PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Ahad, Jun 28

Remaja: Ke Mana Hala Tuju?



Tidaklah dinamakan seorang pendakwah intelek jika tiada rasa di hatinya resah dan gundah melihat kehancuran dan kerakusan dunia menelan manusia muslim mengikut arus kemodenan dunia yang tiada panduan asas. Para remaja dilihat lapisan masyarakat yang telah didedahkan dengan pelbagai penyakit hidonisme. Banyak pihak yang menunding jari ke arah pihak lain tanpa ada sebarang guideline, hanya pandai mengkritik namun langsung tidak membangun.

Generasi muda kini masih dibelenggu dengan krisis kurangnya budaya keilmuan dan keintelektualan yang merupakan asas kepada kemajuan dan pembangunan sesuatu tamadun. Kejayaan tamadun-tamadun silam yang berjaya mempengaruhi dunia hingga hari ini ialah sebuah tamadun yang mampu menghasilkan idea, tulisan, ciptaan dan peloporan dalam sesuatu perkara baru hasil tercetusnya perkembangan ilmu dan intelektual.

Tamadun Yunani, China, India, Bizantin, Rom, Parsi, Mesir dan sebagainya terselah di sebalik tabir pembangunan sebuah sejarah tamadun kerana ketrampilan mereka memajukan produk seperti ilmu, dan idea-idea yang sihat. Apatah lagi Tamadun Islam amat gemilang sebagai pusat perkembangan ilmu pengetahuan.

Apabila kita memperhatikan secara lebih dekat mengikut kaca mata hati akan senario generasi muda kini yang ramai mempunyai Ijazah, Diploma, sijil-sijil kemahiran dan sebagainya tetapi tidak berupaya untuk memanfaatkan ilmu-ilmu yang diperolehi di menara gading untuk dikembangkan dengan menggunakan kreativiti dan inovasi di dalam diri.

Ramai graduan-graduan yang menganggur gagal memanfaatkan potensi dan bakat pada diri untuk menciptakan peluang-peluang pekerjaan yang baru selain mengharapkan pekerjaan yang tercatat pada sijil semata-mata. Manakala bagi mereka yang sudah berada di alam pekerjaan pun, wujud di antara mereka masih terbelenggu dengan cara kerja lama yang tiada produktaviti dan tidak pro-aktif kerana kurangnya daya kreativiti, inovasi dan kaedah mengolah ilmu-ilmu yang telah dipelajari agar sesuai dengan keadaan realiti semasa.

Fenomena kegersangan asas keilmuan, kreativiti dan keintelektualan ini khususnya kepada generasi muda akan menyebabkan kelesuan daya fikir yang akhirnya menyebabkan kegagalan untuk memahami reality semasa dalam masyarakat kini. Akibatnya lahirlah program-program pembangunan, projek-projek dan aktiviti-aktiviti meliputi soal ekonomi, politik dan sosial yang gagal mengubati simptom sebenar yang menjadi puncanya. Banyak tenaga, wang dan keringat dihabiskan tetapi tiada kesan serta impak disebabkan ketiadaan penyelidikan, kajian dan meneliti punca pada lahirnya sesuatu masalah.

Tanpa pengukuhan ilmu yang utuh umat Islam akan menjadi lemah dan terus dijajah walaupun telah mencapai kemerdekaan kerana wujudnya penyakit yang dinyatakan oleh Malek Bin Nabi sebagai penyakit colonsibilite yang bermaksud suka merelakan diri diperhambakan lantaran daripada jiwa yang lemah. Penyakit ini akan menyebabkan para remaja khususnya dan masyarakat amnya terus dibelenggu dan dijajah hebat akibat lemah dari aspek pendidikan, keilmuan, pembangunan dan sebagainya.

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Bacalah dengan nama Tuhamnu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Mulia. Yang mengajar dengan mata pena. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya” el ‘Alaq (96:1-5)

Ilmu dan segala proses ke arah pembinaannya adalah berpaksikan Tauhid. Pembinaan ilmu dalam konteks ini adalah ilmu yang sepadu dan menjurus kepada pembinaan tiga fakulti yang tersedia wujud dalam diri manusia iaitu akal, roh dan jasad. Ilmu bukan sekadar mendapat maklumat tetapi kemampuan untuk membudayakan dan memanfaatkannya.

Natijah dan hasil dari pembangunan dimensi keilmuan ini akan membawa kepada peningkatan intelektualisme, pemikiran kritis, pembangunan akhlak dan budaya hidup yang akan menjadi cermin serta wadah untuk melahirkan generasi yang mampu membina:

Tamadun Khairul Ummah

Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: “Menuntut ilmu menjadi suatu kewajipan kepada setiap muslim dan muslimah” (Hadith riwayat Muslim)

Pencarian ilmu tidak terbatas kepada membaca dalam skop kursus tertentu, bidang akademik tertentu atau di atas faktor orientasi peperiksaan (exam oriented). Tetapi ianya perlu diperluaskan kepada pelbagai disiplin keilmuan. Tidak semestinya seorang jurutera atau akautan tidak mampu atau tidak boleh menjadi pendakwah dan mendalami ilmu-ilmu agama.

Kita sepatutnya wajar menjadikan para ulama’ dan cendikiawan Islam yang terangung seperti Ibn Sina. Ibn Rusyd, el Khawarizmi, Ibn Khaldun dan ramai lagi. Bekerja keras mencapai kejayaan dalam pelbagai lapangan disamping mempunyai asas ilmu-ilmu agama yang kukuh. Mereka tidak menjadikan alasan dengan status sebagai seorang yang belajar ilmu agama untuk gagal dan tidak mahu mencuba mencetuskan idea baru dalam ilmu moden, dan sehingga kini banyak karya-karya mereka menjadi rujukan antarabangsa.

Sumbangan Generasi Muda Pada Tamadun

Agenda membina tamadun sepatutnya menjadi agenda asasi bagi semua peringkat dan generasi belia. Ini kerana sejarah banyak mencatatkan kesan-kesan yang hebat hasil dari gerak gempur generasi ini dalam pembinaan tamadun manusia di seluruh dunia baik dari sudut pemikiran, reformasi akidah, budaya dan adat, bahkan yang berbentuk binaan dan kesan teknologi umat-umat terdahulu.

Sejarah Islam sahaja sudah cukup memaparkan sumbangan generasi ini untuk tontonan manusia sejagat, bermula dari kisah Habil anak Nabi Adam as yang memaparkan nilai-nilai ikhlas dan jujur dalam berkorban hinggakan dirinya menjadi korban saudaranya sendiri.

Kisah Nabi Ibrahim ketika berumur belasan tahun bersendirian mengajak kaumnya yang menyembah dan bertuhankan matahari, bulan, bintang kepada akidah tauhid melalui mantik akal, dan mengajak mereka secara berhikmah dengan membuka minda mereka supaya berfikir dengan kesedaran sendiri bilamana patung-patung yang mereka sanjungi sejak turun menurun sebagai tuhan yang tidak bernyawa hancur menjadi debu-debu berterbangan di ruang angkasa tanpa dapat berbuat apa-apa.

Pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, hampir 95% dari pendokong tamadun Islam yang dibawa oleh Nabi S.A.W dipelopori oleh golongan muda mudi. Mereka inilah yang setia berdiri di belakang panji-panji perjuangan Islam sehinggakan Nabi berjaya membawa kegemilangan Islam di tanah arab pada masa itu. Hasil sokongan yang tidak berbelah bahagi dari golongan muda.

Lihat sahajalah nama-nama besar seperti Ali bin Abi Thalib, Zubair bin Awwam, Saad bin Abi Waqqas, Usamah bin Zaid, Bilal bin Rabbah, Ammar bin Yasir, Aisyah binti Abu Bakar, Asma’ binti Abu Bakar, Hafsah binti Abu Umar, Fatimah binti Muhammad (anak baginda), Khaulah binti Tha’labah dan ramai lagi baik secara langsung mahupun sebaliknya dalam menjayakan visi dan misi agung serta amanah daripada Allah Taala.

Dr. Muhammad Said Ramadhan Bouti dalam kitabnya (Manhaj Hadharah Insaniah fil Quran) menyebut bahawa umat Islam pada hari ini mempunyai potensi dan kelebihan besar dari pelbagai sudut dan genap penjuru berbanding umat-umat lain, dengan memiliki segala elemen-elemen yang membawa kepada kebangkitan dan pembinaan tamadun baru seperti kaya dengan tenaga manusia, kaya dengan khazanah galian hasil bumi, kaya dengan ilmu dan kecanggihan teknologi, dan banyak lagi.

Hanya tinggal beberapa perkara besar yang lain perlu digemblingkan jika mahu melonjakkan kelahiran tamadun Islam yang baru lagi gemilang. Beliau telah menyebut lima perkara asas yang difikir perlu diterapkan pada generasi muda pada hari ini sebagai kesinambungan sihat untuk melahirkan tamadun di atas tiket Islam.

1)Umat Islam perlu mempunyai kemahuan dan usaha yang kuat ke arah pembinaannya.

2)Menghapuskan perpecahan di kalangan umat dan sebab-sebab yang membawa ke arah tersebut.

3)Perlu mempunyai kestabilan jiwa dan kecergasan dari sudut pemikiran di kalangan umat.

4)Perlu mempunyai kepercayaan sesama umat, bermula dari barisan pimpinan sehinggalah ke akar umbinya.

5)Perlu menggerakkan seluruh jentera-jentera pendidikan dan sistemnya untuk mencorak dan membentuk umat yang berkualiti tinggi dan seterusnya bisa menjadi tonggak penegak tamadun ummah.

Marilah sama-sama kita mencetuskan idea lestari dalam mengembling tenaga muda ke arah kecemerlangan dakwah di serata tanah air dan dunia seluruhnya. Kemudian perlu ada tindakan atau praktikal kepada idea yang dihasilkan, bukan sahaja bermain dengan sejumlah teori tanpa ada gerak kerja menjayakan.

0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal