Penulis bersyukur sebaik sahaja melihat keputusan peperiksaan Kuliah Syariah dan Perundangan yang terpapar di hadapan mata. Walaupun keputusan sedikit menurun dari tahun lepas, namun penulis tetap sahaja tenang dan melahirkan rasa terima kasih kepada-Nya dengan keberkatan ilmu yang diterjemahkan melalui keputusan ini. Hanya air mata yang menemani perasaan ketika itu, tanda puas dan syukur.
Penulis terus menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ibu, memberitahu perihal tersebut. Para sahabat menyapa antara satu sama lain, ada terkejut gembira dengan keputusan, dan tidak kurang pula yang hiba. Tiada noktah putus asa dalam meratapi kegagalan melainkan usaha berpanjangan agar teraih apa yang tersemat.
“Alhamdulillah, aku bersyukur kepada-Mu Ya Allah di atas kurnian ini” Penulis menadah tangan, sambil sesekali merembes air mata yang keluar dengan tidak disengajakan.
Penulis sedar tanggungjawab yang dipikul tidak semudah kata-kata yang terhambur dan tidak sesenang perancangan di atas kertas, semuanya perlu pada sebuah mujahadah dan perjuangan yang berterusan. Penulis menyahut seruan teman-teman, orang kampung, dan para pensyarah agar menjadi golongan intelektual yang mengisi kekosongan kerusi ulama’ di tanah air mahupun dunia. Menjadi golongan mujtahid.
Penulis bersyukur bukannya apa, sebab ilmu yang penulis kutip dan cedok dapat selepas berjerih dan berpenat menempuh cuaca panas, meredah kuakan keras perangai bangsa Arab, dan mehnah sistem-sistem sekularisme yang diamalkan di sini. Menadah kitab mengadap mahaguru, para masyaikh, dan para ulama’ tanpa ada rasa jemu.
Namun lain pula yang berlaku kepada sesetengah sahabat kita dan para mahasiswa baik di dalam mahupun di luar negara.
ILMU UNTUK SEGULUNG SIJIL
Tanpa berselindung, sekarang ini timbulnya graduan kurang kualiti, graduan tidak cukup kemahiran. Tanyalah graduan universiti sekarang, bagaimana mereka menyiapkan kerja kursus dan tesis? Apakah cukup hanya dengan mencedok beberapa buku teks, dan kemudian cedok research serta artikel jurnal, tesis dan kerja kursus yang sudah siap, kemudian dihantar tepat pada masanya tanpa menilai kualiti ilmu di dada.
Bertanya, bersembang, berhujah dengan pensyarah hanya satu jam dan kadangkala kurang (selain waktu pengajaran wajib dalam dewan kuliah dan tutorial). Nampaknya, disiplin kita dalam menimba ilmu amat jauh berbanding mereka yang bersusah payah menempuh perjalanan jauh sebelum memahami sesuatu bab kecil dari beribu-ribu bab ilmu yang terdapat di dunia ini.
Bagaimana kita nak lahirkan ilmuan hebat macam Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, dan Alkhwarizmi?
Teringat seorang sahabat penulis, merasakan dirinya sudah layak berijtihad pendapat para ulama’, sedangkan asas Islam pun masih goyah, halal dan haram pun masih terkeliru.
Moga diri kita terpelihara dari perkara-perkara sedemikian. Setiap kesusahan dalam mencari ilmu itu ada berkatnya.
ADAB KITA DENGAN ILMU
Setiap benda yang tercipta pasti ada baik dan buruknya, ada lebih dan kurangnya.
Benda yang mudah kita dapat, lagi mudah ia hilang dan pastinya kita tidak akan dapat nikmati kepuasan dalam susah payahnya mencari ilmu apatah lagi menghargainya.
Kadang-kadang kita tidak sedar, apa yang kita ucapkan, apa yang kita nukilkan, rupanya memberi kesan yang sangat besar kepada orang lain. Apatah lagi kepada diri kita di akhirat kelak.
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Tidak ada suatu kata pun yang diucapkannya melainkan ada disisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatat)” Qaff (50:18)
Tersebarnya bahan-bahan ilmiah di sana sini, menyebabkan semua orang boleh belajar. Tetapi malangnya, tidak semua orang tahu adab-adab belajar. Dengan hanya bermursyidkan online, mudah sekali menganggap diri ini sudah tahu segalanya, menganggap segalanya di hujung jari.
Agaknya itu sebabnya soalan-soalan berkaitan syiah vs sunni yang didebatkan beratus-ratus tahun lamanya tanpa kesudahan, boleh ditanya di ruang sesempit sebuah shoutbox.
Bagaimana akhlak yang ditunjukkan Malaikat Jibril ketika datang kepada Rasulullah S.A.W untuk belajar dan bertanya mengenai Islam, Iman dan Ihsan, lutut bertemu lutut antara murid dan guru.
Akhlak seorang guru yang ditunjukkan Rasulullah S.A.W pula, hanya menjawab apa yang diketahui dan mengakui apa yang tidak diketahui.
Masih adakah adab sedemikian tatkala menuntut ilmu dengan Haji Google ini?
Seperti ingin belajar tentang sesuatu penyakit medis tanpa mengetahui anatomy, histology, physiology dan pathology tubuh badan manusia, ianya cukup binasa daripada memberi jasa.
BUDAYA BLOG YANG MEMBINASAKAN
Para sahabat di sekeliling penulis boleh dikatakan kebanyakan mempunyai laman blog. Namun bila ditanya kenapa perlu ada blog:
“Ni-lah trend sekarang, everyone must have a blog”
Tetapi bila sesekali menjengah, kebanyakannya tiada apa yang mahu dikongsi dengan pengunjung, lebih banyak sesi meluahkan perasaan dan sesekali mengambil peluang melampiaskan nafsu amarah kepada si fulan dan si fulanah.
Tidak kurang juga mereka yang menggunakan medium blog sebagai tempat meluah dan melepaskan nafsu, setiap inci kata-kata lucah bahkan diceritakan, menjadi tujuan dia menulis, sudah diri sesat dan mengajak orang lain turut sama tersesat.
Macam tahu-tahu pula ada yang tidak berkenan untuk membaca, dihalaunya pula si pembaca.
Namun penulis juga mempunyai ramai sahabat yang menggunakan blog sebagai medan dakwah mereka, satu jalan jihad. Hanya dengan Iman sahaja yang dapat meninggikan darjat seseorang muslim.
Memangnya Internet ini ada buruk dan baiknya kepada penulisan dan penulis. Yang buruk selalu benar teserlah dalam komen-komen pada kebanyakan entri blog. Kemalasan yang jelas dari kependekan ayat yang terlalu kerap digunakan (saya jadi sy, yang jadi yg, pada jadi pd, tentang jadi ttg), sungguh mencabar kesabaran kepada mata yang membaca. Payah sangatkah nak taip penuh? Ingatkan Internet memudahkan komunikasi, rupa-rupanya memudahkan orang jadi tidak rajin.
Apa salahnya, bagi mereka yang banyak ilmu menjadikan laman blog sebagai satu tempat perkongsian mencurahkan segala isi manfaat yang berguna, berkongsi idea, pencerahan bagi membuka minda para pembaca.
Penulis teringat kata-kata seorang teman yang melahirkan kekesalan, ketika sedang membincangkan satu tajuk dari kitab kuliah, beliau berkata:
“saya sendiri pernah menulis e-mail ke harakah daily mengenai hal ini kerana saya berpendapat Harakah Daily boleh di-update hampir setiap masa berbanding bergantung dengan suara lidah PAS, Harakah sahaja.
Tapi skop saya masa tu kecil sahaja, masa itu kes murtad baru bermula, maka saya cuba mencari pendapat yang lebih tepat mengenai hukuman murtad ini. Maka saya mencarinya dalam harakah namun tidak berjumpa satu artikel pun.
Kemudian saya pun tulislah e-maill kepada harakah, bertanya mengenai peranan Harakah dalam memberikan maklumat mengenai Islam kepada orang Islam dan bukan Islam, bukan secara politik tapi secara keilmuan.
Saya juga bertanya kalau boleh diberikan satu ruang dalam Harakah Daily untuk bidang fardu kifayah dan ilmu-ilmu selain fardu ain juga untuk memberikan input yang lebih banyak kepada pembaca Harakah Daily.
Tapi nampaknya e-mail saya telah diketepikan dan sekarang Harakah dan Harakah Daily lebih tertumpu kepada politik dan medium PAS sebagai parti politik, bukan sebagai badan dakwah dan keilmuan.
Tapi harap-harap Harakah boleh merubah dirinya menjadi lebih kepada wadah yang mendidik rakyat bukan wadah politik semata-mata”
Mungkin dari satu sudut ada benar kata-kata teman penulis ini. Mungkin juga ketika itu, belum ada lagi sumber-sumber ilmiah yang lebih menekankan tentang kepentingan sejagat, mungkin pihak media Harakah Daily ada jawapan tersendiri.
MENYALAHGUNAKAN KEMUDAHAN INTERNET
Kalau bercerita tentang kebaikan internet, pasti tidak mampu untuk disenaraikan semuanya.
Tapi bagaimana pula dengan keburukannya?
Apa yang penulis nampak dan teliti tentang internet, ia bukan sahaja mengubah penulisan orang, ia juga mengubah identiti, hati serta perwatakan orang itu.
Apakah kita perasan dan rasa berdosa, kadang-kadang internet juga boleh menimbulkan ikhtilat khafi antara lelaki dan perempuan, sebagai contohnya melalui medium shoutbox (blog atau website), sistem SMS, Facebook, Yahoo Mesengger dan lain-lain.
Memang dari awal penggunaan internet, penulis sudah melihat perkara ini berlaku, dan sekarang ianya sudah sebati serta menjadi kebiasaan.
Orang sudah tidak melihat ia sebagai sesuatu yang memalukan.
Kita bertegur sapa dengan lelaki atau perempuan yang kita tidak kenali di internet, siap bergurau senda lagi. Walaupun pada mulanya hanya niat untuk menuntut ilmu, bertanyakan hukum hakam, tetapi lama kelamaan mereka bergurau senda, mengusik. Hinga lama-kelamaan, perasaan minat, suka dan rindu mula tersemai.
“Ish, seronoknya kacau mamat ni. Hari ni apa update dia di facebook?”
Sejurus sahaja orang yang diminati update status mereka di facebook, terus sahaja mereka meninggalkan komen yang bersahaja, bahkan boleh menimbulkan dan menaikan syahwat.
Walaupun hanya niat untu bertanyakan permasalahan agama pada orang agama, lama-lama jadi perkara lain. Itu yang silap hari bulan, minat pada suami orang melalui internet lantas membawa pada percintaan walaupun sekadar minat dalam hati.
Mula-mula hanya memberi salam, kemudian tanya khabar, kemudian suruh bangun solat sunat malam, lama-kelamaan rindu dan mengucapkan kata sayang.
Ada yang setiap waktu menatap internet hingga keluarga terabai, hingga kitab-kitab kuliah yang sepatut dikhatamkan terbengkalai di atas meja. Masakan tidak, setiap malam tidur lewat hingga dua pagi hingga isteri atau suami kesunyian, hingga keputusan dalam setiap lapangan peperiksaan hanya meninggalkan air mata ibu bapa yang berdoa kejayaan anak-anaknya.
Menatap internet, chatting hingga study mereka terganggu lantas gagal dalam ujian akhir degree mereka.
Berdiskusi di shoutbox pada asalnya untuk kemusykilan agama atau isu-isu semasa, lama-lama menjadi sembang-sembang kosong. Yang paling buruk, dijadikan untuk tempat melamar suami atau isteri orang. Tidak kurang bagi suami yang menceraikan isteri melalui SMS, sangat menakutkan.
Yang pastinya ini semua cerita di atas bukan rekaan semata-mata, ia benar-benar berlaku di sekeliling kita. Mungkin tidak sepenuhnya menimpa kita, apakah kita perasan tempiasnya juga kita terpelanting ke hidung kita?
Tidak kira apa status lelaki atau perempuan itu di internet sama ada seorang kakak, adik, abang, suami orang, isteri orang, guru, ustaz, ustazah, mak orang, nenek orang , mereka tetap bukan mahram kita.
Mungkin kita boleh lihat analisa diri sendiri dan lihat bagaimana addicted-nya pada sistem-sistem perhubungan ini. Adakah kita melenting atau jadi defensive apabila ada orang menegur kita tentang komputer?
Pastikan waktu berinternet kita tidak mengambil waktu kita bersama keluarga atau sahabat-sahabat, belajar atau kerja kita. Jika itu waktu tidur kita dengan suami atau isteri kita, jangan sesekali kita abai atau ambil lewa kerana lama kelamaan hubungan suami isteri akan retak tanpa kita sedari.
Jadikan dan ambil teguran orang lain sebagai nasihat terutama sekiranya teguran itu dari keluarga sendiri yang mungkin terasa atau terkesan daripada ketagihan kita itu.
Tidak rugi melepaskan ketagihan kita itu demi kebahagiaan rumahtangga sendiri. Jangan tunggu nasi menjadi bubur baru ingin berubah, dah bercerai berai baru nak berubah.
SUBURKAN HAK DAN TINGGALKAN BATIL
Di mana-mana tempat belajar ada cabaran tersendiri, paling kuat budaya sesebuah negara. Di Eropah sistem yang dipratikkan jelas terlalu bebas, dan menggalakan sosialisme tidak sihat. Tugas kita mencari ilmu dan belajar untuk kuat lawan cabaran, bukannya mencari jalan untuk lari, kerana kelak tidak terlari sebab yang mengejar lebih pantas.
Tahniah diucapkan untuk mereka mendalami ilmu-ilmu Islam, Hadith, Tafsir dan Fiqh, tapi jangan sangka anda sahaja yang betul, sebab seperti yang diketahui sesuatu industri itu perlu ada kepakaran dan kemahiran yang mampu menjustifikasi bahawa dia seorang yang betul-betul mempunyai kepakaran terhadap sesuatu bidang industri yang diceburi.
Jadi bahaya jika suatu hari, ada seorang akauntan bercakap secara mendalam tentang industri kejuruteraan. Memandai-mandai tambah teori, menambah-nambah perisa.
Apa yang ada di dalam cyberspace dan buku-buku adalah maklumat. Ilmu itu berada didalam dada pemiliknya yang dimanifestasikan melalui amalan.
Jadi, maklumat itu useless sehingga kita buat sesuatu terhadapnya.
Kesimpulan akhir sebagai renungan:
Setelah tamat belajar dari Kota Basra, Imam Ghazali membawa banyak buku pulang. Di tengah perjalanan dia diserang sekumpulan perompak. Imam Al Ghazali merayu-rayu kepada perompak itu supaya mengambil apa sahaja yang dimahukan kecuali Kitab-kitabnya. Kemudian lantas perompak itu ketawa dan berkata:
“Ilmu itu di dalam dada bukannya di dalam kitab-kitab itu”
Dawud Wharnsby Ali had said:
“I sent an e-mail to my loved one, just the other day, it’s sad communication has evolved this way.
We use so many words but have so little to relay, as angels scribble down every letter that we say. All the viral attachments sent and passionate insults we vent
it’s easy to be arrogant behind user passwords we invent.
But on the day the scrolls are laid, with every word and deed displayed. When we read our accounts, I know for one, I’ll be afraid. That day, I’ll be so afraid to read” (Afraid To Read)
Ayuh teman-teman, kita sama-sama menjadi payung kepada agama tercinta ini, jadi mujtahid fillah. Ayuh ! sahutlah seruan ini, moga kita tergolong antara hamba-Nya yang mendapat pelindungan di Padang Mahsyar, dan jauh dari azab seksaan-Nya.
ameen
1 komentar:
salam,
terkesan dengan artikel terbaru ini, ana amat bersetuju dengan pandangan ustaz.
teruskan usaha dakwah...
wassalam
Catat Ulasan