PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Sabtu, September 19

Hari Kemenangan Yang Dirai



اللهُ أَكْبَر.. اللهُ أَكْبَر.. اللهُ أَكْبَر.. اللهُ أَكْبَر.. اللهُ أَكْبَر.. اللهُ أَكْبَر.. اللهُ أَكْبَر وَلِلَّهِ الْحَمْد

Segala puji hanya dipanjatkan kepada Allah Taala Dzat Maha Esa yang telah memberikan hak guna sepenuhnya kepada mahluk apa yang menjadi hak milik-Nya. Di dalam proses cuba mengingati fitrah asal kejadian, kita terpaksa mengakui bahawa kita berasal dari tiada, dan dengan ar Rahman dan ar Rahim-Nya dapatlah kita mengnikmati suasana Aidilfitri buat sekian kalinya, bersama keluarga, saudara mara, jiran tetangga, rakan taulan dan warga alam seluruhnya.

Penghidupan Aidilfitri sudah pasti dalam bertakbir, bertahmid, bertasbih, bertahlil dan berzikir mengingati-Nya haruslah disulami dengan ingatan yang bukan sahaja menyebut nama-Nya, tetapi lebih bermakna jika jasa-Nya berlegar-legar di dalam ingatan bagaimana segalanya boleh berlaku, semua ini sunnatullah, saling berkaitan antara satu dan lain.

Tanpa ibu-bapa kita tak ada di dunia, tanpa evolusi tiada pula ibu-bapa kita dan alam ini sebagai prasarananya. Begitu juga tanpa nafsu, mungkin tiada keriangan yang datang bersama Aidilfitri.

Menjadi trend buat generasi semasa, ibu bapa selalunya di kampung. Bagaikan sirih pulang ke ganggang, jadi berduyun-duyun warga bandar pulang ke kampung, dengan apa cara sekalipun, untuk mendapatkan puncak kemeriahan dengan menjenguk ibu-bapa, selain dari keluarga mereka dan yang lainnya.

Bermaaf-maafan dan bersama-sama meluahkan rasa, apa yang telah dilaksanakan seharian sepanjang tidak berjumpa. Sudah semestinya Aidilfitri bukan hanya harinya, tetapi dengan kemeriahan suasana, ia akan lebih bermakna.

Zuriat kita memerhatikan segalanya. Segala tingkahlaku ibu bapa terhadap datuk dan nenek, dan saudara-mara akan disebatikan dalam diri mereka. Bagi yang mula berfikir, teringat mereka cerita-cerita di kaca televisyen yang bermacam ragam bentuk cerekarama manusia. Di sebalik agenda-agenda ceria, terselit juga episod-episod duka kerana nafsu durjana.

Tuan khatib pula memainkan peranannya. Bila lagi yang dirasakan peluang baik untuknya menyampaikan hasrat terbuku di hati berkenaan fenomena, kisah manusia dan suasana persekitarannya. Hari biasa tidak ramai mendengarnya, pada Aidilfitri kepadatan masjid luar biasa.

Maka kalau khutbahnya menyentuh masalah remaja, selalu yang lupa di bawa adalah cerminnya. Di mana tumpah kuah, kalau tidak ke pinggannya? Remaja muda menjadi tajuk berita, apa kurang mereka yang sudah senja tapi nafsu masih remaja. Menyikat rambut, maka pantulan bayang-bayang di cermin seperti apa yang terlihat. Marahkan cermin tiada hasilnya, andai diri tidak pandai bersolek, bimbang kalau pecah, lagi teruk padahnya, bukan sahaja tidak dapat menilik bahkan mungkin membawa bencana kepada diri.

MUHASABAH DI PAGI RAYA

Pengertian Aidilfitri memang sangat bermakna di luar negara. Selepas solat raya, berpelukan tidak kenal pangkat, warna kulit, apatah lagi umur. Tiada mercun. Tiada duit raya. Tiada juga kain yang membelah peha.

Perayaan menyambutnya tidak semeriah seperti menyambut Ramadhan tempoh hari. Syawwal mengamit hati perasaan bercampur baur, ada sedih dalam ceria.

Membangkitkan kesedaran ummat bukan sahaja terhenti di bahu manusia, kadang-kadang kalau seseorang itu berhati lembut akan terasa sapaan Tuhan dengan tarbiah persekitaran.

Ambil kesempatan satu petang, duduk di KLCC atau di mana sahaja para sahabat sekalian berada, ukur dakwah kita bawa dengan insan yang lalu lalang di depan kita. Apakah kuat kita menghampiri golongan seperti ini.

Sambutan hari raya semakin jauh dari konsep mendekatkan diri kepada Tuhan, tambahan pula dengan rancangan hiburan yang melampau, penuh dengan unsur hedonisme yang melalaikan.

Macam kamu seorang sahaja yang puasa terdetik di hati bila tengok artis kita terkinjal-kinjal di atas pentas menyambut hari kebesaran Islam, sambil menggeleng kepala.

Memang hari Raya Aidilfitri kita kalau tidak kembali kepada penghayatan Isalam yang sebenar akan terus dibuai acuan barat. Maka tengoklah stesyen-stesyen televisyen sibuk promosi pelbagai rancangan bemula di hari pertama syawwal hingga satu tempoh yang lama. Rancangan menarik hari raya dari hari raya pertama hingga raya ke sepuluh.

Mungkin melebihi sasarannya, pelbagai peringkat dari kanak-kanak hingga yang tua bangka tercegap di hadapan skrin bodoh, bukan semua rancangan tidak elok, tapi kesannya cukup hebat. Kenapa penulis kata sedemikian?

Mana tidaknya anak anak melekat depan televisyen, ibu bapa pun sama (tidak semua katakan). Kadang-kadang saudara mara datang bertandang pun tidak sedar, asyik menatap rancangan televisyen. Tidak menyahut walau dipanggil tiga empat kali, suasana ini amat menyedihkan. Paling memilukan juga sepupu sendiri pun tidak berapa kenal. Tambah-tambah lagi bila hendak panggil gelaran, tergagap-gagap tidak tahu nak panggil apa.

Berbeza dengan orang dahulu, setiap rumah dikunjungi, walau matlamatnya duit raya juga tapi paling kurang kenal juga saudara mara. Tahu beradab dengan orang tua, jauh sekali mengadap televisyen.

Inilah hasil didikan Barat, seperti yang dimahukan oleh Thomas Babington Macaulay, pegawai pendidikan British yang merangka sistem pendidikan untuk negara-negara jajahan seperti India. Apa yang beliau mahukan ialah Indian in blood and colour, with English in taste.

Malaysia dan perangainya melahirkan hamba hiburan dan pesta. Orang-orangnya mahu memalsukan semua agama dari soal iman dan pencarian terhadap hakikat kebenaran, kepada adat resam dan budaya semata-mata, adat resam yang tiada kena mengena dengan Timur, tiada kena mengena dengan Islam.

Tangisan bukan tangisan iman. Senyum ketawa tiada kena mengena dengan Tuhan. Sama ada Kristian dengan Krismasnya, atau Muslim dengan Hari Rayanya, agama sudah diadatkan.

قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى الْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِيْـنَ

Allah Taala berfirman yang bermaksud: Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Oleh kerana Engkau telah menghukum daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan menghias dan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya al-Hijr (15:39)

Manusia yang terjajah adalah manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada seruan syaitan dalam hidupnya. Manusia yang menurut telunjuk Syaitan, sedikit demi sedikit semakin jauh dari Allah Taala hingga hatinya menjadi buta dari kebenaran.

Ramadhan telah datang untuk membantu manusia melepaskan diri daripada penjajah pertama ini. Syaitan dirantai untuk mengurangkan potensinya, urat saraf kita disempitkan dengan berlapar untuk mengurangkan jalan syaitan menguasai kita. Namun apa yang berlaku, rupa-rupanya syaitan pandai menjerat ummat Muhammad dengan menanam terus prilaku mazmumah sepanjang sebelas bulan menguasai diri manusia.

Ketika Allah Taala menciptakan nafsu, Allah bertanya kepada nafsu:

Siapakah kau dan siapakah Aku?

Nafsu menjawab: kau adalah kau dan aku adalah aku

Allah murka kepada nafsu dan penjarakan dia dalam kepanasan. Setelah berpuluh-puluh tahun, Allah keluarkan nafsu dari kepanasan dan bertanyakan lagi soalan yang sama.

Namun, masih jawapan yang sama diberikan oleh nafsu. Jadi Allah murka dan penjarakan nafsu dalam kesejukan selama berpuluh-puluh tahun.

Kemudian, Allah keluarkan semula nafsu dan mengajukankan soalan yang sama kepada nafsu. Jawapan yang sama masih diberikan. Lalu dipenjarakan nafsu dalam kelaparan selama puluhan tahun.

Tak lama kemudian, dikeluarkan nafsu dari kelaparan dan diajukan soalan yang sama kepada nafsu. Ketika ini barulah nafsu menjawab:

Kau adalah Tuhanku dan aku adalah hamba-Mu

KEMBALI KEPADA FITRAH KEJADIAN

Marilah kita bersama-sama bermuhasabah diri di hari terakhir Ramadhan sebelum kita mengucapkan selamat tinggal Ramadhan 1430H, dengan harapan dapat bertemu dengan Ramadhan keseterusnya. Apakah puasa kita pada kali ini meningkat lebih baik dari Ramdhan yang lepas, tanyalah hati sejujunya, jawapannya ada pada Iman yang salju.

Jangan lupa mereka yang berada di perantauan untuk menghubungi keluarga, mengucapkan hari kemenangan Islam ini, dan memohon maaf di atas kekhilafan yang pernah berlaku. Janganlah berduka kerana sesungguhnya kita berada di hari kemenangan. Kemenangan kita mengekang hawa nafsu, dan segala macam tingkahlaku yang tidak sihat yang telah ditanam oleh syaitan laknatullah.

Hulurkan salam kepada sanak saudara, jiran tertangga, dan seluruh alam. Andai memerlukan juga kita bersedih, jangan sedih kerana duka tetapi sedih kerana terpisah dengan Ramadhan dan kerana terlalu gembira menyambut hari kembalinya kita kepada fitrah selepas sebulan di Madrasah Ramadhan.

Di kesempatan ini, penulis ingin mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI, dan penulis hulurkan tangan tanda bermaaf-maafan kita di hari mulia ini yang penuh barakah, hari yang teramat ceria. Jangan lupa kepada mereka yang kurang berupaya dan miskin agar mereka juga dapat merasai kemanisan kemenangan ini bersama-sama.

ameen


2 komentar:

ibn radziah on 19 September 2009 pada 7:09 PG berkata...

jangan lupa sesambil makan ketupat rendang, ingatlah mereka yang tersayang dan kurang berupaya.

hati-hati pulang berhari raya, jangan hidupkan budaya mercun.

SELAMAT HARI RAYA SIDULFITRI MAAF ZAHIR DAN BATIN daripada saya Tuan Mohd Rezza Tuan Mohd Khanafiah (penulis laman puteraazhari)

cik santun on 19 September 2009 pada 12:02 PTG berkata...

SELAMAT HARI RAYA! maaf zahir batin..

Walau tidak dapat berhati2 untuk pulang beraya, kerana memang tidak pulang, tetapi hati ini sudah terbang melayang2 rindu untuk pulang..

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal