PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Isnin, Februari 23

Mencari Pilihan Terbaik

“Ana harap anta dapat tolong ana cari dua orang lagi sebagai teman”

“Nanti anta tidak perlu susah-susah buat semua tu seorang diri”Kata Ustaz Mokhtar kepada penulis, selepas usai mengerjakan solat asar petang itu.

“Ana akan cuba ustaz lagipun, peraturan sekolah sekarang semakin ketat.Semua pelajar diwajibkan tinggal di asrama yang disediakan”Penulis memberi sedikit pengetahuan tentang situasi semasa selepas deklarasi baru oleh tuan pengetua baru yang ditugaskan di sekolah penulis.

“Ana serahkan semua tugas ana sebelum ini kepada anta.Harapan ana juga anta dapat galas tugas dengan baik di samping tidak mengabaikan tanggunjawab anta sebagai pelajar”Tuan Imam Masjid el Aman bersungguh-sungguh meniupkan kata-kata semangat kepada penulis untuk mencari identiti sendiri sebagai seorang pelajar agama yang mampu berdaya saing diperingkat pasaran antarabangsa.

“Anta akan merasai suatu cabaran bilamana berada di sini.Bukan semua penduduk perumahan di sini memahami agama, atau sekuarang-kurangnya punyai asas agama yang ditanam sedari kecil.Ana sudah tiga puluh tahun tinggal di sini, dan ana sudah masak dengan perangai mereka.Anta kena banyak bersabar”Tambah Ustaz Mokhtar menyusun kata berderet-deret.

“Ana dapat tinggal di sini pun sudah cukup beruntung, dan lebih besar pengorbanan ustaz dan keluarga kepada ana walaupun ustaz sudah berkali-kali memberi peringatan keadaan dan ujian bakal dijelmakan penduduk kawasan ini.Bagi ana dakwah tu perlu berterusan dan mesti didahului dengan kesulitan”Penulis cuba memujuk hati agar bisa menerima dengan kemungkinan berlaku, sambil memerhati aras dua masjid tempat penulis akan berteduh sepanjang menggalas tugas sebagai Imam muda di kawasan ini.

“Ooh ya..Nanti makan malam di rumah ana”Ustaz Mokhtar mengakhiri sesi dialog petang itu, dan meninggalkan kata-kata perangsang untuk penulis terus bergerak memancu ke hadapan.

Beliau masih segar diingatan penulis, antara mereka yang sentiasa bersedia memberi sokongan moral kepada penulis untuk bergerak dalam wadah perjuangan.Beliau juga yang memberi isyarat jelas untuk memilih haluan sendiri tatkala diri, ditawarkan dengan pelbagai latarbelakang pengajian terutama dalam bidang kritikal dan profesional.Namun penulis telah berdiri di atas kemampuan sendiri dan melihat mengikut kapasiti umat sejagat yang perlu dirawat dengan nilai-nilai murni agama, dan sekarang dapat lihat identiti sebenar penulis dari dulu, kini dan mungkin selama-lamanya di samping menggimbangi dengan kehendak pasaran dunia semasa.

Bersekolah di sebuah sekolah agama kelolaan Kerajaan Negeri Kelantan, semuanya lelaki tidak ada perempuan, maksud penulis pelajarnya semua lelaki bukan termasuk tenaga pengajar dan kakitangan sekolah.Teringat cerita hati bersama teman-teman di sekolah, pelbagai nostalgia diimbau kembali buat pembelajaran penulis menempuh alam dewasa dan pengajaran buat makhluk bernama manusia disekeliling.Laman blog ini bukan ditulis untuk pembaca membaca cerita kehidupan penulis sahaja, tetapi cerita penulis ini adalah medium untuk para pembaca budiman mencari cerita mereka sendiri, mencipta cerita sendiri dan jika ada upaya, merakam cerita anda untuk memanjangkan teladan.Segala pandangan yang penulis kongsikan di dalam blog ini, bukanlah suatu nasihat muktamad yang bertindak sebagai penentu hala tuju.Ia adalah suatu perkongsian, usaha untuk merungkai beberapa persoalan yang menyulitkan dalam terjemahan Islam dan diari lakaran hidup dari teori kepada amali.Maka, terimalah nasihat itu seadanya dan bersedia sesuaikan dengan situasi pada diri dan keadaan sekitarnya.

Mengubah Keadaan Buruk Pada Kemulian

Walaupun sekitar kawasan perumahan agak baik dan tersusun menggamit setiap mata yang memandang, tidak pula pada suasana penghuninya.Mereka seolah-olah tidak memahami konsep muamalat dan roh hidup berjiran, masing-masing sibuk dengan cara hidup yang dibina di atas helaian kertas yang sudah lapuk.Penulis tidak katakan semua bersikap sedemikian, ada sahaja mereka yang menggagahkan mulut untuk mengukir senyuman, namun setakat itu sahaja, kalau ada yang sudi bersembang hanya sekadar tanya khabar lepas tu, cabut lari ke dalam rumah.Ada benarnya kata-kata bekas hakim (merujuk kepada tuan Imam) mahkamah syariah itu, penulis kena sabar dan banyak belajar untuk masuk menyelami kehidupan mereka.Bukan terjebak dengan kancah portrait mereka, cuma sekadar mencetus mahu untuk mereka terima kehadiran penulis dan mengajak mereka secara perlahan-lahan ke arah perubahan kebaikan.

“Anak ni, berasal dari mana?”

“Anak mesti pelajar sekolah agama dihadapan restoran makan Kak Jah itukan?”

“Berapa lama ingin tinggal di sini?”

Antara dialog mudah, yang sering dilafazkan setiap kali penulis menyapa.Ingat penulis masa di kampung, pantang diajak bersembang pasti dijemput ke atas rumah, sekurang-kurang merasai penangan kopi kow sambil berbual panjang.Orang bandar pun berasal dari kampung, memang betul, tapi cara hidup mereka sederhana dulu ditinggalkan, maklumlah kena ikut arus dan style terkini.

Dari sudut pemerhatian yang berbeza, kita perlu fahami, kadang-kadang ‘tepi kain orang’ pun kena jaga juga bimbang ada bahagian kain yang terkoyak, nanti tidak pasal-pasal dapat malu percuma.Mencari kelemahan seseorang itu lebih mudah berbanding mencari kebaikan, namun kelemahan tersebut cepat sahaja ditampung, dan tidak pernah mengaku salah.

“Alah, bukannya selalu buat macam ni, esok-esok taubatlah”

Gua masih muda, masih ranggi lagi.Lu walaupun muda tapi hati lu sudah tua”

Selalunya penulis akan melalui suatu corok ketika pulang dari sekolah sebelum sampai ke pintu halaman masjid, dan selalunya juga terdapat remaja yang tidak bersekolah, atau berpakaian sekolah tapi ponteng kelas lepak di sebuah pondok kecil, jalan penulis selalu lalu lalang.Mesti ada sahaja perkara baru yang dibuat di pondok tu, berkepit lelaki perempuan, hisap rokok, minum minuman keras, dan paling menyedihkan ada dikalangan mereka hilang pertimbangan dan kewarasan sesudah telan (hidu) mati-matian bau tengit gam satu botol.Sekali pandang, rasa marah penulis meluat-luat tengok aksi mereka, kadang-kadang rasa tanggunjawab itu ada juga;

“Masakan aku sekolah agama, tahu hukum hakam, dan selalu bermain-main dengan ilmu agama.Sibuk menelaah hukum, dan terasa bijak dapat menyelesaikan khilaf ulama’.Tetapi aku lupa, untuk apa semua itu? Untuk apa agama ini?”

“Inilah persedian dan cabaran awal untuk aku tempuhi.Apakah aku bisa sabar, atau mudah melatah dengan keadaan menjijikkan ini?”

Analoginya mudah.Atlet akan gembira dan tidak sabar untuk berentap di sebarang kejohanan umpamanya olimpik, pastinya persediaan awal sebelum beradu kekuatan dan kemahiran akan dikemas kini dengan baik.Matlamatnya pingat emas.Tanpa persediaan, perasaan gembira untuk bertanding bercampur baur juga dengan kegusaran akan ditiampa kekalahan, maka natijahnya hanya akan menghasilkan hampa dek lantaran tidak yakin pada kekuatan diri sendiri.

Halnya sama dengan usaha untuk mendapatkan anugerah piala atau pingat taqwa dengan usaha kebaikan yang dilakukan.Perlu kepada persediaan dan perancangan, gembira untuk melangkah masuk ke medan tarbiah dalam pakej bentuk ujian ini, juga hadirnya rasa resah gelisah takut-takut gagal meraih kecemerlang.Tiga elemen ini penting, agar ianya menghasilkan memontem terbaik bagi seorang hamba untuk berusaha dan menggandakan usaha sepanjang ujian ini berlangsung.

Meneliti akan perlakuan dan gelagat corak hidup setengah daripada manusia, yang menghuni alam ini, mudah kita dapati bahawa ada antara kita yang bertindak seolah-olah tidak akan mati, dan seolah-olah akan hidup buat selama-lamanya.Terdapat antaranya mereka bebas melakukan apa sahaja dan mengikut suka hati, tidak menghiraukan sama ada sesuatu yang dilakukan itu halal atau sebaliknya, baik atau buruk.Hidup mereka seharian seolah-olah dengan beranjakan hawa nafsu dan bermenterikan iblis.

Soal pahala dan dosa, syurga dan neraka, pembalasan di hari akhirat sudah tidak lagi menjadi pertimbangan mereka.Oleh sebab itu mereka dengan sewenang-wenangnya meninggalkan ajaran-ajaran Islam-tidak solat, tidak puasa, tidak membayar zakat.Malah menunaikan fardhu haji ke Makkah dianggap sebagai amalan yang sia-sia dan menbazir.Keadaan ini menjadi semakin meruncing lagi apabila mereka didedahkan dengan cara hidup yang serba moden tanpa ada kawalan.pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan telah menyebabkan berlakunya kelahiran anak luar nikah.Penglibatan dengan najis dadah sudah menjadi-jadi.Peristiwa rompak dan samun saban hari terpapar di dada-dada akhbar.

Penulis lebih suka menunding jari kearah sikap dan cakna (prihatin) dalam ibu bapa memberi didikan utama kepada anak-anak, iaitu tarbiah kelas pertama dalam asas-asas ilmu agama.Puncanya kurangnya pegangan agama Islam.Pendidikan agama tidak begitu dititikberatkan oleh pihak ibu bapa kepada anak-anak.Ibu bapa lebih suka menghabiskan duit semata-mata ingin melihat anak mereka berjaya dalam pelajaran, namun apa salahnya kita juga cetuskan rasa ingin melihat kejayaan anak-anak dalam tingkah laku dan disiplin.Sanggup berpanas-panas dan bersesak menghantar anak ke kelas-kelas tuisyen, tapi jarang pula kita lihat ibu bapa bertungkus lumus menghantar anak-anak mereka ke kelas pengajian agama, dan jauh sekali untuk ringankan tulang mengajar anak sendiri tentang kefahaman Islam.

Mereka berasa bangga sekiranya anak mereka mendapat 5A dalam UPSR berbanding mumtaz dalam akhlak.Tetapi ibu bapa juga tidak berasa risau dan resah sekiranya anak-anak mereka yang telah berjaya dalam setiap lapangan peperiksaan, masih belum atau tidak mendirikan solat atau belum mengenal huruf alif, ba’, ta’.Mereka sanggup membayar yuran tuisyen beratus-ratus ringgit, tapi tangannya menggeletar untuk menghulurkan sekadar lima ringgit sebulan sebagai ganjaran kepada guru agama yang mengajar membaca el Quran kepada anak-anaknya.

Keadaan ini terjadi lantaran banyak sahaja, longgokan kemewahan dan terpengaruh dengan kefahaman kebendaan yang menjeluak banyaknya.Saban hari kita dianjurkan supaya mengejar masa dan hidup dengan berlumba-lumba untuk mengumpul harta.Jika dianalisis sumbangan masa yang kita berikan untuk kerja-kerja akhirat berbanding dengan kerja-kerja dunia, maka satu jawapan yang menyedihkan jelas ketara.

Baik, secara purata setiap orang memerlukan masa sebanyak enam jam sehari untuk tidur, dan bagi seorang pegawai, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam untuk bekerja.Belum lagi masuk masa untuk bersama keluarga, makan, mandi, membaca, berhibur, dan sebagainya, paling kurang kita menggunakan empat jam lagi.Jadi, sehari semalam manusia telah menghabiskan sekurang-kurangnya 18 jam hanya kerana urusan kedunian.Manakala baki enam jam lagi, disia-siakan, dan tidak semua saki-baki masa tersebut dipanjangkan untuk beribadat kepada Allah Taala.

Sekiranya seseorang itu diberikan tempoh masa untuk hidup selama 60 tahun, maka yang terluang baginya untuk beribadat ialah 50 tahun, tolak 10 tahun pertama kerana belum sampai baligh lagi.Dalam masa 50 tahun tersebut, dia hanya menggunakan empat jam atau satu perenam saja dari masanya dalam sehari untuk beribadat.Jadi, jumlah masa yang digunakan untuk tempoh masa 50 tahun hidup, hanya lapan tahun setengah sahaja diperuntukkan untuk kerja-kerja akhirat.Tidakkah di sana tidak sampai separuh, malah suku dari masa hayat kita?

Cuba kita renungkan sejenak, apakah kita cukup yakin benar-benar perolehi lapan tahun setengah untuk beribadat itu?Dan yakinkah kita dalam masa lapan tahun setengah itu, kita dapat menumpukan seratus peratus perhatian pada amal ibadat mengejar pahala.Mengikut pengalaman, hal tersebut tampak mustahil.

Allah Taala berfirman;“Demi masa.Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh.Dan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran” el ‘ashr (103:1-3)

Mencetus Mahu melalui Berfikir

“Ustaz cakap senang la, tapi ana yang merasai semua ini”

“Tidak ada cara lain ke ustaz, selain menunggu rahmat Tuhan turun”

Mahu berubah perlu pada anjakan paradigma dalam diri, bukan pergantungan sepenuhnya pada pola mood dan kemampuan mencapainya.Mungkin boleh, tetapi perlu pada masa yang agak lama untuk merealisasikannya.’Orang yang mengantuk disorongkan bantal’, perumpamaan ini lebih sesuai untuk menggambarkan situasi hidup masyarakat sekarang yang sudah disogok dengan kesenangan, maka amat payah sekali menerima kesusahan walaupun sedikit.

Mulakan dahulu dengan rombakan akal dan kefahaman.Rasulullah saw tidak melatih sahabat berlaku lasak.Tetapi input kepercayaan yang teguh, menjadikan mereka lebih lasak dari mana-mana pencapaian sejarah manusia.Seorang wanita pun boleh jadi besi dengan sentuhan yang menjunam ke hati.Tanya sahaja Sumayyah, wanita syahidah pertama, kekuatan apakah yang membolehkan beliau memilih mati?

Itu dalam sejarah.Kita boleh mengeluh jika generasi manusia ini makin kemudian makin ‘manja’.Khususnya di zaman generasi yang sangat bebas berfikir ini.Tetapi itulah realitinya.Nak dimarah pun, generasi hari ini adalah begitu.Mereka mungkin lemah fizikal, tetapi mereka berani dan ganas fikiran.Keberanian berfikir yang ada pada generasi muda hari ini, tidak membolehkan mereka memaafkan pembodohan secara mudah.Perbuatan mendoktrin dan memaksa idea hanyalah manifestasi kedangkalan penganjur ilmuan yang gagal memahami bagaimana manusia berubah dan boleh diubahkan.

Teringat penulis kepada seorang guru sejarah semasa tingkatan lima dulu, dia mesti bercerita terlebih dahulu sebagai motivasi sebelum mengajar.Mungkin kerana masa matapelajaran sejarah di sebelah tengahari, ramai yang sudah lama bermimpi, curi-curi tidur waktu belajar.Ceritanya begini;

Kisah seorang ayah yang menjelang ajalnya di hadapan sang Isteri berpesan dua hal kepada dua anak lelakinya; iaitu pertama, jangan ada dikalangan kamu menagih hutang kepada orang yang berhutang daripadamu, dan kedua, jika pergi berniaga jangan sampai muka kamu terkena sinar matahari.Maka beberapa tahun setelah ayahnya meninggal, didapati anak yang sulung bertambah kaya sedangkan anak yang bongsu menjadi semakin miskin.

Pada suatu hari sang Ibu menanyakan hal itu kepada mereka.

Jawab anak yang bongsu:
“Hal ini kerana saya mengikuti pesanan arwah ayah.Ayah berpesan bahawa saya tidak boleh menagih hutang kepada orang yang berhutang kepadaku, akibatnya modalku susut kerana orang yang berhutang kepadaku tidak membayar sementara saya tidak boleh menagih daripadanya”

“Juga ayah berpesan supaya kalau saya pergi atau pulang ke rumah dari berniaga tidak boleh terkena sinaran cahaya matahari.Akibatnya saya harus naik kereta, padahal sebetulnya saya bisa berjalan kaki saja, tetapi kerana pesan ayah itu, jadi belanja duit poket saya untuk beli minyak bertambah banyak”

Kepada anak yang sulung yang bertambah kaya, sang Ibu pun bertanya hal yang sama.

Jawab anak sulung :
“Ini semua adalah kerana saya mentaati pesanan ayah.Kerana ayah berpesan supaya saya tidak menagih kepada orang yang berhutang kepada saya, maka saya tidak pernah menghutangkan sehingga dengan demikian modal tidak susut”

“Juga ayah berpesan agar supaya jika saya berangkat untuk berniaga atau pulang dari berniaga, tidak boleh terkena sinaran cahaya matahari, maka saya berangkat untuk berniaga sebelum matahari terbit dan pulang sesudah matahari terbenam.Kerana saya membuka kedai sebelum kedai lain dibuka, dan ditutup lewat sesudah semua kedai yang lain tutup.”

“Sehingga kerana kebiasaan itu, orang menjadi tahu dan kedaiku menjadi laris, kerana mempunyai jam kerja lebih berbanding para pekedai biasa”

Kisah diatas menunjukkan bagaimana sebuah wasiat atau kenyataan ditanggani dengan persepsi yang berbeza.Jika kita melihat dengan pandangan positif dan betul, maka segala kesulitan dihadapan sebenarnya adalah sebuah perjalanan membuat kita bakal menempuh kejayaan.Tetapi kita bisa juga terhanyut dengan adanya kesulitan kerana terjerat dengan perangkap yang dipasang sendiri, pilihan berada di tangan anda.

Berusahalah melakukan hal biasa dengan cara yang luar biasa’

0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal