PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Rabu, Oktober 7

Hijab : Antara Syari-'at Dan Budaya



Allah Taala berfirman yang bermaksud: Katakanlah kepada perempuan yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya… an-Nur (24:31)

Kewajipan menutup aurat banyak ditegaskan dalam al-Quran dan Hadith baginda s.a.w. Kemestian ini tidak terlepas kepada pundak sesiapa yang bergelar muslim, baik lelaki mahupun perempuan.

Penulis cuba untuk mengupas dan membuka minda para pembaca di luar sana berkenaan tuntutan seseorang perempuan muslim mengenakan pemakaian hijab khususnya tudung yang menutup kepala mereka.

Ada yang memandang remeh, hinggakan sanggup mengeluarkan kenyataan yang jauh dari kehendak Islam itu sendiri. Apakah mereka ini, tidak cukup Islam? Jangan samakan konsep yang ditentukan Islam dalam al-Quran dan Hadith cara pemakaian dengan pandangan golongan Islam liberal. Ini adalah syari-‘at Allah Taala yang sudah termaktub ke atas sekalian hamba-Nya.

Tanyalah pada masyarakat Islam kita, mengapa mereka menutup aurat, bagaimana menutup aurat yang diperintahkan, pasti pelbagai jawapan yang diperolehi. Ramai yang tidak mengetahui perintah yang sebenarnya. Perintah yang mudah difahami tetapi tidak disampaikan dengan sebenar-benarnya.

Jika perintah yang sebenarnya tidak diketahui dan difahami atau dikelabui oleh penyampaian yang samar-samar, bagaimana mereka nak berpegang?

Tidak perlu pakai tudung, asalkan hati kita beriman sudah memadai

Buat apa pakai tudung, kalau perangai macam orang utan

PERLU PENGORBANAN

Memakai tudung bukan tanda seorang itu sudah baik, sebaliknya untuk seseorang memperbaiki diri dia harus memakai tudung dengan sedar (full of consciousness). Bukan dia baik dengan alasan dia bertudung, sebaliknya kalau hendak jadi baik, kenalah bertudung.

Proses memakai tudung bagi seorang perempuan, bagi penulis, adalah sama seperti proses berhenti merokok bagi seorang lelaki. Memerlukan pengorbanan yang besar.

Adalah mudah bagi seorang muslimah yang dibesarkan dan dididik dengan syi-‘ar Islam sepenuhnya, dan kekal dalam environment sebegitu terutamanya ketika meningkat remaja, untuk mengatakan bahawa dia tidak bermasalah untuk bertudung.

Tetapi bagaimana pula seorang muslimah yang lain, di mana dari kecil tidak diajar bertudung, belajar di sekolah yang kebanyakan pelajar perempuannya tidak bertudung, kemudian baru mendapat hidayah untuk bertudung? Antara kedua wanita ini, yang manakah yang lebih besar pengorbanannya? Sama seperti lelaki perokok tadi.

Sebagai contoh lain, terdapat dua objek, dikehendaki untuk bergerak dengan halaju yang sama (memakai tudung/tidak merokok). Tapi objek A diberi geseran (friction) yang lebih besar (cabaran, tekanan) dari objek B. Maka lebih tenaga (pengorbanan) yang diperlukan oleh objek A untuk bergerak dengan halaju yang sama dengan objek B.

SYARI-‘AT DITURUNKAN SEBAGAI CARA HIDUP

Penulis beranggapan ini adalah satu ujian dan cabaran untuk menerapkan dan memahamkan nilai-nilai Islam di kalangan masyarakat. Prospek itu sudah terbuka luas dengan kematangan masyarakat dalam memahami Islam tetapi persoalannya ialah bagaimana mahu menerapkan nilai-nilai dan roh Islam dalam jiwa manusia itu sendiri?

Ustaz, saya sudah mula memakai tudung sejak dua bulan lepas. Masalah saya sekarang, tidak pernah konsisten. Kadang-kadang teman-teman selalu mengejek saya berpura-pura baik. Apa yang perlu saya buat Hati seorang muslimah sendu meluahkan perasaan terpendam.

Kita sering merasa tak berupaya melakukan sesuatu perubahan itu sekaligus dan berazam untuk melaksanakannya sedikit demi sedikit. Perubahan yang sedikit-sedikit itu memang baik. Tapi sekiranya tidak disediakan program yang tersusun ke arah mencapai matlamat yang diingini, kita seringkali tidak mendapatkan hasil yang diharapkan.

Analoginya begini. Bayangkan diri kita sedang berenang dalam misi menyeberangi lautan yang bergelora. Sekiranya kita sekadar menguak kecil, bila rasanya kita akan sampai ke pantai? Itupun kalau tidak tewas mengharungi badai (istiqamah), ataupun maut dihempas ombak besar.

Seorang perenang professional sekalipun dalam misi yang sebegitu, pasti akan membuat perancangan rapi, merangka strategi dan formula… berdasarkan keupayaan dan pengetahuan (ilmu) yang dimilikinya. Misalnya, berapa stamina (daya ketahanan) yang perlu dimiliki, berapa kelajuan yang perlu dikekalkan (istiqamah), berapa masa yang dijangka diambil untuk sampai (target), dan tidak kurang penting, tunjuk ajar seorang jurulatih selain sokongan pasukan penyelamat andainya berlaku sesuatu masalah.

Elemen penting bagi suatu perubahan adalah Istiqamah (konsisten) termasuk juga persekitaran yang menyokong istiqamah itu. Antaranya keperluan berada di kalangan teman-teman yang baik. Kita memilih kawan yang baik bukan kerana kita baik, tapi sebab kita hendak jadi baik.

BETULKAN NAWAITU

Penulis memahami, menghargai dan memnyokong mereka yang berubah secara beransur-ansur dari segi pelaksanaan ke arah yang lebih baik. Tapi perubahan beransur-ansur itu perlulah berdasarkan pegangan yang sudah ditetapkan pada jalan yang hak. Barulah perubahan itu akan berterusan hingga ke arah perubahan secara menyeluruh.

Kerana dari sesi akidah, jika yang dipilih adalah jalan sekerat-sekerat, nak berpegang pada yang hak tapi masih nak berpegang pada yang batil, maka hasilnya jalan yang dituju hanya ke arah kebatilan yang sebenar-benarnya kerana mereka bukan sahaja tidak akan berubah secara keseluruhan lantaran merasa diri sudah cukup, malah turut mengelirukan kaum mereka ke arah kebatilan tersebut.

Belajarlah dari mereka yang ahli, selalu mendampingi walaupun terpaksa mengikut saluran biasa. Buang sikap ego dengan tidak melihat status seseorang.

Orang yang berpakaian kerana Allah Taala, hanya ada Satu Tuhan yang mahu digembirakannya. Orang yang berpakaian untuk menyedapkan mata manusia lain memandang, akan menjadi hamba kepada tuhan-tuhan kecil yang mahu digembirakannya.

Jentik Hati Tanya Iman.



5 komentar:

MASKOR@ROSNANI ZAKARIA on 7 Oktober 2009 pada 12:48 PTG berkata...

assalamualaikum..
ustaz, bagaimana kaedah utk menegur rakan muslimah yang memakai hijab hanya untuk ke kuliah sahaja? pada mulanya ana sgt bersyukur kerana dia telah berubah dari tidak memakai hijab kepada memakainya bermula pada ramadhan yang baru sahaja berlalu. ana rasa dia sedar dan tahu tentang keperluan menutup aurat kerana pada tahun pertama di sini, dia masih memakai tudung. tetapi apabila masuk ke tahun berikutnya dia merubah penampilan diri. ana mohon ustaz berikan idea bg membolehkan ana membantu dirinya dan diri ana sendiri dalam melakukan anjakan paradigma untuk memperoleh cinta dan rahmat Illahi.. jazakallah ya ustaz..

Ladyship Atie on 7 Oktober 2009 pada 4:19 PTG berkata...

semoga Allah beri hidayah kepada kita semua ameen(:

ibn radziah on 8 Oktober 2009 pada 12:25 PG berkata...

To > zuzack828

kalau kita meletakkan masalah ini di bawah masalah hukum, sudah pasti kita tetap sahaja tiada pertimbangan di atas apa yang dilakukannya, kerana hukumnya tetap sahaja haram.

tapi kalau saudari pandang dar sisi dakwah, maka jawapan yang jelas kena pujuk dia supaya kembali kepada jalan yang benar.

gunakanlah segala kemampun yang ada untuk membawa dia ke arah kebenaran, kalau boleh berilah kefahaman sebaiknya tentang bukan sahaja 'keperluan' tapi 'tuntutan' yang harus dibayar kelak di hari perhintungan.

sila baca percambahan tambahan di bahagian label 'dakwah' dan 'fikrah'-insha-Allah mudah-mudahan membantu.

wallahu 'alam.

nazlin berkata...

Assalamualaikum...

Ustaz, ape maksud ayat ustaz ni? saya x berapa faham..

"Orang yang berpakaian untuk menyedapkan mata manusia lain memandang, akan menjadi hamba kepada tuhan-tuhan kecil yang mahu digembirakannya."

rezza khanafiah on 5 Februari 2010 pada 5:07 PG berkata...

@ Nazlin..

Maksud saya kita buat sesuatu perlu ikhlas, kalau tidak kita sanggup ketepikan kebaikan kita buat kerana Allah tapi lebih mementingkan orang lain puji, atau membuat sesuatu untuk mendapat penghargaan orang lain.

Maafkan saya terlambat jawab soalan saudari, moga ada manfaat.

ameen

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal