belum berjumpa. Sukar kita untuk bersabar. Tetapi bergembiralah, rasa susah ini pun sebenarnya satu kurnia besar daripada Allah Taala supaya melihat kesulitan dari sudut pengajaran, tarbiah.
Lamunan saya tiba-tiba ‘mati’ sebaik sahaja bas secara perlahan-lahan membelok ke kanan melewati Hadiqah Dauli (Taman Negara) di Hayyus-Sabe’, kira-kira lima ratus meter dari rumah Ustaz Muaz Shukri, tempat mau-‘id (janji temu) dipersetujui. Pertemuan ini diadakan, mencari pencerahan bersama-sama, tidak lupa Ustaz Zuhairi, dan Ustaz Baharuddin. Kami akrab ketika di bangku sekolah menengah lagi.
Mudah-mudahan, tiada lagi bab nikah kahwin merubah tajuk asal.
Biarlah kronologi peristiwa hari ini, semalam, kelmarin, dua bulan lepas akan terus tersemat kemas di lipatan diari saya, akan saya tatap buat kesekian kali, malah berkali-kali sebelum mata rapat terpejam. Saya yakin masih ada yang sudi memberi cintanya secara ikhlas kepada saya, kerana yang pasti saya masih...
Belum Berhenti Berharap.
5 komentar:
Assalamualaikum.. Wah,ramai yang bercerita pasal nikah,tunang dan ada yang dah melayari bahtera perkahwinan baru dua hari lepas dan semalam.. Wah, macam debaran semakin terasa jer.. Abang Reza bila lagi?? Huhu hehe
selamat hari ahad
singgah sini jap....hehe....
selamat berblogging....
____________________________________
dapatkan panduan bina otot badan lelaki secara percuma disini....
@ شـاح
Wa-'alaikumussalam wrb. Alhamdulillah, abang sedang mengukur baju di badan sendiri, masih tercari saiz yang sesuai, biarlah kita bersusah payah dari sekarang dalam menentukan corak, febrik dan saiz asalkan bisa dapat di'pakai' buat selama-lamanya, malah tidak jemu mengenakannya setiap hari.
Butuhkan doa kalian. ameen
alhamdulillah.smoga pilihan yang tepat,dan diberkati olehNya
Semoga dipermudahkan urusan oleh Allah
Assalamu'alaikum wrt.
Sungguh mendalam sekali pencerahan kali ini setelah sekian lama entri baru tidak muncul.
Sememangnya kehidupan ini memerlukan cinta dan cinta bukan segala-galanya. Teringat kata-kata ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam Wacana Muhasabah Cinta baru-baru ini. "Cinta adalah tanggungjawab bukan suka-suka, cinta adalah perbuatan bukan kata-kata dan cinta adalah memberi bukan untuk mendapat."
Dan yang paling utama adalah cinta Allah swt, diikuti Rasulullah saw, seterusnya ibu bapa dan akhirnya suami isteri..dan ingatlah ' cinta yang hanya didorongi oleh nafsu itu adalah cinta yang diilhamkan oleh Allah swt kepada haiwan' ( Al-Farabi)
Wallahu'alam.
Moga-moga perkahwinan yang hakiki lillahi ta'ala menjadi milik kita semua.InsyaAllah.
Catat Ulasan