Sudah dua hari jaringan internet di rumah penulis tergendala, sudah pasti menyulitkan penulis untuk mencari maklumat semasa, membaca sisipan warta perdana di tanah air, baik yang berlaku di dalam mahupun di luar negara, untuk diri dan mungkin perkongsian bersama rakan-rakan di sini.Penulis terpaksa berkejaran masa dengan rutin harian di sini, baik pengajian di kuliah, pengajian bersama para sheikh besar, dan perjumpaan harian mahupun mingguan.Kesempatan yang diberikan oleh Allah Taala semasa menziarahi teman-teman di Dewan Malaysia Abbasia Kaherah (DMAK), penulis manfaat masa untuk menerbitkan artikel terbaru buat perkongsian bersama, hamdalah.Hal yang pertama harus didepani kadang-kadang mambawa kepada perlunya sedikit kesabaran dan ikhtiar, bagi mencapai setiap apa yang diinginkan, namun langit tidak sentiasa cerah, adakalanya dipertengahan itu terdapat perangkap yang sentiasa mencetus mahu untuk menumbangkan sesiapa sahaja melaluinya.Nah bayangkan sahaja, kenapa mesti ada sahaja dikalangan kita akan ditimpa ujian malapetaka walaupun tidak pernah terlintas untuk menghadapi hal sedemikian?
Perjalanan seorang hamba yang menyatakan ikrar taat setia tidak akan sirna dari dugaan dan ujian oleh Allah Taala, jalan-jalan inilah telah dirintis dan dirasai oleh mereka yang diberi oleh Allah Taala kecekalan hati agar yakin nikmat pemberian-Nya pasti menyusul tatkala durjana syaitan lahap membakar api nafsu ke dalam daging yang senang berbolak-balik.Allah Taala menciptakan manusia dengan kesempurnaan yang tiada tolok bandingan dan Dia telah menciptakan dua kecenderungan dalam jiwa manusia, kecenderungan ini pasti mempunyai nilai prioriti yang berlawanan sama ada ke arah mahmudah mahupun mazmumah.Kedua-duanya merupakan ujian dan pilihanraya yang amat dahsyat harus dipilih oleh manusia, hanya runtutan iman yang utuh bisa memangkah pilihan yang baik untuk memancu sebuah perjalanan yang diredhai oleh Allah Taala.
Sebelum penulis mengoreksi sebuah dambus keilmuan secara mendalam, ada baiknya penulis cuba mengajak para pembaca supaya mengenali terlebih dahulu khazanah yang cukup bernilai, mungkin hanya sedikit sahaja mereka yang diberi oleh Sang Pencipta untuk merasai dan menggali galian bernilai tersebut dalam erti kata yang cukup dalam dan luas tentang asas utama dalam agama Islam.Seperti juga bilamana kita hendak jatuh hati kepada seseorang pasti penyelidikan dirungkai terlebih dahulu perihal latar belakang dan posisi pendidikannya.Nah begitu juga dengan Allah Taala, kecintaan kita pada agama yang telah diakui oleh-Nya ini pasti akan menggundang rasa cinta kepada Allah Taala kerana rintihan ini adalah datang dari-Nya dan kesedaran diri sendiri.
Asas utama dalam agama ialah Islam, Iman dan Ihsan sepertimana yang terdapat di dalam hadith soheh Baginda Nabi Muhammad saw (sila rujuk hadith matan 40 karangan Imam Nawawi), berasal dari Islam yang mengandungi lima rukun, setelah diijtihad oleh para ulama’ dengan berdalilkan pada ayat-ayat el Quran dan hadith baginda saw yang berkait rapat dengan ibadat, muamalat, jinayat, dan munakahat, maka terbitlah ilmu Fekah.Maka para ulama’ yang membahaskan perihal demikian dikenali sebagai ahli fuqaha’.Terus di sana lahirlah pelbagai mazhab yang kekal hingga pada hari ini iaitu hanya Syafie, Hanafi, Hanbali, dan Maliki.Ilmu Fekah jika dikaji mempunyai pelbagai cabang ilmu, kandungan, amalan, dan hukum hakam, para ulama’ dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya diterima baik oleh umat Islam, tanpa banyak mulut.
Berasal dari Iman yang mengandungi enam rukun atau enam perkara utama, setelah diijtihad oleh para ulama’ berdasarkan dalil-dalil dua sumber syariat Islam el Quran dan Hadith baginda saw yang berkaitan enam perkara tersebut, maka lahirlah ilmu Tauhid atau ilmu Kalam.Para ulama’ dalam ilmu ini dipanggil ahli Kalam atau ahli Tauhid.Seperti juga hal dalam Ilmu Fekah, ilmu Tauhid diterima baik oleh masyarakat Islam amnya.
Berasal dari ihsan, setelah diijtihad oleh para ulama’ berdalilkan pada dua sumber utama pensyariatan islam iaitu el Quran dan Hadith baginda saw, maka lahirlah ilmu Tasawwuf, manakala para ulama’ yang berada dalam lingkungan ini dikenali sebagai ahli sufi (sufiyyah).Namun dalam persoalan ini, kebanyakan masyarakat memandang ngeri dan takut pada pembawakan cabang ilmu ini, mungkin ada benarnya pada suatu sudut pandangan mereka, tapi Islam telah menetapkan kaedah yang paling tepat dalam mengamalkan ajaran pada aliran cabang ilmu ini.
Maka jelas ternyata, ketiga-tiga elemen yang merupakan ilmu yang asas dan penting dalam agama Islam ini benar-benar memenuhi keperluan manusia yang dijadikan oleh Allah Taala, yang tediri dari dua aspek penting iaitu jasmani dan rohani.Ilmu Fekah dan ilmu Tauhid mempunyai kecenderungan pada diri manusia dalam amal perbuatannya khususnya dalam ibadat supaya keperluan jasmani dapat dipenuhi, manakala ilmu Tasawwuf pula sebagai jurutera bertauliah untuk membaiki sistem dalaman manusia iaitu rohani yang sedia ada pulih atau yang telah rosak.Apabila kita berbicara tentang Tasawwuf maka di sana pasti setiap ilmu yang dipelajari berkaitan dengannya akan berhubung kuat dengan hati seorang hamba, contoh paling dekat adalah zikir-zikir yang mengguyu dan membasahi bibir setiap kali kita selesai mengerjakan solat lima waktu paling kurang, adalah merupakan salah satu cabang dari cabang-cabang yang telah disediakan oleh Allah Taala, dan yang telah diajar oleh baginda saw melalui warid hadith-hadith baginda saw yang soheh.
Penulis akan cuba berkongsi dan jelaskan secara jastifikasi tentang bagaimana kita hendak meraih cinta Allah Taala secara bersistem dan teratur dalam aspek kehidupan manusia dan permasalahan yang timbul dari ilmu tasawwuf ini, kerana kita sedar bahawasanya bilamana seseorang bisa memenangi cinta dan kasih sayang Allah, pasti pada akhirnya diri mereka akan terhindar dari segala penyakit hati yang membimbangkan serta mendapat celaan daripada-Nya.
Penulis petik nukilan Hassan el Banna berkenaan dengan pendapatnya mengenai tasawwuf daripada buku ‘Detik-detik Hidupku’.Semoga penjelasan as Syahid ini mampu memberikan kefahaman kepada kita berkenaan dengan aliran ini.
Kita sepatutunya bersikap rasional dalam pertelingkahan golongan yang mendakwa sufi dengan golongan yang mendakwa salafi.Ketepikan soal emosi, tangani salah faham antara kita berdasarkan sumber ilmu, rujukan juga sejarah yang sebenar.Bukannya menerima atau menolak sesuatu perkara dengan emosi dan hujah yang dangkal sehingga menyebabkan timbul rasa dendam kesumat yang dalam.Perpaduan antara ummah satu rahmat yang cukup besar.Perpecahan hanya akan menguntungkan musuh-musuh agama.Dalam kita bercakaran sesama sendiri umat Islam dinodai di segenap ceruk dunia.Mereka yang jahil makin jahil, non-muslim makin jauh untuk kenal Islam.
Jernihkan sebuah kefahaman, dan elakan permusuhan.
Pendapat Imam Hassan el Banna Mengenai Tasawwuf (Detik-detik Hidupku)
Ilmu tasawwuf begini membolehkan kegiatan-kegiatan menentang Islam dijalankan dengan bertopengkan kerohanian.Oleh itu, apa yang diperkatakan mengenai tasawwuf ini perlu dikaji oleh para pengkaji dan orang-orang yang cintakan kemurnian agama agar dapat dipisahkan kepalsuan dari kebenaran.
by Iskethaykal
Teori Tasawwuf Bersandarkan Rantaian Cinta Manusiawi
Kewujudan manusia merupakan keunikan alam anugerah Allah Taala.Komunikasi antara mereka memperlengkapkan survival sebuah kehidupan, manakala hubungan raya manusia dan penciptanya pula menempah kejayaan hakiki.Manusia memiliki fitarah kejadian yang seni dan agung jua sebagai pembalut naluri yang berfungsi untuk membina kestabilan asas keinsanan seorang manusia.
Kesenian cinta yang didasari runtutan fitrah tanpa dicabul oleh hawa syahwat merupakan logo kedamaian, keamanan dan ketenangan.Namun cinta seringkali diperalatkan untuk melangsai keghairahan nafsu dan kebejadan iblis laknatullah.Demi kemakmuran manusia sejagat, kita mesti menangani fenomena cinta dengan nilai fikrah yang suci dan iman yang komited kepada Allah Taala.
Permasalahan cinta antara yang dihadapi secara serius oleh umat Islam hari ini.Pertembungan antara cinta hakiki dan cinta palsu menyebabkan umat Islam menghadapi dilema perasaan yang kronik.Krisis cinta palsu telah memapah umat Islam ke medan pertembungan yang memusnahkan etika spritual-membunuh solidariti dan menodai sosial.
Kecintaan kepada Allah Taala antara semboyan untuk mengundang nusrah dan cinta Allah,sedangkan nusrah dan cinta Allah Taala pula menjadi saranan terpenting yang digunakan untuk menjamin ketaatan dan kekuatan dalam menghadapi konspirasi musuh-musuh Allah.Memiliki cinta Allah seharusnya menjadi kebanggaan individu mukmin lantaran keagungan nilai dan ketulusan ihsan-Nya.Namun menjadi suatu kesukaran untuk meraih cinta Allah Taala tanpa pengabdian yang menjurus tepat kepada-Nya.
Manakala kecintaan pada Rasul saw merupakan tiket untuk meraih cinta-Nya yang hakiki.Perutusan duta besar adalah pemegang mohor yang maha Agung untuk menguruskan dan mengendalikan titah perintah sehingga terlaksana pengabdian diri kepada Allah dan pembenterasan segala thoghut durjana;
Allah Taala berfirman:
“Dan telah Kami utuskan kepada setiap umat seorang rasul, yang menyeru manusia supaya menyembah Allah dan menjauhi thoghut (segala bentuk kejahatan).Maka mereka (para rasul) yang mana Allah telah memberi hidayah dan mereka (para rasul) yang mana dilindungi dari segala kesesatan.Maka bertebaranlah kamu di atas muka bumi, maka lihatlah oleh kamu bagaimana balasan (yang telah dikenakan) ke atas orang-orang yang berdusta”
An Nahl (16:36)
Justeru itu menjadi hak mutlak bagi Baginda Rasul saw bahawa ia semestinya dicintai lantaran Baginda telah berselut lumpur menghidupkan obor diri, sekaligus menyungkurkan puak jahili.Menyintai Baginda Rasul saw bererti memberi syahadah dan ikatan bai’ah demi perlaksanaan syariat Allah Taala.Realiti cinta kepada Saiyidil Mursalin saw mampu menghadirkan cinta Allah sebagai satu gandingan cinta sejagat.Cinta inilah yang berkuasa tinggi ke lokasi tenang dan bahagia serta penyelamat dari sentuhan azab seksaan.
Monolog Cinta Terindah
Maka ingatlah, cinta mukmin Interaksi cinta sesama mukmin antara pembuluh yang menyalurkan ‘Izzah dan Himmah Ummah Muhammadiah.Keprihatinan Islam mengorientasi ummah berkombinasi dan bersepadu adalah melalui perlaksanaan program dan latihan berterusan di bawah bumbung ukhuwwah Addiniah yang bercagarkan percintaan sesama insan.Jalinan erat hati dan tenaga sesama mukmin, menyuburkan semangat pembinaan akidah yang mantap, sosial yang sihat dan kekuatan tenaga yang ampuh.Akidah yang mantap, sosial yang sihat dan kekuatan yang ampuh merupakan senjata serampang tiga mata yang efektif untuk menggempur elemen jahiliyyah dan menangani manipulasi el Ahzab moden.Berlangsungnya pembelengguan dan penjajahan ummah kini lantaran ketandusan cinta dan kegersangan kasih sayang.Dunia kini merintih kehausan angkara retaknya solidariti ummah.Cinta mukmin antara prioriti pelengkap gerakan Islam yang berwibawa.
Cinta bersemarak dengan nilai yang suci murni dari noda dan dosa akan menumbuhkan kebahagiaan dan kepuasaan yang hakiki.Cinta sebelum perkahwinaan adalah dengusan perasaan yang sering membawa imej yang pura-pura dan keterlaluan.Luahan perasaan dan rengekan suara antara pasangan yang belum halal hanyalah membentuk cinta bernoda dan sering dikuasai oleh helah syaitan.Sungguh pun batas syariat cuba dipelihara namun menjadi suatu hal yang dibimbangi apabila berlangsung hubungan antara dua pasangan yang bukan muhram.Sikap merahsiakan perhubungan antara pasangan bukan muhram ini antara api bernafsu yang bakal menghanguskan benteng syariat antara mereka.
Berumahtangga bagi seorang Mukmin ialah untuk melaksanakan perhambaan dirinya kepada Allah Taala, bukan untuk menghalanginya dari tugas utama itu.Bagaimanapun terdapat banyak ujian dan fitnah di dalam rumah tangga yang mesti direntasi dan diharunggi.Salah satu ciri penting yang perlu wujud dalam rumah tangga Islam adalah keseimbangan.Golongan yong beriman perlu bersungguh-sungguh untuk melahirkan keseimbangan ini kerana telah ramai golongan yang gugur dari jalan yang penuh keberkatan ini kerana gagal melahirkan keseimbangan dan mendidik keluarga menerima keseimbangan.Keseimbangan baik dari sudut mencernakan perancangan, mengelola pendidikan, peringkat tarbiah, dan sebagainya.
Di antara ciri wujudnya identiti rumahtangga Muslim ialah kewajipan berdakwah dan melaksanakannya di dalam rumahtangga itu.Ini bermaksud anggota rumah tangga (suami, isteri dan anak-anak) menjalankan usaha dakwah kepada teman-teman,saudara mara mahupun jiran tetangga.Isteri yang solehah perlu melalui proses pendidikan dan terus menerus mendidik dirinya sebagai pendakwah contoh kepada anggota keluarganya dan bersedia membantu suaminya secara sukarela walaupun terpaksa berpaut pada dahan yang rapuh demi melihat kebahagian keluarga di utamakan.Kesibukan di dalam kehidupan sehariannya biarlah berhubung kait dengan dakwah yang telah menjadi darah dagingnya.Anak-anak perlu dididik mengenai tanggungjawab dakwah.Mereka hendaklah disediakan untuk memikul tugas dakwah yang cukup berat ini.
Justeru itu, penulis sering monolog dalam diri merenung tentang perit jerih mereka yang terdahulu yang terpaksa berjuang berhabis-habisan untuk mempertahankan kebahagian rumahtangga, sekaligus mereka ini telah dianggap berjaya membawa obor-obor dan panji-panji Islam sebagai suri tauladan untuk generasi yang mendatang, penulis tegar mencabar diri yang dhaif ini untuk mencanang prioriti yang ditinggalkan untuk digarapkan dalam rumahtangga yang bakal dibina dari semaian benih-benih yang subur supaya kebahagian dapat bercambah biak dan didasari runtutan fitrah insani.Mungkin nampak seolah-olah penulis ‘bermimpi di siang hari’ kerana perjuangan membawa risalah dan dakwah menyelang mendasari rumahtangga yang ditinggalkan ini dari pewaris yang paling mulia di sisi Allah Taala Baginda Nabi Muhammad saw, merupakan perjuangan yang perlu menjual segala kemudahan dan keseronokan duniawi, sebuah perjuangan yang tidak kenal masa senang mahupun susah,perjuangan yang merentasi siang dan malam, perjuangan yang menongkah badai melanda, dan seterusnya ‘izzah yang di impikan dalam perjuangan dapat di hirup di penghujung jalan dakwah nanti.
“Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik dari dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan darinyalah aku mendapatkan keturunan”
Cinta sejati ini,adalah kemuncak rasa yang sukar dicapai.Pengorbanan dan ketabahan sebagai modal pokok ke arah pencapaiannya.Merentasi cabaran dan menyelami perasaan masing-masing (antara kedua-dua pasangan) akan menjelaskan nilai cinta murni yang suci dari penipuan dan khayalan bahkan penuh keinsafan dan tanggungjawab.Pendakian puncak ustaziatul alam mestilah melalui beberapa marhalah dan aqabah.Bait muslim sebagai marhalah kedua merupakan aqabah yang sukar di daki dengan penuh jaya dan gemilang.Ketabahan, kesabaran dan kebijaksanaan antara prinsip untuk berjaya.
Manusia wajib mencintai Allah,Rasul sesama mukmin sebagai teras pembinaan daulah Islamiah el Fadhilah.Tanpa cinta berperspektif Islam dunia akan binasa dan musnah dek kemarau nusrah dan hidayah Ilahi serta permusuhan manusia yang berpanjangan.Nilai cintalah, ummat menjadi satu dan ‘Izzah menjadi milik mereka.
Kesimpulan,percayalah segala bentuk masalah sosial yang melanda masyarakat sekarang khususnya para muda-mudi adalah berkaitan keutuhan Iman mereka yang longgar seterusnya mempengaruhi penganggan tasawwuf mereka untuk memahami syariat perbatasan yang telah ditetapkan oleh Islam, sedangkan bilamana kita berpegang kuat pada ketiga-tiga elemen penting ini pasti setia cubaan yang datang menodai dan melanda, berjaya ditepis dengan mudah.Akhirnya, segala bentuk maksiat dan penyakit yang berkaitan dengan hati manusia akan selamat dan dijamin keanggotaannya dalam kongres ahlul jannah.
2 komentar:
Assalamualaikum...wuah bile baca artikel ni.dah tak perlu baca muqarrar lagi nampaknya...
"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami)kamu dan kaum keluarga kamu dan tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semua itu) menjadi perkara yang kamu cinta lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya), kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.." (Surah at-Taubah:ayat 24)
Semoga segala nikmat dunia yang kita miliki, maka pandanglah itu adalah kasih sayang Allah kepada hamba-Nya, maka jadilah orang yang bersyukur, kerana golongan yang bersyukur kepada Tuhannya amat sedikit. Bersyukur jika dikurniakan isteri atau suami, anak2, kaum kerabat, harta benda. Maka bagaimana memaknakan rasa syukur itu? Tidak lain dengan melorongkan segala nikmat itu untuk meraih cinta Ilahi. Berjuanglah pada jalanNya sama ada dalam keadaan ringan atau berat...
wassalam
Catat Ulasan