PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Selasa, November 3

Cinta : Dosa Semalam Jadi Igauan



Perjalanan saya pulang ke rumah dari masjid al-Azhar menurahi tiupan angin mendinginkan. Pesanan dan bait baris ayat tercempul keluar daripada mulut Sheikh Jamal al-Farouq terngiang-ngiang di liang gegendang telinga.

Proses melihat posisi hadapan sedikit kabur tatkala pertukaran musim dingin dua hari lepas, ditambah pula saya pulang pada waktu malam. Hujan pula menyentuh manja bumi barakah ini buat beberapa minit.

Biasanya saya akan pulang berjalan kaki, memandangkan jarak antara rumah saya dan pusat pengajian saya 15 minit perjalanan menggunakan kaki secara manual.

Mohon Inayah Rabb, agar selamat sampai meredah kesejukan dan keasingan bumi yang dipijak ini.

Saya sedar tanggungjawab sebagai seorang pelajar, da’ie dan hamba yang tiada pendinding jiwa ini, tidak akan kebal dari berbuat dosa. Iman, akal, dan hati menjadi tonggak pada penyelesain mehnah dan tribulasi di dunia, betul tindakan mendapat bonus ganjaran pahala dan bersedia untuk pertingkatkan dari masa ke semasa, manakala buruk pula mengundang bahana dan menjauhinya adalah sebaik-baik keputusan yang diambil.

Jadikan pengalaman silam sebagai cermin harga diri untuk berubah dan mengubah. Sejarah sama mungkin sukar untuk diulang, namun ciri-ciri persamaan padanya menjadi keutamaan.

Kadang-kadang manusia begitu kaku dan janggal berhadapan sejarah silam. Cara berfikir tiba-tiba menjadi kaku, pemerhatian menjadi kaku, daya-saing terlebih kaku.

Begitulah hidup di dunia ini, kita merasakan cerita sejarah silam itu sesuatu kisah yang kuno, tapi sebenarnya kalau kita hayati, cermati satu persatu, hidup kita tidak ubah seperti mengulangi ‘skrip’ sejarah yang lama.

Beruntunglah orang yang sentiasa berfikir dan mahu mengambil pengajaran darinya.

Sejarah menjadi dominan bila ada sebuah kajian menyelusurinya. Sebab itu al-Quran memaparkan sejarah di dalamnya untuk kita kaji, dan mendapat ibrah dari peristiwa tersebut. Perwatakan dulu dan kini sama walaupun aktor dan aktres berubah-ubah mengikut zaman.

Sebagai hamba-Nya, Allah Taala sentiasa menguji keikhlasan dan kesabaran kita beribadat kepada-Nya. Payahnya mengejar ikhlas, namun hati yang boleh berbolak-balik ini milik Allah jua, kita sebagai hamba tidak harus putus berdoa dan membaiki kelemahan yang ada.

Dosa boleh mendarah-daging dalam diri andai sentiasa diulangsiar.

Ingatlah, tusukan dosa bukan seperti belati yang membunuh tiba-tiba, tetapi ia umpama api dalam sekam yang membara dalam diam.

Hakikatnya tidak ada siapapun punya kekebalan daripada hasutan syaitan. Malah lebih tinggi Iman seseorang, lebih hebat godaan syaitan. Hanya taubat, doa dan zikir selalu sebagai perisai.

Kadang-kadang rasa kecewa mencengkam hati kerana taubat sering dinodai.

Rasa berdosa pada ‘dosa’ itu tidak lama. Jika dosa yang sama dibuat kali kedua, ketiga dan seterusnya, rasa bersalah itu akan hilang, perlahan demi perlahan. Lalu akhirnya, hati itu telah terbiasa dengan dosa. Rasa bersalah tidak muncul lagi. Ia sirna dimamah oleh dosa demi dosa. Jika dulu ada air mata yang mengalir kerana kekesalan dan penyesalan, tetapi di tahap kedua ini, tiada air mata lagi.

Alah bisa tegal biasa. Hati telah tega untuk berdosa.




IBADAH MATLAMAT HIDUP

Ketika saya menginjak usia belasan tahun, saya kurang pasti berapa kali saya mendengar beberapa istilah bahasa-paradigma- yang sering digunapakai oleh seorang tokoh politik berpengaruh ketika itu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, abaikan.

Cuma saya begitu tertarik pada penggunaan istilah tersebut, hingga saya berusaha mencari ertinya dalam bahasa lebih mudah difahami. Rupa-rupanya bersal dari bahasa Inggeris, paradigm yang membawa maksud pola, model, dan contoh.

Akhirnya saya kerap kali memakai istilah tersebut dalam setiap percakapan, penulisan, dan muamalat lain.

Paradigma seharusnya mempunyai anjakan. Beranjak dari sesuatu yang baik kepada lebih baik akan mengubah konatasi kita terhadap cara hidup sebagai hamba, da’ie, dan rakyat kepada sesebuah negara.

Beranjakan dalam ibadah menjadi keutamaan. Ibadah itu pula luas pengertian, bukan hanya tertumpu pada rukun Islam dan Iman sahaja, bahkan mengcakupi segala aspek nilai kehidupan. Bermula dari sesenang ibadah membuang air kecil hinggalah pemusatan kita pada perihal jihad, ini semua dianggap ibadah apabila perbuatan dan tindak tanduk kita kena dengan kehendak Islam.

Tugas khalifah teramat berat bebanan di bahu setiap muslim.

ÙˆَÙ…َا Ø®َÙ„َÙ‚ۡتُ ٱلۡجِÙ†َّ ÙˆَٱلۡØ¥ِنسَ Ø¥ِÙ„َّا Ù„ِÙŠَعۡبُدُونِ

Allah Taala berfirman yang bermaksud: Tidaklah Aku ciptakan para jin dan manusia melainkan supaya beribadat kepada-Kuaz-Dzariyat (51:56)

Ibadah hanya dikira di sisi Allah Taala apabila keikhlasan dan landasan syari-‘at dijaga dan dipatuhi. Inilah tugas utama khalifah. Tambahan pula manusia merupakan wakil Allah Taala di muka bumi ini.

Antara manfaat kita perolehi daripada ibadah adalah menjadikan kita peka pada masa dan ilmu. Kebaikan-kebaikan yang menghasilkan pahala dikira ibadah di sisi Allah Taala. Dalam ilmu sains pula, kebaikan-kebaikan ini diperincikan dengan penemuan-penemuan semasa, menjadi harapan utama agar dapat meningkatkan Iman dan amal kepada Maha Pencipta.

Islam dan ajaran-ajarannya diturunkan dalam pelbagai pakej untuk dinikmati dan sebetulnya dikejar oleh setiap muslim bagi menjaga kebaikan manusia itu sendiri. Allah tidak turunkan syari-‘at hanya semata-mata ingin mendatangkan kesulitan kepada para penganut agama suci-Nya ini.

Maka raihlah cinta-Nya.

Kerinduan dan kecintaan yang sedia ada di alam roh itu tidak bersambung, bahkan tercemar. Cinta terputus di tengah jalan. Setiap manusia memiliki hanya satu hati, tidak dua, tidak tiga. Bila cinta Allah Taala dicemari, cinta yang lain datang mengganti. Dua cinta tidak akan berkumpul di dalam satu hati. Hanya satu cinta akan bertakhta di dalam satu jiwa.

Bila cinta Allah terpinggir maka terpinggir jugalah segala kebaikan dan kesuciannya. Maka yang tumbuh selepas itu ialah cinta selain Allah seiring suburnya segala kejahatan dan kekejiannya.

Hati-hati memilih cinta kerana ianya dikira ibadat yang berpanjangan.

Manusia hakikatnya tidak punya apa-apa yang diingini oleh manusia lain. Mereka mungkin mahu memberi, tetapi tidak mampu. Ada pula yang mampu memberi tetapi tidak mahu melakukannya. Mungkin hartawan punya harta, tetapi dia tidak punya sifat pemurah. Mugkin ada si miskin punya hati yang pemurah, tetapi tidak memiliki harta yang dipinta oleh si miskin yang lain.

Tegasnya, manusia tidak sempurna. Hanya Tuhan yang mempunyai segala apa yang diinginkan oleh seluruh manusia.

Buatlah ibadah semampu dan sebaik mungkin. Ianya nilai kita di SANA nanti.

ameen

Teruskan Pembacaan>>>

Isnin, November 2

Mengejar Pelangi Cinta Dan Cita-Cita



Memulakan penulisan santai ini, izinkan saya menggantikan kata ganti nama pertama, yang sering saya gunakan di laman blog kesayangan kalian ini, iaitu ‘penulis’ kepada ‘saya’, mulai sekarang hingga ‘dakwat’ dari minda saya terangkat bertamu di SANA.

Tabiat saya suka menulis ini bertatih ketika saya berumur tujuh tahun, masa darjah satu. Namun ketika usia hinggusan itu, saya lebih gemar menulis apa sahaja yang terlintas di benak fikiran saya, tiada formal tertentu dalam menulis.

Saya suka menulis sesuatu yang saya dengar, lihat, dan merasai melalui pengalaman diri dan orang lain. Saya seorang yang tidak fokus pada menulis, sekadar mencoret apa sahaja yang dirasakan perlu. Kebetulan pula saya ini mempunyai sikap yang aneh, suka merenung jauh, berhati-hati, kadang-kadang skeptik, dan mengharapkan pada keselesaan orang lain melebihi keselesaan diri sendiri.

Anda juga, para pembaca mempunyai sikap yang berbeda-beda.

Inilah antara faktor penyebab kita akan berhadapan dengan pelbagai mehnah ujian dunia, masyarakat, kerja, perasaan dan sebagainya.

Saya juga seperti kalian, seperti manusia lain yang mempunyai perasaan fleksibel. Sampai satu ketika saya gembira, hingga satu masa saya juga mengalami rasa duka, tidak kurang juga melalui saat-saat marah yang membuak-buak.

Tetapi kita juga kena ingat, pada masa sama Allah Taala membekalkan kita akal dan hati untuk bermuhasabah dan berfikir, mencerahkan jalan yang gelap, meredakan panas yang meronta di jiwa.

Diberi kita penawar, selepas kita merasai pahitnya hidup.

Ingatlah, kita tidak akan sirna dari ujian.

Orang kata bersabar dalam bersabar, adalah tingkatan sabar yang paling indah. Tetapi jika hati, jiwa dan perasaan anda rosak akibatnya, menjaraklah. Jangan sabar membunuh kebijaksanaan dan kewarasan kita mencerahkan idea.

Hidup bermasyarakat, akan mengingatkan kita tentang erti kehidupan adalah sebuah perjalanan bukannya destinasi mutlak. Di setiap tetesan keringat kita ketika berjalan ini, akan dikira sebagai saham pahala atau saman dosa.

Saya sendiri tercari-cari rentak hidup suatu ketika dahulu, hidup dalam kesempitan mencari sesuap makan, baik untuk jasmani mahupun rohani, lebih-lebih lagi saya sering berjauhan dengan ibu dan ahli keluarga lain. Saya bersyukur kepada Tuhan bila mengenang semula detik-detik sukar itu, mungkin kalau bukan asbab kebenaran Allah Taala coretkan itu, mungkin saya sekarang sedang me-rempit, peminat aliran rockers, lebih saya daripada rockers.

Alhamdulillah, saya sedar diri saya kini mempunyai amanah kepada bangsa, negara, dan terutama kepada agama tercinta.

Berubahlah mencari-Nya.

MENCARI SAHABAT

Jangan sekali-kali lupa, kesalahan yang paling besar dalam perhubungan ialah bila anda menganggap pandangan, persepsi, rasa hati dan fikiran orang lain sama dengan anda. Ini satu kesilapan besar. Jangan tersilap memberi amanah. Oleh kerana senyumnya manis, pujiannya melangit dan simpati serta empatinya melimpah, anda kalah. Tidak upaya lagi berkata tidak. Walaupun dia telah jauh menerobos benteng hak anda yang sangat peribadi.

Alangkah ramainya manusia yang kita anggap sahabat seperjuangan. Namun amat sedikit sekali yang sanggup menolong kita di kala kita menghadapi uijian hidup. Sesungguhnya amat bermaknanya jika kita dihadiahkan seorang ‘sahabat’ yang sama-sama dapat membantu, menolong kita untuk melaksanakan tuntutan agama. Kebaikan dirinya kita tumpangi, kesalahan kita diteguri dan sama-sama menyebarkan kebenaran.

Selalunya bila sudah berpisah dengan seseorang yang dianggap sahabat baik, insh-Allah akan cuba diakhiri dengan baik, lepas tu timbul perasaan seolah olah paranoid untuk menghubungi dia lagi, dan lagi.

Itulah hikmah Allah Taala menyediakan satu ’soff mukhtarah’ yang akhirnya diiktiraf oleh baginda s.a.w sebagai sahabat-sahabat baginda yang sanggup berjuang, berpanas dan berhujan, susah dan senang demi menegakkan agama Allah Taala. Mampukah kita menjadi sahabat-sahabat itu?

Jadilah sahabat yang setia menanggung susah demi sahabatnya yang lain, jangan menyusahkan mereka. Itulah sebaik-baiknya.




MASALAH CINTA

Kenapa saya tidak jemu menulis artikel pasal cinta, hinggakan saya berjaya terbitkan buku berkisar tentang cinta. Hingga ada sahabat menggelarkan saya, ‘ustaz cinta’. Dahsyat sungguh panggilan, ngeri juga kalau diingatkan diputarkan balik.

Cinta ditandai oleh rasa rindu kepada yang dicintai, takut berpisah, harapan untuk mendapat balasan cinta. Perasaan itu berbeda-beda kerana hasrat sang pencinta. Hasrat itu kadang-kadang kuat, lemah atau hilang sama sekali. Dengan demikian cinta Allah Taala adalah cinta yang sempurna. Itulah yang menyatukan makhluk dalam mencari cita-cita yang sama.

Dibius cinta manusia teramat berbahaya.

Apa yang ada sering dilupakan, apa yang tiada sering didamkan. Itulah ungkapan untuk membayangkan sifat manusia ketika berdepan dengan nikmat jasmani dan itulah juga sifatnya bila berdepan dengan nikmat rohani termasuk soal cinta.

Bila berjauhan ertinya kita ‘hilang’ seketika akan dirinya, maka sudah tentulah ini akan menyerlahkan semula cinta yang selama ini terpendam. Oh, rupanya cinta itu masih ada, malah masih membara dan menyala.

Membenamkan diri ke dalam daerah muhasabah memang mengasyikkan. Terkadang cinta manusia yang berperanan sebagai ‘alat’ untuk menuju cinta Allah Taala (matlamat) itu lebih di pentingkan. Cinta ‘alat’ acapkali mengatasi cinta matlamat. Moga hati ini tidak buta dalam meletakkan cinta. Moga diri ini tidak terlalu bergantung kepada cinta alat berbanding cinta matlamat.

Mengajar akan hakikat cinta yang sebenarnya. Biarpun mencintai, biarlah cinta itu disandarkan ikhlas keran Allah Taala dan mengharap cinta dan Redha dari Yang Maha Esa.

Moga Allah Taala sentiasa hadirkan rasa cinta pada-Nya di dalam setiap jiwa insani.

ameen

p/s: artikel penulis di bawah tajuk Terlanjur: Padah Melayan Cinta Monyet diterbitkan kembali di laman website kegemaran para remaja, iluvislam. Terima kasih di atas keperihatinan editor berkenaan, RosNiza Abdullah.

Teruskan Pembacaan>>>

Ahad, November 1

Jodoh : Mendepani Masalah Keluarga



Ali seorang suami, bapa, lelaki biasa, namun dia mempunyai sikap luar biasa.

Beliau mempunyai sikap baik, sabar, dan berbudi bahasa terhadap orang tuanya, namun sering disalah-ertikan. Dia seorang yang sangat sederhana, tidak cerewet, sentiasa mementingkan orang lain mengatasi segala aspek kehidupannya. Apa sahaja yang ingin dilakukan, orang tuanya yang menjadi perkara utama untuk ditimbangi. Berbanding dengan adik beradiknya yang lain, dia yang paling mudah berkira, termasuk dari sudut kewangan.

Seperti manusia lain, beliau juga mengalami revolusi perubahan dalam hidupnya. Dari seorang yang selalu berkecil hati terhadap orang tuanya, pendiam, dan pasif, dia menjadi semakin kuat, tidak mudah putus asa, tidak suka memandang perkara remeh, tidak mudah ambil hati.

Beliau bijak berhadapan sebarang masalah. Baginya masalah yang timbul umpama cermin untuk menilai gred prestasi semasa, baik dipertingkatkan, manakala buruk ditangani dengan baik tanpa ragu-ragu.

Berkawan baginya biarlah seribu, namun bermusuh apatah lagi mencari, jangan sesekali. Senyuman sentiasa terukir manis di bibir, semua orang senang mendampingi.

Inilah cirri-ciri perwatakan yang diperlukan sebagai khalifah bagi memikul amanah ketika hidup di dunia.

Namun tiada siapa boleh lari dari masalah.

Masalah peribadi.

Masalah keluarga.

Masalah tempat kerja.

Masalah kita adalah apa yang kita nampak. Kalau kita nampak ia satu masalah yang sukar untuk diatasi, maka sukarlah jadinya. Jika kita nampak penyelesaiannya tetapi cuma mengambil masa yang lama dengan seribu satu kesabaran, maka mudahlah dihadapi masalah tersebut.

Tugas kita sebagai anak, bapa, suami ialah mengajak mereka dengan kebenaran dengan cara yang paling hikmah. Cara terbaik ialah dengan akhlak yang baik. Jika mereka melakukan kesalahan, mereka tetap bersalah walaupun mereka ibu bapa kita. Maka, tindakan harus diambil bergantung kepada keseriusan masalah itu.




Masalah jodoh adalah masalah umum. Kita bukan sahaja berkahwin dengan lelaki atau wanita itu tetapi juga dengan ahli keluarganya. Namun begitu, pasangan suami isteri itulah yang bertanggungjawab mengemudikan bahtera rumahtangga mereka sehingga sampai ke destinasinya.

Tidak sepatutnya ada sebarang campur tangan keluarga. Mereka boleh membimbing tetapi bukan mempengaruhi sebarang keputusan.

Maka, tidak kisahlah siapa pilihan kita asalkan kedua-duanya saling mencintai sesama dan menghormati serta menerima kelebihan dan kekurangan pasangan masing-masing seadanya.

Berterus terang dan ketelusan adalah kunci kebahagiaan. Buangkan sebarang prasangka seperti menganggap pasangan itu tidak dapat menerima kenyataan tentang keluarga kita. Itu semua prasangka yang dibisikkan oleh syaitan untuk menggagalkan sebuah pembinaan masjid.

Bila sudah di dalam perhubungan, jangan letakkan harapan yang tinggi terhadap pasangan. Terima dia dengan seadanya.

Kita perlu buktikan kepada kedua keluarga agar mereka juga yakin bahawa kita sendiri percaya dan lebih yakin terhadap pasangan, bahawa beliau dapat memberi kebahagiaan kepada kita.

Berdoalah, di samping berusaha untuk memujuk. Jangan lupa pada senjata paling ampuh bagi seorang mukmin.

Tangani dengan bijak.


Teruskan Pembacaan>>>
 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal