PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Khamis, Oktober 21

Kita Hampir Lupa Iman Yang Memandu Cinta






Beberapa kali kita diingatkan, iman itu mahar kita di dunia. Menjaga iman seperti kita memelihara nyawa, seperti juga kita menjaga jasad dari jatuh sakit, baik buruk iman ditentukan oleh perlakuan kita, akal kita merancang, hati kita merasa, tangan kita menggerak, kaki kita melangkah. Iman seorang muslim tidak disusun di rak kedai-kedai buku. Iman adalah kepercayaan, dibuktikan dengan ujian Ilahi di dunia. Pasaran saham dunia merundum mahupun meningkat, iman tidak terkesan untuk berubah sama.

Berpeluang melangsaikan rasa ‘percaya’ pada sebuah ujian, adalah pembuktian lahirnya iman luhur di sanubari. Merasainya sendiri, adalah anugerah tiada terhingga. Nilainya jauh lebih indah daripada bunga-bunga sedang mekar pada musim semi, lebih berharga daripada segudang emas.

Melalui deria-deria kita sahaja sudah cukup bagi melahirkan iman. Kita ada mata, ada mulut, ada telinga, ada kaki dan anggota lain yang mempunyai fungsi pelbagai, andai kita cukup yakin pada Kalam Allah satu ini, bertadabbur dengan makna tersirat sudah memadai untuk memaksimakan cinta, berbuahkan iman di sanubari.

Allah Taala berfirman;

Maksudnya: “Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin. dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?” adz-Dzariyat (51:20-21)

Pada saat melihat dusun-dusun kecil, pada saat melihat kebun-kebun dan tanah-tanah lapang, pada saat mengenal bentuk muka bumi, di saat melihat keajaiban pelbagai budaya dan adat resam, di saat makan di pinggir sungai, minum di lembah-lembah, dan tidur di mana pun saat malam menutup muka bumi, maka di setiap perjalanan itulah akan melahirkan iman.

Seorang pengembara yang bijak, tidak akan menyusahkan dirinya dengan apa yang dia tidak perlukan, dan bersedia mengambil hasil manfaat, dipungut di setiap persinggahannya sebagai bekalan. Kitalah pengembara. Kembara kita bermula ketika di alam roh lagi tika ditiupkan oleh Allah akan roh meresap bersama catatan takdir, jodoh, rezeki. Kini kita berada antara destinasi wajib sebelum sampai ke destinasi seterusnya, iaitu alam kubur sebelum datangnya alam akhirat.

Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud: “Hiduplah kamu di dunia seolah-olah kamu ini warga asing atau pengembara di sebuah perjalanan jauh...” (Hadith Riwayat Bukhari)

Rasulullah s.a.w mengingatkan kita bahawa dunia ini juga satu kembara. Dunia adalah tempat persinggahan. Kita datang dari alam lain dan sedang menuju kembali kepada-Nya. Sistem nilai yang menentukan apakah yang berharga dan apakah yang merugikan dalam hidup ini. Perkara yang berharga diberikan keutamaan, manakala perkara yang kurang berharga boleh diketepikan dulu, atau ditinggalkan sahaja.

Mengendalikan sebuah kehidupan adalah ibarat memandu kereta di perjalanan yang jauh. Sebahagian besar tumpuan kita adalah memandang ke hadapan, namun ada ketikanya kita perlu mengintai cermin pemanduan di sisi dan belakang. Meninjau jika ada halangan di mana-mana, memperbaiki di mana yang perlu.

Benar, tiada manusia yang sempurna melainkan Rasulullah s.a.w. Kadangkala kita sering alpa dan leka tentang fitrah kita sebagai manusia yang sering melakukan kesilapan. Sering kali kita benci melihat kesilapan itu, namun sering kali juga kita biarkan kesilapan itu terus menjadi sebuah kesilapan bertingkat-tingkat tanpa berusaha untuk membetulkannya kembali.

Justeru itu, kita telah diajar oleh sunnah perjalanan hidup para anbiya’ dan para rasul agar membuat kebaikan sebanyak mungkin. Kebaikan akan melenyapkan keinginan membuat kejahatan, akan memadam dosa dilakukan. Kebaikan tadi telah disuguh oleh fitrah kita, fitrah kita tidak suka jahat, buruk, namun disebabkan hati kita sering alpa, tewas oleh pujukan nafsu, maka sesekali ingin juga mengotori kesucian fitrah tadi.

Pernahkah kita muhasabah, bertanya pada diri perihal iman?

Kini, kita mengecapi nikmat Islam dengan tidak perlu bersusah payah mencurahkan keringat darah dan air mata. Kita lahir hari ini sebagai Islam yang aman dan sejahtera. Kita mengecapi iman sebagai asas kepada Islam itu. Namun, kita sering leka untuk melihat dasar hati kita ini. Masih teguhkah lagi pokok keimanan kita atau sudah hampir kering dan layu daun-daunnya.

Kesyukuran kita seharusnya melampaui keupayaan kehidupan kita.

Perbincangan tentang nikmat dan kelazatan mempunyai iman dan Islam ini jarang kita dengar dikedai-kedai mamak atau tempat melepak manusia hari ini. Yang ada cuma gosip, bola sepak dan hal untung rugi perniagaan di dunia. Tidakkah mereka sedar, perniagaan yang pasti tiada kerugiannya di sisi Allah Taala adalah menyeru manusia ke arah kebaikan?

Apa yang menjadikan seseorang itu hero ialah apabila dia memberikan yang terbaik, dan manusia mendapat yang terbaik daripada pemberiannya itu, lalu diganjari kebaikan dunia dan kebaikan akhirat, biar pun dia hanya seorang miskin harta, tapi bukan miskin kata-kata. Kata-kata kebaikan dalam memberi. Inilah antara daya usaha kita mengairi pokok iman agar tidak kontang, layu kerana tiada air membasahi akarnya.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, bermaksud: “Demi Allah, sekiranya seseorang itu diberikan hidayah kerana (usaha) kau, maka itu lebih baik dari unta merah” (Hadith Riwayat Muslim)

Masalah kadangkala boleh jadi petunjuk perkara baru yang boleh dipelajari, selitkan optimis di setiap masalah tadi. Kita boleh berdepan dan cuba selesaikan. Diam dan memendam jangan sesekali, kerana ketika itu kita telah dikuasai keburukan, langsung kita tidak tahu kesilapan kita dan kita selama-lamanya pesimis untuk berubah. Tidak semua perkara kita benci, datang dari sesuatu tidak ada sebab dan musabbab.

Buat para da’ie, kadang-kadang ada kala kita buat, kita ingat dah baik tapi tidak berapa kena pada orang lain. Orang ada banyak ragam, kita sebagai da’ie kena pandai blend untuk sesuaikan diri dengan semua situasi, tidak boleh ikut satu-satunya cara yang kita sendiri suka sahaja. Jadi, mungkin perbuatan kita sebenarnya yang tidak disukai, bukan diri kita.

Proses memberi ada di mana-mana, dengan apa sahaja, asalkan mendatangkan kebaikan, faedah kepada si penerima.

Hidup ini umpama roda, sebagaimana kita mahu ada seseorang untuk menunjukkan kita jalan dan memperingatkan kita setiap kali alpa, begitu juga dengan orang-orang lain akan mengharapkan perkara sama.

Kadang-kadang juga kita lihat dari sisi lain, orang tidak boleh menerima kritikan tetapi ada yang menerima mungkin dengan kutukan di belakang. Pelbagai penerimaan orang apabila menerima kritikan sama ada kritikan itu membina ataupun tidak, yang penting di sini adalah pertama kita mesti berfikiran positif dan bersangka baik dengan orang yang menegur. Kita ambil iktibar dengan apa yang ditegur, berubah ke arah yang lebih baik.

Mungkin terselit hikmah darinya.

Ilmu diperolehi kalian adalah untuk ditelaah, dibawa ke dalam kehidupan sebenar.

Berapa kali kita jatuh itu tidak penting, yang penting adalah berapa kali kita bangun semula, kita hendaklah sentiasa berusaha dan terus berusaha dengan iman yang kukuh dan kepercayaan yang teguh pada yang Maha Pencipta, kita pasti akan berjaya. Hanya Dia yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

Inilah sunnah jalan perjuangan kita, berusaha ke arah kebaikan adalah jihad, mengajak orang lain berubah dengan usaha dakwah kita adalah jihad, menyumbang idea-idea membangunkan modal insan adalah jihad, tarbiyyah adalah jihad kerana semua ini hanya orang mempunyai mujahadah tinggi bisa melakukan anjakan. Jihad di era serba mellanium ini, adalah macam mana kita hendak istiqamah (konsisten) dalam suasana soleh yang kita ikuti, disebabkan sistem jahiliyyah yang berpusu-pusu menyerang kita di setiap sudut.

Kebejatan perlakuan anak-anak adalah usaha kita membetulkan, kebebalan perlakuan anak-anak adalah tanggungjawab bersama, liat anak-anak menunaikan solat adalah kuasa kita mendidik agar patuh pada suruhan agama.
Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri-diri kamu dan keluarga-keluarga kamu dari api neraka” at-Tahrim (66:6)

Kalau ibu bapa dari awal-awal lagi liat menunaikan solat, tidak mustahil si anak akan bosan menunaikan solat, kalau di awal-awal lagi si bapa merokok, tidak mustahil si anak boleh berjinak-jinak dengan najis dadah, kalau awal-awal lagi ibu bapa menyokong artis-artis barat terbelah sini terdedah sana, tidak mustahil anak juga memperbodohkan sama perlakuan ibu bapa. Kalian adalah role model mereka.

Ketahuilah iman seorang muslim didatangkan dalam satu pakej, ada bersamanya ilmu, dan amal, ilmu bermanfaat buat mengendalikan sumur hati, maka sudah pasti orang yang beramal dengan ilmunya mampu mengeluarkan gugusan manfaat buat memandu diri, maka terbitlah iman di hati.

Kotak kepala kita mempunyai segalas tugasan menumpah idea untuk kebangkitan Islam, sebagai perhatian berpanjangan. Mengandungi idea-dea yang besar. Tidak dinafikan ialah setiap kata-kata mahupun pekerjaan mengandungi pesanan penting, berguna. Maka dalam mengejar yang besar dan penting, bagaimanakah kita belajar mendefinasikan yang utama.

Meratah setiap baris kitab ilmiah tidak seperti kita menatap hidangan karya berbentuk novel, cerpen, puisi boleh dihabiskan dalam masa singkat. Setiap barisnya ada pengertian, huraian mendalam, seperti dalamnya kita menarik mutiara di dasar lautan.

Kepala sarat dengan pengetahuan, pengetahuan apa sekali pun, akan menggugah akal dari mengakses maklumat yang tidak sihat, tiada pencerahan, tiada pencambahan ilmu. Pengetahuan belum tentu merupakan sejejer ilmu yang bermanfaat, tapi ilmu adalah induk pengetahuan. Kita boleh sahaja baca majalah hiburan, mengetahui dunia artis, ada pengetahuan tapi tidak berupa ilmu.
Ilmu ialah sesuatu yang boleh ditumpangi keberkesanannya dalam hidup. Bisa diguna, bisa diaplikasikan. Tapi ingat, aplikasi yang saya harapkan ialah urna pengetahuan yang membimbing, bukan menumbang. Boleh ditumpang faedahnya. Cabang ilmu pula banyak.

Apalah bezanya orang yang belajar sampai PhD, ada Master, selesai ijazah, habis mengaji di al-Azhar, Oxford, tetapi tidak memahami apa yang dia pelajari, hanya ada sijil sahaja tetapi tidak mendalami apa yang dia dapati, dengan keldai yang ditugaskan membawa seguni kitab di belakangnya tetapi dia tidak tahu apa-apa berkenaan kitab di belakangnya.

Faham melahirkan keyakinan hendak buat sesuatu, kerana tahu manfaat dan keburukannya. Jadi, tidak dapat tidak kita sebagai muslim, mukmin ini mesti sentiasa memperbaharui apa yang kita telah faham akan kehendak Islam melalui pencerahan ilmu.

Iman kita bersifat turun naik, mungkin hari ini kita kuat dan bersemangat dengan membaca artikel-artikel berkisar tarbawi, tamrin rohani, mendengar majlis ilmu, duduk bersama ulama’, tapi bagaimana keadaan kita selepas membacanya, memahami ilmu tersebut? Adakah kita cuba mengaplikasikannya di medan amal? Ini adalah cabaran yang kita kena sama-sama depani.
Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” al-Hujarat (49:1)

Kini saya, dan pasti kalian sudah ketemui sebuah damai dalam tenang. Sudi menjengah sisi-sisi kebaikan, meningkatkan kualiti iman, dan beramal dengan apa yang diperolehi. Teramat rugi, sepanjang nyawa berpadu dengan jasad, tidak pernah bimbang dengan langkah yang ada kalanya terjatuh di dalam lumpur, jatuh, dan jatuh lagi, tiada usaha untuk tingkatkan pemanduan, kesilapan kelmarin, semalam ditangani dengan baik pada hari ini, dan harapan agar keesokan harinya lebih baik dari hari ini.

Bila terasa ringan melakukan kebaikan, berat melakukan kejahatan. Mudah merendah diri. Mudah rasa berdosa dan segera bertaubat. Tutur kata menjadi lembut dan senang sekali untuk membuat kebaikan. Maka, dengan mudah seorang hamba jatuh cinta kepada Maha Pencinta. Mudahkan... tapi perlu sedikit mujahadah, kerana hidup seorang pejuang di dunia adalah pahit kerana mahar cinta-Nya di Syurga adalah manis.

Begitu dalam erti cinta bila manusia menginginkan bahagia, tenang, damai di setiap helaian hamparan kehidupan duniawi. Bahagia dicari sudah pasti bermula dari segala hal baik-baik, tenang digali sudah pasti lahir dari permulaan baik-baik, damai disoroti sudah pasti berada di awal segala hal kebaikan. Penentu bahagia, tenang, damai adalah bermula dari langkah pertama, baik langkah pertama, insha-Allah baiklah langkah-langkah kita seterusnya.

Ya... niat, nawaitu kita.

Cinta anugerah Ilahi. Cinta sejati yang datang dari lubuk hati yang dalam, itu yang dicari. Cinta pada Ilahi adalah tunggak segala-galanya. Apabila ianya kukuh di jiwa, tiada lagi masaalah yang melanda. Cinta adalah satu kuasa dalaman, satu kuasa untuk diri mengubah keadaan. Cinta suci lahir dari hati yang kudus, bersih dari segala kekotoran dalaman dan luaran.

0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal