PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Khamis, Februari 18

Mencari Damai Dalam Tenang





BEBERAPA undangan terpaksa saya batalkan dan tolak dua tiga minggu ini. Maafkan saya. Mungkin saya telah kecewakan perancangan kalian, namun saya mempunyai satu tugas, satu misi perlu dilunaskan. Mencari damai di balik lipatan hidup sebagai seorang hamba serba kekurangan. Berteleku di atas sajadah, muhasabah diri. Serasa ilmu di dada kosong, tiada nilai.

Mata mengintai matahari terbenam dari ufuk Barat.

Semua bersetuju, perjuangan utama kita adalah menegakkan syari-‘at, melaksanakan aturan ajaran di dalam al-Quran dan as-Sunnah, merungkai masalah umat demi kemaslahatan sejagat, bahkan menimba ilmu di setiap telaga hikmah, medan kita sekarang adalah salah satu pemurnian syari-‘at. Tapi semua itu juga tidak berpijak di bumi andai tuntutan fitrah dibelakangkan.

Benar, hidup ini tidak sempurna tanpa ada yang sudi menemani.

Mengendalikan sebuah kehidupan adalah ibarat memandu kereta di perjalanan yang jauh. Sebahagian besar tumpuan kita adalah memandang ke hadapan, namun ada ketikanya kita perlu mengintai cermin pemanduan di sisi dan belakang. Meninjau jika ada halangan di mana-mana, memperbaiki di mana yang perlu.

Benar, tiada manusia yang sempurna melainkan Rasulullah s.a.w. Kadang kala kita sering alpa dan leka tentang fitrah kita sebagai manusia yang sering melakukan kesilapan. Sering kali kita benci melihat kesilapan itu, namun sering kali juga kita biarkan kesilapan itu terus menjadi sebuah kesilapan bertingkat-tingkat tanpa berusaha untuk membetulkannya kembali.

Justeru itu, kita telah diajar oleh sunnah perjalanan hidup para anbiya’ dan rasul agar membuat kebaikan sebanyak mungkin. Kebaikan akan meleyapkan keinginan membuat kejahatan, akan memadam dosa dilakukan. Kebaikan tadi telah disuguh oleh fitrah kita, fitrah kita tidak suka jahat, buruk, namun disebabkan hati kita sering alpa, tewas oleh pujukan nafsu, maka sesekali ingin juga mengotori kesucian fitrah tadi.

Pernahkah kita muhasabah, bertanya pada diri, perihal iman?

Kini, kita mengecapi nikmat Islam dengan tidak perlu bersusah payah mencurahkan keringat darah dan air mata. Kita lahir hari ini sebagai Islam yang aman dan sejahtera. Kita mengecapi iman sebagai asas kepada Islam itu. Namun, kita sering leka untuk melihat dasar hati kita ini. Masih teguhkah lagi pokok keimanan kita atau sudah hampir kering dan layu daun-daunnya.

Kesyukuran kita seharusnya melampaui keupayaan kehidupan kita.

Perbincangan tentang nikmat dan kelazatan mempunyai iman dan Islam ini jarang kita dengar dikedai-kedai mamak atau tempat melepak manusia hari ini. Yang ada cuma gosip, bola sepak dan hal untung rugi perniagaan di dunia. Tidakkah mereka sedar, perniagaan yang pasti tiada kerugiannya di sisi Allah Taala adalah menyeru ke arah kebaikan?

Apa yang menjadikan seseorang itu hero ialah apabila dia memberikan yang terbaik, dan manusia mendapat yang terbaik daripada pemberiannya itu, lalu diganjari kebaikan dunia dan kebaikan akhirat, biar pun dia hanya seorang miskin harta, tapi bukan miskin kata, kata-kata kebaikan dalam memberi. Inilah antara daya usaha kita mengairi pokok iman agar tidak kontang, layu kerana tiada air membasahi akarnya.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, bermaksud: Demi Allah, sekiranya seseorang itu diberikan hidayah kerana (usaha)kau, maka itu lebih baik dari unta merah (Hadith Riwayat Muslim)

Masalah kadang-kala boleh jadi petunjuk perkara baru yang boleh dipelajari, selitkan optimis di etiap masalah tadi. Kita boleh berdepan dan cuba selesaikan. Diam dan memendam jangan sesekali, kerana ketika itu kita telah dikuasai keburukan, langsung kita tidak tahu kesilapan kita dan kita selama-lamanya pesimis untuk berubah. Tidak semua perkara kita benci, datang dari sesuatu tidak sebab dan musabbab.

Buat para da’ie, kadang-kadang ada kala kita buat, kita ingat dah baik tapi tidak berapa kena pada orang lain. Orang ada banyak ragam, kita sebagai da’ie kena pandai blend untuk sesuaikan diri dengan semua situasi, tidak boleh ikut satu-satunya cara yang kita sendiri suka sahaja. Jadi, mungkin perbuatan kita sebenarnya yang tidak disukai, bukan diri kita.

Proses memberi ada di mana-mana, dengan apa sahaja, asalkan mendatangkan kebaikan, faedah kepada si penerima.

Hidup ini umpama roda, sebagaimana kita mahu ada seseorang untuk menunjukkan kita jalan dan memperingatkan kita setiap kali alpa, begitu juga dengan orang-orang lain akan mengharapkan perkara sama.

Kadang-kadang juga kita lihat dari sisi lain, orang tidak boleh menerima kritikan tetapi ada yang menerima mungkin dengan kutukan di belakang. Pelbagai penerimaan orang apabila menerima kritikan sama ada kritikan itu membina ataupun tidak, yang penting di sini adalah pertama kita mesti berfikiran positif dan bersangka baik dengan orang yang menegur. Kita ambil iktibar dengan apa yang ditegur, berubah ke arah yang lebih baik.

Mungkin terselit hikmah darinya.

Ilmu diperolehi kalian, kita adalah untuk ditelaah, dibawa ke dalam kehidupan sebenar.

Apalah bezanya orang yang belajar sampai PhD, ada Master, selesai ijazah, habis mengaji di al-Azhar, Oxford, tetapi tidak memahami apa yang dia pelajari, hanya ada sijil sahaja tetapi tidak mendalami apa yang dia dapati, dengan keldai yang ditugaskan membawa seguni kitab di belakangnya tetapi dia tidak tahu apa-apa berkenaan kitab di belakangnya.

Faham melahirkan keyakinan hendak buat sesuatu, kerana tahu manfaat dan keburukannya. Jadi, tidak dapat tidak kita sebagai muslim, mukmin ni sentiasa memperbaharui apa yang kita telah faham akan kehendak Islam.

Iman kita bersifat turun naik, mungkin hari ini kita kuat dan bersemangat dengan membaca artikel-artikel berkisar tarbawi, tamrin rohani, mendengar majlis ilmu, duduk bersama ulama’, tapi bagaimana keadaan kita selepas membacanya, memahami ilmu tersebut? Adakah kita cuba mengaplikasikannya di medan amal? Ini adalah cabaran yang kita kena sama-sama depani.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُقَدِّمُواْ بَيۡنَ يَدَىِ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ‌ۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ۬

Allah Taala berfirman, bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui al-Hujarat (49:1)

Kini saya, dan pasti kalian sudah ketemui sebuah damai dalam tenang. Sudi menjengah sisi-sisi kebaikan, meningkatkan kualiti iman, dan beramal dengan apa yang diperolehi. Teramat rugi, sepanjang nyawa berpadu dengan jasad, tidak pernah bimbang dengan langkah yang ada kalanya terjatuh di dalam lumpur, jatuh, dan jatuh lagi, tiada usaha untuk tingkatkan pemanduan, kesilapan kelmarin, semalam ditangani dengan baik pada hari ini, dan harapan agar keesokan harinya lebih baik dari hari ini.

Bila terasa ringan melakukan kebaikan, berat melakukan kejahatan. Mudah merendah diri. Mudah rasa berdosa dan segera bertaubat. Tutur kata menjadi lembut dan senang sekali untuk membuat kebaikan.


0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal