Soalan:
Assalamualaikum wrh. wbt. Saya ingin bertanya al fadhil ustaz isu yang timbul tentang cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan yang dicetuskan oleh Tuan Guru Dato’ Seri Presiden PAS, dan propaganda yang dimainkan pihak media?
Harap al fadhil ustaz sudi berkongsi.
Jazakallahu khairan jaza’
Jawapan/pandangan:
Penulis termenung lama juga untuk mencoret tentang mehnah yang melanda satu gerakan Islam tertua di Malaysia. Bukan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi sekadar berkongsi pandangan. Maka di sana ada baik dan buruk. Maka di sisi baiklah penulis harapkan, manakala sesuatu yang buruk hanya keampunan Tuhan sahajalah penulis dambakan. Bagi penulis sendiri di dalam kapasiti individu dan mengamati isu ini, penulis boleh katakan kedua-dua belah pihak bermasalah dan menimbulkan masalah.
Penulis cukup bersetuju banyak masalah yang ditimbul adalah kerana kurang berkomunikasi dan masalah sikap.
Pencadang tidak proaktif melerai, penentang menutup telinga dari mendengar. Mereka masing-masing seronok bertikam di atas gelanggang media khususnya Utusan dan Malaysiakini. Apa salah kalau kita bertoleransi dalam mendepani pelbagai isu. Musuh tidak akan berdiam diri, inilah masa yang sesuai mereka menabur segala propaganda, memusnahkan sebuah harapan pada realiti kehidupan.
Cuma satu soalan, tidakkah hal sekecil ini (komunikasi) tidak terfikir dek pimpinan untuk meleraikan hal sebesar ini?
Pepatah melayu ada berkata: “Orang tua, telah lama makan garam”
Tetapi jangan kita lupa orang tua juga banyak penyakitnya.
Media Massa
Setiap perkara yang berlaku ada pro dan kontra. Keterbukaan media membantu ke arah kemenangan. Bila dah menuju kemenangan, timbullah cabaran dari sebalik faktor yang membantu itu.
Peperangan media dibiarkan berlarutan, baik dari pihak pembakang mahupun kerajaan sehingga timbul pelbagai khabar berita fasik dan fitnah di tengah gejolak percanggahan ini, walhal masalah yang timbul adalah mudah: salah faham.
Rukun Bai’ah yang selama ini dihadam dalam usrah baik di peringkat kawasan mahupun universiti semacam tidak membekas kepada sebahagian pimpinan. Mungkin juga mereka ini naik bukan atas dasar kefahaman kepada Islam yang sebenar, kenaikan jawatan mereka di dalam PAS dilihat sekadar mahu memenuhi rasa ingin berjawatan bukan atas dasar el Fahmu yang menjadi tunjang kepada rukun bai’ah yang digagaskan oleh as Shahid Imam Hassan el Banna.
Kalau rakyat jelata risau dengan keadaan ini, seharusnya ahli PAS yang core tidak melatah dengan situasi ini kerana tarbiah dan didikan yang diberi melalui usrah-usrah, inilah yang menguatkan kita tentang kefahaman dan agenda yang mahu dibawa oleh PAS, tidak kiralah atas dasar perpaduan ataupun pakatan.
Barangkali dek kerana kurang didikan dan pengawalan sinergi antara sunnatullah dan syari’atullah menjadi penyebab kekalutan komunikasi antara pimpinan atasan ini.
Harus Ingat
Ketaatan yang mutlak kepada Arahan, berbeza dengan ketaatan yang mutlak kepada Pandangan. Selagi mana pandangan itu masih suatu pandangan, semua harus bersegera memberikan buah fikiran untuk mencapai pandangan yang terbaik. Tetapi setelah pandangan diputuskan sebagai suatu arahan, perlu ada disiplin untuk arahan itu berjaya dilaksanakan.
Ketika arahan masih diperkatakan dalam bahasa pandangan, semua manusia terus membijak-bijakkan diri ketika hakikatnya mereka sedang dipijak-pijak
Perjuangan tidak hanya diukur pada deretan draf perlembagaan parti, slogan, misi visi, jubah atau pakaian. Perjuangan Islam yang murni, tulus dan ikhlas adalah perjuangan yang diukur selepas terjelma di hati, terucap pada kata-kata, melahirkan tindakan yang proaktif, efisyen dan bermaruah, serta bertunjangkan akhlak yang mulia. Diikat dengan ikatan kasih sayang, persaudaraan, ukhuwwah islamiah, saling faham memahami dan dikukuhkan dengan toleransi (bertolak ansur) yang matang.
Tetapkan Pendirian
Pemimpin PAS seharusnya menetapkan pendirian parti. apa yang berlaku sekarang sebaliknya. banyak percangahan berlaku di peringkat tertinggi. hinggakan pimpinan yang berada di bawah jenuh untuk ‘mereka cerita’ untuk mententeramkan akar umbi.
PAS harus berubah paradigma. Mencari pepaduan itu keutamaan, buruk sangka itu tinggalkan. atas nama Islam kita bersatu mempertahankan hak kita agar kita tidak dianggap menumpang di bumi sendiri.
Sejarah adalah kitaran. Kita kena bijak mengukur dari pengalaman.
Kalaulah seorang insan boleh walk your talk dalam seni, media, dan hiburan alternatif, kenapa tidak dalam kes ini? Memanglah setiap insan kadangkala perlu memilih sesuatu bidang yang dirasakan secocok dengan ilmu atau berdasarkan kelulusan, dan pada itu juga individu tersebut perlu akui bahawa dia sendiri tidak pakar dalam bidang yang lain.
Mungkin dalam dakwah juga kita perlu berhadapan cabaran yang datang dari setiap sudut. Perumpamaan mudah, kadang kala kita perlu melayan kerenah budak-dudak kecil yang kejutkan lena kita walaupun jam empat pagi, mungkin sahaja mereka lapar, atau lampin pakai buang sudah tidak selesa. Maka di kesempatan itulah, kaedah memujuk, nasihat dan saranan dianjurkan sebagai panduan akan teruji.
Idea yang Idealisme tidak selalunya praktikal jika hanya sekadar bermain dengan teori yang bertimbun-timbun.
0 komentar:
Catat Ulasan