PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Khamis, Mac 24

Memaknakan Kejayaan Hakiki






PASTI wujud di kalangan para pembaca rasa berdebar-debar menanti tanggal 23 Mac 2011. Bila dah sampai, tinggal beberapa detik lagi, hati dah jadi gelisah, resah. Ketika ini ramai mengambil tindakan berkecuali, tidak banyak cakap, lebih senang dan tenang zip mulut sahaja. Mungkin juga ada di kalangan anak-anak, saudara mara, jiran tetangga, atau ahli keluarga pembaca lain yang telah menerima slip peperiksaan SPM semalam.

Dia tahu, harapan sudah pun terpikul di bahu, usaha sudah, tapi kali ini benar-benar mengundahkan jiwa, dia cuba memujuk diri, lari dari cengkaman ini. Usahkan calon SPM, ibu bapa juga turut terbawa-bawa dengan gelagat sama bila melihat perubahan sikap anak-anak mereka.

Kita dulu bagaimana?

Ada sejarah tersendiri dilakarkan bukan?

Kalau kejayaan disebabkan usaha gigih kalian selama ini, linangan air mata kalian terlalu mahal, sangat manis. Namun kegagalan kalian disebabkan malas, dan kebodohan tindak-tanduk kalian dulu, jangankan ibu bapa, diri sendiri dipersalahkan bahkan air mata mendatangkan mudhorat. Jangan pula ada tidak bertegur sapa, tidak mahu ambil tahu dan sebagainya.

Tiada kejayaan tanpa usaha yang gigih, semua orang mempunyai makna kejayaan yang tersendiri, cara merai tersendiri, rasa kepuasan tersendiri. Kadangkala, bila kita puas selesaikan sesuatu perkara, itu pun dikatakan berjaya. Ya.. melalui kepuasan diri sendiri. Memang besar nikmat Allah Taala berikan kepada kita, nikmat akal, sihat dan sebagainya supaya kita dapat memilih yang baik mahupun sebaliknya.

Jangan pula salahkan takdir, andai diri pincang mentadbir.

Belajar itu tadbir, usaha itu tadbir, tuisyen itu tadbir, latihan tubi itu tadbir, berjaga malam mengadap buku itu pun tadbir, dan semua ini akan mempengaruhi takdir kita. Baik, Kita berjalan berbekalkan dua biji mata celik, tapi itu tidak bermakna kita selamat, kecuali kita ada hati-hati, berhati-hati melihat ke depan, kiri kanan ini adalah tadbir, bimbang ada lubang menghalang, pasti terseliuh kaki, natijah dari hati-hati tadi ada takdir kita.

Usaha dahulu, rasa susah jerih dulu, barulah berserah.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertakan kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertakan kemudahan” ash-sharh (94:5-6)

Redha pula dipenghujung ikhtiar.

Kehidupan itu adalah sekolah kepada diri kita, banyak perkara yang bisa dipelajari dalam hidup ini. kejayaan seseorang itu bukan sekadar terletak pada kesungguhan, tetapi pada kehidupan yang dilalui sehingga menjadikannya seorang yang berjaya.

Kesusahan dan keperitan hidup banyak mendorong seseorang untuk berjaya dalam hidupnya. jika kita kaji balik tentang kejayaan insan-insan hebat di dunia ni, kebanyakan mereka bermula dari keadaan susah menempuh keperitan hidup.

Penting kejayaan kita bukan sebaik-baik kayu pengukur andai kurang berjaya akhlak atau gagal sakhsiah.

Peluang untuk berjaya terbuka kepada sesiapa, tidak kira sesiapa pun kalian. Boleh jadi hanya anak seorang petani, anak nelayan, luaran biasa-biasa, kerana mengukur kejayaan itu perlu pada hati kental, tiada rasa putus asa, kehidupan susah lebih sinonim sebab perjuangan dia bukan sahaja perlu berjaya sebagai pelajar tapi paling penting sebagai manusia, seorang muslim (hamba).

Bila melihat keperitan mereka, apa yang mampu ialah menghulur secebis rasa simpati dan memberi harapan. Jujurnya, mereka sendirilah yang perlu bangkit dan meneruskan perjuangan di kala sisi luaran malap, hidupkan pula obor semangat dalaman.

Segala apa dilakukan manusia mempunyai kesan sampingan yang lebih ketara berbanding kesan yang datang dari makhluk Allah Taala lain. Ini kerana manusia dibekalkan akal untuk berfikir, deria untuk merasa, dan hati untuk mengerti. Baik buruk kelakuan manusia akan tahu juga mana air dan mana api, membedakan antara al-Haq (benar) dan al-Batel (salah). Kedua-duanya tidak akan bercampur. Kepulangan pada fitrah manusia agar jadi baik adalah kemuncak kesempurnaan iman di jiwa.

Kita berhak memilih jalan sendiri.

MASA DEPAN

Bila sudah terjawab semuanya, masing-masing sudah memegang slip peperiksaan, maka bermulalah lembaran baru, iaitu menentukan hala tuju seterusnya. Pasti ramai sedang berpusu-pusu ke bank untuk dapatkan borang UPU, permohonan dibuat secara online, lebih cepat, mudah dan selamat.

Kalau result setakat cukup-cukup makan, pening juga nak hitamkan bidang paling sesuai, jurusan mana lebih secocok. Kalau result hebat-hebat, tiada masalah sebab mereka lebih cenderung untuk bersaing dalam bidang kritikal kerana sudah terbukti mampu. Maka jadilah ada di antara kalian lebih suka memilih apa yang dipilih oleh teman karib, alasan mudah nak studi, senang ambil berat, tak mahu berpisah. Mereka ini akan cepat mengalami sindrom down di bidang bukan medan sebenar dia.

Pilihan sendiri dan pilihan paksa, jauh lebih menggerunkan bila dipaksa.

Kita tidak selama-lama akan bergantung kepada manusia lain, tidak bererti kita langsung menepis bantuan mereka. Kaki kita melangkah, kita putuskan ke mana, tangan kita pegang, kita tentukan mana satu. Kita hanya dibekalkan pengalaman, kata-kata orang lebih tahu mengenal kehidupan sebelum kita mampu celik, mampu pegang, mampu melangkah.

Masa depan anak-anak tidak seharusnya ditentukan oleh keluarga. Peranan keluarga hanya menunjukkan jalan-jalan yang seharusnya dilalui oleh anak-anak. Melalui kaedah ini mungkin anak-anak mempunyai gambaran tentang minat dirinya. Menentukan karier anak akan menjadikan mereka pada suatu hari nanti buntu bila menghadapi kemelut dalam karier mereka.

Tidak dapat meneruskan hala tuju dengan jitu dalam kariernya kerana jiwanya tidak penuh dengan apa yang dilakukan.

Maka jika dia seorang ahli ekonomi, ilmunya tidak dimanfaatkan dalam bidang ekonomi kerana jiwanya bukan jiwa ekonomi. Kalau dia seorang doktor, rawatannya hanya sekadar memberi rawatan, memberi ubat, dan dapat gaji besar. Jika dia imam masjid, maka dia hanya menjadi imam di kala solat sahaja, tidak lebih daripada itu. Mereka akan jadi jumud ketika berhadapan sistem nilai kehidupan.

Jika mereka mempunyai panduan dan bimbingan, mereka akan menjadikan minat dalam diri mereka sebagai option. Kalau mereka seorang pelajar perubatan, tanam sikap supaya benar-benar menjadi seorang doktor, berjiwa dan bernaluri doktor yang merawat bukan sekadar memberi deskripsi ubat. Mereka akan menjadikan minat mereka sebagai aktiviti kedua mereka.

Buatlah pilihan terbaik berdasarkan minat, bukan ikut-ikut teman kelak kalian akan penat. Mudah lesu dalam bidang itu.

Untuk kejayaan menyeluruh, penekanan perlu kepada penserasian atau pengimbangan pada kedua-dua hujung dengan memastikan bukan sahaja pengurusan masa, menghadiri kelas tambahan, latihan tubi, bersengkang mata baca buku tapi keupayaan kita berhubung dengan Maha Pemberi Kejayaan.

MULA DARI REBUNG

Bila kita berbicara tentang sebuah pokok bunga segar, tidak layu, pasti kita tahu kenapa terjadi keadaan sedemikian rupa. Sudah pasti cukup pengairan pada akar, tidak terlindung dari mendapat cahaya, tiada serangga perosak. Maka kita mula sedar, bahawa mendapat hasil seumpama ini bukan jalan mudah, perlu pada perhatian dan pemerhatian. Kita boleh samakan pokok bunga itu tadi adalah anak-anak yang perlu dididik, disuap ilmu, sebagai makanan rohani

Penjaga baik ialah seorang ibu bapa prihatin, melihat kehadapan, masa depan tumbesaran anak-anak mengjangkau jauh ke ufuk timur, mendasar jauh ke bawah perut bumi Ilahi, melambung jauh hingga ke angkasa.

Wahai ibu bapa ketahuilah, kelahiran anak-anak di dunia ini adalah pelajaran baru bagi kalian, ianya satu amanah perlu dipikul. Menjadi ibu dan bapa yang tidak mengherdik anak-anak dengan kata-kata kesat, tidak mendoakan yang bukan-bukan kepada anak. Kata-kata herdikan, akan menjadi doa yang akhirnya membinasakan anak-anak secara tidak sengaja.

Kesian kepada ibu bapa kebal menahan penat bekerja siang malam berpanasan, bersejukan tapi kurang kebal dalam mendidik anak-anak. Ujian barangkali kita nampak di luar sahaja, sebenarnya ujian daripada anak-anak lebih berat ditanggung, masyarakat tidak pernah kering air mulut mempersoalkan keburukan tangan kita daripada kebaikan.

Sumpah seranah terlekat di birai bibir mereka, ngeri pula bila terkenangkan begitu.

Belajar untuk berkata cukup pada apa yang ada, semua itu bukan penghalang untuk mencari kebahagiaan dan keredhaan di sisi Allah Taala. Rahmat Allah Taala jua penentu segala-galanya, jadikan kekurangan ada untuk kita membina kekuatan. Kurang tidak bererti kita lemah, lemahnya kita sebab kita kurang bersedia mencanang hidup ruh islami dalam dunia serba mati ini.
Teruskan Pembacaan>>>

Jumaat, Mac 11

Luahan Anak Muda Sehebat Salahuddin Al-Ayubi

SERING kali kita dihadapkan pelbagai sikap manusia di sekeliling. Bersama dengan sekalung niat yang baik kita mula menapak kaki di bumi. Ketika kita mengharapkan kebaikan juga hadir kerana baiknya perilaku dan tindakan yang dihulurkan, namun lain pula yang menerjah diri. Jarang kebaikan dibalas dengan kebaikan, penindasan pula mengambil tempat. Mujurlah diri tahu dan cepat bertahan kerana apa yang kita lakukan demi sebuah kebaikan, kita hanya memohon kebaikan itu dibalas oleh Allah Taala.

Bagaikan sebalang botol yang kosong yang terdedah kepada persekitaran yang terbuka tanpa diisi dengan perkara yang boleh dimanfaatkan seperti air suci untuk kegunaan ketika wudhu’, dipenuhi dengan tanah subur buat menumbuhkan benih yang ditanam atau diisi dengan akar kayu buat menyembuhkan penyakit badan, maka di setiap inci itulah risiko untuk diisi oleh keburukan amatlah tinggi. Air suci tadi akan tercemar dengan kekotoran bakteria dan kuman kerana tiada penjagaan. Tanah subur pula akan bercampur dengan sisa toksid yang memberi kesan pada sistem tumbesaran, dan tiada lagi akar kayu yang bermujarab apabila tiada keseimbangan pencahayaan dan perudaraan semulajadi.

Begitulah dalam konteks penjagaan hati. Hati manusia ini perlu penjagaan yang berpanjangan dan hendaklah sentiasa diisi dengan kebaikan-kebaikan agar bisa menimbuskan keburukan yang siap siaga untuk menyerang dari setiap sudut. Terasa tawar untuk membuat maksiat kerana nikmat kebaikan tadi sentiasa manis.

Tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.

Kalis maksiat.

Itulah antara bentuk ujian yang perlu dihadapi.

Benarlah kalam para mujahid fid deen; bahawa untuk memperolehi Syurga Allah, maka kebenaran, kesungguhan, kesabaran dan keredhaan adalah galang ganti kepada mahar yang bakal diterima di akhirat sana.

Sebagai seorang anak, saya kena banyak belajar daripada para ibu dan bapa di luar sana. Saya akan terus mencubit sedikit demi sedikit daripada ibu dan bapa kandung. Mereka saling tidak tumpah seperti para ibu dan bapa dalam lipatan sejarah kemelayuan, kearaban, dan keagamaan, secuma mungkin tahapnya sedikit atau banyak berbeda. Jalannya tetap sama, dan persis kerana adanya mujahadah dalam salutan sabar.

Seorang ibu bernama Hajar senantiasa hidupnya diuji. Bagaikan bakal tertulis di lembaran ingatan sejarah, halaman dalam satu surah menemukan ibu kuat ini suri contoh teladan baik bukan sahaja kepada seorang ibu lain malah kepada mereka yang bakal bergelar bapa. Hidup dalam ujian dan persimpangan kebahagian bukan hanya memerlukan sebelah pihak memberi malah di sebelah pihak yang lain perlu juga memberi dan menerima seadilnya.

Kena saksama.

Seorang ibu dan ayah pasti terpahat di hatinya kelahiran ini, anak ini adalah amanah yang suci dipertanggungjawab ke atas corakan yang bakal dilakarkan nanti. Pena berwarna dibekalkan bersama seberkas tin besar mengandungi pelbagai warna. Di antara warna itu ada yang sama seperti warna-warna yang diberikan kepada solefus soleh yang berjaya membina satu corak agung, ada juga terdapat warna yang pernah digunakan oleh si tangan pendusta, pengkhianat, pengamal rasuah yang juga berjaya membentuk tangan-tangan yang sama seperti mereka. Melainkan sedikit di kalangan mereka yang tersedar bahawa jalan yang dipilihnya itu sangat sukar menembusi diri ke daerah sakinah, kebahagian... lantas anak-anaknya diberi makanan rohani secukupnya, dan menyekat jalan menyusur ke laluan kelam yang pernah diderapinya suatu ketika dahulu.

Seorang bapa bernama Ibrahim disembolikkan sebagai lelaki kuat kerana pergorbanannya. Pergorbanannya bernilai. Manakala nilai moral itu menjadi lambang utuh kepada generasi yang hidup selepasnya. Pengorbanan Nabi SAW banyak bertonikkan kehebatan keempat-empat Nabi yang tergolong di kalangan Rasul Ulu ‘Azmy; Nabi Isa, Nabi Musa, Nabi Ibrahim dan Nabi Nuh. Selain itu kekuatan Nabi Muhammad SAW memahatkannya oleh al-Quran antara mereka ini yang paling penyabar menerima kencaman, dugaan dari umatnya.

Apakah masih ada manusia sekuat mereka ini?

Saidina Ali, Khalid Ibn al-Waleed, Salahuddin al-Ayubi, Sultan Muhammad al-Fateh pula sering dijadikan ikon ideal kepada satria anak muda-mudi berhati waja. Sesuai dengan saya yang masih muda remaja. Perwatakan berani dan gaya yang diterapkan daripada setiap yang baik oleh mereka boleh diadaptasi untuk dibawa dalam kehidupan kita. Tiada siapa yang bisa mengubah cara dan lifestyle seseorang melainkan orang itu sendiri yang mencetuskannya beradasarkan apa yang ingin dia mahukan. Pengaruh mata banyak mengubah kebanyakkan yang berlaku di sekeliling. Secara tidak sedar, rumusan kepala kita juga sering bertandang dari mata yang menjeling dan memerhati. Mentafsirnya secara aman dan baik adalah jaminan keselamatan di hari kemudiannya.

Ramai golongan muda yang tidak faham dan tidak mahu menambah kefahaman mengenai Islam. Tahu yang ada pada mereka tentang Islam kerana setiap kali mengisi borang maklumat peribadi, maka nota kaki kad pengenalan dijadikan sandaran beragama. Berbangga akan Islam hanya sekadar pada pertuturan ketika menamatkan zaman bujang, lafaz sakinah yang tidak lagi berkilauan cahaya kerana yang ada ialah kehendak untuk berpasangan.

Menyandarkannya tidak salah sebagai model, namun ada sepekara yang lebih penting daripada itu, iaitu membangunkan minda muda-mudi menjadi sehebat mereka, diserlahkan pula melalui tindakan, amal luaran.
Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Mac 8

Cinta Berbuah Manis. Terima Kasih Semua

BEBERAPA kali saya merenung ke arah pantulan cahaya. Menyirap memenuhi sebahagian tubuh saya yang sudah makin membesar dan memberat. Suasana sekitar jauh lebih tenang berbanding bangunan berkotak-kotak di Kota Cairo, selama mana mendiami bumi Mesir sedari tiga tahun lalu. Bukan tidak mampu menyatakan kekaguman sama kepada tanah tumpah darah para anbiya’, para solehin, dan sarjana Islam terulung itu, memang saya selalu terpana dengan kehebatan dan keunggulan ilmu para ilmuwannya, khazanah turun menurun hingga ke generasi hari ini. Namun dari aspek naturalisme, bumi Kelantan jua tetap di hati.

Saya mengimbas kembali, setiap kali saya mencoret kisah cinta berbaur sebuah pengharapan kepada setiap mata yang menyelongkar isinya. Cinta yang saya harapkan pula biarlah hadir dari setiap urna bukan hanya tertumpu kepada soal pasangan hidup kerana semua aspek yang bersangkutan dengan cinta hanya satu sahaja yang kita dambakan ialah sebuah kebahagian. Ya kebahagian.

Cinta kepada diri, untuk membahagiakan. Cinta kepada ibu bapa, untuk membahagiakan. Cinta kepada jiran, untuk kebahagian. Cinta kepada tanah air, untuk kebahagian. Semuanya ini tertumpu kepada perkara sama, iaitu bahagia.

Saya cuba membawa perkara sama dalam konteks untuk membahagiakan sumur hati.

Hati saya sentiasa mengatakan pengabdian utuh seorang hamba pada sebuah cinta hanya hadir selepas melalui jalan yang diredhai oleh Allah Taala. Cinta kita hamburkan ini bukan sahaja berkisar untuk menerima daripada-Nya, malah kita juga perlu bersedia apabila Dia pula menagih sumpah setia cinta dalam mengabdikan diri kepada-Nya setiap masa dan ketika.

Jangan lupakan Dia.

Jangan alpakan syariat (peraturan hidup islami) Dia.

Jangan sesekali melanggar larangan Dia.

Semua ini dianggap cinta paling agung kita kepada Sang Pencipta Cinta. Ingatlah cinta-Nya sentiasa berbalas, dan setiap hamba yang taat itu pasti akan dibalas cintanya berupa pahala ketika di dunia, dan kasih sayang Allah di taman Syurga di akhirat nun di sana.

Bercinta Di Bumi Anbiya’

Sebulan yang lalu saya di bawa melalui beberapa fasa dalam mencari redha Allah Taala sebelum adanya sebuah cinta-Nya kepada setiap hamba yang jujur mencari. Berada dalam situasi gentir dan kritikal di kala bumi anbiya’ dilimpahi ‘deruman’ suara revolusi meruntuhkan tembok kebal yang telah dibina semenjak 30 tahun dahulu oleh rejim Hosni Mubarak, ianya menambahkan lagi rencah cinta saya.

Berapa ramai yang terpaksa berkorban tenaga, material dan masa semata-mata untuk berkongsi apa itu kemanisan iman dalam perjuangan. Tempo obor semangat dicernakan dengan rapi, tersusun dan senada memecahkan kezaliman yang telah lama terpasak jauh ke dasar. Demokrasi dinafikan, hak rakyat untuk hidup di bawah kepimpinan ulama’ ditolak.

Pemuda di setiap pelusuk tanah air melahirkan kekaguman mereka kepada era penguasaan pemikiran Islam modenisasi yang diterajui oleh Imam Hassan Al-Banna. Cetusan idea dan pemikiran yang sama diperbaharui oleh ulama’ tajdidi yang terkenal; Imam Prof Dr Yussof Qardhawi. Suara mereka tenggelam suatu ketika dahulu, kini bersemarak di atas titian padu untuk membangun minda politik yang bersih, lebih jauh untuk melihat bangsa mereka terbela dan dibela.

Rumah sewa yang saya duduki telah dibersihkan daripada politik rejim Hosni sedari 20 tahun dahulu. Mereka cepat melatah dan terasa di atas kezaliman yang tertimpa hasil sokongan mereka sejak 10 tahun sebelumnya tidak tertunai dalam bentuk kebajikan. Mereka betah membela hak. Hosni lebih pentingkan diri sendiri, keluarga dan kroni yang paling rapat dengannya. Mereka kini dan selamanya tidak akan lagi terjerumus ke dalam lubang yang sama. Cukup berhati-hati pada tipu muslihat yang jahat.

Penindasan Israel kepada rakyat Palestin belum cukup kuat memotivasikan golongan ketiga rakyat Mesir. Golongan awam ini lebih tersedar dan terjaga di balik busuknya tangan pemimpin mereka yang mengamalkan korupsi, kronisme, dan asobiah (berpuak-puak) dalam sistem pentadbiran. Kekayaan hasil bumi tidak dibahagi samarata kepada semua rakyat terutama faker miskin yang ramai merempak di negeri sendiri. Pasca peta politik Mesir kini telah pun berubah secara total. Menunggu tangan yang bersih menyelamatkan dan membersihkan kekotoran degil yang masih melekat pada sesetengah pemikiran rakyat yang telah lama ‘dijajah’ oleh rejim Hosni.

Akan ada penyelamat.

Pemimpin revolusi yang membawa arus kehidupan yang lebih selamat.

Kini majoriti rakyat Mesir telah menikmati cinta yang berbuah manis hasil tuaian berkat muafakat mereka selama ini. Mereka bersemangat memulakan kehidupan baru, bernafas di dalam udara segar, menikmati hidangan ‘aisy (sejenis roti arab) dan salatoh (campuran sayuran yang sedikit masimkan) bersama-sama, berjalan sambil melaungkan gelombang revolusi di balik setiap wajah yang ceria. Mereka berlari-lari anak di jalanan. Tiada lagi yang boleh menafikan hak mereka, apatah lagi menyentuhnya. Mereka berhak meraikan kemenangan ini, seolah-olah mereka bersama Rasulullah SAW dan para sahabat yang berjaya membuka Kota Makah 1400 tahun dahulu. Auranya tetap sama.

Bercinta Di Bumi Jeddah

Pertama kali menjejak kaki di bumi kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Niat telah lama dipasang, mengikut perancangan tahun ini saya akan mengerjakan Ibadat Haji di Kota Suci Makah... namun saya telah sampai ke kota suci ini lebih awal daripada apa yang saya jangkakan. Hikmahnya terlalu besar. Apabila saya menyorotinya semula, Tuhan tu Maha Adil buat sekalian hamba-Nya. Diberinya apa yang tidak terduga oleh kita, dan ditarik apa-apa yang menduga sebelum sempat kita menerima.

Bersyukur di atas nikmat kurnian-Nya.

Kami ditempatkan di Madinatul Hujjaj, di Jeddah. Kawasan ini menjadi hak milik sepenuhnya Tabung Haji Malaysia. Urusan penempatan para mahasiswa diatur dengan rapi. Walaupun sedikit penat, saya tetap memuji kepantasan, keselesaan khidmat yang diberikan. Ruangan bilik disediakan juga selesa. Kami diberi makan minum secara berkala. Semua menikmati perkhidmatan yang sama, secuma bekalan air untuk mandi, wudhu’ dan basuhan kadang-kadang kehabisan.

Dikesempatan seminggu berada di Jeddah, saya dipertemukan dengan ramai teman-teman baru yang belajar di bumi kinanah. Sempat juga memberi pengisian sebagai tonik ketika masih ada di kalangan mahasiswa yang berada di dalam ketakutan, keresahan, dan kebimbangan.

Berita demi berita kami terima dari Mesir, sama ada secara langsung daripada pihak wakil persatuan pelajar yang tidak pulang mahupun melalui saluran berita Al-Jazeera. Berita itu kami dengar, kami perhatikan, kami membuat kesimpulan. Bibik-bibik untuk menunjukkan keadaan akan reda tidak berputik, malah hari demi hari rusuhan makin parah. Pertembungan dua puak yang menyokong, pro-kerajaan dan pro-pembangkang saling berantakan.

Khabar menggembirakan kami terima ketika kaki kami berjaya melepasi pemeriksaan Imigresen di Lapangan Terbang Jeddah, lewat jam 2100pm waktu tempatan. Perletakkan jawatan Presiden Hosni Mubarak dari kabinet. Berita ini disambut dengan sorakan gemuruh suara tranformasi. Anak-anak muda lari berteriakan, melompat-lompat. Air muka menggambarkan sesuatu yang bererti dalam catatan diari mereka.

Kami melangkah keluar dari bumi Jeddah dengan sinar harapan baru. Sinar harapan terpancar dari Jabar Nur, Sinai memenuhi setiap lapangnya bumi di tanah jajahan Firaun suatu ketika dahulu. Kini Firaun telah lama berkubur, diikuti kezaliman pemerintah yang mengikut jejak Firaun hingga sekarang akan turut sama menggali kubur, mati dalam lautan rakyat.

Rakyat menang.

Demokrasi bersih dijulang.




Bercinta Di Bumi Malaysia


Bagaikan dilahirkan semula ke dunia. Kehadiran saya buat pertama kali di bumi Malaysia selepas hampir empat tahun berkelana di bumi Mesir disambut dengan meriah, linangan air mata tidak dapat dibendung mengalir dari kelopak mata mengiringi pertemuan syahdu itu. Ibulah antara insan yang paling lama berada dalam pelukan saya. Ditahan tapi tak tertahan, akhirnya saya juga mengalah pada sebuah kerinduan. Hampir empat tahun bercinta tanpa melihat kelibat diri, cinta itu dibina hari ke hari, berbeda apabila sudah berpeluang untuk memegang susuk tubuh, memeluk erat. Intonasi bahasa badan sangat menyenangkan untuk melahirkan cinta yang berputik agar berbuah matang.

Kini saya merasainya semula.

Kampung halaman menggamit mata dan hati sanubari. Banyak yang berubah dalam tempoh masa ditinggalkan. Penduduk tetap sama, ada yang masih sama dan ada yang sedikit berubah. Sunnatullah juga mengatakan yang hidup akan pergi, yang dilahirkan akan membesar panjang. Revolusi itu berlaku dengan cepat dan pantas. Dan kelakarnya, adik bongsu saya yang telah sekian lama ditinggalkan, tidak pernah menatap wajahnya selepas ditinggalkan hinggalah dapat melihatnya semula ketika bertemu, jauh menggelirukan kotak pengetahuan saya tentang dirinya sedari mula saya berpisah dengannya.

Peluang yang ada, masa yang diberikan saya gunakan sebaik mungkin. Sekarang sudah tiga minggu saya berada di bumi Kelantan. Sesekali ada juga jemputan luar dari Kelantan menjenggah kotak masuk e-mail, panggilan telefon, dan sms membuatkan saya terharu dan bersemangat untuk terus berada di jalan ini, jalan dakwah, jalan yang ditinggalkan oleh para Rasul dan anbiya’.

Bagi saya menjadi seorang yang baik perlu bermula dari asasnya. Perlu pertama menjadi hamba Allah yang baik, yang akhirnya melahirkan akhlak yang baik. Lantas akan menjadikan seseorang itu menjadi serba baik dalam apa jua tindakan dan amal, jadi anak soleh, suami dan isteri mithali, pekerja yang amanah dan berdedikasi. Sesungguhnya akhlak itu adalah dari dalam diri seseorang. Islam itu cara hidup kita.

Hingga kini saya dapat mengecapi cinta berhari-hari dan selalu dekat dengan ahli keluarga yang lain. Saya pasti akan memaksimakannya buat belakan sebelum saya menyambung cinta ini di perantauan untuk satu tempoh masa yang lama.

Cinta-ku kini berbuah manis.
Teruskan Pembacaan>>>
 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal