DALAM suka ada sengsara, dalam duka pula ada kebahagian. Setiap daripada kita ada jalan cerita sendiri, dan rakaman hidup pada kedua-dua keadaan ini. Sebaik sahaja, diri dilahirkan di dunia, mahu atau tidak kita pasti berhadapan susahnya menghabiskan sisa-sisa hidup. Orang yang hidup lebih dahulu daripada kita hanya mampu tinggal pesan, suri teladan agar kita mampu mentadbir diri, dan keluarga.
Kini sudah 23 tahun saya mengenali insan bernama ibu. Selama 23 tahun juga saya diberi, disumbat, disuap ‘makanan’ berkhasiat buat tumbesaran fizikal, mental, tidak lupa juga aspek rohani saya. Ibu tidak pernah menyesal di sebalik hidup kami serba kekurangan, serba dha-‘if sebelum dapat kecapi seperti apa kami lihat sekarang.
Di mana lagi tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi.
Kalau dulu, abah sudah berpagi-pagi mengayuh basikal dari rumah ke tempat kerja di bandar, jaraknya lebih kurang 30 kilometer, berbekalkan kemahiran terhad, hanya mampu menjual minyak masak dari satu kedai runcit ke kedai runcit lain. Inilah sumber rezeki kami ketika itu. Ibu dan abah pandai mengatur kehidupan kami, dari susah inilah kami matang bergomol dengan dunia, dari jerih inilah kami mampu berdiri sebagai manusia dari jatuh menjunam ke lembah sia-sia.
Hidup bukan sia-sia, penciptaan kita di dunia disertakan jua taklif (tanggungjawab).
Iaitu sebagai khalifah.
Membaca kehidupan sendiri, sama juga membaca puluhan buku nota sebelum tiba peperiksaan. Medan peperiksaan kita di dunia ini, ialah sama ada kita bijak atau lumpuh bila mengemudi langkahan kaki dalam lautan manusia pelbagai. Walaupun sukar kita merasa kemanisannya di peringkat awal, tetapi kemanisannya pasti datang juga jika kita berterusan membaca, membuat latihan tubi mengenal puaka dahsyat ini.
Jadi bertandinglah dengan diri sendiri, dengan mengalahkan rasa malas, menundukkan sifat malu tidak bertempat, mengatasi rasa takut yang tidak kena pada masanya dan lain-lain sifat negatif. Tinggalkan bekas pada kertas ujian dunia, bekas mahmudah.
“Abang... lihat di sana tu. Bendang itulah, tempat kita bercucuk tanam buat mencari sesuap nasi” ibu mencapai gelas di tangan saya.
“Ibu pasti abang rasa gelisah, panas duduk lama-lama kat sini. Tapi ibu dan atuk tidak boleh mengalah. Cuma ibu, tidak mahu abang jadi macam ibu, keluar pagi, balik petang bertemankan peluh, dan berbumbungkan matahari” ibu perlahan-lahan menyuapkan pisang goreng ke mulut saya.
Bening mata ibu, menatap kasih kebudak-budakan wajah saya.
Ibu banyak berhikayat hebat, seperti seorang pujangga arab memukau setiap anak-anak pada sebuah kisah fantasi lama, merubah keadaan menjadi tawa, takut, gundah, dan semangat. Cerita ibu sarat dengan nilai pengajaran, nilai murni. Kadang-kadang birai mata saya menitiskan air mata kasih, terlopong otak mengganga mengisi kandungan demi kandungan lembaran ilmu dari hujung lensa bibir ibu.
Inilah ibu saya, menjadi ibu hingga ke saat ini. Kalian juga pasti lebih kasih dan lebih sayang kepada jasad yang telah melahirkan, membesarkan, mendukung kalian hingga bisa berlari kencang hari ini.
IBU BAPA
Kita pasti mahu melihat kelibat tangan mengayung buaian, dan menghunus senjata di era generasi sekarang, dan mahu menjadi sebahagian daripadanya. Mengayung lembut buaian tidak bererti lemah mendodoi iman dan takwa hingga melekat kotoran degil pada kain putih, tapi mampu mengeluarkan pembelengguan jiwa muda di dada dunia. Menghunus senjata hingga tersungkur jasad-jasad toghut dari menyerang jiwa muda ini.
Baik buruk seorang anak bergantung pada baik dan buruk ibu bapa mencorak.
Jika sikap baik seorang guru yang memberi penghargaan berupa pujian, ransangan dan senyuman boleh melahirkan pelajar yang sukakan sekolah, tidak jemu menggalas bebanan kerja berlambak, sanggup mendampingi bila bermasalah, apatah lagi seorang ibu dan bapa yang mengalir di dalam batinnya fitrah kasih dan cinta kepada insan bernama anak, ditantang bagaikan minyak penuh, nyamuk dimusuhi masa kecil.
Dari saat mengandung dengan penuh lelah dan payah sehingga tiba masa melahirkan dengan nyawa sebagai pertaruhannya. Baik bagi seorang ibu, mampu merubah perangai anak-anak di bawahnya, baik tidak bererti tidak boleh marah, tapi marah untuk mendidik.
Ibu bapa juga, di samping mendidik mereka, mengajar mereka itu dan ini, jangan pula malu untuk belajar daripada mereka, bahkan kena lebih lagi. Belajar di sini, ialah dalam konteks kita untuk memahami kehendak naluri mereka, mungkin cara penerimaan mereka berbeza, si abang suka diberi sesuatu latihan yang mencabar mindanya, manakala si adik pula perlu perlahan-lahan, tak boleh laju-laju. Cara mereka belajar pasti berbeza, sinonim dengan usia dan pertumbuhan mental.
Ibu bapa yang peka perlu ada sifat prihatin, sebelum kalian bercita-cita untuk melihat anak-anak mempunyai sikap sama bila dewasa kelak, prihatin kepada kedua ibu bapa bila tiba hari tua mereka. Anak-anak tidak pernah kalah meniru sikap dari banyak bercakap. Kita boleh ajar ini dan itu melalui perantaraan lisan, namun keberkesanan diharapkan hanya berapa peratus, sedangkan sikap luaran yang ditonjol oleh ibu bapa, hatta sesiapa sahaja yang dilihatnya itu lebih pantas dicuba, dan ditiru.
Risiko ada di mana-mana, hati-hati.
Risau juga saya melihat gelagat ibu bapa, acuh tidak acuh menetaskan sikap bagi anak-anak jagaan. Sibuk bukan alasan membiarkan anak-anak membesar dengan PSP, play station, dan karton bug bunny, hingga dungu menatap buku sekolah. Ibu bapa harus ada rasa bimbang sebaik sahaja anak-anak melangkah keluar dari pintu rumah untuk ke sekolah, bimbang dengan hidangan apa yang bakal disatap mereka, banyak baik atau banyak buruk.
Urusan dunia tidak akan ke mana, namun urusan anak akan dipersoalkan hingga ke lubang cacing (Akhirat).
Kalau ibu bapa sendiri memperbodohkan diri dengan memuja artis-artis di depan anak-anak, tidak mustahil mereka juga pandai memperbodohkan kembali sikap dungu kalian. Beratus-ratus ringgit dihabiskan dalam masa seminggu semata-mata untuk mengundi peserta-peserta realiti televisyen menerusi SMS. Bayangkan betapa untung pihak penganjur dan syarikat komunikasi. Siang malam buang masa, langsung tidak dapat apa-apa, bahkan membazir pula.
Bodoh, dungu, bebal, tolol akan melekat sedikit demi sedikit dalam otak anak-anak.
Ilmu-ilmu di sekolah tertungang langgang, berterabur hafal sifir, Iqra’ pula terangkak-rangkak. Tapi bila ditanya lirik lagu popular semua tahu, semua dihafal. Nama-nama artis terkenal petah disebut satu persatu.
Takut dibuatnya.
Inilah budaya hidonisme, budaya mengagungkan hiburan dan keseronokan.
ANAK-ANAK
Kalian sepatutnya berterima kasih kepada ar-Rahman, ar-Rahim kerana masih memberi peluang kepada kalian untuk sekali lagi menatap wajah suci ibu dan bapa, mereka belum dijemput untuk menggalas pertanggungjawaban di alam lain. Berterima kasih kerana mereka masih mendengus keterujaan melihat kalian masih berdiri sebagai seorang anak soleh dan solehah yang diamanahkan kepada mereka suatu ketika dahulu. Sekarang giliran kalian pula memulakan langkah sama, seperti mana mereka dahulu membesarkan, menjaga makan minun, tempat tinggal, pakaian kalian.
Ramai yang mengeluh jika perlu menjaga ibu bapanya yang sudah tua. Seolah-olah dia melupakan dirinya, suatu hari nanti dia juga akan menjadi tua dan lemah, dia seolah-olah lupa juga ketika itu dia amat mengharapkan ehsan dari anak-anaknya. Menyedari hakikat berbuat baik kepada kedua ibu bapa, berbakti kepada mereka bukanlah sesuatu yang ringan dan mudah.
Di sini, memerlukan pada pengorbanan besar, maka Islam menawarkan nilai pahala yang amat besar bagi sesiapa yang melaksanakannya, mendokong kehendak orang tua mereka di hari tua mereka.
Rasulullah s.a.w ada bersabda, bermaksud: “Kehinaan bagi sesiapa yang memiliki kedua ibu-bapanya yang tua, salah seorang atau kedua-duanya tidak dapat memasuki syurga” (Hadith Riwayat Muslim)
Inilah cara komunikasi, pergaulan dengan ibu bapa dianjurkan Islam. Hormati dan berbuat baik kepada ibu bapa selagi suruhan mereka itu tidak melanggari syariat Islam. Ibu bapa menjaga anak di usia kecil, anak-anak melindungi ibu bapa di hari tua mereka. Sudah lumrah alam, setiap seorang pasti merasai tua, tidak akan muda selama-lamanya.
Berbaktilah kepada mereka, hormatilah mereka, taatilah akan mereka sebelum mereka ditakdirkan untuk mati, meninggalkan alam dunia.
Kembalilah pada fitrah insani.
“Ibu.. ampunkanlah dosa-dosa abang pada ibu. Abang tidak mampu meraih syurga-Nya walaupun berjuta-juta kebaikan dilonggokkan di hadapan-Nya tanpa restu ibu. Begitu jua abah, restuilah anakmu ini”
ameen
1 komentar:
Fitrahnya kasih ibu tanpa syarat dan tiada galang ganti. Kasih ibu sepanjang hayat, tidak terkira sepanjang masa, hanya memberi dan tidak pernah mengharap kembali, bagai sang surya menyinari dunia.Benarlah kata orang untuk menimbulkan keinsafan terhadap tanggungjawab pada ibubapa dan orang-orang yang menyayangi kita , perhatikanlah waktu ia sedang nyenyak tidur. Kalau ia seorang ibu, lihatlah sekujur tubuhnya dari rambut ke hujung kaki. Sewaktu tidur badannya tidak punya apa-apa upaya. Bayangkanlah betapa badan yang sedang tidak berupaya itulah yang selama ini gagah membesarkan kita dalam senang dan susah. Untuk menghargai cinta kasih ibu bonda, semestinya ianya bukan lagi satu keharusan namun ianya sebuah kewajiban.
Catat Ulasan