PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Jumaat, Mac 26

Saya BELUM Berteduh lagi

HARI ini kaki tiada had untuk melangkah ke kanan dan ke kiri, melangkah selagi mampu dan mahu. Saya cuba memujuk diri agar sabar dan perlahan-lahan kerana bimbang mata ini tidak lagi mampu melihat di sebalik batu-batu kecil berterabur, risau ada lubang-lubang kecil tersembunyi yang bisa mengundang malapetaka besar. Kecil jangan disangkakan lemah, tiada siapa sangka seekor harimau boleh ‘lemah’ bila berhadapan dengan seekor kancil yang lemah, kecil mahupun besar bukan isu, tapi isu terbesar ialah sudut pandang kita.

Kalau sudah awal-awal lagi kita merasakan hal kecil ini terlalu remeh untuk diselesaikan, tidak mustahil akan menjadi bebenan lain, lebih besar kesan kita dapat daripadanya. Ingat, Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa lebih berbahaya daripada angin yang bertiup kencang, kerana di situ kita akan leka dari berpaut di dahan pokok disebabkan dibuai keasyikan lembut.

Mudah kita beranalogi, tapi ianya bukan sesuatu perlu dipandang enteng, ada benarnya juga.

Saya cuba untuk memandang serius beberapa perkara berlaku dua hari ini, hingga laman puteraazhari terpaksa dibiarkan ber ‘semak samun’ tanpa pengisian. Kekecewaan lahir di hati memang tidak boleh dibendung lagi, kecewa bukan masalah kita tapi kerana masalah orang lain berpunca daripada kita.

Rasa penat ditahan dan cuba bertahan, hari semalam memang penat tanpa rehat yang cukup semata-mata untuk menjayakan pelancaran buah tangan pertama saya, tapi sebaliknya pula berlaku di luar dugaan kami. Penghantaran buku BDKC terpaksa ditangguh buat beberapa hari yang belum ditentu, kerana ada masalah di pihak berwajib, kerana tiada kebenaran bertulis daripada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Kekecewaan kalian yang sanggup datang dari seluruh pelusuk Mesir ke Kaherah semata-mata untuk dapatkan buku BDKC, terkulai duka, dan terpaksa berputih mata, sudah pasti menjadi kekecewaan paling ngeri kepada saya selaku penulis buku berkenaan. Saya pohon maaf kepada teman-teman yang sanggup bermalam selama tiga hari di Kaherah, tapi niat asal tiada terlunas jua. Juga buat para pembaca di tanah air yang telah bank in dan mengirim wang pos, terpaksa menunggu beberapa minggu lagi sebelum berjaya mendakap buku BDKC.

Alhamdulillah… kalian tetap sabar, dan terus memberi sokongan moral kepada saya untuk terus ‘membela’ rasa minat kalian pada ilmu-ilmu Tuhan ini. Saya tidak mahu salahkan sesiapa yang melambatkan proses penghantaran, tapi bila kita pandang remeh hal ini sebelumnya, maka timbullah hal-hal lain yang memberi kesan yang besar. Banyak juga perancangan kita aturkan terpaksa ditangguh terlebih dahulu.

Demi kalian, saya akan terus berusaha agar proses kebenaran ini akan diselesaikan secepat mungkin sebelum masuk bulan baru nanti. Biar pun terpaksa batalkan undangan lain dua tiga hari ini, asalkan kepercayaan kalian pada ilmu saya tidak terhakis. Terima kasih kerana kalian sudi meniup semangat saya untuk terus berkongsi apa sahaja buat manfaat bersama.

UJIAN DUNIA

Manusia tidak lagi jujur dengan perjalanan hidup, kerana mereka inginkan sesuatu yang indah sahaja berlaku, namun bila berhadapan ujian dan masalah mulalah goyah keimanan, hilang percaya kepada Pencipta Segala Indah dan Pencipta Masalah. Kita tidak pernah bersedia juga untuk ‘rugi’ selepas sanggup bergadai apa sahaja untuk ‘untung’.

Dia tahu bila diuji, tiada lagi yang indah-indah, pasti jalan perit perlu dilangkahi. Walaupun mereka perlu lalu juga, tap bukan lagi pada mood dan skala yang sama. Menempuh jalan sukar kerana terpaksa tanpa ada usaha yang ikhlas jauh lebih buruk daripada mereka melalui jalan sukar kerana memaksa setelah ada usaha. Kalau berundur, kalian telah melawan fitrah insani, kalian telah membuka pekung di dada sendiri, kelemahan demi kelemahan tersiar.

Tahukah kalian, kenapa kita diuji?

Ada antara kita diuji dalam pelajaran, gagal mendapat keputusan cemerlang. Ada juga diuji gagal mendapat kerja, bergelar ‘penggangur tua’ selepas bertahun-tahun tetap sama sahaja. Ada juga diuji kesempitan hidup berpanjangan, berpas-pasan meredah panasnya siang dan dinginnya malam. Tidak kurang juga sampai hilang kewarasan selepas diisytiharkan muflis, gagal lagi. Istilah ‘GAGAL’ teramat takut dan sukar untuk diterima, apatah lagi untuk didengar buat pertama kali.

Ramai yang kurang menyedari. Seringkali alpa dengan duniawi. Dan bila masa dilanda kesukaran, barulah ramai yang ingat dan mencari Yang Maha Esa. Inilah lumrah kehidupan kini. Sedangkan dalam Islam sendiri ada menyatakan, manusia ditentukan kewajipan untuk melaksanakan tanggungjawab kepada Allah Taala, rasul dan masyarakat. Dan apa yang dilalui adalah sebahagian daripada ujian dalam menempuh kesenangan dan kesukaran dalam kehidupan.

Sebenarnya Allah Taala bukan menguji kita, tapi menguji iman melalui diri kita. Dia tidak selama-lamanya membiarkan kita dalam duka, tapi kalau awal-awal lagi kita sudah hilang kebergantungan kepada-Nya di atas setiap ujian tidak mustahil akan terus menerus di dalam kesusahan, atau diberi kesenangan tapi tidak melalui jalan diredhai oleh-Nya.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Apakah manusia mengira, mereka dibiarkan menyatakan kami beriman, sedangkan mereka itu belum diuji?” al-Ankabut (29:2-3)

Bila diuji membuatkn kita melihat kembali apa kesilapan dan kelalaian yang telah kita lakukan. Semua ujian yang diberi ada sebab, sepatutnya kita kena bersyukur kerana masih diberi ujian untuk dihadapi. Itu tandanya Allah Taala masih ingatkan kita dan sayangkan hamba-Nya yang lemah ni.

Ujian seakan-akan teguran daripada Allah Taala juga. Bila diuji, sepatutnya kita kena muhasabah kembali, apa yang telah kita lakukan. Tetapi, itu tidak semestinya. Kadangkala, seorang yang soleh juga diuji Allah Taala. Lihat sahaja Rasulullah s.a.w yang maksum, baginda juga diuji. Kenapa? Adakah kerana baginda berdosa? Bukan.. tetapi untuk menguji iman, sabar, kasih dan kepercayaan baginda kepada Allah Taala.

Apatah lagi kita sebagai manusia biasa, apakah kita rasa selamat dari lamunan indah-indah selamanya?

KESIMPULAN

Kita akan terus pesimis dalam hidup, andai tidak buang jauh-jauh dari dalam diri sikap ini, tidak mustahil kita terus dipenjara dogma khayalan, tidak berpijak di bumi. Tiada indah lagi melainkan angan-angan kosong, akan terus kosong dan kosong hingga kita juga kosong untuk berbuat amal kebajikan.

Ianya kembali kepada sikap kita.

Jagalah, peliharalah, bimbinglah sikap demi sebuah perjalanan hidup dijamin oleh aturan Islam.

1 komentar:

Rezza Khanafiah on 26 Mac 2010 pada 3:35 PTG berkata...

salam wrh wbt

walaupun saya tidak bersalah dalam hal ini, tapi saya rasa bertanggungjawab di atas kesulitan yang timbul kerana pasti kalian yang sudah beberapa hari berada di sini semata-mata ingin mendapatkan buku tapi berputih mata tanpa mendakap BDKC.

Juga buat pembaca yang telah bank in di yanah air, lebih kurang 50 orang, tapi terpaksa tunggu masa agak lama lagi.

Saya berjanji untuk selesaikan sendiri dalam masa terdekat, bersabarlah menunggu hadirnya BDKC ke pelukan kalian.

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal