PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Sabtu, Jun 27

Raseel Barr: Pengalaman Hari Kedua

Hari Kedua: 24 Jun 2009

Tangan penulis terus berlari-lari di atas papan kekunci. Jam sudah mengjangkau jam 3.50 pagi. Sebelah pagi begitu sunyi, tiada lagi kedengaran suara kanak-kanak bermain di halaman, dan suara deruman enjin tua, hanya tinggal suara ombak memecah pantai. Penulis terus menyusun kalimah di helaian kertas microsoft word. Kebiasaan warga tempatan, boleh dikatakan semua peringkat baik muda mahupun sudah lanjut usia, mereka lebih gemar menghabiskan waktu malam dengan pelbagai aktiviti berbanding pada sebelah siang. Berperang dengan panas terik sudah menjadi lumrah, mereka akan menghabiskan waktu siang berkurung di dalam rumah.

Penulis bersiap-siap untuk ke masjid dan mengejutkan teman-teman lain dari tidur. Di sekitar villa penulis, banyak didirikan villa persedirian yang lain. Kerajaan Mesir telah mewakafkan tanah pasir berdekatan pantai kepada rakyat untuk dibangunkan villa atau rumah seumpama flat untuk menambahkan nilai komersial menarik para pelancong ke sini. Kebanyakkan villa yang dibina berlainan design dan saiz. Ada yang memberi sewa villa, dan ada juga digunakan untuk persendirian bersama keluarga lain.

Bening suasana pagi telah menggamit mata-mata yang memandang, penduduk sekitar telah bangkit bersama semangat untuk pergi bekerja, manakala yang masih stay bercuti ada sebahagian menikmati kebayuan angin yang bertiup di tepi pantai, mengambil roh semangat ukiran alam yang indah.

Bagi mereka yang bijak memberi nilai, pasti akan merasai kehebatan dan penangan setiap ciptaan Allah Taala, hasil Tangan-Nya. Penulis semenjak berada di bumi anbia’ tidak pernah merasai keindahan dan kesaljuan bisikan pantai yang mengasyikan, bisa mendatangkan kegetaran di dalam hati, dan rasa kerdil berbanding Sang Pencipta. Penulis amat mengagumi kebesaran-Nya.

“Ya Allah, sungguh indah ciptaan-Mu. Tiada lafaz dapat aku ungkapkan melainkan rasa kagumku pada kehebatan-Mu”

“Teramat rugilah mereka yang dikurniakan akal, tetapi tidak berakal dalam mengenal diri-Mu” Penulis mengungkapkan sesuatu di dalam hati sambil bebola mata tajam memerhatikan hentakkan kuat ombak pada pantai.

Jam 0830 pagi

Rencana pagi diteruskan selepas berjaya penulis melelapkan mata sekejap, bukan terbiasa tidur pagi, hanya untuk mengembalikan tenaga dan merehatkan kelompak mata yang tidak kenal erti rehat sepanjang hari semalam.

“Bang, ke mana kita pagi ini? Udah tidak sabar ni, kangen (rindu) bangat” Bersuara seorang teman dari Jawa Timur.

“Rencananya kita akan ke berehlah di tepi pantai dahulu pagi ini. Iya secuma itu aje, tapi sorenya (petang) keren (perasaan kesima yang melampau) bangat sebab kita akan ke Port Sa’id” Jelas Samuel dengan tenang selepas melihat kesemua gelagat anak buah yang lain.

“Set. Indah sekali” Balas teman dari Jawa Timur itu tadi.

Sepanjang pengamatan penulis, tiada kelompok warga asing yang lain yang bercuti di sini, hanya kami sahaja, lain-lain dipenuhi warga tempatan bermula dari pangkal hingga ke hujung. Apa yang menarik, banyak kemudahan yang disediakan di sini walaupun masih diperingkat belajar, antaranya kemudahan tempat duduk berbayar, kafe makan, taman rekreasi, pelampung, dan motorbike mini.

Satu perkara yang cukup meninggalkan kesan di hati, rasa kagum dengan warga tempatan terutama golongan muslimat, kesemuanya tetap sahaja memakai tudung, purdah, dan jilbab tika bermain dan bermandi-manda di pantai. Basah kuyup mereka tetap sahaja tubuh badan mereka tertutup rapi. Jarang sekali kelihatan di tempat sendiri. Inilah penerapan nilai-nilai murni yang ditanam jauh ke dasar oleh para ulama’ di sini, hatta dalam soal etika berpakaian. Tidak perlu berbakini, terbelah sana sini, ternampak di sana sini, tertonjol di sana sini.




Izayyaka ya akhi fil islam? (bagaimana keadaan kamu?)” Penulis tiba-tiba disapa oleh seorang perempuan Arab yang berpakaian lengkap berpurdah. Orangnya masih muda sekitar 23 tahun.

Alhamdulillah, ana kuwais bardu wa anti? (hamdalah, saya baik-baik sahaja, saudari bagaimana?)” Penulis balas dengan tenang, mata pula terpandang pada sisi lain, malu-malu pun ada.

ana kuwaisah, ana min ain? Darasta hina? (hamdalah saya baik, kamu dari mana? Kamu belajar di sini)” Tanya lagi perempuan Arab tadi tanpa ada perasaan malu.

ana malizie, min maliziya. Aiwah, darastu fi jami’atul Azhar as Syarif bil Qahirah, hamdalah (saya dari Malaysia. A’ah, saya belajar di Universiti Azhar as syarif di Kaherah, hamdalah)” Jawab pendek penulis sambil tangan menahan ombak yang datang merempuh badan.

indi katir zumala’ min malizie. Hunna kuwaisah kulluh fil kalam dah. Ana syuf lak gadda’, rubbama ‘andak katir zumala’ min katir bilad. Mumkin nahnu nubaddil raqmu etisalat, ana ‘aiz ‘a’alm kullu ‘anil darasat. Mumkin? (di sisi saya ramai teman-teman dari Malaysia. Mereka amat baik ketika bercakap. Saya lihat kamu seorang yang berketrampilan, mesti ramai kawan di sisi kamu dari pelbagai warga. Bolehlah kita bertukar-tukar nombor untuk berhubung. Aku mahu tahu tentang pengajian dari kamu)” Perempuan Arab kelihatan bersungguh mahu kenal, lagak cakap seperti seorang yang pandai, bijak dalam setiap lapangan.

La’ah, anti ahsanti minni, ana dhaif bas fi kullu nahiyah. Ma’alish, mush ‘indi. Mumkin marratain biiznillah. Ma’alish, ista’zin awwalan, zumala’ istanna li hinak, insha-Allah, sanuwasil halaqah qadimah (Tidaklah, saudari lebih baik daripada saya, saya seorang yang biasa sahaja setiap sudut. Maaflah, saya tidak ada apa-apa. Mungkin lain kali sahaja. Oh ya maaf, kawan-kawan saya sedang tunggu, insha-Allah kita jumpa lagi)” Penulis cepat-cepat cari alasan untuk mengelak.

Salamullahi ‘alaik, ma’as salamah (salam, moga baik-baik sahaja)” Tambah penulis sambil berenang ke arah kawan-kawan yang berkumpul jauh sedikit.

Ma’as salamah” Perempuan Arab memusingkan badan bergerak perlahan-lahan ke darat.

Jam 1405 petang

Usai kami menunaikan solat Zohor. Tiba pula time makan. Makan Tom Yam Jawa sungguh berbeza tom yam di tempat sendiri. Campuran bahan-bahan agak simple dan cepat, tapi sungguh enak juga. Rasa sedikit masam masin dan sedikit pedas. Penulis siapkan nasi, dihidangkan di atas plastik besar, macam ni la cara makan orang-orang bujang seperti pelarian. Kami cukup akrab kerana masing-masing sama, tiada beza antara kami baik cara makan, lauk, tambah kurang nasi di atas satu hidangan. Terasa keakraban ukhuwwah antara kami.

Badan direbahkan di atas tilam. Ada yang mengambil angin laut di beranda luar. Kanak-kanak sebilangannya tidak kenal panas terus berlari-lari anak, berkejaran, menendang bola, dan mengayuh basikal. Perlu dapatkan istirehat secukupnya sebelum berangkat ke Port Sa’id kira-kira satu jam perjalanan tremco dari Raseel Barr.

Kawasan Port Sa’id sememangnya terkenal dengan zon bebas cukai. Banyak barang-barang murah diperagakan. Pelancong juga tidak kurang ramai, semuanya memilih barang-barang yang ingin di bawa pulang. Bermula dengan barang-barang hiasan, cenderahati hinggalah barang-barang eletronik. Kemasukan ke sana diperketatkan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Maaf Mas Samuel, saya mungkin tidak ikut bersama” Penulis menyatakan pendirian di saat-saat akhir.

Loh nape ustaz? Ada apa-apa masalah atau apa-apa bisa dibantu?” Bang Samuel rasa tidak berpuas hati.

“Tidak ada apa-apa mas, cuma mahu temani Bang Dedi Riyanto aje. Lagipun nanti malam saya langsung mahu menulis, bimbang capek-capek (letih) bangat nanti ngap bisa menulis. Boleh ya mas?” Penulis bernada lembut memujuk agar diberi pelepasan dari mengikut sama berangkat ke Port Sa’id.

“Iya ngap apa-apa. Nanti teman si Riyanto, dia lagi kagen untuk berenang. Kami berangkat dahulu. Oh ya, jangan lupa masak air sama nasi. Kalau bisa, masak lauk sekali” Bang Samuel begitu baik muamalatnya, dia begitu ambil peduli perihal kami yang berada di bawah jagaannya.

Jam 1715 petang

Jam sudah menunjukkan pukul 5.20 petang. Penulis bersama Bang Dedi mencari lauk pauk di pasar berdekatan, lauk makan malam. Barang-barang runcit di sini agak mahal sedikit berbanding tempat tinggal penulis. Mungkin harganya dikira stabil dan berpatutan berkadaran dengan kawasan yang terkenal dengan pusat pelancongan, bersih, dan mempunyai prasarana yang lengkap.

“Mahu belanja apa sahaja?” Tanya Bang Dedi.

“Eerm, saya mahu beli kurkum (kunyit mesin) dan laban (susu). Saya mahu bikin Ayam Masak Kunyit Berlemak. Udah lama tidak buat” Penulis membalas pertanyaan spontan Bang Dedi sambil mengukir senyuman.

Kami mengambil masa selama 5 minit berjalan kaki untuk sampai ke Pasat Besar Raseel Barr. Bilangan manusia bertambah dari semasa ke semasa. Pelbagai ragam dipertontonkan, terutama para penjual yang ingin melariskan jualan mereka. Tidak hairanlah ada yang bisa berbahasa Melayu, menyapa pelancong dari Asia Tenggara yang kebanyakan dari negara Malaysia, Indonesia, Brunei, Selatan Thailand dan Singapura yang saling tidak tumpah wajah, hampir sama warna dan gen kulit.

“‘Aiz koka, murah-murah!” Antara bait kata-kata slent Arab yang penulis ingat.

Bermula dari Raseel Barr (Dumyatt), Ghamasah (Mansoura), hingga ke Port Sa’id merupakan antara kawasan perikanan yang paling aktif di Mesir, laut Mediterranean yang kaya dengan sumber laut. Kebergantungan penduduk setempat dengan hasil perikanan. Bot-bot pukat tenang menyelusur laut, para nelayan giat memunggahkan pukat ke atas. Hasil ikan yang diperolehi diasingkan mengikut jenis sebelum dimasukkan ke dalam tong, semacam bakul besar.




Berhampiran Pasar Besar Raseel Barr juga terdapat dua laut yang diceritakan di dalam el Quran. Pertembungan antara dua laut, antara laut masin dan laut air tawar. Penulis dan teman-teman di sini bisa merasai sendiri. Terdapat garis-garis yang memisahkan antara dua laut yang bertembung, sungguh unik. Kesan sejarah dapat disaksikan sampai ke hari ini.

Hari ini penulis memasak. Penulis dibantu oleh Bang Dedi, sejak dari tadi bersedia berkhidmat. Apa sahaja diminta tanpa banyak cakap terus dilaksanakan, penulis amat senang cara kerja yang ditunjukkan beliau:

“Bang Dedi, jap lagi bisa ngap potong bawang merah sama terung? Saya mahu bikin bumbunya terlebih dahulu” Kata penulis sambil panaskan kuali.

“Bisa aje. Apa yang ngap bisa” Berseloroh Bang Dedi, manakala kepalanya pula merenggek di bahu penulis.

Siang mula melabuhkan tirai, waktu maghrib sudah hampir. Penulis perlu siapkan juadah sebelum mereka pulang dari Port Sa’id. Pasti letih urat sendi kerana berjalan jauh, lagipun petang tadi nasi tidak cukup. Penulis masih ingat ibu tidak pernah loket berkongsi resepi masakan. Kata ibu, semua resepi yang diajar adalah datang daripada nenek yang dahulu dan sekarang masih menjadi tukang masak untuk majlis-majlis besar seperti kenduri kahwin, masak buffer dan sebagainya. Bahkan resepi ‘Ayam Masak Kunyit Berlemak’ ini pun adalah turun temurun daripada nenek. Bahan-bahan utama yang diperlukan masih lagi senang diperolehi di sini, namun kebanyakkan rempah ratus datang dari India.

Jam 2130 malam:

Selepas menunaikan solat Isya’, kami terus menyantap makanan yang telah terhidang di ruang tamu. Makan dalam plastik besar, makan bersama-sama, berselera benar kami makan sambil bertukar-tukar pengalaman sepanjang hari ini, cukup menarik dan menghiburkan. Masing-masing ada tugas selepas makan, kami sudah terbiasa dan tidak perlu diarahkan siapa yang perlu lakukan ini dan itu.

Aktiviti malam ini terpaksa ditangguh ke malam esok kerana keletihan terpancar di setiap riak wajah. Ada yang terus lena, ada pula menghabiskan masa di beranda luar sambil mengenakan syai (teh) panas.

Keheningan malam ini seperti malam-malam yang sudah. Angin bertiup sepoi-sepoi membawa pepasir pantai melambung tinggi melepasi anjung rumah. Derapan kaki-kaki masih lagi rancak menuju ke pantai. Malam dihiasi lampu berkelip-kelipan, sesekali cahaya lampu limpah dihalakan ke arah pantai, memperlihatkan ombak yang terus memukul lembut pantai. Orang ramai berpusu-pusu memenuhi medan yang disediakan khas buat keluarga.

Penulis juga turut diulit mimpi, lena awal dari waktu biasa, mungkin terlalu penat juga. Masih tersisa satu hari lagi, harus manfaatkan sebaik mungkin. Rencan di atas kertas mesti direalisasikan pada hari esok. Moga diberi kekuatan dalam mencari redha-Nya.

“Ya Allah, aku hamba-Mu yang teramat lemah. Sering kali melakukan perkara yang mengundang murka-Mu. Ampunlah daku, dan pimpinlah daku ke jalan diredhai oleh-Mu, Dzat Tuhan Maha Agung”

ameen.

0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal