PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Sabtu, Jun 27

Tazkirah: Hidayah Di Tangan Allah





PROFESION sebagai pendakwah adalah satu tugas mencabar dan penuh liku. Ada kalanya kehadiran seorang pendakwah di tengah masyarakat tidak diterima dengan baik. Bahkan ada beranggapan mereka sebagai golongan pengganggu hak asasi individu, kelompok ketinggalan zaman, berpemikiran jumud dan bermacam lagi kata berbentuk celaan.


Pendakwah hendaklah sentiasa bersabar ketika menghadapi rintangan sebegini dan meneruskan usaha dakwah demi mencapai balasan baik daripada Allah Taala. Sesungguhnya para Rasul juga melalui rintangan perit seperti dihadapi sesetengah pendakwah masa kini dan mereka tetap bersabar.





Allah berfirman yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, rasul sebelummu pernah didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan orang yang mendustakan dan menyakiti mereka sehingga datang pertolongan Kami kepada mereka. Dan sememangnya tiada sesiapa pun yang dapat mengubah kalimah Allah (janji-Nya). Dan sesungguhnya sudah datang kepadamu sebahagian daripada berita rasul itu” el An'am (6:34)


Bersabar bukan bermaksud pendakwah hanya berdiam diri ketika kemungkaran berlaku di hadapan mata. Tetapi, dakwah hendaklah tetap dilakukan dengan penuh kebijaksanaan (hikmah) dan sikap lemah lembut.


Selain itu, kita tidak perlu bersedih apabila dakwah seakan-akan tidak berjaya tetapi hendaklah bersabar kerana perubahan ke arah kebaikan tidak akan berlaku sekelip mata kecuali jika di kehendaki Allah Taala.


Hendaklah yakin bahawa tugas seorang pendakwah hanyalah untuk menyampaikan ajaran Allah dan rasul-Nya namun hanya Allah Taala yang menentukan siapa selayaknya menerima hidayah itu.



Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah yang memberi petunjuk kepada orang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang yang mahu menerima petunjuk” al Qashash (28:56)



Ayat itu diturunkan selepas Abu Talib menemui ajalnya dalam keadaan tidak beriman kepada Allah Taala. Rasulullah S.A.W amat mengasihi bapa saudaranya itu kerana dia sentiasa melindungi baginda daripada ancaman golongan Quraisy di Makkah walaupun Abu Talib tidak menerima risalah di bawakan oleh baginda.


Ketika Abu Talib sedang nazak, baginda menyeru kepadanya untuk mengucapkan kalimah syahadah berulang kali. Namun Abu Talib tetap berpegang dengan agama nenek monyangnya sehingga beliau meninggal dunia.


Rasulullah S.A.W begitu sedih dan kecewa lalu baginda bersabda yang bermaksud: “Sungguh akan aku mohonkan keampunan untukmu selama aku tidak dilarang



Maka Allah menurunkan firman-Nya yang bermaksud: “Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang musyrik” at Taubah (9:113)



Begitulah Allah ingin menekankan bahawa seorang Nabi yang maksum serta sentiasa berada di bawah bimbingan wahyu Ilahi juga tidak dapat memberikan hidayah kepada sesiapa pun kecuali dengan kehendak Allah Taala.


Oleh itu, kepada seluruh pendakwah jangan berasa gusar apabila usaha anda seakan-akan tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak. Hanya Allah Taala sahaja yang berkuasa untuk menentukan siapa sahaja di kalangan hamba-Nya yang berkeinginan untuk menerima kebenaran.


Tugas pendakwah adalah terus menyebarkan seruan Ilahi tanpa berasa putus asa. Apa yang penting hendaklah pendakwah melaksanakan tugas mereka dengan cara yang bijaksana dan dedikasi.



Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik serta berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih Mengetahui orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dia juga yang lebih Mengetahui orang yang mendapat hidayah” an Nahl (16:125)



Pendakwah hendaklah sentiasa memikirkan apakah natijah yang akan muncul akibat daripada tindakan diambilnya ketika berdakwah. Mereka juga hendaklah jangan terlalu ghairah serta tergesa-gesa untuk membawa pihak diseru ke jalan yang benar.


Dakwah hendaklah dibangunkan atas dasar ilmu berlandaskan el Quran dan sunnah. Dakwah tanpa ilmu pasti akan menjuruskan ke arah kesesatan dan sikap ekstrim. Oleh itu, pendakwah perlu mempunyai ilmu pengetahuan.



Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Inilah jalanku, yang mana aku dan pengikutku menyeru manusia kepada agama Allah berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik) dan aku sama sekali tidak termasuk golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu pun” Yusuf (12:108)



Dakwah hendaklah terbina atas dasar menyatukan umat dan memupuk perasaan saling mencintai antara umat Islam. Kita hendaklah memupuk tali persaudaraan melalui dakwah seperti mana firman Allah:




Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Sebenarnya orang beriman itu adalah bersaudara. Oleh itu, damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” el Hujurat (49:10)



Pendakwah hendaklah menghindari corak dakwah yang keras sehingga pihak lain beranggapan pendakwah lebih cenderung untuk mencari kesalahan daripada memberi nasihat yang akhirnya akan memecah-belahkan umat.


Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: “Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, mencintai kelembutan. Dia memberikan apa saja kepada orang bersifat lemah-lembut sesuatu yang tidak diberikan kepada orang yang bersifat kasar dan juga orang yang tidak bersifat begitu” (Hadith riwayat Muslim)


Apabila segala langkah yang sepatutnya sudah diambil dalam kegiatan dakwah, serahkan kepada yang maha Esa untuk memberi hidayah kepada hamba-Nya yang terpilih kerana sesungguhnya sesiapa diberi petunjuk oleh Allah, maka dia tidak akan mendapatkan kesesatan dan sesiapa yang tersesat, maka tidak ada yang dapat memberikannya petunjuk kecuali Allah.



0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal