BEBERAPA kali kepala saya tunduk dan bangun, tunduk dan bangun lagi. Kaki pula menderap menyelusuri jalan baru. Baru kerana telah dinaik-taraf sebagai kawasan pusat pelancongan. Melalui share’ al-Hassan sebelum sampai ke pintu Pasar Besar al-Khalili di Hussain, bersebelahan Masjid Hussain, makam cucu baginda s.a.w disemadi tanpa jasad, sudah menggambarkan kawasan ini berpontensi diselitkan sebagai salah satu tempat yang mesti dikunjungi di sini.
Lovely Tourism.
Berkali-kali juga mulut saya beristighfar merafatkan tanda bersalah, berdosa, gundah menahan asakan bertubi-tubi kelibat warga asing mendedah di sana sini, seperti berada di Eropah. Meskipun pelupuk mata saya makin berat, usaha untuk menghadiri kelas Sheikh Jamal al-Farouq tetap digagahi jua.
Dari penempatan saya, Medan Jaisyun, sebenarnya diberi pilihan sama ada ingin merasai Coaster, Tramco, bas, atau teksi, semua kemudahan pengakutan ditawarkan ini melengkapkan pusingan masing-masing dari awal perhentian hingga perhentian terakhir mengikut tempat dimaktubkan, dikenakan bayaran sama, LE 0.50, kecuali teksi (berubah-ubah ikut jarak) ke semua destinasi, baik jauh mahupun dekat.
Kasut diretak berlawanan bagi meleraikan keterikatan pasir di tapak kasut. Kesetian Mohammad Khoulid, pegawai khas Masjid al-Azhar menunggu, memberi khidmat kepada jamaah yang hadir terutama pelawat dari negara luar. Habuk dari semua penjuru menambrak kelodak matanya, tangan kanannya secara spontan bertindak balas.
“Assalamu-‘alaikum. Izayyak (apa khabar kamu)?” salam saya hulurkan salam, tanda kasih kepada saudara se-Islam.
“Wa-‘alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh”
“Alhamdulillah.. kuwais (baik)” jawab Mohammad Khoulid bersahaja, mungkin masih penat berjaga sampai ke petang.
Pengajian Ilmu Kalam perlu persedian rapi, bukan mudah memunggah ilmu dari kalam al-‘Alamah ash-Sheikh Iman Sowi, tersembunyi segala mutiara di persisiran bibir beliau. Apatah lagi dalam membincangkan Ilmu Kalam sendiri sudah cukup tinggi walaupun diterjemahkan dalam bahasa ibunda, inikan pula dalam bahasa asli Arab Klasik. Adab menuntut ilmu kena sabar, berdisiplin. Meratah setiap baris kitab lama tidak seperti kita menatap hidangan karya berbentuk novel, cerpen, boleh dihabiskan dalam masa singkat. Setiap barisnya ada pengertian, huraian mendalam, seperti dalamnya kita menarik mutiara di dasar lautan.
Kehebatan Sheikh Jamal al-Farouq, seolah-olah berada sendiri di hadapan Imam Sowi sebelum adanya pembukuan kitab di tangan saya ini. Menggagaskan pencerahan Ilmu Kalam menempatkan hati kita di setiap sumur persinggahan wahyu Ilahi dari langit pertama, meletakkan setiap diri muslim dekat dengan Tuhan al-Khaliq (Pencipta), sakinah (tenang) menyelubungi jasad dan roh hati.
“Alhamdulillah...” sekali lagi saya ber-tahmid, sambil membaiki kedudukan punggung di atas bangku yang disediakan di hadapan Jame’ al-Hakem bi-Amrillah.
Usai pengajian sheikh, seusai solat isya’ berjamaah di Masjid al-Azhar. Saya segera pulang kerana tidak lagi tahan berada lama di luar, suhu dingin begitu menusuk ke tulang belulang. Tapi sebaik sahaja sampai di benteng, kubu tentera Mesir pada era kurun ke-15 masehi, teringin pula menghabiskan sisa malam di ruang legar Masjid al-Hakem. Suasana damai, bangsa Arab belum jenuh berteriak, bercanda sesama mereka di taman mini ini.
Kedudukan taman mini ini sungguh strategik, terancang, kerana jalan dari kesemua arah akan bertemu di sini, memang cocok masjid pula berada di sebelah. Dari jihat Utara, kenderaan mendatang dan berpergian ke ‘Atabah, pusat gedung membeli-belah terbesar di Kaherah. Dari jihat Timur, dari arah bertentangan bangku saya duduk, dari Babus-She’riyah, terkesan dengan banyak makam para auliya’ (para Wali Allah), seperti makam ash-Sheikh Sharifuddin al-Kurdi, as-Sheikh Ali Nuruddin al-Bayoumi dan ramai lagi. Manakala dari jihat Barat, di belakang saya pula ialah jalan ke Makam Saidina Hussain ra, cucu baginda s.a.w, berhampiran pasar mewah al-Khalili.
Menarik.
RENCAH POLITIK
Berduyun-duyun manusia di sini keluar masuk, saya masih tidak berganjak dari tempat duduk dengan lamunan, memikirkan sesuatu, kadang-kadang teringat kalam Sheikh Jamal al-Farouq di kelas talaqqi (pengajian secara menadah kitab dengan guru) tadi. Tidak kurang juga pelancong dari Eropah sedang mengetik kamera, mengambil gambar pemandangan sekitar masjid.
“Anta ada baca berita di Harakah?” sapa seorang teman dari arah belakang, ketika saat saya sedia untuk pulang dari Masjid al-Azhar.
“Ada... pasal apa?” saya membetulkan kasut.
“Dato’ Seri Anwar Ibrahim” ungkap beliau dengan nada serius, saya menangkap sayut-sayut.
Jujurnya, saya lebih senang berbicara masalah umat dari mencampuri bersama agenda politik kotor dan jijik di tanah air, ini tidak bererti saya kurang peka dalam permasalahan ini. Politik itu amanah. Kadang-kadang saya turut diajak terjun ke kancah intergriti, kredibiliti, perpaduan, dan One Malaysia yang diprovokasi baik dari pihak pemerintah, mahupun pembangkang. Bercangkaran dalam masalah tidak menguntungkan sesiapa. Saya lihat ada yang ‘lebih sudu dari kuah’.
Di mana demokrasi berparlimen?
Mana Common Sense?
Toleransi?
Berapa ramai manusia yang faham perjuangan di sebalik slogan yang mereka laungkan, dasarnya digubal buat mengelabui niat asal mereka, tidak semua jujur. Di mana-mana tidak kira organisasi mana pun, mereka meletakkan satu penanda aras kurang jelas, matlamatnya satu, hanya untuk meraih populariti.
“Undilah kami, sertailah kami!”
Ada hingga ta’sub pada pemimpin, apa yang dibuat pemimpin atasan dianggap semua betul, benar, dan bernas. Sedih saya membaca halaman Harakahdaily, satu blog yang tidak bertamadun melucahkan gambar Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menunjukkan tahap kesopanan, tata-akhlak blogger yang cukup rendah. Sungguh aib.
Proses pembicaraan sedang berlangsung. Pihak mahkamah belum putuskan siapa benar, dan siapa bersalah. Saya cuma persoalkan kredibiliti pihak media, mahupun bloggers, kenapa kalian pula perlu adili hal ini? Menggambarkan seseorang macam ini, macam itu. Di sisi Islam pun, kalau kita tekankan dengan menolak kehakiman secara konvensional, masih lagi menjaga air muka, peribadi orang yang dituduh. Berilah peluang kepada pihak berwajib untuk menentukan keadilan mengikut lunas-lunas perundangan yang disepakati bersama.
Dah jadi carca merba belaka.
Rasulullah s.a.w ada bersabda dalam Hadith soheh, bermaksud: “Kalau kamu beriman kepada Allah dan Akhirat, muliakan tetamu. Kalau kamu beriman kepada Allah dan Akhirat, berbaiklah sesama jiran. Kalau kamu beriman kepada Allah dan Akhirat, berkatalah yang baik-baik, atau diam sahaja” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kita kena ada timbang rasa, berlapang dada dalam sesuatu hal. Bagaimana hal yang ditonjolkan Imam Hassan al-Banna yang berpadu antara dakwah dan politik, tidaklah sampai bertikam lidah, marah sini dan situ. Dakwah penting, pemerintahan juga sama penting, kalau tidak tak kan menjadi satu bab besar dalam ilmu Fiqh. Hingga hari ini, kesan kesatuan, intergriti, tasammuh (lapang dada) yang ditanam oleh pengasas Ikhwan Muslimin itu masih terpahat di setiap sanubari pemimpin-pemimpin Ikhwan, mahupun ahli-ahlinya di serata dunia. Begitu juga, pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz, Sultan Muhammad al-Fateh, dan ramai lagi.
“Allahu Rabbi...” nafas di hela perlahan-lahan mengurut dada sebak menantang konflik yang tidak pernah habis, akan ada lagi.
KEMBALI: PERANAN TAKWA (TAQWA)
Dalam mengejar habuan dunia, Islam tidak menyisihkan umatnya mencari kekayaan dan kemewahan tika hayatnya, tapi sejambak syukur perlu ditalkinkan di bibir sebagai tanda terima kasih kita kepada Tuhan Maha Pemberi, antara lain pula supaya kita dapat mengagihkan kekayaan kita ini dalam bentuk modal jangka panjang, buatlah amal sedekah demi pembangunan jiwa muslim.
Kaya harta, tapi tidak lupa untuk kaya budi juga.
Kotak kepala kita mempunyai segalas tugasan menumpah idea untuk kebangkitan Islam, sebagai perhatian berpanjangan. Mengandungi idea-dea yang besar. Tidak dinafikan ialah setiap kata-kata mahupun pekerjaan mengandungi pesanan penting, berguna. Maka dalam mengejar yang besar dan penting, bagaimanakah kita belajar mendefinasikan yang utama.
Seorang pengembara yang bijak, tidak akan menyusahkan dirinya dengan apa yang dia tidak perlukan, dan mengambil hasil manfaat dipungut di setiap persinggahannya sebagai bekal. Kitalah pengembara. Kembara kita bermula ketika di alam roh lagi tika ditiupkan oleh Allah akan roh meresap bersama catatan takdir, rezeki. Kini kita berada antara destinasi wajib sebelum sampai ke destinasi seterusnya, iaitu alam kubur sebelum datangnya alam akhirat.
كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيْبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيْلٍ
Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud: “Hiduplah kamu di dunia seolah-olah kamu ini warga asing atau pengembara di sebuah perjalanan...” (Hadith Riwayat Bukhari)
Rasulullah s.a.w mengingatkan kita bahawa dunia ini juga satu kembara. Dunia adalah tempat persinggahan. Kita datang dari alam lain dan sedang menuju kembali kepada-Nya. Sistem nilai yang menentukan apakah yang berharga dan apakah yang merugikan dalam hidup ini. Perkara yang berharga diberikan keutamaan, manakala perkara yang kurang berharga boleh diketepikan dulu, atau tinggalkan sahaja.
Apakah kita berhasil memungut hasil manfaat sebagai bekal?
Benar, bekalan kita semasa di dunia berapa materialistik, harta, wang, rumah, makanan dan sebagainya, bekalan ini hanya bertahan di alam ini sahaja, hatta mampu mengorek berjuta-juta harta kekayaan tapi tiada guna di destinasi berikutnya. Habis tu, bolehkah kita hidup di sana nanti?
Boleh, dengan syarat bekal kita bawa itu ialah takwa (pahala, iman dll).
Takwa inilah ibarat duit, wang, pitis kita di destinasi berikutnya. Mampu ataupun tidak ada pada tangan kita, maka pilihlah apa yang telah diajar oleh baginda melalui Kalam Wahyu (al-Quran) dan Kalam Sunnah (Hadith). Ikutilah ajakan ulama’, seruan dakwah ke arah kebaikan.
Takwa ialah, kita buat apa yang disuruh oleh agama, dan meninggalkan apa yang dilarang oleh agama. Nilailah erti hidup kita, perjalanannya dengan nilaian daripada Ilahi. Banyakkan amal ibadat Ruhiyyah (iman) dan Jasadiyyah (kerja kebajikan). Bekalan kita mahukan ini, dapat ditebus di mana-mana alam kita berada nanti, alam Barzakh, alam Akhirat. Kad ATM akan disertakan bersama, tunggu cucuk sahaja.
Hidup ini tiada yang sia-sia. Berusahalah!
Usaha seseorang menunjukkan seberapa kuatnya tekad dengan apa yang dia mahu itu dan seberapa pantas dia untuk sukses, tidak hanya menganggap hidup itu bagai air yang mengalir sahaja.
Kita berusaha merancang, tetapi Allah Taala yang tentukan apa yang lebih baik untuk kita. Malah ada pepatah Arab mengatakan siapa berusaha dia dapat apa yang diusahakannya. Teruskan berusaha, tidak baik berserah bulat-bulat, tanpa ada usaha berpanjangan.
Dah usaha barulah tawakkal pada Allah Taala.
“Allahum-ma ajirna minal an-nar (Ya Allah, selamatkanlah kami dari azab api neraka...” saya melangkah kaki perlahan meninggalkan bangku, sepersis saya meninggalkan masalah yang tidak habis-habis tadi.
Malam ini tetap memberkas jiwa kerdil saya.
Moga-moga kuakan kaki kita untuk terus menerus melangkah tanpa ada gangguan menjadi satu impian, pasanglah dari sekarang niat suci, dan kudus kita, buktikan melalui perbuatan kerana mencari Mardhatillah (keredhaan Allah). Moga selamat kembali kepada Allah Azza-Wajalla.
ameen
2 komentar:
Bertuah bagi sesiapa yang berada di Bumi Anbia'. Dapat merasai dan mengalami sendiri kehidupan dalam tinggalan sejarah para sahabat Nabi Muhammad saw...
Politik dan dakwah memang tidak boleh dipisahkan. Itulah yang sering dilaungkan, tetapi di manakah erti politik yang sebenar apabila membelakangkan apa yang diperintahkan oleh Allah swt.
Ana pun kurang bersetuju dengan sesetengah ahli politik dan sesiapa sahaja yang berkenaan apabila suka menghentam, menuduh tanpa bukti, mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya, melabel, dan seumpamanya dalam menjayakan misi masing-masing. Sedangkan yang kita tahu, Allah swt sahaja yang lebih layak menghukum hamba-hambaNYA. Dan yang pasti, jangan sampai Islam tergadai hanya kerana permusuhan api sengketa dan ketidakpuasan sesama orang islam sendiri.
Selagi bergelar umat Nabi Muhammad saw yang berpaksikan Al-Quran dan As-sunnah, sama-samalah berganding bahu menyelesaikan masalah ummah dan meneruskan perjuangan baginda saw.
Wallahu'alam...
terbuka minda membacanya lebih2 lagi mgenai isu sekarang ini..terima kasih..
Catat Ulasan