Penulis bersama beberapa orang teman yang lain, menderai motosikal bergerak seperti yang dirancang. Kiranya banyak juga tempat yang ingin dituju terutama bertemu dan bersemuka dengan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di pejabat beliau. Kami terpaksa mencari masa yang sesuai sebelum mengemukakan ‘janji temu’ dengan pihak Tuan Guru, iaitu melalui setiausaha sulit beliau.
Pertama kali menjijak kaki di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), memberi seribu erti kepada penulis dan para teman yang lain. Pertemuan sulit, dan bukan calang-calang orang yang boleh berbuat sedemikian, apatah orang biasa seperti kami. Namun begitulah luhurnya akhlak peribadi Tuan Guru yang bersedia menerima kunjungan kami, walaupun terkesan dengan banyak kerja di pejabat mahupun di luar, ditambah pula dengan faktor kesihatannya ketika itu.
Kami biasanya, berpeluang bertemu beliau di kediaman beliau, itupun selepas usai beliau menyampaikan kuliah subuh atau maghrib di Masjid Pulau Melaka. Kadang-kadang di medan ilmu, kuliah agama setiap pagi jumaat di Kota Bharu. Di sini, segala khazanah ilmu yang terkandung dalam jurnal gedung ilmunya, diagihkan kepada orang ramai di pagi tersebut. Inilah kekayaan yang dipersembahkan kepada rakyatnya, yang pasti menjadi saham untuk mereka di hari akhirat.
Boleh dikatakan setiap dari kami, mempunyai agenda tersendiri. Ada yang penuh dengan senarai pembelian barang-barang yang perlu di bawa ke perantauan nun jauh membelah Laut Merah, selembar kertas yang beralamat, untuk memohon sponsorship atau zakat, dan sebagainya.
Penulis selalu mengimpikan sesuatu yang luar biasa yang mungkin biasa bagi orang lain, namun setiap kali itu, kata-kata seorang bekas guru dibangku sekolah menengah terngiang-ngiang menusuk hati “ukur baju di badan sendiri”. Ucapan umum itu, di dalam kelas sehingga kini penulis teringat jelas. Sejak itu penulis sentiasa berhati-hati untuk meluahkan impian, takut untuk menjelaskan angan-angan kepada sesiapa, kecuali untuk penulis adukan segala-galanya kepada Tuhan.
Penulis sering terfikir. Seorang sahabat senior penulis pernah menerangkan kepada penulis teori ini. Ketika itu, entah macam mana terjeluak dari mulutnya untuk berkongsi. Tapi rasa macam mengarut dan kadang-kadang terfikir; ‘hmmm,betul jugak!’, dan ia sangat-sangat merangsang pemikiran untuk terus berfikir tentangnya, khususnya perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan kepada diri.
Katanya teori ini, bernama Law of attraction dan bukunya bertajuk “The Secret”.
Secara ringkasnya dari apa yang sahabat penulis itu ceritakan, teori ini sangat selari dengan konsep doa dan kepercayaan serta keyakinan seseorang insan itu yang percaya adanya tuhan. Jika mindanya cukup kuat, apa sahaja yang diimpikan akan menjadi kenyataan. Seluruh alam ini universal akan bergerak mengikut keazaman minda kita. Contohnya, jika kita hendak dan bercita-cita ingin menjadi pensyarah atau doktor, dan kita selalu menyebut-nyebutnya dengan keazaman, keyakinan bahawa perkara itu pasti dapat dicapai dan pada masa yang sama sentiasa wujud di dalam minda, maka ianya akan menjadi kenyataan. Segala jalan ke arah mencapai impian itu akan menjadi mudah, dan secara langsung menyebabkan seseorang itu bermotivasi untuk mencapai apa yang diidamkan. Itulah bentuk doa, yang disusuli dengan usaha ke arah itu.
Teori ini juga mengatakan bahawa anything positive will attract more positive things. And negative things will attract negative things. Kalau berfikiran positif, maka jalan yang baik, mudah, dan senang akan terbentang di hadapan kita. Hmmm, menarikkan? Hanya sekadar perkongsian, kadang-kadang kalau difikirkan dari sudut kebaikan, ada betulnya dan sesuatu yang menarik boleh dicapai.
Pertemuan tersebut, menjadi sejarah. Tuan Guru, sepanjang berbicara dengan kami tidak pernah loket melontarkan senyuman di bibir. Banyak mutiara-mutiara yang kami kutip dalam pertemuan tersebut. Maklumlah Tuan Guru sendiri pernah dua tahun belajar di sana, kiranya sebagai persedian da gambaran kepada kami yang masih cetek ilmu, serta pengalaman berhadapan situasi yang berlainan jauh dengan keadaan semasa. Bimbang juga, bimbng kata orang ‘Indah khabar dari rupa’. Ramai juga katanya, mahasiswa pada tahun pengajian dengannya, yang terpaksa ‘menggulung tikar’, bukan bankrap dalam perniagaan tapi putus semangat untuk terus berjuang membawa pulang segulung ijazah. Kami harus kuat.
Iman Pada Hati, Lisan, dan Perbuatan
Menjadi idaman setiap Muslim berkeinginan mengecapi kecemerlangan hidup bukan saja di dunia malah di akhirat. Namun, untuk memperolehnya seseorang itu hendaklah terlebih dulu berusaha keras meningkatkan keimanan walau apapun dugaan atau halangan yang datang.
Kecewa dan mudah bosan memang penyakit sangat berbahaya dan mampu melenyapkan harapan untuk mencapai hidup maju. Perasaan itu mesti dilontarkan sejauh-jauhnya. Inilah sifat istiqamah yang sewajarnya menjadi identiti bagi setiap muslimin supaya tidak hanyut mengikut hawa nafsu.
Allah Taala berfirman: “Oleh yang demikian, maka ajaklah (mereka) dan berdirilah dengan lurus sebagaimana engkau diperintah, dan janganlah engkau turut hawa nafsu, dan katakanlah : "Aku beriman kepada semua Kitab yang diturunkan Allah dan aku diperintahkan supaya berlaku adil diantara kamu. Allah-lah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal-amal kami dan bagi kamu amal-amal kamu. Tidak ada pertengkaran antara kami dan kamu, Allah mengumpulkan antara kita dan kepada-Nya jua-lah kembali (kita)” as Syura (42:15)
Nabi saw bersabda: “Katakanlah: aku percaya kepada Allah Taala, kemudian berlaku lurus (istiqamah/konsisten)” (Hadis riwayat Muslim)
Istiqamah atau dalam istilah moden: konsisiten, seharusnya diterapkan dalam segala bidang pekerjaan kerana bekal keimanan serta sifat berhubung kait dengan hati dan ibadat membolehkan seseorang itu melihat segala kebaikan atau keburukan yang datang daripada sudut pemikiran rasional dan mapan.
Sewajarnya apabila kecundang dalam sesuatu yang diperjuangkan, sama sekali tidak boleh menyalahkan takdir bahkan sehingga ada yang tergamak beranggapan bahawa Allah Taala sudah benci kepadanya. Kita kena faham, sejarah orang-orang terdahulu di saat Iman mereka diuji saban waktu dan ketika, tetapi konsistensi mereka mengimani apa yang mereka yakin dan janji-janji Allah Taala di dalam el Quran, tidak sedikit pun mematahkan semangat mereka mendaulatkan agama Allah Taala.
Allah Taala berfirman; “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan/ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat” el Baqarah (2:214)
Sebaliknya, lihat pada diri sendiri, selidik dan teliti apa kekurangan atau kecacatan supaya dapat diperbaiki dan meneruskan usaha dengan akal sihat, subur, akhirnya bertawakal kepada Allah Taala. Anggaplah kekalahan itu sebagai ujian Allah yang perlu dihadapi penuh kesabaran dan keimanan, dan postmortem dapat dilakukan dari masa ke semasa.
Dengan itu, mudah-mudahan tidak berulang lagi kegagalan yang sama dalam hidup. Di sinilah seseorang perlu kepada sifat istiqamah. Sesungguhnya orang yang mengaku beriman itu tetap diuji oleh Allah Taala untuk mengukur sejauh mana kekentalan iman di dadanya.
Allah Taala berfirman; “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?” el Ankabut (29:2)
Allah Taala berfirman; “Dan sesungguhnya Kami menguji orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta” el Ankabut (29:3)
Umat Islam perlu tekun mematuhi perintah Allah Taala untuk mengharungi kehidupan masa kini selain memastikan diri sentiasa beristiqamah, kerana mereka yang beristiqamah dan konsisten dalam hidup dalam melaksanakan perkara-perkara baik akan mendapat rahmat di sisi Allah Taala.
Allah Taala berfirman: “Dan bahawasanya jika mereka tetap berjalan lurus (istiqamah) di atas jalan itu (agama Islam) benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar atau rezeki yang banyak.” el Jin (72:16)
Dr Hamzah Ya’qub dalam bukunya “Tingkat Ketenangan dan Kebahagiaan Mukmin”, menyimpulkan istiqamah ini kepada tiga tahap iaitu istiqamah iaitu hati, lisan dan perbuatan;
Istiqamah dengan hati bermaksud teguh Iman, mempertahan kejujuran dan sifat mazmumah lain. Mereka yang memiliki Iman teguh tidak mudah tergoda, terpengaruh dan rebah kepada godaan. Oleh itu, setiap tindak-tanduknya adalah mencerminkan hati yang suci.
Istiqamah dengan lisan ialah sentiasa memelihara tutur kata supaya ikhlas dan benar. Apa yang diucapkan itu mengikut landasan agama dan bukan atas kehendak nafsu.
Allah Taala berfirman: “Allah menetapkan orang beriman dengan perkataan yang tetap dalam penghidupan dunia dan akhirat, dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki” Ibrahim (14:27)
Istiqamah dengan perbuatan iaitu tekun dalam bekerja, berusaha, berjuang, tidak jemu berusaha, tidak kecewa, cemas dan takut apabila jatuh sebaliknya terus saja berjuang sehingga Berjaya, dan menjadikan portrait lepas sebagai sandaran untuk terus maju memacu ke hadapan.
Ketiga-tiga tingkatan tadi, tidak boleh tidak wajib dimiliki setiap orang yang beriman kerana ia adalah salah satu antara ciri orang mukmin yang akan membuahkan keuntungan dan kemenangan di dunia serta akhirat.
Allah Taala memberi khabar gembira kepada orang istiqamah melalui firman-Nya:
Allah Taala berfirman; “Sesungguhnya mereka yang mengakui Allah Tuhan kami, kemudian berlaku lurus (istiqamah) akan turun malaikat kepadanya untuk menghibur dengan kata-kata: Jangan takut dan jangan berduka cita, dan bergembiralah kamu dengan syurga yang dijanjikan kepadamu” Fushshilat (41:30)
Cari Cinta Ilahi
Cinta kepada Allah Taala bukanlah hanya manis lafaz di bibir sahaja tetapi memerlukan pengorbanan yang ikhlas dalam mencari rahmat dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Sesungguhnya, dengan mencintai Allah Taala akan terasa suatu kenikmatan yang tidak terhingga dalam diri, terutama ketenangan jiwa dan kelapangan hati.
Cinta Ilahi, dalam erti kata lain ingin mendapatkan keredhaan Allah Taala. Pada masa yang sama, kita dengan sedaya upaya kita cuba untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mengundang kemurkaan-Nya. Kita juga dengan sedaya upaya melakukan segala perkara yang diredhai-Nya.
Tiada yang lebih indah daripada mendapat keredhaan Ilahi. Seindah manapun sesuatu itu pada pandangan manusia, selagi ia tidak diredhai-Nya, maka ia langsung tidak berguna. Carilah cinta ilahi.
Cinta kepada Allah Taala itu sangat indah. Namun bukan retorik kosong apatalah lagi dihiasi dengan hipokrasi amalan-amalan ma’asi. Bercintalah dengan Allah secara realiti. Dalam maknanya tuh. Manusia mudah benar berada di penghujung yang extreme. Kedudukan hujung pertama, mempergunakan agama untuk bercinta. Manakala hujung yang lagi satu, mempergunakan ‘cinta Ilahi’ untuk beragama. Seolah-olah cinta kepada manusia tidak boleh disatukan dengan beragama. Sedangkan kerana Islamlah kita dituntut berukhuwwah. Cantikan Islam.
Saidina Ali ketika ditanya bagaimana beliau membahagikan cintanya antara Allah Taala, Rasul-Nya, isterinya Fatimah dan anak-anaknya, lantas beliau menjawab:
“Aku tidak membahagi-bahagikan cintaku, ia adalah satu dan sama. Aku mencintai Allah, dan aku mencintai isteriku, serta anak-anakku kerana Allah”
Semua orang bercerita tentang kemenangan Islam, tetapi masing-masing masih tidak dapat memenuhi kriteria kemenangan Islam. Macam kita nak berjaya dalam peperiksaan, kenalah melalui kesusahan terlebih dahulu seperti mengulangkaji, mencari bahan dan sebagainya bagi memenuhi asbab untuk berjaya dalam peperiksaan tersebut. Barulah berkira-kira untuk berjaya.
Namun di sana, permulaan pada kemenangan Islam adalah, ketika cinta hamba-Nya berputik di jambangan hati. Keikhlasan untuk melihat kemenangan Islam melalui usaha yang membekas pasti membuahkan hasil yang lumayan. Semoga jalan menuju cinta hakiki pada-Nya dipermudahkan.
ameen.
0 komentar:
Catat Ulasan