Pernah suatu ketika sampai di rumah dari asrama, penulis melihat ada foto kenangan di atas meja yang pernah diambil entah dari tahun bila lagi. Ada foto baru, dan ada foto lama. Di satu sudut lain pula kelihatan ibu sedang sibuk mengemas rumah. Semua barang-barang di dalam almari diselongkar oleh ibu, maklumlah biasanya ibu dan kami sekeluarga akan melakukan operasi mengemas rumah setiap seminggu sekali.
“Abang dah sampai. Abang nak minum air ke? Nanti ibu buatkan…” Ibu menyapa penulis dengan kuntuman senyuman manis sebaik sahaja melihat penulis khusyuk membelek gambar-gambar yang berselerak di atas meja.
“Tak payah susah-susah la ibu. Ibu masih penat lagi tu, keringat pun boleh nampak jatuh dari dahi ibu” Penulis membalas pertanyaan ibu. Manakala tangan ibu secara spontan mengesap peluh yang mengalir di pipi.
“Boleh abang bantu?” Penulis menghampiri ibu. Di tangan masih digenggam erat foto kenangan tersebut.
“Eeh, tidak usah la. Abang baru aje sampai. Ibu dah siapkan juadah makanan di bawah saji di dapur. Ikan Masam Masin kesukaan abang” Belum sempat penulis mencapai kotak-kotak di dalam almari ibu menarik lembut tangan penulis.
Gambar hitam putih masih lagi jelas kelihatan, walaupun warna sedikit pudar. Kebanyakkan gambar diambil sekitar pada tahun awal 90-an. Macam-macam aksi dan gelagat diabadikan. Gambar terbanyak sudah tentu gambar ketika sambutan Hari Raya Korban pada tahun 1992. Gambar penulis sedang mengerit daging gulai yang liat juga dipukul, di sebelah penulis pula ibu sedang memangku Kak Ina (adik perempuan) di riba.
Ada satu gambar yang betul-betul menyentuh hati penulis ketika itu adalah gambar kenangan bersama arwah atuk di tempat sembelihan lembu korban. Arwah memang cukup dikenali penduduk kampung kerana kewarakkan arwah, menjadi Imam di sebuah surau di kampung. Jadi kalau ada majlis-majlis tertentu seperti tahlil kenduri arwah, mandi jenazah, dan sembelih binatang korban akan dijemput arwah atuk, lagipun arwah atuk memang senang di bawa berbincang dan sebagainya.
“Atuk, kenapa orang Islam suka sembelih binatang? Abang tengok kesian pula lembu meronta-ronta sorang diri dengan darah banyak” Penulis bertanya kepada arwah atuk yang sedang meleraikan ikatan tali pada anggota seekor lembu yang masih bercucuran keluar darah dari pangkal tengkak.
“Orang Islam nak cari pahala lebih, sebab tu mereka sembelih lembu” Kata arwah atuk.
“Pahala…?”
“Macam mana tu atuk? Tak akan la sampai sembelih lembu boleh dapat pahala. Habis, tak payah solat la kalau sembelih lembu boleh dapat pahala” Penulis sedikit kehairanan, masih belum faham lagi. Ketika itu baru berusia lima tahun, namun tegar untuk tahu juga.
“Bukan macam tu la sayang. Solat tu wajib, tidak boleh tinggal. Tinggal berdosa”
“Namun sembelih lembu ni adalah sunat. Kalau buat dapat pahala dan kalau tinggalkan tidak pula berdosa. Mereka nak pahala lebih sebab tu mereka sembelih lembu” Ujar arwah atuk.
“Oo.. Macam tu ke?” Dahi penulis berkerut tanda masih belum faham sambil tangan menggaru kepala tempat yang tidak terasa gatal.
Kami cukup rapat. Ke mana sahaja arwah atuk pergi, di situlah juga penulis ikut. Dari motor CDi50 hinggalah Honda yang setia menjadi teman arwah atuk untuk ke hulu dan ke hilir. Pernah sekali penulis menangis teresak-esak kerana tidak dapat ikut arwah atuk ke bendang. Masa tu penulis baru sahaja sedar dari tidur, terus mencapai benda yang ada melontar ke arah nenek tanda protes.
Kenangan paling tidak dilupakan ketika hidup bersama arwah atuk ialah ketika pergi ke bendang. Penulis begitu teruja setiap kali bila di bawa ke bendang, rasa semacam ada sesuatu yang penulis bisa pelajari daripada erti kehidupan. Tambahan pula dapat melihat keindahan tumbuh-tumbuhan, beburung berterbangan, lembu yang meragut rumput, percikkan air membasahi tanah, dan kerbau yang membajak tanah.
Boleh dikatakan penduduk setempat sudah cukup kenal dengan penulis, kenakalan penulis. Orang kecil tapi nak juga buat kerja orang-orang tua. Arwah atuk tidak pernah memarahi penulis walaupun pernah buat silap. Arwah atuk memang suka manjakan penulis, tapi tidaklah sampai penulis naik kepala, semuanya ditangani dengan baik.
Perkara yang paling disukai penulis semasa berada di bendang ialah menabur benih di tanah yang sudah digali dan dibataskan. Hampir kesemua kerja-kerja tu penulis lakukan. Penulis cepat belajar daripada arwak atuk dan nenek. Kata nenek, benih yang nak dimasukkan hendaklah sama banyak, iaitu lima biji. Ketika itu tugas penulis ialah menanam benih Timun Cina. Maka secara tidak langsung penulis telah diajar mengira dan mengenal nama-nama tumbuhan dan buah-buahan.
Kami biasanya menanam tembakau, sambil tanah-tanah yang kecil tersisa di tanam dengan tanaman seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Jadi disebabkan tugas tu sedikit ringan berbanding tanam tembakau, semua kerja itu penulis bereskan.
“Alhamdulillah semua settle. Mudah dan puas…” Penulis berbangga dapat siapkan tugas seperti yang telah dirancang sambil menepuk tangan meleraikan ikatan tanah di tangan.
Kadang-kadang kalau ibu tidak ada kerja yang perlu dibuat di rumah turut bersama kami ke bendang, itupun kalau ibu sendirian ketika abah keluar ke tempat kerja. Memandangkan tempat kerja abah sedikit jauh, di kawasan bandar, abah jarang pulang ke rumah kecuali hari minggu.
Kami suka keadaan macam ni. Kami belajar dari kehidupan yang begitu sederhana. Kami cukup bahagia.
Tanaman sentiasa dijaga sebelum dapat memetik hasilnya. Kalau tidak ada kerja atau ke mana, penulis biasanya akan ikut arwah atuk ke bendang pada sebelah petang. Penulis mahu tengok hasil tangan penulis sendiri. Prospek pada diri masih ditahap yang tinggi, ianya dapat membentuk satu motivasi kepada diri. Petuanya mudah, jangan malas, kena kuat berusaha.
Arwah atuk telah mengajar segala-galanya kepada penulis tentang mehnah dunia dan capaian yang perlu ditarget semasa hayat di kandung badan. Walaupun ketika itu tiada perancangan di atas kertas tetapi disebabkan semangat untuk menggapainya juga menjadikan kami akan berusaha ke arah itu.
“Khok…Khok..” Arwah atuk menahan sebak sakit di dada kerana sering batuk kering. Penyakit arwah atuk makin menjadi-jadi setiap hari. Kencing manis dan darah tinggi dah menjadi sekawan baik beradu di dalam jasad tubuh arwah atuk.
“Atuk minun air ni. Air tawar abang buatkan. Mudah-mudahan cepat sembuh batuk tu” Penulis menghulurkan gelas yang dipenuhkan dengan air yang telah dibacakan doa-doa dan ayat-ayat ruqayah. Mudah-mudahan dapat sembuhkan penyakit.
Sebelum ini arwah atuk sudah berapa kali rebah dan pengsan kerana kekurangan gula dalam darah. Muka arwah atuk selalu kelihatan pucat. Diberi makanan, hanya sedikit sahaja dijamah, tidak ada selera. Semua orang risaukan arwah atuk. Penulis hanya sempat menjeguk bila ada kelapangan. Diri telah menginjak ke usia 14 tahun, komitmen pada pengajian telah membataskan keakraban penulis dengan arwah atuk. Namun penulis tidak pernah lupakan, apatah lagi di saat seperti ini.
Pintu diketuk dengan begitu kuat. Seingat penulis malam itu hujan lebat. Jam menunjukkan tiga pagi. Ketika itu umat Islam telah berada di kesepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan. Penulis keluar dari bilik apabila dikejutkan ketukkan kuat itu. Penulis lihat ibu sedang membuka pintu.
“Kak Yah (panggilan ibu), cepat ke rumah ayah tidak sedarkan diri. Tubuhnya sejuk kaku” Bapa saudara penulis memberitahu dalam keadaan menahan kesejukkan tubuh yang basah tertimpa hujan.
“Ya Allah…” Kalimah terakhir penulis dengar terpacut keluar dari mulut ibu. Tanpa banyak bercakap ibu bersiap-siap. Kami semua ke rumah arwah atuk.
Kini arwah atuk sudah tiada lagi. Rohnya telah di bawa pergi mengadap Rabbul Izzati dengan sebuah semangat yang cekal. Semangat inilah yang menjadi inspirasi dan aspirasi buat penulis genggami hingga ke hari ini.
Rohnya masih sentiasa hidup, dan masih boleh mengingatkan dan menasihati kita, kalau benar-benar kita menambah ilmu mengenainya. Bukanlah tidak kasi ingat, tetapi ingatlah yang faham bahawa kita adalah roh sudah pasti tidak tergamak untuk menangis, kerana yang pergi hanya jasad. Hanya kerana kepincangan ilmu, roh kita dan roh arwah tidak pandai berkomunikasi. Jangan hanya baca jasad el Quran, namun hayati rohnya.
Merasa sedih yang dialami apabila kehilangan orang yang paling kita sayang adalah ingatan pada lakaran sebuah diari, apatah lagi jika waktu itu kita masih baru bertatih untuk megenal kehidupan, akan menjadi ingatan sentiasa. Memori silam mengajar kita erti kekuatan untuk meneruskan dan mencipta ruang indah dalam kanvas kehidupan.
Penulis semasa berada di tanah air dahulu sebelum fly ke bumi anbia’ akan spend masa ke pusara arwah atuk setiap pagi Jumaat. Membersihkan kubur dan menghadiahkan doa serta bacaan Yasin kepada arwah. Sekurang-kurangnya jasad arwah atuk tidak kesunyian sendiri di dalam tanah. Doa anak-anak soleh sahaja yang membahagiakan mereka nun jauh di dalam. Mereka dengar dan menyambut dengan penuh kebutuhan hadiah kita sampaikan.
Ianya menjadi ingatan tulus daripada mereka insan yang masih hidup. Hargailah mereka yang masih hidup, jangan pula tinggalkan mereka yang telah pergi.
ameen
3 komentar:
Subhanallah, tersentuh membaca artikel ini, teringat kisah hidup bersama arwah atuk dan kehidupan kanak-kanak dahulu.
Semoga kenangan itu menjadi ingatan kasih yang tiada bertepi dan berpenghujung...
wallahu'alam
bestnya dpt mghayati suasana ktika berada di bendang.(diri ni xpenah rasai suasana itu).Mmg suatu kenangan terindah ble kte dpt mlihat&mrasai nikmat keindahan alam smulajadi.
kisah ini jge mengingatkn diriku pd kenangan swaktu arwah atuk maseh hidup.stuju dgn kata-kata penulis bahwa 'Memori silam mengajar kita erti kekuatan untuk meneruskan dan mencipta ruang indah dalam kanvas kehidupan'. =)
teringat kat tokki kat kampung bila baca..dulu mase kecik2 rapat jugak ngan tokki sebab cucu sulung dalam famili..semoga tokki dipanjangkan umur dan sihat2 selalu..terima kasih atas perkongsian yang menarik..
Catat Ulasan