Kehidupan penulis sekeluarga sedikit beruntung berbanding teman-teman di luar sana, mungkin ada tapi tidak semua, hanya sebilangan kecil sahaja. Hidup kami walaupun tidak ‘berada’ tetapi kami tetap sahaja berusaha untuk menjadi berada 'budi' dan 'bahasa' ditengah-tengah konflik tersebut, seterusnya kebahagian menyusul tanpa dipinta. Dari dulu lagi ibu dan abah tidak pernah menyogok kami dengan kemewahan material dalam berbelanja dan sebagainya, cukup untuk keperluan, namun tegar memberi kami kefahaman tentang erti hidup yang senantiasa ditanam jauh ke dasar. Beruntung bukan apa, kami akan sentiasa mencari jalan untuk keluar dari kepompong ‘miskin jiwa’, kerana ianya kelak bisa membunuh dan meruntuhkan sebuah ‘budi’ dan ‘bahasa’ yang telah siap dibina, dan seterusnya juga kebahagian yang menjadi idaman setiap yang berakal, hanya tinggal nama sahaja.
Kata ibu, dalam cerita hikayatnya yang memukau setiap daripada kami yang mendengar. Dahulu arwah atuk juga hidup lagi susah, kadang-kadang dalam sehari tu, mesti ada masa-masa beliau tidak boleh menjamah nasi, bukan kerana sakit tapi hidupnya begitu susah. Hidup sebagai anak yatim, membesar bersama seorang ibu yang berperang dengan penyakit yang kian membisa. Namun atuk tidak menjadikan portrait kehidupannya itu, sebagai suatu halangan untuk terus melakar jambangan kebahagian, sehingga berjaya membangunkan diri dikalangan mereka yang disegani penduduk di sekitarnya.
Stigma pemikiran yang kolot harus diubah. Bagi anda yang telah berjaya berdiri dibelakang sebuah keluarga yang telah lama merasai kesenangan hidup. Jangan jadikannya sesuatu yang bisa melemahkan kekuatan dan jati diri anda. Kesenangan adalah suatu rahmat yang tidak lagi anda perlu bersusah payah mencarinya, tetapi mekanisma untuk membangunkan kemantangan minda anda menjadi ‘sekaya’ apa yang anda miliki perlu juga diletakkan di dalam senarai matlamat dan perancangan hidup, mungkin yang pertama di antara utama. Bukan satu alasan di sebalik kemewahan tersebut, merasa kekok untuk belajar di saluran biasa, atau secara tidak formal. Kekok untuk ke masjid, dan kekok untuk belajar dengan ‘orang masjid’, atau bergaul bersama mereka yang telah lama mengalami erti hidup berdikari dan jatuh bangun sebuah kehidupan yang berpuaka ini.
Cabaran bukan hanya sahaja lahir dalam bentuk memilih style atau fesyen pakaian terkini, mencari febrik yang sesuai dengan persekitaran rumah anda, memilih destinasi percutian kelas lima bintang, dan sebagainya. Ianya adalah salah satu atau dua bentuk sampingan sahaja, yang mana tidak memerlukan kasual kehadiran ramai orang untuk turut serta membantu menyelesaikannya, memadai mereka yang pernah pertama kali merasai penangan dan keasyikannya, sebab mudah sangat kita pelajari. Namun cabaran terbesar yang ada pada diri anda ialah pola cara berfikir, kemantangan menagani setiap mehnah dan tribulasi dunia dengan jaya, tidak terhad pada pembentukan diri sendiri, malah mampu memberi kepuasan kepada persekitaran anda. Kadang-kadang juga, idea kekolotan dan kebekuan pemikiran hadir dikalangan mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan terpelajar yang sedikit merimaskan, kerana mereka sanggup memutarbelitkan fakta dan kenyataan yang sudah tersurat, demi kepentingan diri, parti dan sebagainya.Tiada apa niat pun mereka ini, melainkan untuk menarik minat ahli ‘miskin jiwa’ dan ‘miskin akal’ supaya mengikut aliran pemikiran yang liberal dan jauh dari konsesi yang dikehendaki Islam.
Allah Taala berfirman; "Dan sungguhnya Kami telah mengutuskan rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): "Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu", maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya.Maka berjalanlah kamu dimuka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul)." an Nahl (16:36)
Erti Hidup Perlu Berdaya Saing
Anda tidak perlu malu untuk keluar bersama teman-teman biasa yang hebat dalam jurnal karya hidup, dikhalayak ramai. Cuba ceraikan perasaan malu anda itu, dan mulakan langkah kaki kanan, dalam berinteraksi memulihkan keyakinan diri, anda mampu mengubahnya. Anda sebenarnya perlu berterima kasih kepada Allah Taala kerana masih lagi dikurniakan perasaan malu tersebut, tapi malu penulis maksudkan di sini ialah malu dalam erti kata yang sebenarnya. Baik, cuba kita fahami erti sebenar sifat malu tersebut, dan di sana mempunyai perbezaan yang ketara dengan ungkapan ‘segan’. Malu itu, merupakan batas-batas Iman yang menjaga diri dari larangan Allah Taala, manakala segan itu pula, ialah batas-batas diri yang tidak sekadar mengawal diri dari terjebak ke larangan Allah Taala, bahkan hingga tidak ke depan menunaikan perintah Allah Taala.
Perempuan yang ada perasaan malu akan menutup aurat, berbudi bahasa dan bersopan santun, tetapi berani tampil ke hadapan, bertutur kata, memberikan pandangan dan berperanan. Perempuan yang penyegan, mungkin menutup aurat atau tidak, tetapi yang pastinya, dia tidak berani menonjolkan diri. Lelaki pun sama. Bagi penulis, ini adalah certain situation, bukan tidak tahu bila, dan ketika mana perlu buang perasaan segan itu, anda tahu. Cuma anda masih segan, untuk membuang perasaan ‘segan’.
Anda tahu kenapa?
Itulah realiti pahit yang terhasil daripada 'budaya takut' yang muncul diam-diam dalam sistem ‘paksa’ dan ‘rasa puas hati’. Teringat pula kepada pensyarah penulis yang pernah berceloteh, penatnya dia di luar negara kerana anak-anak orang putih katanya, sentiasa bertanya ‘why?’ untuk apa saja yang diceritakannya. Itu cerita anak-anak orang putih yang membesar dalam keluarga materialistik, dan mungkin masih ingin mengenal dan mencari erti sebuah kehidupan dalam puaka 'budaya barat' yang mengganas. Memang betul, mungkin ada sahaja yang cepat-cepat mengatakan;
"Ustaz tidak tahu ke? Mereka itu hidup tidak ada kiblat, mereka bebas melakukan apa sahaja tanpa ada had batasan. Jadi perasaan malu itu sudah liat dan mudah menyelinap masuk dalam diri mereka, sebab itulah mereka berani bersuara tanpa had"
"Alah ustaz, kita bukan apa, sahaja ingin menjaga adat-adat ketimuran. Tak mahu terlalu over"
Penulis telah biasa mengikuti atau mengendalikan program-program yang dianjurkan, baik dari pihak sekolah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO). Pernah sekali penulis mengepalai satu slot dalam satu program yang dinamakan 'Kemantapan Dan Keyakinan Dalam Berkomunikasi. Mestilah rata-rata yang hadir kebanyakan adalah ingin mengenal potensi dan bakat, dalam menonjolkan diri di khalayak ramai atau sekurang-kurangnya sekitar kelompok jantina yang sama. Penulis lihat, sindrom menarik diri di kalangan muslimat (tidak semua pada program tersebut), kadang-kadang macam dah sampai tahap kronik sehinggakan ada yang sampai menangis jika diminta tampil ke depan. Sejujurnya, dahulu penulis pun ada symptom-symptom sebegitu, terutamanya bila adanya kaum hawa disekeliling atau di hadapan, tapi penulis bijak menanganinya dengan baik, bagaimana kita ingin menghadapinya mengikut situasi ketika itu.
Apatah lagi kalau memang jadi centre of attention, rasa macam nak gali tanah menyorok je. Bukan untuk merendahkan martabat kaum hawa, bahkan penulis juga melihat ramai sahaja mereka yang berani. Anda lelaki apa kurangnya. Walau bagaimanapun, secara total tidak wajar untuk terus menerus segan, baik lelaki mahupun perempuan. Sebaliknya gejala inferiority complex ni perlu diperbaiki dari masa ke semasa. Jadi perlu juga ada sokongan moral daripada orang-orang disekeliling, dan bayakkan pembacaan dan cakna (peka) isu-isu semasa, serta tambahkan ilmu supaya lidah tak kelu bila diminta pendapat.
Do encourage to speak up YES!
Teringat pula penulis pada satu artikel yang pernah dibaca sedikit waktu dahulu. Artikel tulisan barat itu, menyatakan kekaguman mereka terhadap bangsa Cina, yang nampaknya makin menguasai pelbagai bidang di dunia. Nah! Anda sendiri pun melihatnya. Bidang pendidikan tidak terkecuali, di mana para mahasiswa Cina yang belajar di United State (US) rata-ratanya adalah rajin dan bijak. Top ten kebanyakan dimonopoli oleh mereka. Di dalam kekaguman itu, penulis artikel tersebut, cuba mencari mengapa bangsa Cina boleh terkehadapan sebegitu rupa? Mungkin ada sesuatu input yang boleh dikongsikan di sini.
Antaranya, salah satu sebab yang dinyatakan, adalah bagaimana anak-anak bangsa Cina ini dididik oleh ibu di rumah dan seterusnya guru-guru mereka di sekolah. Berlainan dengan cara didikan barat, sejak bayi lagi anak-anak Cina lebih banyak diajar dengan kata kerja (seperti makan, duduk, lari dan sebagainya) berbanding dengan kata nama (oren, buku, meja dan sebagainya). Seterusnya di sekolah, mereka diajar mengenai memahami konsep sesuatu perkara, berbanding dengan hanya terus menghafal secara 'membuta tuli' tanpa ada kefahaman yang jelas pada apa yang ingin dipelajari.
Kesimpulan kedua yang penulis dapat canang dari artikel itu adalah, orang barat ni, mereka acknowledge akan kebaikan sesuatu perkara yang dilakukan, manakala dalam konteks orang-orang Cina mereka cepat sahaja mengambil tiru (copy paste), dan dalam pada masa yang sama, cepat saja mereka cuba mengkaji perkara itu untuk mendapat pengajaran (ibrah) daripadanya.
Kita patut berasa malu, kita ni dah berdamping dengan kaum Cina sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu, namun kita lebih banyak mencari salah mereka dari mengambil pengajaran daripada mereka, dalam konteks bagaimana mereka boleh konsisten dalam hidup. Mungkin sedikit benar yang mahu mempelajari kelebihan dan semangat mereka, contohnya dari sudut pelajaran, dan perusahawaan. Tapi itupun masih boleh dibilang dengan jari, berapa kerap sahaja orang Melayu yang mampu mencabar atau sekurang-kurangnya mengikut rentak mereka. Sekarang baru nampak sikit-sikit parents Melayu yang sanggup menghantar anak-anak ke sekolah Cina, bukan untuk meniru budaya dan adat resam mereka, tetapi supaya dapat belajar akan kerajinan orang Cina dan membawa balik, seterusnya diserapkan ke dalam kehidupan seharian.
Samalah juga dengan orang Indonesia. Kita nampak kelebihan mereka. Maka ambil peluang itu untuk belajar daripada mereka. Kenapa mereka begitu berkeyakinan? Bukan sekadar menyatakan sangkaan (mereka lebih berani, mereka rajin membaca etc.), sebaliknya, mereka berani dan peka dalam melakukan kajian berbentuk ilmiah, untuk mendapatkan keputusan yang lebih jitu, tepat dan benar. Lihat sahajalah potensi mereka di tempat penulis belajar. Mesti ada sahaja setiap tahun keluaran P.hD el Azhar di kalangan mereka di sini, berbanding kelompok mahasiswa Melayu di kalangan pelajar kita.
Kita sememangnya ada el Quran dan Hadith. Tapi penulis percaya kenapa kita masih tidak yakin dengan diri sendiri? Walhal sudah dilengkapi dengan mantap oleh wahyu Allah Taala dan Hadith Baginda Nabi saw, adalah kerana kebanyakan kita tidak tahu atau tidak jelas bagaimana caranya untuk mengfungsikan dan melaksanakan wahyu Allah Taala tersebut dengan cara yang betul dan hak. Maka jadilah kebanyakan kita menghafal Kalam Ilahi berbondong-bondong dan ahli wahyu, namun bukan pelaksana atau pengfungsi wahyu Allah itu sendiri. Hanya mampu menjadikan wahyu sebagai dalil hujah tetapi tidak secara praktikal dalam kehidupan.
Perumpamaannya sangat mudah, seperti kita mempunyai sebuah komputer yang berteknologi canggih, kita boleh berbicara tentang kecanggihan teknologi, tetapi hakikatnya kita tidak tahu menahu cara untuk menggunakan teknologi komputer itu yang sepatutnya. Bagaimana kita nak yakin dengan diri untuk membawa wahyu Allah Taala, jika kita sendiri tidak pandai dan jelas method serta cara dan fungsi wahyu Allah Taala itu. Bagaimana kita nak yakin memandu kereta BMW yang moden, jika kita tidak tahu cara menggunakan teknologi moden kereta BMW itu.
Justeru itu, orang yang faham agama walaupun sedikit ilmu pada permulaannya, akan secara langsung berusaha menambahkan ilmunya dari hari ke hari, bersemangat mencari kebenaran, barulah terbit keyakinan dalam diri, dan bersedia untuk menyampaikan dan berbicara tentang agama. Orang yang tidak faham agama, walaupun beragama, dan walaupun banyak sekali ilmunya, pasti apa yang dibicarakan hanyalah lahir dari pemikiran akalnya sahaja, tidak dari mata hatinya, entah betul atau tidak. Orang yang faham agama , banyak pula ilmunya. Alangkah besar nilainya di sisi Allah Taala. Lidahnya hanya berbicara kebaikan dan perjuangan Islam, hatinya sentiasa memikirkan kecilnya diri di hadapan Allah Taala, dan mengakui sedikit ilmu berbanding ilmu Tuhan sekalian ilmu.
TAHU ilmu tapi TAK TAHU cara nak menghayati dan mempraktikkannya. Cuba Fikirkan!!!
Terus Melangkah Kehadapan
"Kali ini adik betul semua , so…Abang kena belanja adik makan. Boleh…?"
"Paling kurang abang kena belanja makan Nasi Kerabu Sambal Ikan Bilis kat pasar malam" Kata-kata adik bongsu terpancut keluar dengan bersungguh-sungguh tanpa sekat-sekat, selepas berjaya menyelesaikan semua soalan matematik dengan sempurna.
"Baiklah, disebabkan adik dah berusaha sehingga ke tahap ini, abang akan tunaikan.Tapi dengan syarat selepas ini kenalah rajin-rajin belajar dan jangan cepat putus asa" Penulis terkesima sekejap, kebolehan seorang kanak seusia lapan tahun menyelesaikan soalan matematik berbentuk subjektif, yang memerlukan keringat berfikir secara luar biasa.
Sebelum penulis terbang ke Perlembahan Nil ini, pernah penulis menekuni sebuah buku bestseller terbitan tahun sekitar 70-an, yang berjudul “How Children Fail”, tapi tidak semua penulis siap baca, tapi kesimpulan tetap sahaja penulis dapat jernihkan. Buku ini, adalah hasil pengamatan dan kajian yang amat mendalam oleh pengarangnya, John Holt yang bertahun-tahun ke atas para pelajarnya di sebuah sekolah rendah di pendalaman Amerika Syarikat. John Holt memperlihatkan di dalam bukunya itu, bagaimana kanak-kanak miskin tegar dari yang biasa, bisa berfikir dan menciptakan jalannya sendiri menjadi luar biasa. Cara atau jalan pengolahannya adalah tidak sama berbanding peringkat golongan dewasa. Walaupun kita melihat, mereka seperti biasa sahaja dalam memahami sesuatu mata pelajaran atau perkara, tetapi cara dan persepsi mereka adalah berbeza sama sekali.
Apabila menceritakan pengalaman tersebut, penulis teringat kebolehan adinda penulis di atas, dan kanak-kanak seusianya disekeliling anda, bagaimana mereka mencerapkan segala isi kebolehan mereka dalam memahami setiap apa yang didengar, dilihat dan dipelajari dan seterusnya kekreatifan mereka menterjemahkannya di dalam bentuk soal jawab, kerja rumah, atau di lapangan peperiksaan. Mereka akan tetap sama, seperti kanak-kanak biasa yang tidak pandai mengambil peluang tersebut, jika tidak cepat dalam bertindak, tetapi kesilapannya juga adalah 80% terletak di bahu anda yang sepatutnya mengawal kebolehan mereka dan mengetengahkannya dalam aplikasi kehidupan seharian, bukannya melihat sahaja. Anda juga sama, lakukan dari sekarang mengikut kaca mata dan kebolehan anda.
Sedikit sahaja lagi, penulis ingin menyentuh kepekaan kebanyakan pelajar, dan mahasiswa di Malaysia dalam menilai keyakinan diri dan menghadirkannya di dalam masyarakat yang memerlukan ilmuan mereka untuk dibimbing dan ditumpang keistimewaan ini, berbanding insan lain. Bagi penulis, sindrom inferiority complex ni memang sudah melarat sangat di kalangan Malaysian Students terutama Orang Melayu, kitalah!. Ramai yang takut untuk make mistakes ataupun takut pada bakat diri dan merasakan idea direject, jadi mereka memilih untuk tidak bersikap ekspresif dan hanya menjadi 'katak di bawah tempurung'. Sedangkan kita semua tahu, tokoh-tokoh hebat dunia seperti Ibn Sina, Elbert Einstein dan sebagainya, berasal daripada orang-orang yang pernah gagal dan pernah menerima rejection seumpama ini.
Kesannya cukup hebat, banyak golongan profesional yang lahir dari kalangan kita, mungkin kompetetif dari sudut ilmu tetapi lemah jati diri atau kurang versatile. Kita gagal bersaing dengan pasaran dunia yang kini penuh dengan konflik minda dan seterusnya lahir golongan manusia yang 'berani' atau 'konfiden' tapi pada jalan yang salah. Jadi orang-orang yang salah ini akan lebih berpengaruh kerana lebih meyakinkan orang ramai berbanding orang yang 'lebih benar' tapi tidak berani menyatakan kebenaran. Dahsyat sungguh kesannya, seperti satu hadith Nabi saw perihal tentang orang yang jahil diangkat menjadi pemimpin, dan golongan ulama' kian menyusut, mereka (golongan pertama) ini akan mengeluarkan fatwa yang sesat dan menyesatkan orang lain. (Ni’azubillah)
Manusia memiliki kekuatan yang luar biasa untuk menciptakan maha karya. Kekuatan terbesar dalam diri manusia itu terdapat pada pola fikiran sepertimana penulis nyatakan sebagai mesej utama di awal perbincangan tadi. Tetapi kita jarang membuktikan kekuatan fikiran tersebut, sebab kita sering terjebak di dalam zon nyaman, kesenangan atau kebiasaan tertentu. Sehingga selamanya tidak dapat mencari kemungkinan yang lebih baik atau perubahan nasib yang bererti.
Justeru itu, carilah matlamat yang lebih tinggi untuk merangsang kekuatan dalam fikiran tersebut. Kerana matlamat atau sasaran baru yang difikirkan itu, akan menggerakkan diri kita untuk melaksanakan sesuatu tindakan. Apalagi, jika kita betul-betul yakin matlamat tersebut bakal berjaya dan tercapai, maka diri kita telah siap siaga menghadapi sebarang tentangan yang ada dan bakal menjelma.
"BERANI KERANA BENAR, MALU ADA TEMPATNYA, KHAZANAH ILMU PERLU DIGALI. POTENSI DIRI JANGAN DISIA-SIAKAN"
2 komentar:
satu artikel yang menarik.
semoga Islam terus membugar sinarnya dengan kehadiran para pendokong agama-Nya yang sentiasa meningkatkan diri dengan kefahaman dan kemahiran berdakwah, insyaAllah.
ana agak setuju dengan padangan penulis mengenai keberanian muslimat dalam melontar padangan dan ke hadapan. Kita melihat satu keperluan kepada muslimat sekarang mempersiapkan diri dengan kemahiran komunikasi dan confident diri kerana kita perlu mendepani wanita-wanita lainnya dalam menyebarluaskan dakwah. Hari ini kita melihat kelantangan suara daripada SIS, maka gerakan muslimat juga mesti lebih kencang dalam membicarakan soal wanita, Islam dan sebagainya, dalam membawa suara dan pandangan wanita Islam yang sebenar.
ayuh bangun wahai para mujahidah!
Catat Ulasan