Pada tahun 1992/1993…
Penulis ketika masih kanak-kanak seusia lima tahun, sudah tidak sabar untuk masuk pra-sekolah. Masakan tidak, boleh dikatakan setiap hari penulis dan arwah atuk akan melewati sebuah sekolah PASTI yang berhampiran bendang, tempat kami bercucuk tanam dan memungut hasil buat menampung keperluan keluarga, hanya di belakang sekolah tersebut.
Pada masa tu penulis hanya mampu melihat murid-murid keluar berbaris rapi sambil menunggu van yang akan membawa mereka pulang. Kesetian itu diperlakukan setiap hari, tatkala matahari bersedia memancar sinarnya memincit keras umbun-umbun kepala.
Penulis masih ingat lagi nama sekolah itu, PASTI al Jauhar, yang terletak di sebelah Masjid Mukim Kampung Sungai, kira-kira lima 10 minit perjalanan dari pusat Bandar Bachok.
Namun hari ini menamatkan penantian setahun yang lalu. Penulis menarik nafas dan menghelakan perlahan-lahan, penulis melakukan perkara sama sebanyak tiga kali. Beg baru dah ada, kasut pun, baju dan seluar berwarna hijau muda sebagai pakaian rasmi sekolah diperagakan di hadapan cermin, berkali-kali penulis ber-posing, sebelum berpuas hati. Hati penulis sedikit tenang, sambil berbisik:
"Ya Allah..! Hari ini aku akan mulakan pengajianku di sekolah. Berkatilah ilmu yang akan dipelajari"
Penulis tidak dapat gambarkan kegembiraan hati pada saat itu, dan tidak pula bisa terungkap oleh kata-kata, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Malam tidak lena tidur dibuatnya memikirkan episod baru dalam hidup bakal ditempuhi hari ini.
TIRAI MULA DISINGSING
Tirai permulaan pada kisah hidup sebagai seorang penuntut ilmu bakal menyingsing. Pelakon utama sudah tentu diri penulis, pelakon paling kanan ialah guru-guru dan arwah atuk yang bersedia menghantar dan mengambil penulis dari sekolah, manakala pelakon tambahan adalah teman-teman penulis yang berada di sisi.
Jalan cerita dan director lakon layar ini tidak lain dan bukan adalah Tuhan Pencipta yang telah mengtakdirkan ke atas sesuatu, namun penulis bertekad untuk mencipta jalan cerita yang menarik sebagai persembahan yang bermutu kepada-Nya.
Pasti ramai teman-teman baru penulis akan melaporkan diri hari ini selepas sebulan menerima surat kelulusan dari pihak pendaftaran PASTI bagi cawangan Bachok.
"Aku mesti jadi yang terbaik dan paling baik antara teman-teman" Penulis bermonolog sambil kepala sedikit mendongak ke arah langit.
"Ibu.. Hari ini apa abang kena buat?" Tanya penulis, sambil menyelesaikan ikatan kasut sebelah kiri.
"Ibu akan teman abang, kita berdaftar nama dulu. Pastu kita dengar sedikit ucapan oleh bakal guru-guru abang, mungkin ada sesuatu yang ingin disampaikan" Ujar ibu.
Tangan ibu terus mencapai beg penulis di sebelah. Kami berjalan seiringan menuju ke arah arwah atuk yang bersedia di atas motosikal. Abah tidak ikut sama sebab masih lagi di luar kawasan kerana kesibukan kerja. Abah pulang seminggu sekali dengan sedikit wang untuk kami buat berbelanja.
"Tuan Mohd Rezza…!" Jerit seorang guru memangil nama.
Penulis mengangkat tangan tinggi-tinggi.
"Puan dan anak sila ke meja di belakang untuk tanda nama dan mengisi borang pengenalan diri" Tangan guru itu menunjuk-nunjuk ke arah belakang, kelihatan kelibat seorang guru berbadan kurus lagi. Penulis masih ingat guru tu, Puan Harizan.
Tidak keterlaluan penulis katakan, semua guru di sini adalah perempuan semuanya, bermula dari urus tadbir, mengajar, basuh lantai, dan sediakan makan adalah guru perempuan, guru yang sama. Tapi penulis suka sebab semua guru tidak kekok melayan kerenah kami yang masih kebudak-budakan, walaupun sedikit malu penulis boleh terima cara mereka.
"Kalau mahu ke tandas, mesti beritahu dahulu guru yang bertugas" Kata-kata terakhir Ustazah Puan Rozila, ketua guru PASTI al Jauhar sebelum menangguhkan ucapan panjang pada pagi itu.
Kami dipisahkan daripada penjaga masing-masing, kaki pula melangkah paksa ke kelas yang telah dibahagikan, semua sama dan tiada beza. Kami diberi lencana sementara. Guru kelas yang bertanggungjawab sepenuhnya mengajar dan memerhatikan kami ketika itu ialah Ustazah Hasrizan, guru kelas M (Maju).
RAGAM DAN PENGALAMAN HARI PERTAMA
Istimewa sekolah ini ialah kami akan diajar setiap masa dengan mengamalkan doa, tidak hairanlah setiap penjuru dinding, setiap palang pintu, koridor kelas, kantin hatta setiap kelas akan dilengkapi kertas tebal berwarna yang telah dilakarkan doa berwarna-warni, sungguh menarik. Cikgu pesan, setiap kali mula kelas kena berdoa, kena ingat doa-doa tertentu.
Aduh, mula-mula penulis rasa mahu menangis, dah hilang semangat untuk belajar. Hanya termenung, berfikir dan merenung ke arah yang tidak pasti. Tiba-tiba terasa diri ini kosong bagai tak pernah memiliki apa-apa. Miskin, bodoh, hina dan kosong hilang makna. Penulis terus teringat pesanan arwah atuk:
"Kita semua adalah hamba Allah. Kita hamba. Ayah kita hamba. Emak kita hamba. Atuk pun hamba. Kita semua hamba. Bukan bos. Haram bagi hamba untuk ego. Haram bagi hamba untuk sombong. Buang semua rasa pandai dan sombong kamu, buang juga rasa malas kamu dan segala sikap kelak merugikan diri. Apa tujuan kita hidup?" Tanya arwah atuk dengan nada optimis.
"Ermm.." Penulis hanya bias menggaru kepala tempat yang tidak terasa gatal, terkapai-kapai menggagai jawapan.
"Tujuannya ialah kita berjaya mentaati Allah. Itulah kejayaan seorang hamba. Berjaya memperhambakan diri kepada Allah! Itulah yang akan kamu belajar di sekolah nanti. Peganglah kata-kata ini…"
Tiba-tiba kami dikejutkan teriakkan suara ketua kelas.
"Ustazah.., ustazah.., ustazah...!" Suara tersuling keras setiap telinga yang mendengar, dan diulang-ulang tiga kali.
"Tengok di luar sana tu…" Nafasnya tersekat-sekat menahan kuakan larian mendapatkan guru Ustazah Hasrizan.
Kami cepat-cepat menghampiri tetingkap mengintai apa yang sedang berlaku di luar. Penulis hanya mampu melihat seorang pelajar perempuan menangis teresak-esak, semacam gagal menunaikan sesuatu, kerana cam benar pada bekas kotoran di lengan baju kesan rebah di atas tanah, seolah-olah gagal mengimbangi badan ketika berlari.
Kelas diteruskan. Jam menunjukkan pukul 9.56 pagi, sudah menghampiri waktu rehat. Tiap mata-mata memerhatikan tajam ruang bilik yang terletak dipenjuru kelas T (Tekun), sedikit menghala ke tandas.
Kami cuba siapkan tugasan pertama, menulis semula huruf hija-iyyah di dalam buku tulis. Ada yang mempertontonkan bekas tulis masing-masing, diletak dihujung meja. Menguji kebiasaan yang tidak tercapai dek orang lain, hanya mampu berbangga dengan bekas yang ditinggalkan di setiap helaian kertas.
WAKTU REHAT YANG DINANTI
"Baiklah… Amin sila baca doa makan yang diajar tadi" Arah Ustazah Rozila kepada ketua kelas T (Tekun), sambil kening menjeling sebahagian pelajar yang masih bising di belakang.
Amin memulakan doa, sedangkan kami semua menadah tangan dan mengaminkan doa bersama-sama.
Kami hanya diberi tiga keping roti dan segelas air teh. Kami tidak kisah asalkan perut diisi dengan makanan sebagai alas perut bagi menggagahkan diri untuk proses pembelajaran separuh masa kedua.
"Alhamdulillah, puas.." Penulis menghabiskan sisa terakhir air di bucu gelas.
Penulis mengambil kesempatan lima minit saki baki waktu rehat yang ada untuk berkenalan dengan Amin, Mohd Amin Bin Abdullah, seorang yang berketrampilan dan fasih berbahasa arab (ketika mengalungkan doa). Dia tidak sesekali angkuh dan sombong, namun sesekali menuntumkan senyuman manja ke arah penulis. Kami sembang panjang juga.
"Tahan-tahan…, sabar-sabar… Masih ada dua jam lagi" Tangan penulis mengurut lembut dada, sambil mata menjeling ke luar tingkap.
Kali ini giliran Ustazah Rozila mengambil tempat di kelas kami. Tiada tugasan yang diberatkan di bahu kami, hanya diminta untuk membuka telinga luas-luas untuk mendengar tazkirah yang akan disampaikan.
Ustazah Rozila membetulkan tudungnya. Jilbab unggunya dibuka lebar. Tangan kanan pula menggengam erat bulu rotan. Sebelum memulakan tazkirah, Ustazah Rozila mendiamkan diri, merenung wajah anak-anak muridnya, bagai satu demi satu. Seni luar biasa dalam pidato untuk menarik perhatian sekalian yang mendengar.
Kami hanya mengganguk tanda faham dan kagum di atas isi yang cuba disampaikan. Berdiri bulu roma penulis dibuatnya. Mood penulis kembali semangat untuk mengutip mutiara-mutiara dipersisiran bibir yang berkaca-kaca dengan nasihat itu.
Kagum, faham, berkobar-kobar antara reaksi yang ditunjukkan setiap pelajar yang mendengar pidato Ustazah Rozila.
Tahulah penulis kenapa arwah atuk begitu bersungguh-sungguh menghantar penulis belajar di sini, walhal ada dua lagi sekolah Tadika yang hebat dari sisi prasarana. Namun itu semua bukan menjamin terbelanya sebuah mampu untuk menggerakkan diri, lantas membuat diri terkapai-kapai mencari mahu.
Sekolah Tadika lain dari segi sistem pendidikan misalnya, kurang menitikberatkan prinsip agama dalam kehidupan. Inilah kesan dari system yang sedia ada. Inggeris tidak mahu pengaruh Islam dalam pendidikan di Malaysia kerana takut 'perjuangan jihad' tersebar luas dan menyebabkan orang Islam bangkit serentak menentang penjajah, seperti yang dilakukan oleh pengikut Hindu di India.
Kisah silam sebagai cermin diri untuk menilai, manusia bukan tidak mahu ikut tetapi dibuak-buak dengan perasaan takut. Takut untuk mengatakan yang hak, menyatakan pendirian walaupn pahit. Itulah prinsip asas perjuangan Islam sehingga syahid menjadi cita-cita di bumi barakah.
Hari ini melabuhkan tirai, bukan buat selama-lamanya. Penulis akan terus melakar utaian ilmu pada pahatan dinding semangat juang yang bertunjangkan keimanan di dada. Menuntut ilmu tidak ditentukan oleh masa dan tempat, biar merepat asalkan tidak terseput oleh ulikan duniawi semata-mata, penting ikhlas.
Sekali melangkah tidak akan sesekali berpatah.
Tirai hari ini akan diteruskan untuk hari-hari esok, dan sampai bila-bila selagi hayat dikandung badan.
ameen.
0 komentar:
Catat Ulasan