PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Jumaat, Jun 19

Musibah: Peringatan Buat Berakal


“Kepada penghuni ARMA (Asrama Rumah Melayu Abbasiah), ada berlaku kebakaran, sila turun ke bawah dengan segera!” Tiba-tiba penulis dikejutkan dengan suara Dr Harun yang membuat pengumuman. Arahan yang sama diulang sebanyak tiga kali dengan nada begitu keras.

Dalam sejarah buat pertama kali kebakaran berlaku di Rumah Melayu, boleh dianggap paling besar setakat ini. Para penghuni menjadi sedikit kalut, ada yang baru sahaja disedarkan dari keasyikan tidur, berlari-lari tanpa ada hala tuju mencapai apa-apa sahaja dokumen penting.

Asap semakin berkelut besar membentuk gumpalan awan berlegar di ruang lantai empat, sedangkan bahang kebakaran di lantai lima masih terasa. Orang ramai cuba memadamkan api yang makin marak dan mengganas. Bagaikan sudah hilang punca, tewas dek asap yang makin membesar dan menghalang usaha pemadaman, masing-masing seolah-olah hilang pertimbangan kerana hilang ikhtiar.

Di lapangan, orang ramai menyaksikan dengan mata berkaca-kaca. Ada yang berkumat kamit membaca sesuatu. Ada yang merakamkan aksi menyelamat ahli bomba. Semua menjadi panik, mungkin kerana jarang benar berlaku hal seumpama ini.

“Apakah nasib penghuni bilik ini”

“Apakah maksud di sebalik musibah ini” Hati penulis bermonolog syahdu.

“ Ustaz ada ke tidak bacaan tertentu dari Rasulullah bila melihat kebakaran berlaku” Dr Harun menghampiri penulis, nada suara malakut bercampur baur antara sedih, risau dan ingin tahu.

Penulis baru sedar dan sudah terngandah. Allah Taala sedang berkomunikasi dengan manusia. Ditunjukkan dalam bentuk musibah agar setiap hamba-Nya tidak alpa dan lalai akan kehidupan sementara ini. Memalitkan kebiasaan pada kealpaan manusia. Petanda-petanda yang hanya ‘melepaskan batuk di tangga’, tiada kepedulian langsung padanya, tiada ibrah yang disimpulkan.

Allah Taala berbicara tetapi kita yang perlu menyusun ayat-ayat tarbiah untuk menenangkan diri sendiri sebelum menghilangkan rasa memiliki. Ujian didatangkan oleh pencipta untuk melihat bagaimana kita menghadapinya samada musibah terjadi makin menjadikan kita dekat dengan-Nya atau sebaliknya.

Sesungguhnya benar sekali manusia itu makhluk paling lalai di antara makhluk Allah. Terlalu banyak petanda Allah dan bicara Allah dari kes-kes sebelum ini namun tidak diendahkan dengan memikirkan kemalangan boleh diubah dengan teknologi semata-mata.

Adakah pristiwa ini bakal menjadi episod yang bermusim? seperti yang pernah berlaku sebelum ini? Setiap kejadian dan tragedi yang berlaku saban hari manusia jarang sekali mengambil iktibar. Bersungguh-sungguh mencari salah siapa, dan apa puncanya tidak akan ke mana. Jangan pula musim ini berakhir menyebabkan kita lalai sehingga bakal berlaku tragedi yang sama.

Sekarang bukan masa untuk salahkan sesiapa. Masing-masing perlu bermuhasabah dan ambil iktibar dengan setiap apa yang berlaku. Setiap apa yang berlaku pasti ada iktibar dan hikmah di sebaliknya.

Kalau boleh kita kaitkan juga dalam firman Allah Taala dalam surah el Falaq. Tafsiran Fizilalil Quran oleh as Syahid Sayyid Qutb:

“Setiap makhluk itu ada buruknya dan ada baiknya dalam keadaan-keadaan tertentu. Dan yang dipohon perlindungan di sini ialah dari keburukan dan kejahatannya agar kebaikannya sahaja yang tinggal. Allah yang menciptakan seluruh makhluk itu adalah berkuasa pula mengarah dan mentadbirkan keadaan-keadaan makhluk-makhluk itu supaya timbul yang baiknya bukan yang buruk”

Tak bermaksud untuk mencapahkan perbincangan ke ruang private, mungkin kita boleh kaitkan kekuatan fikiran berbanding fizikal ini dalam menilai keutamaan yang berlaku, bahawa tidak cukup sekadar tunjuk rasa. Mungkin nisbah tunjuk rasa dan bergiat di alam fikir harus lebih jelas. Allah Taala juga yang memberi kita faham.

Jadi, kitalah manusia makhluk terbaik ciptaan Allah Taala, sebagai khalifah untuk menguruskan alam pinjaman ini sebaik mungkin. Bukan menyalahkan seseorang jika diri turut di bawa terjebak sama, namun salahkan diri sendiri kerana tidak beringat sebelum kena.

Jangan sesekali berhati batu, sukar mengambil pengajaran di sebalik apa yang berlaku. Air yang mengalir di celah-celah batu, dan batu yang keras menjadi lembut, tunduk kerana takutkan Allah. Inikan pula hati kita yang terbina daripada sel, setiap hari kita melihat alam, tapi sombong dengan-Nya. Lihatlah dengan mata hati, bukan mati hati.


Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya: dan ada pula di antaranya yang pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya, dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah, sedangkan Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan” el Baqarah (2: 74)


Akal, roh, minda, faham duduk di sebelah kanan atau positif sementara pasangannya nafsu, rasa, hati, jasad di sebelah kiri dan berpotensi negatif. Jiwa atau diri di tengah-tengah boleh dipengeruhi oleh kedua-dua unsur, baik dan buruk. Yang mana menang akan menceritakan ciri jiwa, seperti jiwa berwibawa, tenang, resah dan sebagainya.

Menggunakan akal untuk membantu perasaan ibarat cara kerja yang baik ke arah tujuan yang jahat. Manusia mendapat jasad terlebih dahulu dari akal, membuatkannya lebih berpengalaman mengendali keburukan dari kebaikan. Setiap yang dibentuk Allah berpasangan, paling asas baik dan jahat.

Contoh akal boleh memikirkan yang baik dan jahat, tetapi penggunaan sebenarnya mengarah kepada kebaikan. Masakan Allah memberikan akal dan ilmu, sebagai lambang kepada kekhalifahan manusia. Kotornya akal diakibatkan nafsu menyeliputinya, ibarat kereta yang kotor dipenuhi lumpur, masih boleh dibersihkan kerana kereta itu sebenarnya bersih.

Umpama penindasan dan kezaliman dibalas dengan penipuan, tidak akan membawa natijah yang baik. Jika dua orang berniat untuk membunuh, yang membunuh pasti berdosa tetapi yang terbunuh jua tetap berdosa kerana mempunyai niat untuk membunuh.

Ambillah pengajaran wahai manusia sekalian…

“Ya Allah Tuhan Maha Pencipta, sesungguhnya apa yang terjadi adalah kehendakmu, dan semua yang Engkau kehendaki pasti ada hikmah di sebaliknya. Oleh itu Ya Rabb, Kau ampunkanlah dosa-dosa hambamu yang hina ini, sesungguhnya kami makhluk yang lemah dan tiada daya”

0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal