PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Jumaat, Februari 26

Kerana Dia Cinta Agung Ku






KEHENINGAN malam itu, tidak seperti malam-malam yang sudah. Desiran angin yang membawa butiran pepasir mula tinggi melambung melepasi hujung dedaun pokok tamar. Seluruh penduduk Makah sunyi di jalanan. Kedai-kedai jualan mulai ditutup, dikemas. Masing-masing mencari haluan, sambil kaki merentak tanah menyelusuri denai pulang.

Kehidupan bangsa Arab Quraisy seperti melalui hari-hari biasa, sangat taksub pada kabilah-kabilah. Abu Tolib, pemimpin besar dikagumi dan dihormati.

Tiba-tiba api nyalaan Majusi beratus-ratus tahun lama telah mulai malap, dan seolah-olah mengakhiri hayat panjang yang telah menjadi sembahan dan pujaan. Kekaguman mereka pada api sudah terpadam, sebaik sahaja padam api sembahan. Bumi Makah di sirami cahaya di setiap penjuru bangunan. Ka’bah yang menjadi pusat pertemuan besar kabilah-kabilah dari seluruh pelusuk kepulauan arab turut dihujani cahaya.

Di satu corok bangunan kecil, kelihatan Aminah ditemani beberapa wanita lain menanti saat kelahiran sulung, petanda-petanda insan agung ini telah membuka mata bangsa arab. Inilah petanda lahirnya seorang utusan yang telah lama tercatat dalam al-Kitab (Injil). Pencarian selama ini seakan-akan sudah berakhir.

Insan ini bernama Ahmad, Muhammad Bin Abdullah.

Menjiwai Maulid-Rasul bukan sahaja terhenti pada sambutan seluruh negara, bukan pada perarakan sebagai simbolik hijrah baginda, bukan juga pada cuti umum setiap kali tanggal 12 Rabi-‘ul awal, tapi pada penghayatan sepenuh pada sunnah ditinggalkan, dijadikan pakaian dalam kehidupan seharian. Tiada guna mengenakan pakaian serba cantik, kemas hanya semata-mata hadirnya tanggal keramat itu, tidak salah, namun apa disuruh baginda s.a.w ditinggalkan, malah tega melanggar batas-batas dilarang.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَلَا تُبۡطِلُوٓاْ أَعۡمَـٰلَكُمۡ

Allah Taala berfirman, bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu Muhammad (47:33)

Tidakkah sia-sia belaka.

Setiap hari kita diajar selawat dalam solat, kita juga diperdengarkan tentang keakuan utusan mulia ini melalui corong-corong menara masjid di seluruh pelusuk dunia. Hikmah tersembunyi agar dicermati, didalami, dihayati. Cinta kepada baginda bererti cinta akan sunnah baginda, cinta kepada baginda bererti cinta akan perjuangan dakwah baginda, kerana cinta kepada baginda para malaikat dan Allah melimpahkan rahmat menggunung kepada setiap hamba-Nya.

PERBAHARUI CINTA

Hujan makin lebat sedari petang lagi. Kaki melangkah dengan cepat, sambil bebola mata memerhati jalan basah becak di sana sini. Ramai warga tempatan mencari tempat berteduh sebelum meneruskan perjalanan masing-masing, ada yang bersama keluarga masih setia menunggu bas, ada yang membimbit barang agak banyak, berpeluk tubuh menahan rasa sejuk. Pengawal pintu utama Babul Futuh masih berjaga, mengawal kenderaan keluar masuk ke Share’ Hussain.

Walaupun ahli-bait menegah saya keluar rumah sore semalam, niat saya tidak dapat ditegah lagi, saya tetap berkeras mahu keluar ke Masjid al-Azhar menghadiri kelas Sheikh Sayyid Syaltut al-Azhari. Kelas sheikh biasanya selepas usai solat maghrib langsung diadakan, tapi semalam saya agak kelewatan kerana terpaksa memasak, sediakan juadah berbuka. Ada dengar juga cakap-cakap orang Mesir, ini pertama kali hujan lebat dalam sejarah. Semua perkhidmatan pengakutan awam tergendala beberapa jam, ramai berpusu-pusu meninggalkan terminal bas, kecuali metro bawah tanah beroperasi 24 jam sehari.

Rupa-rupanya kelas sheikh dibatalkan selepas diberitahu seorang teman, saya masih basah kuyup sesekali merentak air hujan meleleh di dahi. Hari sebelumnya juga begitu, hujan tapi masih diadakan majlis Maulid-Rasul di Masjid Saidina Hussain. Serasa ruh perjuangan baginda tersemat kemas di setiap sanubari jamaah masjid pada malam tersebut. Harapan juga, ruh perjuangan baginda dapat diteruskan oleh kalam sheikh pada malam ini, tapi itulah kita hanya mampu merancang, perancangan Allah jua tiada siapa tahu.

Bila berbicara perihal utusan agung ini, kita pasti diajak supaya mengoreksi diri, nilai sendiri kehendak baginda sudah dilaksana, atau masih berbasah-basi mengamalkan sunnah, hanya dari satu sudut sahaja diamalkan, itupun secara kebetulan selepas tiada pilihan lain. Rasulullah s.a.w telah menggagaskan satu aturan hidup manusia melalui Wahyu Kalam Ilahi dan cara baginda s.a.w melalui sunnah.

وَمَآ ءَاتَٮٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَہَٮٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ

Allah Taala berfirman, bermaksud: ...apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya) al-Hasyr (59:7)

Sesungguhnya pada semua para Rasul pada mereka terdapat contoh teladan dan sempadan yang terbaik, untuk kita laksanakan setiap hari dalam kehidupan kita. Para Rasul menjadi rahmat kepada seluruh alam (semua makhluk) ini. Kegagalan manusia menterjemah kenyataan ini menjadikan mereka berpecah, dan membawa kemunduran kepada umat dimuliakan di sisi Allah Taala.

عنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, bermaksud: Setiap umatku pasti akan masuk syurga, kecuali yang enggan. Para sahabat bertanya; “Ya Rasulallah, siapa yang enggan?” Baginda s.a.w menjawab; “Mereka yang mentaatiku akan masuk syurga, dan yang menentangku (sunnah) maka dia enggan masuk syurga (al-Hadith)

Islam adalah agama membawa matlamat cinta.

Saya cuba mendidik diri untuk tidak menumpukan itu sebagai fokus utama walaupun secara hakikatnya, kerana cintalah Islam itu berkembang. Kerana para sahabat cintakan Rasul dan agama dengan tidak menolak cintakan Allah, Islam terus tersebar. Kita percaya Rasul adalah utusan Allah, kerana kita seorang muslim, seorang muslim wajib beriman kepada para Rasul, dan Muhammad salah seorang daripada mereka. Mulut mengakui tapi hati, jauh sekali.

Buktikan cinta kalian kepada baginda.

Seseorang yang mengaku mencintai Rasul s.a.w. sudah tentu tidak segan melaksanakan tanggungjawab sebagai penyambung risalah baginda. Bagaimana seorang ibu yang menyintai anaknya, sanggup berkorban apa sahaja, membuat apa sahaja demi anaknya. Mengerang kesakitan ketika melahirkan seakan-akan hilang tatkala mendengar suara tangis si kecil di sisi, dikucup berkali hingga bergelinang air mata ibu. Air mata kesakitan bertukar menjadi air mata kegembiraan, air mata kasih. Si ibu sanggup bersengkang mata tanpa menghiraukan keletihan, ditepis rasa lesu untuk kesejahteraan anaknya.

Bagaimana pula sikap orang yang mengaku cintakan Rasulullah?

Sebenarnya, kita adalah hipokrit paling besar, cakap tidak serupa bikin, sering-kali mendabik dada mengaku cintakan Rasul, cintakan perjuangan Rasul, cintakan sunnah Rasul, tetapi sebenarnya kita penghina ajaran baginda. Ramai daripada kita adalah kaki rasuah, kaki rompak harta negara, kaki riba dan makan duit haram daripada sumber judi dan arak, tetapi ironinya juga sangat aneh pada sambutan Maulid-Rasul, kita terhegeh-hegeh menjerit, melaung memberitahu dunia bahawa kita cintakan Rasul.

المَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, bermaksud: Seseorang itu bersama orang yang dia cintai (Muttafaqun ‘alaih)

MUHASABAH

Bertanyalah kepada diri secara jujur, apakah sudah kita mencintai Rasulullah s.a.w, bukan sahaja manis di bibir tapi di hati, dibuktikan melalui anggota, dengan mengerjakan amalan sunnah ditinggalkan baginda. Kalau bercinta pun sampai sanggup habiskan beratus-ratus ringgit untuk top-up, apa salahnya kita habiskan masa secuma lima minit untuk berselawat, kalian tidak akan terasa rugi bahkan rasa cinta kalian kepada Rasul pasti kian berputik.

Inilah cinta agung kita, kerana kita cintakan (taat) Allah Taala. Tidak berkurang sedikit pun, kerana Allah ada berpesan untuk itu duhai umat Muhammad;

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمْ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Allah Taala berfirman, bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani Ali-Imran (3:33)

Dia adalah cinta agungku, dan cinta agung kalian juga.


2 komentar:

nasuha berkata...

salam 'alaik.

maaf, ana kurang faham tentang pernyataan ni:

"Seseorang yang mengaku mencintai Rasul s.a.w. sudah tentu segan melaksanakan tanggungjawab sebagai penyambung risalah baginda."

mohon penjelasan.jazakallah.

rezza khanafiah on 27 Februari 2010 pada 12:52 PG berkata...

salam nasuha

Terima kasih atas ingatan, sudah dibaiki..

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal