PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Ahad, Mac 29

Jiwa Muda Berkarisma

Hari ini, penulis berkesempatan untuk menulis artikel untuk dimuatkan di ruangan laman blog ini. Selain terkesan daripada rutin perjalanan hidup seharian sebagai seorang pelajar, sengaja penulis membiarkan untuk tidak menulis sepanjang tempoh dua hari lepas untuk melihat citra politik tanah air. Dua peristiwa besar iaitu Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan penamaan calon di Bukit Gantang, Bukit Selambau, dan Batang Air bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

Namun penulis bukan ingin menyentuh perbahasan, pergulungan dan pertandingan merebut jawatan yang dipertandingkan. Anda sudah sedia maklum semua itu. Penulis melihat dua peristiwa di atas, merupakan dua hal yang berlainan. Jika perhimpunan tersebut telah dipalit dengan pelbagai isu yang meruntuhkan credibility calon yang bertanding dengan pelbagai skandal terutama rasuah yang semakin menjadi-jadi, manakala pertandingan merebut kerusi parlimen dan dewan undangan negeri sebagai memperlihatkan kemampuan pucuk pimpinan baru UMNO. Tidak hairanlah lebih 900 aduan yang diterima berkenaan salah laku ahli UMNO.

Kita semestinya tidak mahu pemimpin yang korupsi, hipokrit, dan mempunyai segala sifat mazmumah yang diamalkan dalam politik kerana ianya mencerminkan seseorang itu, cenderung memenangkan diri sendiri bukan kepentingan rakyat yang dipertanggunjawab di bawahnya. Apalah erti kekayaan yang singkat dapat dikecapi, tanpa sebuah usaha yang panjang. Kesannya bukan sahaja pada diri, tapi kepada seluruh zuriat yang mendarah daging dari seorang yang mengamalkan kerja kotor ini. Pening kepala dibuatnya bagi yang mahu berfikir, dan mungkin tidak terasa langsung ‘bagaikan air yang mengalir’ jika hanya sebelah mata memperlihatkan kejijikan ini.

Kita adalah suara rakyat yang mempunyai kuasa untuk merubah situasi ini. Pandangan majoriti tidak semestinya pandangan yang benar. Tapi implikasi dari suara majoriti ini tetap harus diambilkira oleh pihak yang ingin melakukan perubahan, samada dari pemerintah atau pembangkang. Bagi penulis, sikit–sikit seperti menarik rambut di dalam tepung. Itulah hakikatnya, kerana mentaliti majoriti rakyat bukanlah boleh dirombak dalam sehari dua. Pokok pangkalnya, berbalik kepada ilmu (yang diamalkan) dan proses pendidikan.

Kita mungkin boleh kecewa dengan tahap pemikiran arus perdana yang lebih mementingkan periuk nasi masing–masing, demi survival diri sendiri dan keluarga. Namun persoalan yang sama penting, adalah bagaimanakah kita dapat mengambil kesempatan dari pemikiran yang sebegitu, untuk melakukan sebarang perubahan kepada sistem pemerintahan negara? Adakah demonstrasi cara yang terbaik dalam menyelesaikan sesuatu isu? Atau ianya hanyalah jalan terbaik untuk mendapatkan publisiti? Tak kena gaya, ada juga kemungkinan pendekatan yang digunakan boleh memakan tuan. Hakikat yang tidak sedap ditelan tetapi itulah yang dinamakan pengajaran hidup.

Penulis rasa kita semua masih tercari-cari the right balance or the near perfect formula bagi memungkin kemenangan Islam di bumi Malaysia. Di Kelantan umpamanya, kuasa yang ada memungkinkan practicality. Rakyat Kelantan dapat menilai siapa yang lebih baik, membuat perbandingan. Di mana sahaja kemenangan pembawa panji Islam, penduduk dapat melihat kesan perubahan kepada kehidupan mereka, especially dari sudut kemantapan rohani bukan material semata-mata.

Konfrontasi sekarang bagi penulis bukan dengan tujuan untuk memberi alternatif, tetapi lebih bersikap sebagai wake up call, mungkin bukan untuk rakyat majoriti, tetapi kepada ahli-ahli yang sudah semakin lesu. Juga untuk golongan pemerintah, yang semakin hari semakin rakus. There must be confrontation to allow other elements to cross by. Teringat images rakyat Palestin yang tak henti-henti membaling batu kepada askar-askar Israel laknatullah yang lengkap bersenjata dan berkereta kebal.

Pemuda dan Pemudi Sebagai Kunci Perubahan

Penulis yakin jika kita mampu bangunkan minda muda-mudi yangg sentiasa siap siaga untuk berjuang. Sebagai pejuang dan serikandi demi terus memastikan Islam terus berdaulat. Insha-Allah segala methodolgy lain yang lebih baik mampu kita laksanakan untuk mencapai tahap kelangsungan pada perubahan menyeluruh. Tanpa kuasa memang amat perit untuk menyuarakan kebenaran yang hakiki walaupun kita tambah gerak kerja yang bersepadu. Ianya juga penting, tapi alangkah indahnya dapat digaul dalam satu adunan. Pandangan sebegini amat perlu diketengahkan supaya seruan untuk melestarikan perjuangan Islam boleh dipelbagaikan selagi tidak tersasar dari jalan syariat. Justeru itu, dengan harapan penulisan sebegini dan perlaksanaannya juga mampu sedikit sebanyak menggerakkan jiwa-jiwa pembaca terutama muda-mudi kita agar menguja idea, minda dan tindakan yang realistik demi memastikan kesinambungan dakwah dan perjuangan terus tertegak.

Masyarakat kita masih terlalu ramai yang lena melainkan jiwa-jiwa yang segar bugar yang sentiasa bersemangat berjuang menegakkan kalimatullah. Jiwa-jiwa yang ada hari ini, adalah hasil penangan 50 tahun didikan secular. Tidak mungkin dapat diubah dalam sehari dua. Perlu pada kesabaran yang menggunung, dan konsisiten yang berpanjangan. Jiwa muda yang ada hari ini amat diperlukan untuk mendidik anak-anak mereka kelak sebagai tunas-tunas baru Islam yang tidak akan mengulangi lagi kesilapan yang sama dalam melahirkan mujahid dan mujahidah yang benar-benar Islam di luar mahupun dalam. Bukan seperti kebanyakan jiwa-jiwa yang hidup untuk menjaga perut sendiri, dan hanya menjadi ‘pak turut’.

Jaga perut tu tak salah. Tapi jaga perut sampai lupa tuntutan dan batas syariat itu yang salah. Jangan salahkan masyarakat kerana nak menjaga perut nanti masyarakat semakin jauh dengan kita. Tapi sedarkan mereka mengenai kepentingan jaga syariat, bukan hanya perut sendiri. Perut tu sebahagian kehidupan bukan seluruh kehidupan. Berjuang bukan untuk puaskan hati sendiri atau nak berbanga-bangga, tapi nak puaskan kehendak Allah Taala. Beribadah bukan nak puaskan hati sendiri tapi nak puaskan kehendak Allah Taala dengan mentaati perintah dan meninggalkan larangan-Nya.

Arus perubahan sebenarnya tidak dapat disekat, cuma cepat atau lambat sahaja. Jika kita hanya sekadar mahu beraksi, ia tidak cukup. Sejarah adalah bukti bagaimana underlying philosophy behind the action akan menentukan nafas perubahan. Sebab itu idea tentang reformasi, negara Islam, masyarakat madani dan sebagainya harus dikembangkan and must be contested, bukan menunggu ‘sudah parah baru ingin mengubati’.

Penulis suka memetik peristiwa Perjanjian Hudaibiah. Antara isi penting peristiwa itu ialah usaha Nabi saw untuk mencapai apa yang paling diperlukan oleh dakwah, iaitu masyarakat yang tenteram dan aman dari peperangan dan pergolakan. Baginda saw sanggup kehilangan beberapa sub-maslahah demi maslahah terbesar ini. Hasil Perjanjian Hudaibiah kesemua pihak bersetuju untuk mengenakan gencatan senjata dan menghentikan peperangan.

Inilah peluang yang dinantikan oleh Rasulullah saw.

Semasa keamanan berlangsung, baginda saw menggunakan segala peluang yang ada untuk berdakwah, melakukan out-reach kepada kabilah-kabilah Arab seluasnya, malah kepada ketua-ketua empayar di sekitar Semenanjung Tanah Arab. Kesannya dapat kita lihat pada hari ini. Sebuah perubahan yang besar berlaku. Inilah antara pasca dan pendekatan yang digunakan untuk mencuri peluang dalam kealpaan pihak musuh yang leka dengan mainan dunia.

Semua perubahan besar di dunia ini punya kekuatan idea di belakangnya. Hal ini juga pernah ditegaskan oleh Almarhum Malek Bin Nabi dalam mengetengahkan soal guiding ideas dalam pembentukan dan pemerkasaan tamadun.

Membangun Jiwa Seiring Kemajuan Material

Kualiti umat tidak seharusnya berlegar di sekitar produktiviti material dan kemahiran semata-mata tetapi kualiti yang dimaksudkan meliputi kejiwaan, intelektual dan spiritual yang digabungkan dengan kualiti fizikal seperti berketrampilan, rajin, beretika, beriman serta berwawasan.

Kualiti ditafsirkan sebagai ciri perkhidmatan seperti kesopanan, kemesraan dan ketetapan masa atau ciri luaran seperti daya ketahanan, kebolehpercayaan, estetik, peranan dan keselamatan. Semua ciri itu bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan individu bagi mencapai kejayaan sesebuah institusi, badan dan seterusnya negara. Bagaimanapun, usaha mempertingkatkan kualiti harus dilihat sebagai satu proses yang menyeluruh dan bersepadu membabitkan semua anggota baik individu, mahupun kelompok. Islam sendiri menekankan perlunya umat Islam berusaha dan berlumba-lumba membina masa depan serta mencari kejayaan.

Allah Taala berfirman; “Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Berlumbalah kamu mengerjakan kebaikan, di mana saja kamu berada, nescaya Allah akan mengumpulkan kamu semua, sesungguhnya Allah itu berkuasa atas segala sesuatu” el Baqarah (2:148)

Ternyata, Islam yang dibawa Nabi Muhammad saw menghendaki kita supaya sentiasa berusaha mencari kemajuan dan kejayaan berteraskan prinsip Islam bagi mendapatkan keredaan Allah Taala.

Mengimbas sejarah perjuangan Rasulullah saw, pastinya kita melihat bagaimana kejayaan penuh gemilang dicapai baginda saw hanya dalam jangka masa singkat. Lebih-lebih lagi jika diteliti detik dilalui pada permulaan sejarah kerasulannya di Makkah, seolah-olah tidak menjanjikan apa-apa kerana sentiasa berada di bawah tekanan pihak kafir Quraisy. Apabila berhijrah ke Madinah, keadaannya berbeza sekali. Islam diterima sebilangan besar penduduknya berbanding usaha baginda saw ketika di Makkah. Kejayaan Rasulullah saw bukan sekadar menyebarkan Islam dan membangunkan masyarakat, malah lebih daripada itu.

Baginda saw mementingkan kualiti sebenar yang harus ada pada jiwa pengikutnya supaya negara Islam dibina baginda saw benar-benar berada di atas pundak yang kukuh imannya kerana dengan Islam dan iman lahirnya amal soleh yang berguna kepada setiap insan.

Penghidupan dihiasi akhlak Islam dan nilai hidup berteraskan syariat Allah Taala berjaya mencipta tamadun manusia dan mampu dipertahankan sebegitu lama. Tamadun yang diciptakan Muhammad saw menerusi wahyu Ilahi adalah tamadun bersifat syumul demi kejayaan dunia dan akhirat.

Perjuangan Rasulullah saw bukan saja untuk membawa manusia meninggalkan demi mengejar akhirat semata-mata, pengorbanan dan kepayahan dihadapi baginda menegakkan Islam adalah untuk mencapai kedua-duanya sekali.

Allah Taala berfirman; “Dan tuntutlah olehmu akan apa saja yang sudah disediakan kepadamu di akhirat dan jangan sekali-kali kamu lupa memperjuangkan nasibmu di dunia (untuk mencapai kemajuan) dan berbuat baiklah (kepada manusia) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu di samping itu jangan sekali-kali kamu melakukan angkara jahat di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang berbuat kerosakan” el Qasas (28:77)

Menghadapi proses pembangunan negara dan pembangunan insan, kualiti umat harus digilap supaya keseimbangan kemajuan negara disaingi ketinggian martabat umat itu sendiri. Umat Islam perlu mempunyai disiplin, menjaga peraturan, menghormati masa, tekun, sabar, beramal salih dan semangat daya juang yang kental. Umat berkualiti adalah penentu kejayaan dan kecemerlangan negara. Tanpanya, segala halangan dan tentangan yang dihadapi bagi mencapai matlamat wawasan negara, tidak akan dapat ditangkis oleh umat yang lemah.

Islam sentiasa menekankan prinsip kesungguhan dan dedikasi berteraskan ilmu dalam mencapai kejayaan. Islam juga menitikberatkan umatnya melaksanakan pekerjaan secara bersungguh-sungguh tanpa rasa jemu dan kecewa.

Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu membuat sesuatu perkara, ia melakukannya dengan tekun.” (Hadith riwayat Baihaqi)

Kejayaan umat Islam mesti berasaskan kepada struktur perencanaan yang rapi, kualiti digarap dan ketahanan spiritual mantap, barulah seluruh umat manusia akan menikmati kehidupan berdisiplin, berilmu, inovasi dan produktif. Segala bentuk kemajuan serta wawasan yang dicita-citakan tidak akan tercapai sepenuhnya tanpa adanya perancangan teliti dan konkrit. Abul ‘Ala al Maududi dalam karyanya menegaskan pentingnya umat Islam menjadi maju dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Istilah el Hadarah el Islamiah (tamadun Islam) digunakan oleh beliau sebagai membuktikan bahawa umat Islam menjadi penyumbang utama kepada tamadun dunia sejak berabad lamanya dengan pencapaian gilang gemilang dalam pelbagai bidang. Ini membuktikan umat terdahulu lebih berkualiti dalam tindakan mereka bagi memastikan kelangsungan hidup umat masa hadapan yang cemerlang. Umat berkualiti tidak selamanya memadai dalam menunaikan kewajipannya pada kadar yang dipertanggungjawabkan saja, malah bagi mencari manfaat, umat Islam hendaklah sentiasa menunaikan tugas melebihi daripada had yang sudah semestinya.

Justeru itu, umat Islam tidak sepatutnya mengambil jalan mudah dan memintas peluang dengan memijak orang lain. Kejayaan sebenar di sisi Islam adalah hasil usaha kudrat sendiri berlandaskan ciri agama. Manusia yang mempunyai wawasan hidup, tidak akan menerima kekayaan secara percuma lebih-lebih lagi diragui halalnya. Mereka berkeyakinan, kekayaan seumpama itu tidak akan kekal lama kerana mungkin di sebalik kekayaan itu berlaku penindasan dan kezaliman terhadap orang lain.

Jika kita meneliti perjuangan Rasulullah saw, jelas menunjukkan kejayaan yang diperoleh, bukan sekadar kejayaan di dunia malah kejayaan di akhirat. Pengorbanannya paling tinggi. Perjuangannya penuh cabaran. Halangan yang ditempuh bukan sebarangan. Namun perjuangan tetap diteruskan. Jika habuan dan keseronokan dunia yang diperjuangkan Nabi Muhammad saw semata-mata, maka baginda saw sudah lama mencapainya ketika di Makkah lagi. Sewaktu ditawarkan oleh kafir Quraisy kepada Nabi Muhammad saw harta, kemuliaan, pangkat, wanita cantik, tetapi semuanya ditolak.

Rasulullah saw seorang berpandangan jauh. Baginda tidak menerima kekayaan yang singkat tanpa perjuangan bagi meraih kejayaan. Kejayaan sebenarnya ialah apabila Islam dapat disebarkan bukan saja di Tanah Arab malah ke Asia, Afrika, Eropah dan seluruh dunia hinggalah yang kita lihat hari ini.

Di sinilah letaknya kualiti perjuangan diasaskan Rasulullah saw yang perlu diwarisi seluruh umat Islam jika ingin kejayaan hidup yang diredai Allah Taala. Kegigihan umat Islam dalam babak mencipta kemajuan akan menjadi mudah jika kepemimpinan negara sentiasa menerapkan nilai Islam dalam pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

Semoga impian melahirkan ‘Jiwa Muda Berkarisma’ menjadi kenyataan, bukannya ‘lebih sudu dari kuah’.

ameen



1 komentar:

bonda berkata...

salam.....
Sesungguhnya masih belum terlambat lagi untuk menggerakan JIWA-JIWA MUDA BERKARISMA yang masih lena tidur ini.
Kebangkitan mereka sentiasa dinanti-nanti......

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal