Ilusi Gambar Romeo and Juliet
“Abang sanggup tinggalkan saya berhari-hari tanpa khabar berita, atau memang abang tidak sukakan saya lagi” Tisu di tangan menemani air mata si isteri yang bercucuran.
“Dulu abang cakap lain, sentiasa manis bila bercakap. Kenapa sekarang abang banyak diamkan diri, apa salah saya?” Kepala isteri binggung sarat dengan masalah keluarga, ditambah pula kebisuan suami.
“Dah pulang lewat, jangan mengada-ngada suruh ini, dan suruh itu” Leteran isteri lantang kedengaran hingga ke pagar rumah sebelah.
Payah sekali untuk memahami mengapa seorang lelaki menyimpan isteri yang sudah tidak dilayannya sebagai seorang isteri. Amat sulit sekali melihat isteri pula melenting tidak tentu arah, macam sudah muak melihat suaminya bermanja menyuruh sesuatu.
Sudah menjadi seperti satu trend di dalam masyarakat. Suami dan isteri bergaduh, disusuli suami bermain kayu tiga, dan ada sahaja perempuan yang sudi muncul di tengah-tengah ribut sebuah rumahtangga. Mereka sudah lupa kata-kata puitis yang pernah bermain di liang-liang telinga sang kekasih.
Menyalahkan pasangan, berdiam diri tanpa komunikasi bukanlah wasilah terbaik untuk menyatakan ketidakpuasan hati, atau menyelesaikan sesuatu masalah, sebaliknya ia berubah menjadi agen jangkitan masalah tersebut kepada perhubungan dan perkahwinan yang seterusnya.
Apatah lagi jika dirinya sendiri yang menjadi punca kepada masalah yang sedang mereka berdua hadapi.
Kepada siapa mahu disalahkan ini?
MENCARI JALAN RAHMAT DAN MAWADDAH
Alam tidak dijadikan untuk kita seorang. Tidak semua perkara mengikut kehendak kita. Kita mengharapkan dia faham, tetapi dia juga mengharapkan kita faham. Kita mengharapkan dia berubah, namun dia juga mengharapkan kita berubah.
Kasih bertandang hanya harapan pada pautan dahan kukuh, tidak pula tiupan angin kencang membadai.
Penulis tidak nampak kenapa ini dijadikan alasan kepada sesetengah muda-mudi yang mampu untuk berumahtangga untuk tidak berkahwin, dan melengah-lengahkan perkahwinan, seolah-olah fobia melihat situasi menyakitkan ini.
Apa yang ingin penulis cuba sampaikan adalah supaya kita belajar mengawal perasaan. Belajar tinggi, ilmu tinggi menggunung pun tidak menjamin perkahwinan itu akan selamat melainkan kerana takwa, dan sedar tanggungjawab yang dipikul sekarang, jauh berbeza semasa kita di zaman bujang.
Apatah lagi dalam usia muda perkahwinan banyak halangan yang pasti akan diharungi, masalah kewangan, masalah keluarga, mentua, masalah memahami kehendak pasangan masing-masing, dan sebagainya.
Tiada pendinding atau ilmu kebal yang boleh menahan asakan tersebut melainkan apa yang disebut penulis di atas, asasnya adalah takwa.
Kemanisan bercinta seharusnya lebih hangat terasa selepas kahwin, kalau boleh sehari tu mahu sahaja berkepit, merenggek di bahu dengan pasangan masing-masing, menghidupkan honeymoon setiap masa, bukannya mencari kesilapan masing-masing.
Tidak tahu apakah punca utama, mungkin sebab sudah lama hidup single, sekali dah kahwin, lain betul pusing dia. Ingatkan masa bercinta dah kenal habis, rupa-rupanya satu peratus pun tidak sampai.
Petua melembutkan pasangan masing-masing yang selalu marah-marah, sentiasa lafazkan kata-kata sayang dulu sebelum bersuara, selalulah dakap di dada, usap rambutnya, dia adalah cinta anda selama-lama, dan ini juga kaedah betul yang diajar oleh Nabi s.a.w.
Ia amat memberi impak maksimun kepada setiap pasangan, supaya siap siaga menjadi nakhoda pada sebuah bahtera besar yang sarat dengan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
Bahawa bahtera rumahtangga bukanlah sebuah bahtera yang memerlukan seorang nakhoda yang mempunyai kekuatan fizikal sahaja tetapi ianya perlukan kekuatan yang luar biasa.
Kuncinya selepas diijab dan Qabul, ianya akan berfungsi dengan sendiri dan bergerak mengikut arah panduan nakhoda. Baik buruk pelayaran tersebut bergantung pada seni dan ilmu yang ada pada diri nakhoda tersebut.
BUANG JAUH SIFAT AMARAH
Kadangkala sebagai seorang suami amat tercabar dengan tindakan isteri di luar jangkaan dan pernerimaan suami.
Adakah dayus sebagai seorang suami membiarkan isteri bertindak sesuka hati, walaupun perkara yang dia lakukan bukanlah kehendak kita? Bagaimana untuk menanganinya?
Tiga tahun berkahwin masih dalam period suai kenal hati budi yang mendalam. Mungkin suami kepenatan minda sebab berdakwah di luar. Dia perlukan kerehatan minda bila di rumah.
Permulaan, janganlah terlalu mengada-ngada dengan suami, minta suami buat itu dan buat ini. Kekadang tidak semua orang lelaki yang keluar berdakwah itu sempurna, bagus dan tahu menggalas bebanan ini, dia mungkin ada kekurangan dalam dakwah rumahtangga.
Dia amat perlukan masa di rumah untuk merehatkan mindanya.
Biasanya suami masih teruja dengan kehamilan sulung ini. Semua kehendak isteri dipenuhi. Bila dapat anak sulung, ditatang bagai minyak penuh. Tapi bila dah masuk kehamilan ketiga dan keempat, mungkin dah mula ada perubahan. Keterujaan tidak macam dulu lagi. Bila isteri mengidam sesuatu dikatakan mengada-ngada pula.
SALING MENEGUR DAN MENGAKUI KELEMAHAN
Sebagai isteri, kena kurangkan kekerapan menegur suami selagi suami tidak lakukan dosa.
Penganti tegur si isteri kena banyak initiate sendiri. Buat dulu kemudian baru suami akan biasa untuk lakukan.
Ada suami yang kekok untuk praktikkan apa yang dia sampaikan di luar. Dan ini bukanlah sedikit di kalangan pendakwah, maka tugas isteri atau ibu yang harus memimpin rumah apabila suami atau bapa tenggelam kepimpinannya.
Tapi janganlah sampai bergaduh selagi dia tidak buat dosa.
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksudnya: “Bahawasanya marah itu daripada syaitan dan syaitan itu dijadikan dari api, dan padam api itu dengan air. Maka apabila marah seseorang daripada kamu maka hendaklah dia mengambil wudu’” (Hadith riwayat Abu Daud)
Pendek kata, guna cara halus iaitu berlembut, buat dulu kemudian masukkan saranan tu sikit-sikit dalam otak suami. Jadikan saranan atau nasihat isteri itu seolah-olah idea suami walaupun datangnya dari isteri, ego suami kena dijaga.
Boleh juga guna cara heart to heart sebelum tidur atau masa keluar makan-masa berdua di luar. Cari masa yang romantik dan sesuai untuk luahkan perasaan. Jangan paksa atau marah-marah.
Banyak hikmah dan pengajaran daripada sebuah perkahwinan, paling penting belajar dari pengalaman, kenali erti kesabaran. Rumahtangga sentiasa diuji setiap masa seiring usia perkahwinan.
Tundukkan hawa nafsu dan syahwat dari melepasi sempadan yang hak.
Bertuhankan tuhan yang palsu tidak perlu menyembah busut atau berhala.
Cukup dengan Allah Taala berkata A dan nafsu mahukan B, lalu diutamakan nafsunya mengatasi perintah Allah Taala, maka manusia ini telah mengangkat nafsunya sebagai tuhan! Siapakah golongan itu? Iaitulah golongan yang tidak mampu berkata tidak pada kecenderungan dan permintaan hawa nafsunya sendiri.
Kepada sang suami, isteri atau bakal isteri, pulanglah kepada Allah sebagai hamba-Nya. Hamba yang tidak pantas bercakap tentang hak, kerana kehambaan itu hanyalah pada tanggungjawab, memberi dan berperanan.
Tinggalkan sejarah romantik percintaan dua insan, Romeo dan Juliet dalam diari karya William Shakespear. Usahlah terikut gaya kecintaan mereka sebelum dipatri syari-‘at, dan sah menjadi milik anda. Ikutlah sunnah para rasul yang ditinggalkan sebagai jambatan menuju akhirat.
Penulis menghela nafas perlahan-lahan mengakhiri drama coretan di atas, moga ada manfaat.
ameen
2 komentar:
Mulakan dengan Basmalah dan hati-hati ketika membaca pencerahan ini.
Salam. Lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Allah sudah beritahu kita. Kita mahu yang terbaik, tetapi adakah kita cukup baik untuk menerima yang terbaik? Perbaikilah diri sendiri itu lebih baik dari menanti orang lain untuk memperbaiki anda.
Catat Ulasan