“Assalamu-‘alaikum wrh wbt. Izayyaka ya Ahmad? Anta kuwais barduh… (salam. Apa khabar wahai Ahmad? Kamu dalam keadaan baik)” Penulis menegur Ahmad (warga tempatan) sebaik sahaja melihat beliau sibuk mengemas kedai.
“Wa-‘alaikumussalam wrh wbt. Alhamdulillah, ana kuwais awi. Wa anta? ‘Aiz hagah? (salam. Hamdulillah, saya baik sangat-sangat. Bagaimana dengan kamu? Kamu mahu sesuatu?)” Ahmad cuba berusaha memberi khidmat terbaik walaupun sudah melepasi waktu kerja biasa.
“Alhamdulillah, ana kuwais giddan. Hal andak samak kuwais? Ana ‘aiz Bulti. Lau samahta, iddini kilo wahid bass (Hamdalah, saya baik-baik juga. Kamu masih punya ikan yang segar-segar? Saya mahu Ikan Bulti. Kalau tidak menyusahkan, beri saya satu kilo sahaja” Penulis membelek-belek beraneka ikan yang diletakkan di dalam peti ais.
“Tab-’aan Ma-‘aya. Innihum kitirah wi taza kaman. Hadir, hakh-tarhumlak ahsan hagah andi (Sudah tentu semua ikan baik-baik, malah banyak dan segar-segar. Baiklah, saya akan tolong pilih yang terbaik untuk kamu)” Ahmad segera memilih Ikan Bulti yang diminta sambil mulut tidak kering melayan penulis agar tidak terasa bosan menunggu.
“Tayyib.. Hagah Thani? (Baik.. Ada apa-apa lagi?)” Bertanya Ahmad lagi sambil menyerahkan bungkusan Ikan Bulti yang telah siap dipotong kepada penulis.
“La’.. Jazakallah ‘ala khidmah (Tidak.. Terima kasih di atas khidmat diberikan)” Penulis menghulurkan wang LE 11. Usai memberi salam, penulis beredar dari situ.
Terasa sedikit bahang kepenatan hari ini (semalam), sebaik sahaja pulang dari Al Azhar pengajian bersama Sheikh Jamal Al Faruq, penulis terus mencari lauk untuk juadah makan malam kami. Hari ini penulis masak. Justeru itu, penulis cuba meringankan sedikit rasa penat tadi dengan menyediakan masakan ringkas tapi sedap.
Penulis bernasib baik, biasanya kedai-kedai yang menjual lauk-lauk basah di sekitar rumah penulis akan ditutup bila hampir sahaja waktu Maghrib. Tapi kedai ikan yang berada di hujung jalan masih lagi dibuka, itupun semua ikan-ikan telah dimasukkan ke dalam peti. Ahmad seorang warga kerja kedai tersebut bersedia memberi layanan terbaik kepada setiap pelanggan yang datang berkunjung untuk membeli. Penulis tidak asing di kedai itu sejak berpindah hampir dua tahun lepas. Pelanggan tetap.
Melihat sahaja bahan-bahan di dapur, penulis dapat idea mahu ‘bikin’ apa malam ini. Ikan Bulti Masak Kunyit..!
Berikut adalah dokumentasi penulis tentang masak Ikan Bulti Masak Kunyit:
Bahan-bahan:
1 kilo Ikan Bulti (sebarang ikan yang dirasakan secocok)
500 ml santan kelapa (segera atau pekat)
5 sudu besar minyak masak.
2 batang serai, diketuk hujung.
4 helai daun kunyit, dihiris halus.
3 biji bawang merah (bilangan mengikut keperluan- p/s: bawang merah di sini besar-besar)
5 biji bawang putih
3 cili hidup sebagai hiasan
6 biji cili kering (ikut keperluan) direndam air panas, dan dikisar bersama bawang putih dan bawang merah.
2 sudu teh kunyit mesin.
3 sudu besar gula merah.
Garam sesedap rasa.
4 helai daun salam untuk mengimbangi bau.
Cara memasak:
Panaskan minyak. Tumis semua bahan-bahan ringan seperti bawang merah, bawang putih dan cili kering yang telah dikisar halus, pastikan minyak cukup panas terlebih dahulu untuk menaikkan bau aroma bahan yang telah dikisar tadi. Gaul hingga sebati, dan dibiarkan di atas api yang sederhana.
Jangan terlalu lama, bimbang hangit bahan yang ditumis tadi, dan hilang rasanya. Kemudian masukkan santan, dan dibiarkan bagi satu tempoh masa sambil kacau sekali-sekala sampai menggelegak.
Masukkan pula kunyit mesin, serai, Ikan Bulti, dan daun kunyit. Pastikan anda betul-betul merasakan bau aroma sebelum memasukkan daun salam.
Kemudian kuali atau periuk (pastikan yang besar, sepadan dengan kuantiti ikan yang digunakan) dibiarkan dalam keadaan tertutup dan api dikecilkan. Perhatikan jarang-jarang kuali tersebut, jangan terlalu kering kuah (lagi pekat lagi bagus, tapi bukan bermakna terlalu kering). Kalau boleh sesambil menunggu tu buatlah apa yang patut seperti kemas dapur atau baca buku.
Last sekali masukkan gula dan garam sesedap atau secukup rasa.
Memandangkan rakan serumah penulis sukakan kuah yang banyak, penulis tidak akan biarkan kuah terlalu kering. Kalau terpaksa tambah untuk banyakkan kuah, masukkan sedikit air masak.
Siap untuk dihidangkan (selepas diletakkan cili hidup sebagai hiasan)…!
Ikan Bulti Masak Kunyit
p/s: Resepi orang bujang. Cubalah…
0 komentar:
Catat Ulasan