Begitu pantas masa berlalu meninggalkan jejak langkah kita yang sering alpa dan jauh dari penghayatan Ramadhan yang bakal melabuhkan tirai ujian. Apakah masih ada peluang yang tersirat di Azali kita bakal bertemu dengan Ramadhan akan datang, hanya Allah Taala jualah kita serahkan segalanya yang Maha Mengetahui.
Madrasah Ramadhan dan ujian yang telah kita tempuhi sepanjang berlangsungnya syaria-‘at dan rukun Islam ketiga ini, apakah akan meninggalkan bekas di hati bagi menempuh perjalanan hidup yang panjang sebelum bertemu lagi bulan penuh barakah ini. Sebelas bulan bukan satu tempoh masa yang pendek dalam erti kata melawan segala macam tuntutan, terutama hawa nafsu.
Setelah menjalankan kajian hawa nafsu di bulan Ramadhan ini, banyak benar yang penulis telah catatkan gagal mengalahkan nafsu, dan itulah gambaran sebenar diri yang lemah ini. Ramadhan adalah environment paling sesuai untuk makmal kajian hawa nafsu. Kajian hawa nafsu di bulan Ramadhan memberikan keputusan yang amat tepat. Maka rugilah orang yang menafikannya.
Ibadah di Madrasah Ramadhan ini bukan satu trend tahunan yang dilakukan secara bermusim, jangan adatkan ibadat. Kajian hanya akan sebuah kajian semata-mata pada nama, tanpa meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri. Maka celakalah mereka yang menyamakan Madrasah Ramadhan seperti musim menuai padi, buah, bola sepak, dan demam.
Pelbagai tanda telah terang lagi bersuluh akan tertolak amalan seseorang itu. Jika bulan Ramadhan, diri rasa terpaksa kerana melihat ramainya manusia berbondong-bondong memenuhi ruang masjid menunaikan solat sunat Tarawih, namun masih gagal untuk menunaikan solat Fardhu berjemaah, apatah bila bersendirian, entah buat atau tidak. Jika bulan Ramadhan diri sentiasa basah mengalunkan zikir dan bait-bait al-Quran, namun sering tertewas di sebelas bulan kemudian, kembali menyumbat telinga dengan genre lagu yang melalaikan yang akhirnya mengundang kemurkaan Allah Taala.
وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتًََََََّى يَأْتِيْكَ الْيَقِيْنًَ
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan beribadahlah kamu kepada Tuhanmu sehingga datang kepada kamu sesuatu yang pasti (maut)” al-Hijr (15:99)
PIALA TAKWA YANG DIBURU
Ternyata tahap takwa yang dicita-cita masih terlalu jauh, mungkin untuk kesekian kalinya tidak tercapai. Kesayuan luar biasa bila kita terpalit dengan muhasabah diri sepanjang Ramadhan kali ini, lantas terdetik kekesalan yang amat sangat kerana peluang yang dihamparkan seluas-luas Rahmah ar-Rabb dipersia-siakan begitu sahaja.
Kalau belajar banyak-banyak tetapi tiada perubahan pada cara berfikir, mungkin kepentingan ilmu tersebut dicari boleh dipersoalkan. Jangan cepat melatah dek kerana kesilapan sendiri, cuba mainkan peranan mengubah cara meditasi berfikir dengan mengutarakan idea dan ilmu kontemporari. Maka kombinasi antara fizikal, mental dan spiritual yang stress, bersama cabaran idea yang semakin tajam, ia tumpah ke corak penulisan.
Di manakah kita sekarang, apakah cukup dengan tidak meninggalkan puasa selama sebulan? Apakah cukup kita dinobatkan sebagai pemenang Piala Takwa ini?
يَاأَيُّهَاالّذِيْنَ أّّّمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلي الّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, telah difardhukan ke astas kamu puasa seperti mana telah difardhukan kepada ummat yang terdahulu” al-Baqarah (2:183)
Bukanlah Iman itu semata-mata mengetahui erti dan hakikat Iman, kerana ramai pula orang yang mengetahui hakikat Iman, padahal mereka tidak beriman.
Kita boleh hidup sesuka hati di sini. Makan sahaja apa yang terlintas atau minum sahaja apa yang tercapai, bercampur gaul tanpa batasan dan berkehidupan bagai tiada sempadan. Tetapi padahnya, adalah pada Iman dan Islam. Binasanya adalah pada diri dan masa depan. Bukan demikian itu sifat orang muslim, orang mu’min dan orang yang bertakwa. Sedangkan hanya yang bertakwa itulah yang benar-benar di atas petunjuk Allah dan benar-benar beroleh kejayaan.
MUSLIM MEMBUAT KIRA-KIRA BUKAN BERKIRA
Penulis menyimpulkan Muslim sangat berkira dengan Tuhannya, tetapi di dalam membuat kira-kira lain pula ceritanya. Bila ke Kaabah mencari ganjaran seratus ribu kali ganda pahala, bila beribadah juga mencari tawaran serupa. Tidak lupa juga tawaran seribu bulan yang dikejar daripada mendapatkan keizinan dan keredhaan-Nya.
Berkira-kira perlu dalam kehidupan beribadah kerana ia merupakan penilaian kepada diri. Bermuhasabah dan mengira adakah amalan yang baik dapat mengatasi amalan yang tidak baik. Allah Tala akan memberikan buku Illiyyiin kepada kita, iaitu (tempat simpan kira-kira) kitab catitan yang jelas nyata.
Perlu dinilai juga sifat gigih dan cekal sepanjang bulan ini, untuk terus bertahan walau diasak dari segenap sudut yang boleh menindas. Segala penindasan yang berlaku adalah takdir Tuhan. Tetapi takdir yang bagaimana? Iaitu takdir yang disebabkan pilihan yang dibuat oleh muslim sendiri.
وَقَـالُوا الْحَمْدُ لِلِّهِ الَّذِي هَدَانَـا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِى لَوْلآ أَنْ هَدَانَـا اللَّـهُُُُ
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Segala puji bagi Allah yang telah memberi petunjuk kepada kami ke arah ini, yang tidaklah kami ini beroleh panduan hidayat jika tidak diberi petunjuk oleh Allah” al-‘Araf (7:43)
Diharapkan pada tahun ini, berbekalkan semangat yang telah dikumpul sejak hari pertama Ramadhan, fasa 10 malam terakhir bakal menjadi malam-malam yang paling indah bahkan mungkin lebih indah daripada malam pertama kerana terisinya dengan amal ibadat yang dilakukan dengan penuh khusyuk lagi tawadu’.
Teramat diharapkan, apabila menyinsingnya fajar satu Syawal nanti, kita mampu tersenyum meraikan kembalinya kita kepada fitrah.
ameen
0 komentar:
Catat Ulasan